Sepatah Dua Kata

Sabtu, Oktober 22, 2011

Teaser: Pohon Kasih Kita

PETANG Khamis itu langit cerah tanpa awan. Di ufuk barat warna-warna jinga mula kelihatan, menyerak di segenap inci lazuardi yang membiru. Sesekali bayu berpuput, menyapu wajah, menghantar sedikit tenang dalam kalbu. Aku menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan. Lebih pada sebuah keluhan sebenarnya. Yang terbentang di hadapan mata adalah langit yang luas. Ya, dua bulan lalu langit itu diselindung dengan rimbunan pepohon angsana yang teguh berdiri. Tapi kini pohon-pohon angsana itu tidak lagi kelihatan seolah-olah ia tidak pernah wujud di situ. Tempat tumbuhnya sudah diganti dengan jalan yang diturap tar hitam pekat. Bercakap tentang pohon-pohon angsana itu, aku digamit memori lalu. Memori cinta pandang pertama di mana pohon-pohon angsana itu menjadi saksi cinta aku dan dia. Dan, mungkin dengan lenyapnya pohon-pohon angsana itu menandakan aku juga harus melenyapkan rasa cinta yang tidak pernah padam untuknya. Ya, sudah tiba masanya perasaan dalam hati ini dimatikan.
Bayu bertiup lagi, membawa aku berkhayal semula, menyelak halaman kenangan, dua bulan yang lalu...
*  *  *  *  *
AKU berdiri di hadapan padang rumput yang letaknya tidak jauh dari rumahku yang disewa sejak dua tahun lepas, menanti bas tiba untuk membawaku ke kampus. Jam di tangan dilirik, lima minit lagi menjangkau pukul 08.15 pagi. Seketika kemudian deruman bas yang dicat warna kelabu dengan sedikit rona merah mula kedengaran. Bas berhawa dingin dengan cermin gelap itu betul-betul berhenti di hadapanku. Lantas aku meniti anak tangga lalu menyapa pemandu bas tersebut yang dikenali sebagai Abang Murad. Lima kali seminggu menaiki bas yang sama, menjadikan aku antara penumpang yang tidak asing di matanya.
Baru aku hendak mencari tempat duduk, anak mataku membulat. Isi perut bas lagaknya sudah seperti tin sardin, padat. Lalu aku mengalihkan pandangan pada Abang Murad, meminta penjelasan namun dibalas dengan kedua-dua belah bahu diangkat tanda tidak tahu. Entah kenapa pagi ini tidak seperti kebiasaan. Ramai pula yang menaiki bas pada waktu begini. Selalunya mereka yang bekerja akan menaiki bas sebelum pukul lapan pagi. Atau, hari ini merupakan hari cuti? Rasanya tidak.
Pemegang yang disediakan kugenggam erat, bimbang terjatuh. Hari ini aku menaiki bas yang tempat duduknya saling menghadap ke kiri dan kanan, tidak seperti bas awam yang lain. Aku mengerling ke kiri. Kelihatan seorang perempuan, ayu bertudung rona biru, senada dengan warna baju kurungnya. Kemudian pandanganku beralih ke kanan. Seorang perempuan dengan rambut lurus diikat ekor kuda. Tampak masih muda. Mungkin juga pelajar sepertiku. Bersetentang denganku pula ada seorang lelaki yang sedang membaca majalah humor popular, Ujang. 
Lelaki itu lengkap berkemeja putih dengan slack hitam. Tali leher tanpa corak warna hitam dipadankan sebagai pelengkap gaya. Entah kenapa mataku jadi tertarik untuk menatap seraut wajah yang kuning langsat warna kulitnya itu. Rambutnya disisir kemas dan dibelah tengah. Dari sisi, dapat kulihat hidungnya yang sedikit mancung. Bibir lelaki itu mungil dan kecil.
Deheman lelaki itu menganggu konsentrasiku lalu pantas aku menundukkan wajah sambil mengerdipkan mata beberapa kali. Mujurlah lelaki itu tidak perasan akan aku yang asyik merenungnya. Jika tidak, pasti aku dilabel sebagai perempuan gatal.
Bas berhenti sebentar kerana lampu isyarat menunjukkan warna merah. Beberapa saat menunggu, perjalanan kembali diteruskan apabila lampu isyarat bertukar hijau. Namun, aku terdorong ke hadapan apabila bas tersebut menekan brek secara tiba-tiba. Malangnya, aku telah menyebabkan majalah yang dibaca oleh lelaki berkenaan terkoyak.
Dapat dirasakan beberapa pasang mata tertumpu ke arah aku. Dengan debaran yang menggila, aku memohon maaf pada lelaki bercermin mata itu. Dengan wajah selamba, tidak sedikit pun dia menghiraukan ucapan maafku. Majalah yang terkoyak itu dikatup lalu diletakkan di atas peha. Matanya dipejamkan menjadikan aku termangu sendiri. Seperti tidak ada apa yang berlaku sebentar tadi.
Hampir sepuluh minit berada di dalam bas, akhirnya aku tiba ke destinasi yang dituju. Papan tanda kolejku tersergam megah menjadi santapan mereka yang melalui kawasan tersebut. Sudah dua tahun aku menuntut ilmu dalam bidang pengurusan pejabat di sini. Ada lebih kurang setahun sahaja lagi sebelum pengajianku tamat.
Blaus rona jingga yang disarung pada tubuh kuamati sekilas. Baru sahaja aku hendak melangkah masuk, beg sandangku ditarik dari belakang sekaligus menyebabkan langkahku terhenti. Segera aku berpaling lalu terpana sebentar. Lelaki bercermin mata di dalam bas tadi kini berada di hadapanku.
“Err...” belum sempat aku meneruskan kata, lelaki itu terlebih dahulu bersuara.
“Boleh bawa saya ke pejabat pengurusan?”
Itulah ayat pertama yang keluar dari bibirnya. Suara yang menampar gegendang telingaku itu seakan melodi merdu yang bersenandung membuai jiwa. Serentak, hatiku terasa bagai dipukul sesuatu.
“Encik ni...”
“Saya pensyarah baru yang akan mengajar di sini,”

::Perkenalan yang membawa kepada sebuah kisah cinta yang bersulam suka dan duka. Ikuti sambungannya dalam antologi cerpen Tentang Cinta. Untuk tempahan, sila hubungi aurorabookstore@gmail.com::

Tiada ulasan :