Sepatah Dua Kata

Jumaat, November 04, 2011

Cerpen: Nasi Lemak Sambal Kerang

 
“MAKCIK, nasi lemak sambal kerang satu. Karipap seringgit ya,” pintaku pada wanita yang menjual nasi lemak di hadapan pintu masuk pangsapuriku.
“Macam biasa ya,” ujar wanita itu sambil menguntum senyum manis.
Walau aku tidak terlalu mengenali wanita itu, namun senyumannya cukup menyenangkan. Jelas kelihatan di wajahnya garis-garis usia yang semakin lewat. Ternyata wanita itu masih gagah mencari rezeki. Mungkin kerana keadaan keluarganya yang kurang berada.
Ingatanku terus terbang pada seraut wajah ibu. Wajah yang sentiasa utuh disemat dalam kalbu. Ada rindu yang berpaut di tangkai hati. Aku pandang lagi wajah wanita penjual nasi lemak itu. Lebih kurang sebaya dengan ibu mungkin. Ibu yang sudah pergi menemui Ilahi sejak aku kecil lagi. Ayah juga mengikut jejak langkah ibu kerana kedua-duanya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tidak silap, waktu itu umurku lima tahun. Dan aku membesar di rumah Bakti An-Nur, dengan asuhan ummi dan walid, pemilik rumah anak-anak yatim tersebut.
Usai mendapatkan nasi lemak yang dipinta, aku kembali semula menapak ke rumah. Sudah tidak sabar lagi mahu menikmati kelazatan nasi lemak itu. Cukup perisa dan lemaknya.

*  *  *  *  *

JAM di pergelangan tangan sudah menunjuk ke angka enam. Waktu kerja sudah satu jam berlalu. Kerjaku sudah hampir siap. Tinggal mahu memasukkan dokumen yang sudah disemak ke dalam fail. Dokumen tentang projek pembinaan landskap di sebuah taman komuniti awam yang akan dibangunkan mulai hujung bulan hadapan. Aku tidaklah keseorangan di pejabat kala ini. Masih ada beberapa rakan setugas yang belum pulang kerana masih ada urusan yang perlu diselesaikan.
Setelah berpuas hati dengan kerjaku pada hari itu, aku pun melangkah keluar dari ruang pejabat yang terletak di tingkat lima, bangunan sepuluh tingkat itu. Sebelum pulang ke rumah, aku singgah ke pasar raya berhampiran. Mahu membeli sedikit barang keperluan dapur. Walaupun duduk menyewa seorang diri, aku lebih suka ke dapur. Lebih menjimatkan jika masak sendiri.
Melangkah masuk ke pasar raya, aku bergegas ke bahagian sayuran. Cadangku mahu masak tom yam campur malam ini. Meliar mataku mencari cendawan yang biasanya sudah siap dibungkus di dalam pek kecil.
“Maaf cik, tumpang lalu,”
Suara itu menyapaku. Serasa seperti pernah kudengar suara itu. Aku menoleh dan terpana melihat wanita yang sedang mencuci lantai yang sedikit basah.
“Makcik!” nada suaraku sedikit meninggi.
Wanita itu mengangkat wajah. Dia menatapku sebentar sebelum mengukir senyum manis.
“Cik ni yang selalu beli nasi lemak dengan sambal kerang tu, ya?” wanita itu bertanya padaku.
Aku pantas mengangguk. Ternyata aku tidak salah orang. Hati terasa lapang tiba-tiba. Mungkin kerana wanita itu mengingatiku, pelanggan setia nasi lemaknya.
Aku berbual dengan wanita itu seketika. Dia sudah bekerja di pasar raya ini hampir tiga bulan. Kiranya baharu lagi. Sungguh aku kagum dengan wanita ini. Tidak kira siang mahu pun malam, membanting tulang mencari rezeki. Terdetik di hati ingin bertanya tentang keluarganya namun bimbang jika dianggap menjaga tepi kain orang.
“Cik tinggal di tingkat berapa?”
“Ah, tak perlu panggil saya begitu makcik. Panggil saja saya Ana. Saya tinggal di tingkat tiga. Makcik pula, tinggal di mana?” aku berbalas tanya.
“Di kampung berhampiran. Makcik tinggal dengan anak-anak,” jawabnya, ramah.
‘Pasti anak-anaknya masih kecil. Mungkin sebab itu dia bertungkus-lumus memerah keringat. Tetapi, di mana suaminya?’ detik hatiku.
“Suami makcik sudah sepuluh tahun meninggal,” ujar wanita itu bagai tahu apa yang bersarang di fikiranku.
Aku mengangguk lemah seraya merenungnya sayu. Wanita itu meminta diri kerana perlu menyambung kerjanya. Bayang wanita tersebut kian menjauh, meninggalkan hiba yang mula menyelubungi jiwa.

