Sepatah Dua Kata

Khamis, Disember 01, 2011

Tercipta Untukku - Ceritera 01



“MAAF, Nain tak dapat terima hasrat hati Awa.”
Keheningan taman mini berhampiran bangunan kuliah yang bercat ungu itu membuatkan ucapan yang meniti di bibir pemuda berbaju kemeja rona biru di hadapannya cukup jelas kedengaran. Tidak perlu diulang kerana ucapan itu bergema berkali-kali dalam mindanya. Berkali-kali sehingga dirasakan cukup menyesak dada.
          Jantungnya seakan terhenti berdegup seketika. Lidah kelu tidak mampu berbicara. Kelopak mata tidak dapat dikerdip. Pandangannya tertumpu pada seraut wajah tampan yang selama ini tersimpan kemas dalam memori fikirannya. Wajah yang sentiasa muncul dalam mimpi manisnya, membuatkan tidur cukup lena hingga ke pagi.
          Beberapa ketika berlalu dan jantungnya kembali berdegup tetapi rentaknya tidak sekata. Ada semacam hiba yang menghujani hatinya. Lebat. Mungkin akan dilanda banjir duka jika tidak dapat dikawal. Duhai hati tenanglah, tenanglah...
          “Awa...”
          Gemersik suara itu menyapa pendengaran. Suara yang sentiasa memberi semangat untuknya meniti hari-hari yang suram. Suara yang seringkali menceriakan hidupnya. Suara yang ditunggu-tunggu saban hari untuk dijamah telinganya.
          “Maafkan Nain...”
          Tenanglah hati, tenanglah... Tuhan, berilah dia kekuatan untuk mengatasi rasa lukanya kala ini. Biar dia tampak tabah di hadapan pemuda ini. Biar dia tampak kuat di mata lelaki bernama Zulkarnain ini.
          Perlahan-lahan dia menarik nafas lalu menghembusnya juga perlahan-lahan. “Tak ada apa yang perlu dimaafkan awak. Saya faham...” ujarnya, cuba menutup kecewa yang menyelubungi dada.
          “Terima kasih sebab memahami. Bukan Nain tak suka pada Awa tapi suka Nain tu hanya sebagai kawan. Lagipun, Nain yakin, ada yang lebih layak dari Nain untuk gadis sebaik Awa,” balas Zulkarnain, dalam senyuman.
        Adhwa membalas senyuman tersebut tetapi dirasakan senyumannya tidak semanis pemuda itu. Senyuman yang lahir dari hati yang luka, masakan manis seperti madu. Ya, hatinya luka. Pedih dan perit. Namun siapalah dia untuk memaksa pemuda itu menerimanya. Cinta secara paksaan tidak akan membuahkan bahagia. Perasaan cinta itu haruslah terbit dari dua hati yang saling menerima dan memahami. Jika hanya sebelah pihak sahaja yang merasai cinta, ia masih belum cukup untuk menghadirkan bahagia.
          “Tapi Nain, awak... dah ada orang yang awak suka?” Adhwa menyoal, meminta kepastian.
          Zulkarnain diam sebentar. Raut wajah mulus di hadapannya ditatap sekilas. Adhwa gadis yang ayu parasnya. Susuk tubuhnya kecil sahaja. Comel seperti remaja belasan tahun. Walaupun begitu, fikirannya sangat matang. Seorang gadis lincah dan kuat semangat. Tapi sayang, tiada rasa cinta yang menyapa hati untuk gadis itu. Mungkin, dirinya masih belum bersedia dengan apa-apa komitmen lagi.
          “Setakat ni belum. Nain bukan apa. Nain takut tak dapat beri komitmen sebab sibuk dengan sukan dan pelajaran. Awa sendiri faham, kan? Nain bimbang kalau girlfriend Nain tak dapat catch-up dengan hubungan kami nanti sebab tak faham minat Nain,” panjang penjelasan Zulkarnain.
          Tiba-tiba Adhwa ketawa kecil. Ketawa yang membuatkan Zulkarnain bingung. Adakah kata-katanya tadi kedengaran lucu pada gadis berblaus hijau muda dengan tudung rona krim itu?
          “Kenapa gelak?”
          “Maaf, saya tak bermaksud nak gelak. Cuma saya rasa gembira bila awak kata awak belum berpunya. Bermakna, saya masih punya peluang untuk menambat hati awak. Terima kasih Nain, saya tak akan putus asa!” ujar Adhwa seraya bingkas bangun dan berlalu meninggalkan Zulkarnain terpinga-pinga.


