Sepatah Dua Kata

Isnin, November 14, 2011

Idaman Kalbu III - Ceritera Akhir

 
MEREKA yang lalu-lalang di hadapannya tidak dipedulikan. Rawan di hati tetap tidak dapat diusir pergi. Farisah bungkam. Pertemuan dengan Aqib sebentar tadi hanya menambah runsing. Jauh di sudut hati, dia kasihan dengan pemuda itu tetapi perasaan bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa. Mungkin pemuda itu tidak tahu bahawa menyintai tidak semestinya memiliki. Sama seperti dirinya sekarang. Jatuh cinta pada seorang lelaki yang sudah berpunya malah tidak pernah tahu akan perasaan hatinya.
            Nafas ditarik panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Setelah memastikan rasa hibanya reda, barulah kepalanya diangkat, memerhati sekeliling. Waktu petang begini memang ramai yang akan menggunakan perkhidmatan LRT. Ikutkan Farisah tadi, dia mahu saja menaiki bas kerana tidak mahu mengingati Raquel. Menaiki LRT menghadirkan memori tika bersama-sama lelaki itu.
           Namun, mengenangkan kesesakan lalu-lintas yang akan berlaku nanti, dimatikan sahaja niatnya itu. Dia lebih rela bersesak-sesak di dalam LRT asalkan segera sampai ke rumah. Tidak sabar mahu merebahkan tubuh di atas tilam empuk dan melelapkan mata. Dia mahu melupakan segala luka dan duka yang hinggap pada jiwanya. Mulai esok, dia bertekad akan menghapuskan luka dan duka itu. Seterusnya, memadamkan ingatan terhadap Raquel.
            Beberapa minit kemudian, LRT tiba. Farisah bingkas bangun, turut menyertai gerombolan manusia yang awal-awal sudah berkumpul di tempat menunggu. Biasalah, mana pernah mereka mahu beratur. Suka bertolak-tolakan.
            Menapak masuk ke dalam LRT, mujurlah masih ada beberapa seat yang kosong. Dilabuhkan punggung di seat yang berhampiran dengan pintu. Matanya dipejamkan sambil mendengar alunan lagu dari pemain MP3. Moga lagu-lagu itu dapat menghadirkan sedikit gembira dalam jiwanya.
Suara pengumuman stesen Ampang Park menyapa pendengaran. Hati Farisah bergetar. Ah, dia masih tidak mampu melupakan bayang-bayang lelaki itu. Mata yang pejam dibuka, lantas melihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke angka enam. Mujurlah, dia tidak akan terserempak dengan lelaki itu.
Baru sahaja hendak dipejamkan mata semula, tiba-tiba ada tangan yang melayang-layangkan novel Semanis Coklat di hadapannya. Farisah segera berpaling ke kiri. Anak matanya membulat, hampir terjojol keluar. Ya Tuhan, benarkah apa yang dilihatnya sekarang?
“Raquel...” ucap Farisah, perlahan.
Lelaki berkemeja putih dengan tali leher belang biru itu menguntum senyum. Sebelah tangannya menunjuk ke arah headset di telinga Farisah, meminta agar ditanggalkan.
“Assalammualaikum,” sapa Raquel sejurus Farisah menanggalkan headset pada telinganya.
“Waalaikummussalam...” jawab Farisah, acuh tak acuh.
“Lama tak nampak. Ingat awak dah habis belajar.”
“Ada je cuma sibuk sikit, peperiksaan akhir dah dekat,” hanya itu yang mampu difikirkan oleh Farisah sebagai alasan. Masakan dia mahu berterus-terang bahawa dia sengaja tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.
“Patutlah saya rasa macam nak balik awal sikit hari ni. Rupanya nak dipertemukan dengan awak,” sambung Raquel lagi.
Farisah tersenyum nipis. Tawar dirasakan senyumannya itu. Tuhan, mengapa perlu ada pertemuan ini? Ah, mungkin inilah kali terakhir mereka bertentangan mata sebelum lelaki di sebelahnya itu dilupakan dari ingatan.
“Dah habis baca novel ni?” tanya Raquel sambil mengunjukkan novel di tangan.
Farisah menatap kaku novel Semanis Coklat itu. Sudah lama ditamatkan pembacaannya. Tanpa sedar, tangannya mencapai novel tersebut, mengambilnya dari tangan Raquel. Novel inilah yang mempertemukan dia dengan lelaki itu. Hatinya memberontak tiba-tiba. Jika dia tidak cuai dulu, tidak mungkin dia akan berjumpa dengan Raquel sehingga menyebabkan jiwanya bergelumang dengan kesedihan dan keperitan.
