Sepatah Dua Kata

Ahad, Disember 11, 2011

Tercipta Untukku - Ceritera 02



MALAM itu langit tidak diserikan dengan kerdipan bintang. Bagai tahu hatinya yang sedang berduka. Bintang-bintang yang selalu dijadikan peneman sunyi. Bintang-bintang yang sentiasa setia mendengar luahan jiwanya. Namun malam ini, bintang-bintang bagai malu-malu bersembunyi di balik awan hitam. Pekat dan gelap.
          Adhwa menarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Sejak kebelakangan ini dia banyak mengeluh. Keluhan yang lahir dari kemelut cinta. Ini adalah kali pertama dia meluahkan perasaan cinta pada seseorang. Sungguh diharapkan pengakhiran luahan hatinya itu menghadirkan bahagia tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Benarlah, tak semua yang kita inginkan akan dapat dicapai. Apatah lagi soal hati dan perasaan kerana kedua-duanya sama kompleks.
          Matanya dipejamkan. Wajah kawan sepermainannya sejak kecil muncul di fikiran. Ikatan persahabatannya dengan lelaki itu sudah terjalin sejak dia berada dalam darjah tiga lagi. Kebetulan mereka berjiran sewaktu dia dan keluarga berpindah ke bandar Seremban. Qayyum yang setahun lebih tua darinya diberi tanggungjawab oleh ayah dan ibunya untuk menjaga dan melindunginya ketika di sekolah.
Dia dan Qayyum bagai isi dengan kuku. Di mana ada dia, di situ jugalah ada Qayyum. Pada Adhwa, dia menganggap Qayyum tidak lebih dari seorang abang. Tetapi lelaki itu tidak menerimanya sebagai adik. Masih Adhwa ingat ketika dia berada di dalam tingkatan empat dan Qayyum dalam tingkatan lima. Sehari sebelum peperiksaan SPM, lelaki itu telah meluahkan perasaan sayang pada dirinya. Tidak dapat digambarkan betapa terkejutnya dia. Iyalah, lelaki yang sudah dianggap seperti seorang abang, menyimpan perasaan suka terhadapnya.
Luahan hati Qayyum dipertimbangkan selama hampir dua minggu. Menimbal dan menyelam ke dasar hati sendiri. Sayang pada lelaki itu adalah sayang seorang adik kepada abang. Tidak lebih dari itu. Dia yakin, itulah yang dirasakannya. Lalu, disuarakan rasa hati pada Qayyum setelah lelaki itu tamat menduduki peperiksaan. Sengaja tidak mahu menganggu tumpuan Qayyum pada peperiksaan besar sebegitu.
Dengan sedikit gementar, dia menolak hasrat hati Qayyum. Walau berat lidahnya mahu menuturkan, tetapi dia harus gagahkan juga supaya lelaki itu jelas akan perasaan hatinya sendiri. Apatah lagi dirasakan dia masih terlalu awal untuk melangkah ke dunia percintaan sementelah dia masih berumur 16 tahun. Masih terlalu muda untuk bercinta, fikirnya. Ya, tidak dinafikan ada segelintir kawan-kawan sekelasnya yang asyik dilamun cinta tetapi dia tetap rasakan belum tiba masanya untuk dia menempuh alam percintaan.
Qayyum menerima keputusannya dengan hati yang terbuka. Walau terpancar riak kecewa dari wajah lelaki itu, dia tahu, Qayyum seorang yang tabah. Sekejap sahaja masa yang boleh diambil untuk mengubat luka. Tetapi lelaki itu tetap menyatakan bahawa akan menunggu dirinya sehingga dia benar-benar telah bersedia.
Bunyi keriuk daun pintu menganggu lamunan Adhwa. Dia berpaling dan wajah teman sebiliknya kelihatan. Di tangan kiri gadis itu ada sebungkus plastik merah sementara tangan kanannya memegang kemas beberapa buah buku kecil dan fail.
“Baru habis kelas?” tanya Adhwa, sekadar berbasa-basi.
“Taklah, baru habis menoreh. Kau ni, macamlah tak tahu hari Selasa kelas aku sampai malam,” perli Faridah, gadis seusianya yang mengambil jurusan perakaunan.
“Amboi, orang tanya pun salah.”
“Tak salah tapi soalan kau tu tak boleh diterima. Cubalah tanya aku ni dah makan ke belum, kan lebih afdal,”  balas Faridah sambil meletakkan fail dan buku-buku yang dipegangnya ke atas katil lalu melabuhkan punggung di situ.
