Sepatah Dua Kata

Isnin, November 07, 2011

Idaman Kalbu III - Ceritera 05

 
SEMINGGU berlalu. Dalam seminggu ini Farisah langsung tidak pernah terserempak dengan lelaki itu. Mana tidaknya, dia nekad untuk tidak menaiki LRT seperti selalu. Seminggu ini dia pergi ke kuliah bersama-sama rakan sekelasnya. Walaupun Mariam dan rakannya yang lain terasa pelik dengan perubahan sikapnya, dia bijak mengawal keadaan. Langsung tidak dipamerkan rasa kecewa yang menghuni hati.
Walaupun Farisah tahu ramai yang akan menaiki komuter selepas jam lapan, dia tidak endahkan. Biarlah perlu bersesak sekalipun, dia tidak peduli. Asalkan dia tidak bertemu dengan lelaki yang telah menghadirkan duka dalam hati. Dan dia juga akan pastikan dia tidak pulang lewat. Bimbang jika bertentang mata dengan Raquel.
Seminggu juga Farisah tidak dapat menulis. Emosi dan fikirannya benar-benar terganggu. Celaru dan buntu. Benarlah kisah cinta realiti tidak sama dengan apa yang disajikan di dalam novel-novel cinta. Mungkin, sudah takdirnya untuk merasai sakit dan peritnya putus cinta. Namun dia bersyukur, perasaan hatinya tidak berjaya ditebak oleh si teruna. Jika tidak, pasti akan lebih hebat derita yang ditanggung.
Nafasnya ditarik panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Buku rujukan di atas meja di hadapannya dipandang lesu. Mengapa ingatan pada lelaki itu tidak mahu pergi? Tidak seharusnya dia mengingati cinta yang tidak kesampaian itu. Semakin diingat, semakin merobek luka.
Jatuh cinta padang pertama adalah perkara yang paling indah dalam hidup setiap insan. Memang tidak dapat dinafikan, perasaan ketika jatuh cinta itu sukar untuk ditafsir namun tetap terasa keindahannya. Tapi sayang, cinta pandang pertamanya tidak berakhir dengan kebahagiaan.
Entahlah, dia sendiri tidak mengerti tentang perasaan hatinya kala ini. apakah benar dia sudah jatuh cinta atau dia hanya tertarik pada ketampanan raut wajah Raquel semata-mata? Tidak, dia yakin perasaan yang bergelumang dalam hatinya adalah cinta kerana ada rindu yang menyapa. Sebolehnya dia ingin mengenali Raquel lebih rapat lagi. Namun, ternyata dia terlewat. Lelaki itu sudah menjadi milik orang lain.
“Risa!”
Sapaan seseorang menyentak lamunan Farisah. Dihalakan pandangan ke hadapan. Wajah Mariam kelihatan sedang menuju ke arahnya. Farisah menutup buku rujukan di hadapannya lalu membuang pandang seketika, melihat keadaan perpustakaan yang agak lengang tengah hari itu.
“Risa!” tegur Mariam dengan nada suara sedikit kuat. Gadis itu nampak tercungap-cungap sepertinya mahu bergegas bertemu dengannya.
“Kenapa ni?” tanya Farisah sejurus rakan sebiliknya itu melabuhkan punggung pada kerusi bertentangan dengannya.
“Aku nak sampaikan pesanan Aqib. Aku terserempak dengan dia masa on the way ke sini. Dia kata, nak jumpa kau lepas habis kuliah nanti. Urgent!” beritahu Mariam.
Farisah mengeluh. Apalagi yang pemuda itu mahukan darinya?
“Dia masih berharap nampaknya,” sambung Mariam.
“Entahlah Mar. Aku tak tahu nak cakap apa lagi supaya dia faham. Aku hargai perasaan dia pada aku tapi aku belum bersedia nak tempuh alam percintaan lagi. Lagipun, aku tak rasa aku dapat pupuk perasaan aku pada dia,”
“Atau, kau sebenarnya masih menunggu lelaki LRT tu?”
Pertanyaan Mariam bagaikan guruh yang berdentum kuat pada pendengarannya. Antara teman serumahnya, gadis di hadapannya ini yang paling rapat dengannya. Mereka selalu berkongsi suka duka bersama. Masih Farisah ingat seminggu lepas sewaktu dia bersungguh-sungguh menangis di bahu Mariam. Dan malam itu jugalah gadis tersebut mengenali Raquel. Diceritakan semua yang berlaku selama beberapa hari lepas antara dia dan lelaki itu. Tidak sedikit pun tertinggal.
