Sepatah Dua Kata

Isnin, Disember 05, 2011

Bingkisan Rasa


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

SAYA terpanggil untuk menulis sesuatu di sini. Mungkin saya tidak mampu memendam apa yang terbuku di hati lagi. Sekadar berkongsi rasa tentang bidang penulisan yang sudah hampir dua tahun saya ceburi. Secara natijahnya, mungkin dari luar kelihatan menjadi seorang penulis itu mudah. Hakikatnya, ia jalan yang penuh liku bagi saya.
Pertamanya saya ingin menyentuh perihal nama pena. Seperti yang diketahui umum, saya mempunyai dua nama pena iaitu Rizai Reeani dan Ridha Reewani. Ada yang mempersoalkan kenapa nama-nama itu mempunyai unsur keperempuanan. Saya pernah jawab dalam satu entri di blog peribadi saya. Dan rasanya ini adalah kali terakhir saya akan nyatakan sebabnya.
Kedua-dua nama pena saya itu adalah permintaan syarikat penerbitan. Oleh kerana saya menulis genre cinta, maka nama yang digunakan perlu memaparkan sedikit elemen kelembutan dan keperempuanan. Terus-terang, sukar untuk saya biasakan diri dengan nama sebegitu tetapi atas menghormati syarat syarikat penerbitan, saya terima seadanya asalkan ia tidak disalah anggap di kemudian hari. Pernah terfikir untuk menyembunyikan identiti tetapi selama mana saya boleh menyorok? Lambat-laun tetap akan diketahui juga.
Mengapa ada dua nama pena? Sesetengah syarikat tidak mahu penulis yang pernah menerbitkan novel dengan syarikat lain untuk menggunakan nama yang sama. Ini untuk menjaga hak eksklusif penulis di bawah label sesebuah syarikat.
Keduanya, baru-baru ini, akaun Facebook saya telah digodam dan saya percaya ia dilakukan bertujuan untuk menyekat langkah saya dalam bidang penulisan ini. Sudah beberapa kali saya mendapat e-mel layang yang menggesa saya supaya berhenti menulis. Entah apa sebabnya, saya sendiri tidak tahu. Saya menulis adalah untuk kepuasan diri sendiri di samping berharap dapat memberi hiburan dan teladan kepada mereka yang membaca tulisan saya. Tidak banyak, sedikit pun jadilah.
Mujur, sokongan teman rapat dan rakan-rakan pembaca sentiasa menjadi bentang kukuh untuk saya terus menulis dan menulis. Alhamdulillah, untuk tahun hadapan, akan ada tiga/empat buah novel saya akan berada di pasaran, Insha-Allah. Syukur pada yang Maha Esa dengan izin-NYA, saya diberi kekuatan untuk menginterpretasikan idea yang ada dalam bentuk tulisan untuk dikongsi bersama semua.
Ketiga dan yang terakhir, akaun FB saya yang lama mungkin akan deactivate buat sementara waktu. Dan saya mohon maaf banyak-banyak bagi mereka yang add saya di profile peribadi kerana saya tidak dapat menerima jemputan rakan anda.
Oleh yang demikian, saya baru sahaja membuat page FB yang baharu. Bagi yang sudi mengikuti perkembangan penulisan saya, bolehlah singgah ke page tersebut memberi sokongan dan dorongan. Boleh klik di sini.
Kesimpulannya, kepada mereka yang mahu menyekat hasrat saya untuk menulis, cukup-cukuplah menganggu kerana saya punya ramai rakan yang berada di sisi untuk memberi sokongan dan tidak akan sesekali membuatkan saya rebah.
Berbanyak terima kasih saya ucapkan pada anda yang menyokong saya. Doakan saya sentiasa kuat untuk melawan anasir-anasir yang tidak sepatutnya. Blog inilah tempat saya berkarya dan menjadi medium untuk saya berinteraksi dengan rakan pembaca. Ia terbuka untuk semua. Tidak akan ditutup atau hanya menjemput yang tertentu saja.
Akhir kata, terima kasih sudi membaca bingkisan rasa ini. Jika ia membuang masa anda membacanya, saya mohon maaf. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak terima kasih. Salam mesra.
Rizai Reeani/Ridha Reewani

2 ulasan :

ErnieFaizal Siti berkata...

Asalkan niat kita kerana Allah,insyaallah akan dipermudahkan..

Hanya orang yang ada perjuangan yang jelas dan berprinsip sahaja yang ada penentangnya.. :)

Rizai Reeani berkata...

Ernie: Berbanyak terima kasih saya ucapkan untuk dorongan yang diberikan. Moga kita sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-NYA, Insha-Allah...