*  *  *  *  *

“LAMA tak berniaga makcik?” tegurku setelah seminggu wanita itu tidak membuka gerai nasi lemaknya.
“Tak sihat sikit Ana. Maklumlah, dah tua begini,” jawabnya dalam suara yang sedikit serak. “Penat bekerja agaknya. Berehatlah lama sikit makcik,” ujarku.
Wanita itu hanya tersenyum. Aku melihat jam di tangan, sudah hampir pukul sebelas. Wanita itu juga sepertinya sedang berkemas.
 “Sudah mahu pulang makcik?” sambungku setelah bungkusan nasi lemak yang kupinta tadi bertukar tangan.
“Lauk pun dah habis. Lagipun, dah jauh malam ni. Esok harus bangun awal pagi,” jawabnya, dalam senyuman.
Aku benar-benar menyanjungi wanita yang sentiasa menguntum senyum di bibir. Tidak pernah lekang walau sesaat. Mungkin senyum itu adalah penawar lelahnya. Senyum itu juga membuatkan hatiku rasa tenang.
“Marilah, saya tolong sekali,”
“Eh, tak mengapalah. Dah tinggal sikit saja ni,” tolaknya, sopan.
“Tak apa makcik, sesekali,” jawabku menyebabkan wanita itu tidak mampu lagi menghalang.
Aku membantunya memasukkan bekas-bekas yang berisi lauk-pauk ke dalam troli yang sentiasa dibawanya jika pergi berniaga. Wanita itu mematikan generator sekaligus membuatkan lampu kalimantang terpadam. Payung bersaiz besar itu ditutupnya lalu diletakkan di sisi meja.
“Payung dan meja tu biarkan sahaja di sini,”
“Tidak hilangkah makcik?”
“Tak ada siapa yang mahukan payung buruk dan meja yang hampir rebah itu,” balasnya lalu menolak troli yang berisi bekas-bekas makanan tadi.
“Marilah makcik, kita jalan bersama-sama,”
“Ish, tak perlu Ana. Dah jauh malam ni. Kamu tu orang perempuan,”
“Ala, dekat sahaja, kan? Lagipun nampak aja saya ni lembik tapi saya ada belajar silat masa di universiti dulu. ” ujarku cuba berlelucon.
Wanita itu ketawa kecil. Pertama kali aku melihatnya ketawa. Kami berjalan beriringan menuju ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari pangsapuriku. Kawasan kampung itu tidaklah sebesar mana. Cuma ada beberapa rumah papan yang masih teguh berdiri di hujung kota.
Dalam perjalanan, tidak sedikit pun dia bercerita tentang anak-anaknya. Dia lebih gemar berkongsi kisah-kisah hidupnya dahulu dan aku, tetap setia mendengar. Hampir sepuluh minit perjalanan, kami tiba di hadapan sebuah rumah papan, disambut dengan cahaya dari lampu kalimantang yang terpasang di atap rumah.
“Terima kasih sudi temankan makcik sampai rumah,” ujarnya, lembut.
“Perkara kecil sahaja makcik,” balasku.
Keriuk pintu yang terbuka menarik perhatianku. Sesusuk tubuh keluar dengan wajah yang terpisat-pisat. Aku terkejut. Lebih kepada tidak percaya.
“Ada lebih nasi lemak mak? Aku laparlah...” lelaki yang mengenakan T-shirt hitam dengan seluar pendek itu menyapa wanita tersebut.
