Sepatah Dua Kata

Selasa, Disember 06, 2011

Merah Epal Cinta - Bab 10 & 11


PERLAHAN-LAHAN dia melangkah meniti kaki lima jalan sambil matanya meliar di setiap deretan kedai, mencari andai kata ada iklan jawatan kosong yang tertera. Irdina sudah tidak fikirkan soal kelayakan lagi. Dapat jadi jurujual pun dia sudah cukup bersyukur. Asalkan dia sudah punya pekerjaan. Sementara ini, biarlah dia bekerja di kedai-kedai tepi jalan sebelum melangkah ke alam kerjaya yang sebenar, sesuai dengan kelayakannya. Kata orang, pengalaman adalah guru yang terbaik.
Sambil berjalan, Irdina turut membelek akhbar, menumpu sepenuh perhatian pada ruangan iklan kerja kosong yang dicetak di dalamnya. Jika ada kerja yang menepati cita rasa, dia akan membulatkan dengan pen dakwat merah.
Irdina berhenti seketika, menarik nafas panjang lalu mendongak ke langit. Awan kelabu mula berarak perlahan menutup cahaya mentari. Ah, barangkali hujan akan turun  sebentar lagi. Bagus juga jika hujan turun, terasa sejuk sedikit. Sudah hampir seminggu bumi Seremban itu kering-kontang tanpa setitis hujan yang mencurah jatuh.
Baru sahaja dia hendak memulakan langkah, anak matanya terpandang kelibat seseorang yang baru sahaja memakirkan kenderaan di tempat parkir yang disediakan, tidak jauh dari tempat dia berdiri. Irdina kenal pemilik kereta itu dan ternyata telahannya benar apabila Ekhmal keluar dari perut kereta bersama-sama dengan seorang perempuan. Balkhis! Pantas Irdina bersembunyi di sebalik pasu-pasu besar yang ditumbuhi pokok bunga loceng kuning.
Sesekali Irdina menoleh, melihat aksi pasangan tersebut. Balkhis yang sedang melangkah mendahului Ekhmal tiba-tiba terpelecok namun sempat disambut oleh lelaki itu. Entah mengapa Irdina berasa tidak sedap hati. Dia melekapkan tapak tangan kanan ke dada. Pantas Irdina menggeleng. Merepek saja!
Mereka berdua melangkah masuk ke dalam sebuah bangunan tiga tingkat yang baru sahaja ditinggalkan oleh Irdina sebentar tadi. Pasti Ekhmal atau Balkhis ada urusan dengan salah sebuah syarikat yang beroperasi di bangunan itu. Sepertinya Balkhis sudah memulakan langkah untuk menambat semula hati Ekhmal. Eh, pandai-pandai saja dia. Entah-entah gadis itu sudah tidak menyimpan apa-apa perasaan lagi pada bakal tunangnya itu. Bukankah ketika pertemuan mereka dua hari lepas Balkhis telah menyatakan bahawa dia ke luar negara untuk melupakan Ekhmal?
Tapi, sewaktu ditanya apakah Balkhis sudah melupakan Ekhmal, gadis itu hanya tersenyum. Tidak menjawab sama ada sudah melupakan atau belum sekaligus meninggalkan tanda tanya dalam hatinya.
Tanpa sedar, sebuah keluhan dilepaskan. Irdina kembali menyambung langkah. Dia mencari-cari andai ada iklan tentang jawatan kosong yang ditampal pada dinding deretan kedai yang ada di sepanjang kaki lima jalan itu. Akhirnya, mata Irdina tertancap pada dinding sebuah restoran yang kelihatan agak mewah.

Pelayan/Tukang masak/Pembantu dapur dikehendaki segera. Walk-in Interview
-Charisma Bistro-

Irdina berkira-kira di dalam hati. Patutkah dia mengambil peluang ini? Tapi sebagai apa? Pelayan? Oh, dia sangat pemalu orangnya. Eii... tolonglah! Pandai menipu. Em, tukang masak? Goreng ikan pun hangus. Masak maggi mee pandailah. Jadi... pembantu dapur? Kalau setakat basuh pinggan, bolehlah agaknya. Ah, pedulikan, janji dia cuba.

::Baca seterusnya di sini::

Tiada ulasan :