Sepatah Dua Kata

Rabu, November 02, 2011

Merah Epal Cinta - Bab 05

 
IRDINA terpempan melihat kamar tidurnya yang bercat merah jambu dengan keluasan dua kali ganda dari bilik tidur di rumah asalnya. Perlahan-lahan Irdina bergerak ke katil. Dia tidak terus duduk sebaliknya mengusap cadar sutera corak bunga-bunga kecil itu. Terasa halus dan lembut. Oh, pasti dia sedang bermimpi kala ini. Eh, mana boleh mimpi kalau tak tidur lagi. Tanpa berlengah, Irdina melompat ke atas katil persis kanak-kanak yang gembira diberi gula-gula.
“Oh, lembutnya...” ujar Irdina.
Dia berguling ke kanan, kemudian ke kiri. Selepas itu dia meniarap, dan kemudian terlentang pula. Terasa seperti terapung-apung di atas awan. Pantas Irdina bangkit. Dia melangkah ke arah almari pakaian. Kagum dengan almari yang boleh ditolak pintunya itu. Tidak seperti almari di rumahnya yang hampir rebah ke lantai bumi. Sudahlah pintu terkopak sebelah. Jauh beza dengan pintu almari yang bersaiz sederhana besar ini. Tak perlu nak tarik keluar pintunya, hanya tolak ke kanan sahaja.
Mata Irdina tertancap pula pada perkakas  di atas meja solek. Dia menelan liur. Sungguh, dia tidak pernah lihat alat-alat solek sebegitu banyak dan pelbagai jenis. Selama ini yang ada di atas meja solek di rumahnya hanya beberapa batang gincu, pemerah pipi dan bedak. Sayangnya, dia tidak pandai bersolek, apatah lagi menggunakan semua perkakas solek itu. Dia mencapai maskara, membuka penutup dan cuba memakainya pada bulu mata. Ah, dia memang tidak tahu cara penggunaan yang betul.
Maskara tadi diletak semula ke tempatnya. Irdina berlalu ke bilik mandi pula. Pintu bilik mandi ditolak perlahan. Suis lampu ditekan lalu bilik mandi tersebut dilimpahi cahaya rona jingga. Sedikit tenang dan membuai rasa. Tambahan pula melihat tab mandi yang selama ini tidak pernah terlintas langsung di fikiran Irdina untuk berendam di dalamnya. Dia mula memasang angan. Alangkah seronoknya berendam di dalam tab mandi itu dengan air susu dan kelopak mawar berserta dengan lilin aromaterapi seperti yang dilihat di dalam iklan di televisyen. Oh, bahagianya hidup!
“Tok! Tok!” bunyi ketukan pintu menganggu khayalan Irdina.
Dia pantas keluar dari bilik air lalu berlari membuka pintu. Wajah Ekhmal terjengul di hadapannya.
“Ada apa?”
“Mama panggil turun makan bila dah siap kemas barang nanti,” ujar Ekhmal.
“Oh, okey,” balas Irdina lalu menutup kembali pintu biliknya tetapi dihalang oleh tangan Ekhmal.
“Ada apa lagi?”
“Kenapa kau macam happy sangat ni?” tanya Ekhmal.
Irdina mengukir senyum. Soalan Ekhmal tadi dibiarkan tanpa jawapan. Dia menutup kembali pintu tetapi sekali lagi dihalang oleh Ekhmal.
“Apa lagi?” soal Irdina agak bengang dengan kelakuan Ekhmal.
“Ingat, jangan sampai rahsia ni pecah,”
“Ala, saya tahulah, tak payah risau. Ada apa lagi? Saya nak kemas barang ni!”

::Baca selanjutnya di sini::

Tiada ulasan :