“Farisah, awak okey?”
Pertanyaan Raquel membuatkan dia tersentak. Segera dipulangkan semula novel tersebut. Farisah kesal. Dia telah membiarkan perasaan merajai hati.
“Oh ya, bila majlis kahwin awak? Nanti jangan lupa jemput tau!” Farisah cepat-cepat mengubah topik perbualan.
Jangan lupa jemput? Kalau lelaki itu menjemputnya hadir sekalipun, tidak mungkin dia akan datang. Cukuplah sekadar mendoakan agar lelaki itu sentiasa bahagia dengan gadis yang dicintainya.
Telinga Farisah menangkap keluhan dari mulut Raquel. Keluhan yang seakan berat pada pendengarannya. Dicari anak mata lelaki itu, seakan meminta penjelasan.
“Saya dah putus tunang.”
Sekali lagi anak mata Farisah membulat. Putus tunang? Benarkah? Benarkah apa yang dia dengar? Serta-merta ada teruja yang berlumba-lumba menerjah hatinya. Farisah tahu tidak sewajarnya dia berperasaan begitu tetapi dia tidak mengerti mengapa hanya rasa itu yang hadir. Seakan dia memenangi hadiah tempat pertama dalam pertandingan.
“Putus? Kenapa? Ah, maaf... Saya...” Farisah tidak dapat meneruskan kata, menyedari keterlanjurannya.
“Tak apa... Mungkin bukan dia yang ditakdirkan untuk saya. Entah mengapa sikapnya berubah setelah kami bertunang. Dia semakin mengongkong hingga buatkan saya rimas,” jelas Raquel.
“Oh...” ujar Farisah, pendek.
“Apa pun, hidup tetap perlu diteruskan. Pastinya Tuhan sudah sediakan yang lebih baik untuk saya.”
Pengumuman stesen Jelatek kedengaran. Raquel segera bangun sementara Farisah masih beku di tempat duduknya. Kata-kata Raquel tadi menyuntik semangat baru dalam dirinya. Lelaki itu kini sudah bebas. Tidak ada lagi ikatan dengan mana-mana gadis. Adakah ini bermakna, Tuhan memberinya peluang sekali lagi?
Farisah segera bangun ketika pintu hampir-hampir tertutup. Melangkah keluar dari LRT, dia segera mencari Raquel. Mujurlah lelaki itu masih belum jauh. Dikeluarkan buku catatan dan pen dari beg sandangnya lalu menulis sesuatu. Usai menulis, pantas dia berlari anak sambil melaung nama lelaki itu. Raquel yang terdengar namanya dipanggil menghentikan langkah. Dia berpaling sekaligus melihat Farisah yang kian menghampirinya.
“Ada apa?” soal Raquel apabila wajah Farisah kini berada betul-betul di hadapannya.
“Bo... Boleh berikan saya novel tu?” pinta Farisah dalam tercungap-cungap.
Tanpa banyak soal, Raquel menghulurkan novel di tangan pada gadis seiras pelakon Fazura itu. Dilihat Farisah memasukkan sehelai kertas kecil dalam novel tersebut. Kemudian, novel itu diserahkan semula padanya.
“Minta diri dulu,” ujar Farisah lalu segera melangkah pergi, meninggalkan Raquel terpinga-pinga.
Kelibat Farisah semakin lama semakin hilang dari pandangan. Pantas novel tersebut dibelek, mencari helaian kertas yang diselitkan gadis itu tadi. Kertas berlipat dua itu dibuka lalu dibaca teliti.

“Novel ini telah mempertemukan saya dengan awak. Mungkin kerana kisah di dalamnya lebih kurang sama dengan apa yang berlaku pada saya sekarang. Nawwar, watak di dalamnya yang memendam rasa pada Ezzy. Dan saya berharap, moga perasaan Nawwar pada Ezzy itu, dapat awak fahami,”

Raquel mengerutkan dahi, cuba memahami kata-kata yang dicoret pada kertas itu. Tidak lama kemudian, bibirnya menguntum senyum. Kepalanya digelengkan. Dalam hati Raquel yakin, esok pagi, dia pasti akan bertemu dengan gadis bernama Farisah itu. Dan akan dinyatakan pada Farisah, perasaan hatinya kini terasa manis. Sama seperti novel Semanis Coklat yang digenggam utuh.

::TAMAT::
Berbanyak terima kasih diucapkan pada yang mengikuti cerita ini.
Moga kita bertemu dalam musim akan datang.

2 ulasan :

firda berkata...

akhirnya risa bertemu juga dengan cintanya. not bad citer ni walau pendek sikit..

Rizai Reeani berkata...

firda: Berbanyak terima kasih sudi mengikuti mini novella ini. :)