Sepatah Dua Kata

Sabtu, Disember 31, 2011

Bingkisan 2011


TAHUN 2011 banyak meninggalkan momen manis dan tidak kurang juga pahit dalam karier penulisan saya di samping meluaskan lagi pergaulan saya bersama-sama rakan penulis dan rakan pembaca semua.
Alhamdulillah, sepanjang tahun 2011, sebuah novel dewasa, sebuah novel kanak-kanak, sebuah antologi cerpen sepenuhnya dan sebuah antologi cerpen bersama telah berada di pasaran. Sambutan yang diberikan terhadap karya-karya saya ini ternyata di luar jangkaan. Berbanyak terima kasih saya ucapkan atas kesudian membaca dan menerima tulisan saya seadanya.
Imbas kembali peristiwa yang berlaku pada tahun 2011 secara rawak:
April 2011
Pertama kali saya menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai seorang penulis. Perasaan ketika kali pertama hadir sesi autograf sukar digambarkan. Terus-terang saya gusar, risau dan gemuruh. Gusar dan risau bila mengenangkan ada ke yang sudi datang untuk autograf dan ambil gambar? Gemuruh bila mengenangkan penerimaan pembaca ketika bersua-muka.
            Alhamdulillah, saya rasa sangat dihargai apabila melihat wajah-wajah yang datang mendapatkan novel-novel saya dan mengambil autograf dan gambar bersama. Sekaligus, ia menyemarakkan semangat saya untuk terus menulis dan menulis.


Sesi Autograf

            Bulan ini juga antologi cerpen pertama saya diterbitkan bertajuk Cinta Pandang Pertama. Mengandungi 19 buah cerpen cinta, cerita-cerita di dalamnya lebih kepada kisah cinta remaja.  

Mei 2011
Novel kedua saya bertajuk Begitulah Cinta diterbitkan. Penerbitnya sudah lama dalam bidang penerbitan bahan bacaan tetapi masih hijau dalam penerbitan novel. Boleh katakan saya cuba mengintai peluang di syarikat yang berbeza. Novel ini boleh dibeli di MPH dan kedai-kedai buku berhampiran.

Jun 2011
Saya menerima beberapa e-mel layang yang kurang enak dibaca. Mujurlah saya sudah diberi peringatan oleh guru saya. Cacian, tohmahan dan sebagainya tidak akan lagi melemahkan semangat saya. Manusia tidak pernah puas. Yang penting adalah tahu akan rasa syukur.
Terima kasih pada pengirim-pengirim e-mel tersebut kerana membuat saya sedar diri dan saya rasa bertuah kerana secara tidak langsung, ada juga yang mengambil berat dengan cara begitu.

Julai 2011
Adir yang Terpilih adalah sebuah novel yang agak sukar untuk saya tulis. Novel kanak-kanak walaupun nipis tetapi percayalah, untuk mengadaptasikan diri yang telah meningkat usia ini kepada jiwa kanak-kanak adalah sesuatu yang agak sukar. Apatah lagi novel ini dalam genre fantasi. Sebuah genre yang bukan makanan saya.
            Ini adalah novel kanak-kanak saya yang pertama. Syukur, ia berjaya ditulis dan diterbitkan. Insha-Allah, novel ini akan ada sambungannya. Seronok juga menulis cerita kanak-kanak ni.

Oktober 2011
Antologi cerpen Tentang Cinta menemui pembaca. Sebuah karya yang turut menjadi kenangan manis buat saya kerana pertama kali bergabung dengan beberapa orang penulis hebat dalam sebuah buku. Ada dua buah cerpen saya dimuatkan dalam antologi ini iaitu Cinta, Sapalah Hatinya! dan Pohon Kasih Kita.

November 2011
Menerima khabar gembira tentang dua buah manuskrip yang sudah diterima untuk diterbitkan iaitu Merah Epal Cinta dan Ada Untukmu. Bulan ini juga saya telah mengirimkan dua buah manuskrip untuk dinilai bertajuk Kekasih Hati dan Nana & Nini. Doakan moga ia diterima ya.

Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan pada rakan-rakan pembaca yang tidak jemu memberi sokongan dan dorongan. Terima kasih sudi membaca karya-karya di blog ini walau agak jarang kemas-kini. (Kadang-kadang berminggu-minggu baru update sekali. Huhu...)
Di kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012. Moga tahun baru ini membawa lebih banyak kegembiraan dan perubahan yang positif dalam hidup kita semua. Insha-Allah...
Salam mesra,
Rizai Reeani / Ridha Reewani

2 ulasan :

Terbang Bersamaku berkata...

selamt tahun baru...
semoga awk lebih sukses dan cemerlang dalam bidang penulisan dan semoga segal cita2 + impain awk terlaksana ye..=)

Rizai Reeani berkata...

Terbang Bersamamu: Selamat Tahun Baru buat cik. Terima kasih atas doanya. Saya juga harap semoga cik berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Insha-Allah... :)