Tekaan Mariam tadi ternyata benar. Seminggu yang berlalu tanpa kehadiran lelaki itu tetap tidak dapat mengubah apa-apa. Malah rindunya semakin menebal dalam jiwa. Dia tahu tidak sewajarnya dia terus berharap tetapi untuk mengusir bayangan lelaki itu dari sanubarinya adalah mustahil.
Mungkin tidak logik pada sesetengah orang yang berfikir bahawa baru kenal sudah seperti orang sasau. Ya, usia perkenalannya dengan Raquel sangat singkat namun perasaan yang bercambah dalam jiwanya bukan sesuatu yang mudah untuk diingkari.
“Risa, kau sendiri cakap lelaki tu dah bertunang. Kenapa nak tunggu dia lagi? Dan, apa salahnya kalau kau buka hati, beri peluang pada Aqib yang memang sayangkan kau. Sejak dari semester dua lagi dia dah jatuh hati kat kau. Takkanlah hati kau tak terusik sedikit pun?”
Farisah menundukkan kepala. Serta-merta wajah pemuda bernama Aqib muncul dalam layar fikirannya. Pemuda berambut ‘spiky’ dan berkulit sedikit gelap itu adalah lelaki pertama yang meluahkan perasaan cinta padanya. Masih kukuh dalam memori saat pertama kali menerima luahan hati dari pemuda itu.
Walau bagaimanapun, dia tidak dapat rasakan getaran yang wujud seperti mana dia berada di sisi Raquel. Lantas, setelah tiga hari berfikir, dia mengambil keputusan untuk menolak luahan hati Aqib. Dia tidak mahu melukakan perasaan Aqib memandangkan dia tidak punya sedikit pun rasa sayang pada pemuda itu. Ah, mungkin inilah yang Aqib rasakan sewaktu cintanya ditolak dulu.
Namun, Aqib tetap tidak mahu mengalah. Pemuda itu berjanji akan menambat hatinya. Dan Farisah akan tetap dengan keputusan untuk tidak menerima pemuda itu. Tapi, kata-kata Mariam tadi membuatkan dia berfikir. Bukankah, lebih baik menerima seseorang yang memang sayangkan kita dari menunggu seperti pungguk rindukan purnama?
“Risa, aku tahu, bercinta ni bukannya mudah. Apa yang penting, kau tanyalah hati kau sendiri. Hati, tak pernah menipu. Nasihat aku, lupakan Raquel dan terima Aqib. Mungkin apa yang berlaku ni satu petunjuk. Petunjuk untuk kau menerima Aqib yang menyayangi kau sepenuh hati,”
Benarkah? Benarkah seperti kata Mariam, ini adalah satu petunjuk supaya dia menerima Aqib?
“Kau, beritahu Aqib pasal Raquel?” duga Farisah.
Sejak tadi dia musykil kerana sudah lama Aqib tidak menghubunginya. Mujurlah mereka tidak berada di dalam kelas yang sama tetapi masih berada di bawah satu fakulti.
Anggukkan Mariam membuatkan dahi Farisah berkerut. “Kenapa Mar?”
“Sebab aku tak nak tengok kau terus sedih macam ni. Hidup tetap perlu diteruskan Risa. Aku mahu kau jalani hidup macam dulu. Bukan bermurung 24 jam macam ni,” Mariam menjelaskan perbuatannya.
“Macam mana aku nak teruskan hidup kalau hati aku dah tak ada Mar? Raquel dah ambil hati aku,”
“Jadi, rampaslah balik hati kau tu. Bukan Raquel yang minta tapi kau sendiri yang bagi, kan? Dah tu, kau ambillah balik,”
“Tak semudah itu Mar...” balas Farisah.
“Ia akan jadi mudah kalau kau sendiri tak susahkannya. Aku tak faham betul! Ada orang yang sayangkan kau, kau tak nak. Tetap nak berharap pada milik orang. Sedarlah Risa, jangan ikutkan perasaan sangat. Kebahagiaan dah menanti kau depan mata tapi kenapa kau nak jauhkan diri pula?” Mariam bersuara sedikit marah.
Keadaan hening seketika antara dua sahabat baik itu. Masing-masing melayan angan. Farisah melepaskan keluhan, menarik perhatian Mariam.
“Baiklah, dekat mana Aqib nak jumpa aku?”
Mariam mengukir senyum lebar mendengar pertanyaan rakannya itu.