Aku tergamam. Tiada lafaz mesra dari lelaki itu. Sekurang-kurangnya, tidak bolehkah dia menyalami tangan emaknya? Atau paling tidak membantu membawa troli ini ke dalam?
“Ada, kamu masuklah dulu. Nanti mak siapkan di dapur,” balas wanita itu.
Lelaki tadi masuk ke dalam tanpa menyedari kehadiranku. Mungkin baharu sahaja bangun dari tidur.
“Anak makcik yang sulung, Idham,”
“Sakitkah dia?” Tidak tahu mengapa soalan itu yang terpacul dari mulutku.
Melihat gelengan dari wanita itu, aku melepaskan keluhan kecil. Tahu aku tidak sepatutnya berbuat begitu. Pastinya akan mengguris hati wanita di sebelahku ini.
“Berapa orang anak makcik?”
“Tiga,”
“Lelaki semuanya?”
“Tak, dua perempuan. Yang lelaki tadi umurnya 26 tahun. Anak kedua 24 tahun dan yang bongsu, tujuh tahun,”
Mataku membulat tidak percaya. Sudah dewasa tetapi mengapa wanita ini masih bekerja?
“Kerja apa?”
Sekali lagi aku melihat wanita itu menggeleng. Sungguh, bukan niatku mahu ambil tahu tetapi rasa geram yang terbuku di hati tidak mampu aku uraikan. Sudah besar panjang tetapi tidak tahu mencari pekerjaan? Bukannya sakit atau tidak upaya. Patutlah wanita itu jarang bebricara tentang anaknya. Rupanya tiada apa yang boleh dibanggakan. Membebankan adalah!
Bunyi kereta memasuki halaman membuatkan aku berpaling ke belakang. Seorang gadis berpakaian menjolok mata keluar dari perut kereta. Gadis itu berhenti sebentar di hadapan pintu rumah, memandangku seketika sebelum melangkah masuk. Serta-merta aku terasa mahu rebah saat itu juga.
“Makcik, ikut saya balik rumah sekarang!” arahku.
Wanita itu kelihatan terkejut. Dia menggeleng pantas kemudiannya.
“Sampai bila makcik nak jadi hamba pada anak-anak makcik tu? Makcik tahu tak mereka tu dah besar panjang? Seharusnya mereka yang menjaga makcik. Ini terbalik pula. Saya tak sanggup tengok makcik macam ni. Tolong ikut saya balik makcik. Saya akan jaga makcik seperti ibu saya sendiri. Lagipun saya tiada ibu makcik. Saya anak yatim-piatu. Ikut saya balik makcik,”
Manik-manik putih yang berladung di kolam mata wanita itu mula berjuraian jatuh membasahi pipi. Tanpa sedar aku juga turut menangis. Bukan kerana sedih tetapi marah. Geram dan tidak puas hati. Anak-anak wanita itu sudah melampau!
“Tak boleh Ana... Selagi masih ada nyawa, mereka adalah tanggungjawab makcik,”
“Jika mereka sakit atau masih kecil, saya boleh terima. Tapi ini mereka sudah dewasa. Tanggungjawab makcik sudah selesai. Sepatutnya mereka yang perlu bertanggungjawab terhadap makcik,” balasku.
“Tak mengapa Ana, makcik tak kisah...”
“Tapi makcik...”
“Pulanglah Ana, dah lewat ni...”
“Makcik...”
“Ana...” belum sempat wanita itu menghabiskan kata, dia rebah.
“Makcik!”

