Sepatah Dua Kata

Ahad, Oktober 16, 2011

Teaser: Cinta, sapalah hatinya!

HUJAN yang lebat mencurah sejak beberapa jam lepas sepertinya masih belum menunjukkan tanda mahu reda. Bagi pelajar yang menaiki bas, rata-rata sanggup meredah hujan asalkan tidak lewat sampai ke rumah. Tapi malang bagi Farehah yang berjalan kaki. Terpaksa duduk menunggu di bawah gazebo berhampiran dengan pondok pengawal sehingga hujan berhenti. Walaupun jarak rumahnya dari sekolah hanya lebih kurang satu kilometer sahaja, pakaian dan beg sekolahnya pasti akan kuyup. Pakaian itu, tidaklah dia kisahkan sangat. Dia lebih risau jika buku-buku di dalam beg sekolahnya basah. Jadi, adalah lebih baik dia duduk menunggu sehingga hujan reda.
            Sedang asyik memerhati titisan hujan yang berjuraian, Farehah dikejutkan dengan huluran sekaki payung dari sebelah kirinya. Pantas dia mendongak. Anak matanya membulat.
“Ambillah,” ujar seorang pelajar lelaki bercermin mata.
Farehah tidak terus menyambut huluran tangan pelajar lelaki itu. Dia masih tergamam. Masih dicengkam rasa tidak percaya. Apatah lagi di sebelahnya ini adalah seorang pelajar lelaki yang menjadi tumpuan seluruh warga sekolah Sri Mutiara. Siapa yang tidak kenal Fayyad Zafar. Pelajar tingkatan enam atas yang sentiasa menjadi sebutan para gadis dan juga guru-guru di sekolah.
Lelaki itu bukan sahaja dikurniakan dengan otak yang pintar, malah handal dalam sukan sepak takraw. Kerap kali menjadi wakil sekolah ke peringkat daerah mahupun negeri. Dan, dia sememangnya sangat bertuah kerana memiliki wajah yang begitu tampan. Persis pelakon Korea di kaca televisyen yang sedang hangat diperkatakan oleh anak-anak muda sekarang ini iaitu Lee Min Ho.
Dengan kulit cerah kemerahan, mata yang sedikit sepet, alis mata yang lentik, kening yang sederhana nipis, hidung cantik terletak dan bibir mungil yang berona merah jambu. Rambutnya pula lurus dan dibelah tengah. Tambahan pula dengan cermin mata tanpa bingkai yang menampakkan dirinya seorang yang matang. Sempurna!
Ya Tuhan, jika ini mimpi, Farehah berharap agar biar dia tidur lebih lama. Dan jika boleh dihentikan masa, izinkan dia menatap wajah kacak itu sepuasnya. Oh, sememangnya hujan yang turun pada hari ini membawa rahmat buatnya. Dapat bertentang mata dengan lelaki yang menjadi pujaan seluruh warga sekolah adalah satu nikmat yang sukar ditafsir. Bukan mudah mahu mendekati Fayyad Zafar kerana saban hari ada sahaja gadis-gadis yang berminat mahu memikat hati lelaki itu.
“Awak... Hello!”
Teguran dari Fayyad Zafar mengejutkan Farehah dari lamunan. Wajahnya merona merah, malu apabila tertangkap begitu. Segera ditundukkan kepala.
“Tak nak ke?” tanya Fayyad Zafar yang masih belum menarik huluran payung dari tangannya itu.
“Ah, err... em...” sungguh lidahnya kelu untuk meluah kata. Ditambah dengan debaran yang sedang menggila dalam dada.
“Saya letakkan di sini ya. Pergi dulu,” ujar Fayyad Zafar lalu melangkah pergi meninggalkan Farehah yang masih tidak mampu untuk mengangkat wajahnya.
Usai lelaki itu hilang dari pandangan, Farehah menekupkan kedua belah tangannya pada muka lalu menggeleng. Malunya! Dia tidak seharusnya bersikap sebegitu di hadapan Fayyad Zafar. Entah apa agaknya yang lelaki itu fikirkan terhadap dirinya tadi.
Payung yang diletakkan di atas bangku kayu di sebelahnya diperhati dengan perasaan yang berbaur. Ada gembira, ada gundah. Perlahan-lahan tangan kanannya mencapai payung rona biru muda tanpa corak itu. Jika tidak silap, di sinilah tadi tangan Fayyad Zafar menggenggam payung tersebut. Ah, terasa seperti sedang menyentuh tangan lelaki itu pula. Oh, Farehah, apa yang sedang kau merepek ni?
Payung tersebut segera dibuka. Farehah bingkas bangun. Dia berjalan kaki menuju ke pintu pagar sekolah. Baru dia terfikir akan sesuatu. Jika lelaki itu meminjamkan payung ini padanya, jadi bagaimana lelaki itu pulang ke rumah?

Baca selanjutnya dalam antologi cerpen Tentang Cinta. Untuk tempahan, hubungi aurorabookstore2@gmail.com

2 ulasan :

lonely_gurlz berkata...

mcm mana nak beli novel ni? dah ada kat pasaran ke?

Rizai Reeani berkata...

lonely_gurlz:
Novel ini tidak ada di kedia buku. Ia cetakan istimewa di mana hanya boleh dibeli melalui online menerusi pihak Aurora Creative.

Boleh buat tempahan melalui e-mel: aurorabookstore2@gmail.com :)