Sepatah Dua Kata

Jumaat, November 25, 2011

Merah Epal Cinta - Bab 08 & 09

 
DARI satu syarikat ke satu syarikat dijelajahi namun jawapan yang diterima tetap sama. Oh, sukarnya mencari pekerjaan kala waktu begini. Kebanyakkan majikan mahukan pekerja yang sudah berpengalaman dan tidak mahu graduan yang baru tamat pengajian sepertinya. Keluhan sudah berapa ratus kali disuara. Namun Irdina tidak akan sesekali patah semangat. Neneknya banyak kali berpesan, Tuhan tidak suka pada mereka yang mudah berputus asa. Walau sehebat mana dugaan melanda, ingatlah, Tuhan sentiasa ada sebagai tempat mengadu. Lagipun, Tuhan tidak akan menguji hamba-NYA melainkan hamba-NYA itu mampu menanggung dugaan tersebut.
            Bercakap soal neneknya, Irdina masih ingat sewaktu dia pulang ke rumah semalam. Jelas neneknya terkejut lalu Irdina telah menyatakan bahawa pihak syarikat tidak jadi mahu menghantarnya bekerja di luar daerah. Mujur neneknya tidak banyak bertanya. Irdina berasa lega kerana secara tidak langsung, dia telah berjaya lari dari kemelut yang melanda diri. Walau ada simpati buat Puan Sri Hasmiza, dia lebih rela keadaan tidak menjadi lebih kelam-kabut.
Irdina melihat jam di tangan kanan. Baru pukul 11.00 pagi. Tiba-tiba dia teringat bahawa dia harus ke Vila Karisma setiap Sabtu dan Ahad untuk menemani Puan Sri Hasmiza. Sebelum keluar dari Vila Karisma tempoh hari, dia dan Ekhmal sudah menandatangani perjanjian yang baru.
Isi kandungan masih sama dengan perjanjian dahulu cuma yang berbeza adalah syarat untuk dia tinggal di Vila Karisma sudah ditukar dengan bertandang ke sana setiap Sabtu dan Ahad. Tempoh perjanjian masih kekal tiga bulan, bermula selepas dia dan Ekhmal melangsungkan pertunangan minggu hadapan.
Fikiran Irdina teringat akan peristiwa dua minggu yang lalu sewaktu kali pertama dia bertemu dengan Ekhmal. Masih segar tentang sebiji epal, dia terlibat dalam rancangan yang tidak munasabah ini. Lalu Irdina mengukir senyum. Dia segera melangkah ke kedai buah-buahan di simpang jalan. Beberapa biji epal merah sudah berada di depan mata. Harga yang tertera pada papan tanda dilihat sebentar. Sebiji epal berharga RM 0.80. Hmm... rasanya masih berpatutan. Lalu dicapai tujuh biji dan dimasukkan ke dalam plastik yang disediakan di hujung meja dan kemudian bergerak ke kaunter pembayaran.
“Amoi, ambil lagi dua biji epal, saya bagi free,” ujar lelaki Cina yang sudah berkedut dahinya itu.
“Eh, betul ke ni apek? Wah, banyak baik hati ya apek. Terima kasih...” balas Irdina sambil berlari anak mengambil dua biji epal lagi.
“Bukan apa, saya tengok muka lu sedih aja. Jangan sedih-sedih amoi, senyum sikit. Baru nampak cantik,” usik lelaki Cina itu sejurus Irdina kembali ke kaunter bayaran.
Irdina tersentuh mendengar kata-kata lelaki Cina  tersebut. Terserlah sangatkah kekecewaan yang melanda sehingga terzahir pada riak wajahnya? Lantas, Irdina mengukir senyum tawar, sekadar mengambil hati lelaki Cina itu.
“Orang kata, senyum itu macam kelopak bunga. Ketawa pula adalah bunga yang kembang sempurna,” sempat lagi lelaki Cina itu berfalsafah.
Irdina ketawa kecil. Tidak menyangka lelaki yang memakai baju-T tanpa kolar rona biru itu kaya dengan mutiara kata. Pasti dia seorang yang rajin membaca. Irdina membuat pembayaran lalu mengucapkan terima kasih sekali lagi. Alhamdulillah, rezeki pemberian Tuhan untuk hari ini.
Irdina bernyanyi kecil di dalam hati sekadar mengusir rawan. Dia mahu ke seberang jalan bagi menaiki bas ke Vila Karisma. Lampu isyarat ditunggu bertukar menjadi hijau bagi pejalan kaki. Keadaan lalu-lintas pagi itu tidaklah terlalu sesak dan tidak pula terlalu lengang. Tetap ada kendereaan yang lalu-lalang. Setelah lampu isyarat bertukar hijau, Irdina mula melangkah namun telinganya menangkap bunyi enjin yang membingitkan. Irdina pantas menoleh ke kiri. Sebuah motosikal sedang meluncur laju ke arahnya.
Ya Allah!
“Hati-hati!” teriak satu suara.
::Ikuti sambungannya di sini. Jemput singgah ke page untuk memberi sokongan::

Tiada ulasan :