Sepatah Dua Kata

Khamis, Oktober 20, 2011

Merah Epal Cinta - Bab 04

 
BATUK-BATUK kecil kedengaran di dalam bilik membuatkan Irdina segera menjengah ke sana. Jelas di wajah riak bimbang melihat keadaan neneknya yang kelihatan tidak berdaya. Lantas dia diserang serba-salah. Perlukah dikhabarkan pada neneknya akan perihal sebenar mengapa dia perlu berpindah keluar dari rumah ini? Atau berbohong dengan menyatakan dia sudah mendapat pekerjaan yang memerlukan dia berpindah? Argh, kusut!
“Nek tak apa-apa?” soal Irdina berbaur risau.
Wanita berusia tujuh puluh tahun itu mengukir senyum dalam payah. Garis-garis kedut di dahi dan pipi menunjukkan tubuh itu semakin ditelan usia. Irdina akui akan hakikat mati. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Datangnya ajal itu saja yang tidak tahu bila masanya. Justeru, selagi masih diberi kesempatan untuk terus menghirup udara di muka bumi ini, maka sentiasa perlu bersyukur.
Irdina tahu, jauh di sudut hati, dia pasti akan dilanda sedih apabila neneknya itu pergi menemui Tuhan Yang Esa. Siapa yang tidak sedih bila orang yang amat disayangi, yang amat penting pada diri, tiada lagi di sisi menemani. Namun Irdina bukanlah kanak-kanak lagi. Dia yakin, suatu hari nanti dia pasti akan menemui neneknya semula di alam sana sama seperti arwah kedua ibu dan ayahnya. Ah, entah-entah dia yang akan pergi dahulu sebelum neneknya itu.
“Dah siap kemas barang?” soal Nek Som, nenek Irdina.
Irdina mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah neneknya yang sedang duduk bersandar di kepala katil. Bahu neneknya dirangkul lalu kepalanya direbahkan ke di situ. Tanpa sedar, manik-manik putih mula berjuraian jatuh.
“Ish, kenapa menangis pula ni?” tegur Nek Som.
Irdina senyap. Dia sebak apabila mengenangkan dia tidak lagi dapat menemani neneknya seperti kebiasaan. Dia cuma berkesempatan untuk menziarahi neneknya kala hujung minggu. Irdina tidak gusar meninggalkan neneknya kerana Makcik Aini, jiran sebelah rumah telah berjanji akan menjaga nenek seperti biasa.
Makcik Aini telah lama membantunya menjaga nenek sejak dia melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi lagi. Walau dihulur sehelai dua wang kertas, wanita itu akan menolak dengan sopan. Kata Makcik Aini, nenek sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Oh, betapa masih wujud lagi insan berhati mulia seperti jirannya itu.
Mulai esok, dia akan meninggalkan rumah yang telah banyak mencipta kenangan, manis dan pahit. Semalam dia telah menghulurkan sekeping sampul berisi sejumlah wang pada Makcik Aini untuk makan pakai nenek sepanjang ketiadaannya selama tiga bulan nanti. Itu pun setelah dia berkeras, baru Makcik Aini terima.
 “Jangan nangis lagi. Ina pergi bukannya lama. Tiga bulan saja, kan? Nenek bukannya tak boleh jaga diri. Lagipun Makcik Aini kamu tu ada. Selalu dia jenguk nenek. Dahlah, tak payah risau dah...” ujar neneknya.
“Nek... Ina sayang nenek!” ucap Irdina lalu mengeratkan rangkulan dan menghadiahkan ciuman di pipi neneknya itu.
Ya, dia mengambil keputusan untuk berbohong akhirnya. Tidak tegar mahu menyatakan kebenaran. Bimbang neneknya akan bersangka tidak baik. Lagipun, tempoh tiga bulan, bukannya lama. Pejam-celik, tidak sedar masa berlalu terlalu pantas.
“Dah habis keluar barang dalam kereta?” sapaan Ekhmal mengembalikan Irdina ke alam realiti.
::Jemput baca sambungannya di sini::

Tiada ulasan :