*  *  *  *  *

TAMAN mini yang menempatkan lima buah gazebo bersaiz sederhana menjadi tempat pertemuan Farisah dan Aqib petang itu. Sewaktu Farisah tiba, kelibat Aqib sudah sedia menanti di gazebo paling kiri sekali. Mata Farisah meliar, melihat para pelajar lain yang turut sama memenuhi gazebo yang selebihnya. Ada yang berbual kosong, dan tidak kurang juga ada yang bermesyuarat di dalam kumpulan.
            Sejurus ternampak kelibatnya, Aqib mengangkat tangan kanan. Farisah mempercepatkan langkah. Mungkin, inilah hari perhitungannya. Dia mahu segala-gala yang berlaku antara dia dan lelaki berkemeja kotak rona biru itu menemui kata putus.
            “Assalammualaikum,” sapa Farisah.
            “Waalaikummussalam. Duduklah...” jawab Aqib dalam senyuman.
            “Baru habis kelas?” sambung pemuda itu, sekadar berbasa-basi.
            Farisah hanya mengangguk sebagai jawapan. Beg sandangnya diletakkan di tepi. Wajah Aqib ditatap sejenak. Tidak banyak yang berubah walau sudah lama mereka tidak bertentang mata.
            “Ada apa yang Aqib nak bincangkan dengan Risa?” Farisah terus ke persoalan utama, tidak mahu memanjangkan cerita.
            “Em, rasanya Risa dah tahu...”
            “Tentang kita?” tanya Farisah walau dia tahu memang itu tujuan Aqib mengajaknya untuk bertemu petang itu.
            Aqib mengangguk seraya menarik nafas. Mengumpul kekuatan untuk terus menyambung bicara mungkin.
            “Aqib masih tunggu Risa...”
            Farisah mengeluh kecil. Sungguh dia tidak tahu apa yang perlu diucapkan sebagai balasan kata-kata pemuda di hadapannya itu. Sekilas, kata-kata Mariam tengah hari tadi berkumandang di telinganya.
“Risa, aku tahu, bercinta ni bukannya mudah. Apa yang penting, kau tanyalah hati kau sendiri. Hati, tak pernah menipu. Nasihat aku, lupakan Raquel dan terima Aqib. Mungkin apa yang berlaku ni satu petunjuk. Petunjuk untuk kau menerima Aqib yang menyayangi kau sepenuh hati,”
 “Aqib...” Farisah berjeda seketika.
“Aqib ikhlas sayangkan Risa?”
“Sungguh Risa! Aqib benar-benar sayangkan Risa,” ujar Aqib. Terpamer riak kesungguhan pada wajahnya.
“Walaupun Risa tak ada perasaan cinta pada Aqib, Aqib tak kisah?”
“Aqib akan tunggu hingga pintu hati Risa terbuka untuk menerima Aqib,”
“Kenapa Risa? Aqib tahu, kan yang Risa tak pernah simpan apa-apa perasaan pada Aqib?” soal Farisah lalu memandang tepat ke anak mata pemuda yang kulit wajahnya sedikit berjerawat itu.
Aqib mengukir senyum. Senyuman yang diharap dapat mencairkan hati gadis yang sekian lama mendapat tempat di hati. Sejak kali pertama berkenalan dengan gadis itu, hatinya terus terpikat. Farisah punya wajah keanak-anakan dan perwatakannya juga kadang-kadang seperti itu. Comel dan manis.
