Sepatah Dua Kata

Jumaat, Disember 16, 2011

Merah Epal Cinta - Bab 12 & 13


SEMALAM dia dan Ekhmal sudah mengambil cincin yang ditempah untuk majlis pertunangan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Cincin yang bertakhtakan berlian itu amat cantik dipandang. Naluri wanita, barang kemas sebegitu sudah menjadi satu kemestian. Siapa yang tidak terpukau melihat akan kilauan berlian yang bersinar itu? Namun Irdina tahu, cincin tersebut tidak membawa apa-apa makna dalam dirinya. Dahulu dia selalu berangan, bahawa suatu hari nanti akan ada prince charming yang datang, menyarungkan cincin secantik itu ke jari manisnya. Angan-angan, tidak selalunya menjadi kenyataan.
Dua hari lagi cincin tersebut akan disarungkan ke jari manisnya tetapi bukan dari prince charming idamannya. Mengenali Ekhmal, walau baru tiga minggu berlalu, lelaki itu tidak sedikit pun mencairkan hatinya. Okey, dia tipu. Sebenarnya ada sesekali hatinya terusik apabila melihat wajah Ekhmal yang boleh dikatakan kacak itu tetapi Irdina tahu, tiada guna dia menyemai perasaan suka pada lelaki tersebut kerana pada Ekhmal, siapalah dirinya jika hendak dibanding dengan gadis-gadis yang pernah Ekhmal kenali.
Irdina tahu dia tidak seperti gadis lain yang pandai bergaya kerana dia selesa menjadi dirinya sendiri. Mungkin kerana persekitaran tempat dia membesar, membuatkan dia agak janggal untuk mencuba menongkah arus kemodenan dalam gaya berpakaian mahu pun berdandan. Cukuplah asal sedap mata memandang.
Bunyi barang jatuh dari dapur menarik perhatian Irdina. Nenek! Segera Irdina keluar dari bilik lalu berlari ke dapur. Dilihat sekujur tubuh sudah terbaring lemah di lantai. Irdina panik! Pantas dia menerpa ke arah neneknya. Badan neneknya digoncang berkali-kali sambil memanggil neneknya namun tiada sahutan. Cemas mula menerjah hati. Dia segera naik ke atas rumah semula, mencapai telefon. Nombor panggilan kecemasan didail. Setelah menyatakan maklumat seperti yang diminta operator di talian, Irdina meletak gagang lalu kembali semula ke dapur.
“Nenek, bertahanlah... sekejap lagi ambulans sampai...” ujar Irdina sambil memegang erat tangan neneknya.
Setiap detik yang berlalu dirasakan teramat lambat bergerak. Irdina berlari mendaki tangga menuju ke biliknya semula. Dia mendail nombor yang terlintas di fikiran. Seketika menunggu, panggilannya berjawab.
“Hello...”
“Awak, tolong saya! Nenek pengsan!” ucap Irdina.
“Hah? Awak dah call ambulans?” soal Hasmir.
“Dah, tapi belum sampai lagi. Saya takut awak, saya takut...” Irdina melahirkan kegusaran.
“Tenang, bawa isghtifar. Kejap lagi saya datang rumah awak. Kalau ambulans sampai dulu, terus saja pergi hospital tau,” ujar Hasmir.
Irdina mengangguk walau dia tahu Hasmir tidak mungkin melihat anggukannya itu. Entah mengapa nombor telefon bimbit lelaki itu yang menjelma di mindanya. Tiba-tiba Irdina menepuk dahi. Bagaimana Hasmir hendak ke rumahnya sedangkan lelaki itu langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke sini? Lantas Irdina menelefon semula Hasmir. Talian senyap tidak berjawab. Mungkin Hasmir sedang memandu.
Ya Allah, kau selamatkanlah nenek dari segala bahaya...
Baca seterusnya di sini.

Tiada ulasan :