“MACAM mana sesi luahan hati kau? Kalau tengok dari riak muka, confirm kena reject, kan?”
Pertanyaan yang muncul secara tiba-tiba itu sedikit mengejutkan Adhwa lantas membuatkan dia mendongak. Wajah Qayyum yang tersengih menghiasi ruang mata. Adhwa menjeling lalu kembali fokus pada buku teks mengenai sejarah muzik di hadapannya.
“Diam tu maknanya betullah. Hah, kan aku dah kata, kau bukan taste mamat tu. Tapi kau degil, tak nak dengar cakap aku. Sekarang, sapa yang frust menonggeng? Mamat tu, sebelah mata pun belum tentu pandang kau lagi. Kau tu yang mengada-ngada nak luahkan perasaan. Konon nak cabar diri. Hah, apa...”
“Wei, chop! Chop! Ini sudah lebih... yang kau membebel tak tentu pasal macam mak nenek ni kenapa? Dahlah aku tengah moody ni, kau lagi nak sakitkan hati aku. Sebelum buku sejarah ni jadi lauk makan tengah hari kau, baik kau cabut sekarang!” suara Adhwa sudah naik satu oktaf, sedikit tinggi.
Qayyum tersengih lagi. Dia segera melabuhkan punggung di kerusi kayu berbentuk bulat, berhadapan dengan gadis berhidung sedikit mancung itu. Seketika, matanya meliar, memerhati sekeliling. Lima buah wakaf kecil yang dibina dalam taman mini itu semuanya berpenghuni. Kini, pandangannya kembali fokus pada gadis bertudung rona krim yang pura-pura tekun membelek helaian buku di hadapannya itu.
“Rilekslah... So, sekarang kau tentu faham apa yang aku rasa waktu kau tolak cinta aku dulu, kan?”
Adhwa tersentak. Dia tidak mampu mengangkat wajah. Kata-kata lelaki berkemeja corak kotak-kotak itu terlalu tepat menikam jantungnya. Ah, kenapa perlu diselak semula kenangan lalu? Apakah Qayyum sengaja menyindirnya? Sengaja mahu dia berasa serba-salah?
“Kenapa diam? Hei, aku main-main aje. Benda lama, aku tak hairan dah. Saja nak test kau,” sambung Qayyum apabila tiada bicara yang meniti dari bibir gadis tersebut.
Keheningan mula bermaharajalela antara mereka. Masing-masing melayan perasan sendiri. Pandangan Qayyum sejak tadi tidak lepas dari wajah gadis yang pernah bertakhta di hatinya dulu. Malah, masih lagi menjadi satu-satunya gadis yang mendapat tempat di hati kala ini.
Jelas kelihatan mendung yang berarak di pelupuk mata gadis itu. Dia tahu bukan sedikit rasa kecewa yang Adhwa hadapi. Cinta yang bertepuk sebelah tangan, sakitnya sukar digambarkan. Dan dia sangat faham akan rasa itu. Kerana cintanya sendiri ditolak mentah-mentah oleh gadis di hadapannya ini.
“Qayyum...” suara Adhwa tiba-tiba setelah agak lama membisu.
“Ya?”
“Kenapa ya aku masih berharap yang dia akan jadi milik aku?” tanya Adhwa, sayu.
“Samalah macam aku masih berharap pada kau.”
Stop it Qayyum! Aku serius!”
“Ya, aku pun serius. Dia dah tolak cinta kau, tak salah, kan kalau kau terima aku?”
Adhwa terpempan lantas mengangkat kepala, tajam menikam wajah Qayyum. Biar betul lelaki di hadapannya ini? Kenapa masih ditunggu dirinya? Ah, bukankah sama yang dia juga masih menunggu Zulkarnain walau terang-terangan lelaki itu tidak menyintainya?
“Cinta tak datang semudah itu Yum...”
“Tapi ia boleh dipupuk, bukan?”
“Masalahnya hubungan kita tak mungkin ke arah tu. Kita dah rapat sejak kecil lagi. Kau dah macam abang pada aku,” jelas Adhwa.
“Tapi aku tak nak jadi abang pada kau. Aku nak jadi teman lelaki kau. Susah sangat ke nak faham?”
“Dan susah juga ke kau nak faham bahawa aku tak sukakan kau? Tak pernah!” tegas Adhwa.
Suasana kembali hening. Adhwa dapat rasakan aura kemarahan yang berlegar di sekitar Qayyum. Mungkin lelaki itu terasa dengan kata-katanya tadi. Ah, pedulikan! Dia hanya menyatakan kebenaran. Memang lelaki itu tidak pernah mampu menghadirkan rasa cinta dalam hatinya.
Ya, dia sayangkan lelaki itu. Tetapi bukan sayang sebagai kekasih. Dia hormatkan Qayyum sebagai abang kerana lelaki itu tua setahun darinya. Sementelah dia memang dilahirkan tunggal dalam keluarga. Memang pada Qayyum dia menumpang kasih. Kasih adik pada seorang abang. Tidak lebih dari itu. Tidak pernah.
“Aku akan terus tunggu kau,” ucap Qayyum, memecah sunyi.
“Jangan! Kau dah tahu jawapan aku awal-awal lagi...”
“Walau apa pun jawapannya, aku akan tetap tunggu.”
Adhwa melepaskan keluhan berat. “Terpulanglah Yum. Cinta dalam hati aku hanya untuk Nain. Tak semudah itu aku serahkan pada lelaki lain.”
Mendengarkan kata-kata Adhwa tadi, Qayyum bingkas bangun. Tanpa sepatah kata, dia berlalu meninggalkan Adhwa terpinga-pinga. Baru beberapa tapak dia melangkah, tubuhnya dipalingkan ke belakang.
“Aku akan tetap tunggu...” ucap Qayyum lalu menyambung semula langkahnya.
Adhwa yang mendengar melepaskan keluhan lagi. Hatinya rawan.

2 ulasan :

ida berkata...

awal2 lg dah konflik ni. best3x..

Rizai Reeani berkata...

ida: Sesekali buat cerita yang bermula dari konflik. Mahu bereksperimen. :)