Masih ingat kala pertama kali dia meluahkan isi hati pada Farisah. Gadis itu tampak terkejut benar. Mungkin itu kali pertama Farisah menerima luahan perasaan dari seorang lelaki. Dan gadis itu tidak terburu-buru memberi keputusan. Tiga hari dia memberi Farisah tempoh untuk berfikir dan akhirnya gadis itu menolak hasrat hatinya secara baik.
Alasan Farisah, mereka masih muda dan dirinya belum bersedia. Walau kecewa, dia menerima dengan hati terbuka. Namun, untuk patah semangat, tidak sesekali. Dia yakin, lambat-laun, hati Farisah pasti akan dimiliki. Oleh sebab itu sehingga sekarang dia setia menanti. Berharap akan ada sedikit ruang di hati gadis itu untuk kasih sayangnya, untuk cintanya.
“Aqib...”
Teguran Farisah mengembalikan Aqib ke alam nyata. Sempat ingatannya melayang sebentar. Kini, tumpuannya kembali pada seraut wajah ayu di hadapan.
“Cinta itu datang secara tiba-tiba. Tanpa dipinta. Dan cinta dalam hati Aqib hanya menyeru nama Risa seorang. Sebab itu Aqib yakin, Risa adalah pilihan hati Aqib. Lagipun...” pemuda itu tidak meneruskan kata, berkira-kira mahu menyambung atau pendamkan saja.
“Lagipun?” soal Farisah, menanti apa yang bakal terluncur dari bibir mungil itu.
“Ra... Raquel...” lirih nada suara Aqib lantas menyebabkan raut wajah Farisah berubah, pucat.
“Mar dan ceritakan pada Aqib tentang Raquel. Aqib simpati. Jadi, biarlah Aqib rawat luka di hati Risa. Berilah Aqib peluang untuk buktikan kasih sayang Aqib pada Risa...”
‘Simpati? Hah, dia tidak perlukan simpati sesiapa. Hatinya yang duka tahulah dia merawatnya sendiri,’ detik hati Farisah.
“Untuk apa menunggu sesuatu yang tak pasti Risa? Lagipun, dia milik orang. Tak elok menyimpan perasaan pada mereka yang dah berpunya,” sambung Aqib lagi.
Farisha tersentak. Ya, Raquel itu seperti bintang di langit. Tampak dekat tetapi sebenarnya sangat jauh untuk digapai. Tetapi, perasan cinta dalam hatinya untuk lelaki itu bukan mudah untuk diusir pergi.  
“Aqib, maafkan Risa...” ucap Farisah tiba-tiba.
“Risa?”
“Jangan tunggu Risa lagi. Lupakan Risa. Aqib berhak dapat perempuan yang lebih baik dari Risa. Yang menyayangi Aqib sepenuh hati. Maaf, Risa memang tak dapat terima Aqib,” ujar Farisah lalu bingkas bangun dan berlari meninggalkan pemuda itu terpinga-pinga.
Farisha terus berlari dan berlari. Memorinya bersama-sama Raquel bersilih ganti dalam mindanya. Dia rindukan lelaki itu. Sangat rindu...

2 ulasan :

suraya berkata...

waa.. apa jadi pada farisah? hope dia terima aqib..

Rizai Reeani berkata...

suraya: Sama-sama kita nantikan bab akhir yang akan disiarkan tidak lama lagi. :)