*  *  *  *  *

DUA hari berlalu sejak wanita itu rebah tidak sedarkan diri. Dua hari juga hanya anak bongsunya sahaja yang berada di sisi wanita itu. Bukan aku tidak maklumkan pada anak gadisnya tetapi gadis itu hanya buat muka selamba. Tidak terukir langsung riak gusar mahupun cemas ketika diberitahu emaknya masih tidak sedarkan diri di hospital. Sempat aku berpesan dengan mengatakan bahawa seorang ibu hanya hadir sekali dalam hidup. Jangan sesekali mempersiakan kasih sayangnya. Bukankah syurga itu letaknya di bawah tapak kaki ibu? Ya, Tuhan... Bukakan pintu hati anak-anak wanita itu.
Doktor yang menemuiku sebentar tadi mengatakan bahawa wanita yang kukira hampir sebaya dengan ibuku itu menghidap barah usus. Sudah berada di tahap kronik. Jika dijalankan pembedahan sekalipun, peluangnya tipis. Mengigil tubuhku menerima khabar tersebut. Anak kecil berumur tujuh tahun itu kupandang sayu. Seingatku, namanya Mimi. Apakah reaksinya jika tahu yang emaknya akan pergi meninggalkannya tidak lama lagi?
“Kakak, emak dah sedar!” teriak kanak-kanak perempuan itu menyentak lamunanku.
“Makcik...” ucapku.
“Ana...”
“Ya, makcik,”
“Makcik serahkan Mimi pada Ana ya. Makcik minta tolong Ana jaga dia baik-baik. Makcik mahu dia jadi macam Ana, gadis yang mulia hatinya,”
Lidahku kelu tanpa kata. Hanya juraian air mata yang tidak henti mengalir.
“Janji dengan makcik, ya,”
“Saya janji makcik, saya janji!”
“Ada Idham dan Mira datang?”
Ah, wanita ini masih mengharapkan anak-anaknya... Mengapa anak-anaknya itu tidak pernah sedar akan kasih yang melimpah-ruah dari ibu mereka ini? Gelenganku disambut dengan senyuman.
“Kalau mereka datang, katakan yang makcik dah maafkan mereka. Makcik halalkan makan minum mereka. Pesan pada mereka, makcik mahu mereka hidup baik-baik. Maafkan makcik sebab gagal menjaga mereka dengan baik,”
Ya, Tuhan... Begitu kasihnya seorang ibu pada anak yang dikandung sembilan bulan lamanya. Mengapa si anak tegar melupakan kesakitan dan kepayahan seorang ibu mendidik dan menjaga mereka hingga dewasa?
“Terima kasih banyak-banyak Ana. Jasa Ana hanya Tuhan yang dapat membalasnya,”
“Makcik...” aku terus menangis dan menangis.
“Makcik tidur dulu ya Ana. Mimi, mari sini, emak nak peluk Mimi,” ujar wanita itu.
Aku tidak mampu lagi menahan hiba yang bermukim di hati. Pantas aku melangkah keluar. Namun, langkahku terhenti di muka pintu apabila terdengar jeritan Mimi. Segera aku mendapatkan wanita tersebut. Aku sentuh wajahnya. Dingin.
Terketar-ketar tanganku menggapai pergelangan tangannya. Sesungguhnya dari DIA kita datang, dan kepada-NYA kita kembali. Aku menarik Mimi dari rangkulan emaknya. Langkahku lemah memanggil jururawat. Aku, menerima kehilangan lagi.
“Emak!!!” jeritan Mira mengejutkanku ketika kembali semula ke wad.
Idham kulihat sudah jatuh terduduk di atas lantai. Ikutkan hati, mahu sahaja aku memarahi kedua-duanya tetapi apalah gunanya aku bazirkan air liur pada manusia seperti mereka ini. Tiada guna menyesal bila yang tersayang tiada lagi di hadapan mata.
Aku melangkah tidak berdaya di sekitar koridor hospital. Tiada lagi nasi lemak sambal kerang untuk aku nikmati kesedapannya. Tiada lagi yang sudi berkongsi sayang dan kasih ini. Dan tiada lagi senyuman yang akan membuatkan hidupku berseri lagi.

::TAMAT::
::Cerpen ini pernah disiarkan di majalah Mingguan Wanita 
bertarikh 18 Mac 2011::

3 ulasan :

lonely_gurlz berkata...

sedihnyer... x patut btul anak dia wat cam tu.

firda berkata...

citer yg menyentuh perasaan.. tahniah!

Rizai Reeani berkata...

lonely_gurlz: Harap anak-anak muda sekarang tidak akan melakukan perkara sebegitu pada ibu dan bapa mereka...

firda: Berbanyak terima kasih firda. Gembira ia sampai di hati.