“Yalah, orang tanya sepatah, berpuluh patah dijawabnya. Dah, baik kau pergi mandi. Berbau sampai sini tau,” Adhwa mengusik kawannya itu.
“Banyaklah kau punya bau. Satu botol perfume aku spray setiap hari Selasa tau sebab nak maintain kewangian badan aku ni. Maklumlah, kelas dari pagi sampai malam. Hah, tadi aku jumpa Qayyum. Dia bagi kau ni,” ujar Faridah sambil mengunjukkan bungkusan plastik di tangan kirinya tadi.  
“Apa tu?”
“Entah, aku tak tanya pun. Tapi bau macam mee gorang. Untung kau, ada orang ambil berat selalu. Aku ni, entah bilalah nak dapat semua ni,” rungut Faridah.
Adhwa hanya tersengih. Faridah bila dah bersuara, tak tahu nak berhenti. Selagi dia tak tidur, selagi itulah mulutnya macam bertih jagung. Ada saja benda yang nak dibualkan. Kadangkala, kalau tak disuruh berhenti, selagi itulah dia akan menceceh mengalahkan murai tercabut ekor.
Faridah bangun dari duduk lalu berjalan ke arah meja tulis di tepi tingkap, tempat Adhwa sedang duduk mengambil angin malam. Bungkusan plastik tadi diserahkan pada teman sebiliknya yang sudah pun memakai baju tidur. Adhwa menyambut lemah lalu diletakkan bungkusan plastik itu ke tepi.
“Tak buka tengok?” tanya Faridah.
“Kejap lagilah. Terima kasih ya.”
          “Kau dah makan belum?”
          Adhwa hanya menggeleng sebagai jawapan pertanyaan Faridah. Seleranya terbang entah ke mana sejak petang tadi. Sejak perasaan hatinya ditolak oleh Zulkarnain. Betul kata orang, kalau angau tu, mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pun tak lena. Tapi, dia bukan angau. Dia terluka. Sangat terluka.
          “Nanti makanlah. Membazir pula makanan si Qayyum beli tu. Okeylah, aku nak pergi mandi. Kalau telefon aku tu berbunyi, kau angkat ajalah ya. Kakak aku ada mesej petang tadi kata nak call malam ni,” sempat Faridah berpesan sebelum mengambil tuala dan baldi kecil berisi peralatan mandinya dan melangkah keluar.
          Bungkusan plastik tersebut dipandang lesu lalu dicapai perlahan. Bekas polistrin di dalamnya dibuka. Tepat telahan Faridah tadi. Mee goreng hailam kegemarannya masih panas lagi di dalam bekas polistrin tersebut. Sekali lagi dia mengeluh. Qayyum masih setia mengambil berat akan dirinya. Lelaki itu tidak jemu menanti. Sudah dinyatakan supaya berhenti menunggu tetapi lelaki itu tetap dengan kedegilannya.
          Bekas polistrin ditutup semula. Pandangannya dihalakan kembali pada langit malam yang hitam. Wajah Qayyum muncul lagi. Tanpa dijangka, selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran di universiti yang sama dengan Qayyum. Mujurlah jurusan yang diambil berbeza. Lelaki itu merupakan senior Faridah sementara dia mengambil jurusan muzik.
Mulanya dia ingin menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu bersua-muka dengan lelaki itu tetapi mengenangkan harapan ayah dan emak yang ingin melihat dia ke menara gading, membuatkan dia terpaksa menguatkan hati dan perasaan. Qayyum adalah orang yang paling gembira apabila mengetahui khabar yang dia akan belajar di universiti yang sama dengannya. Wajarlah lelaki itu gembira kerana perkara yang terjadi seakan memberi peluang untuk lelaki itu menambat hatinya.
“Inilah namanya jodoh Awa. Satu petunjuk supaya kau terima hasrat hati aku.”
Itulah kata-kata Qayyum ketika hari pertama dia menjalani orientasi di universiti tersebut. Sayang, harapan lelaki itu hanya tinggal harapan. Baru seminggu berada di alam pengajian tinggi, hatinya sudah disapa angin cinta. Wajah Qayyum menghilang dan diganti dengan seraut wajah yang sentiasa dirindui. Zulkarnain.
Kali pertama melihat wajah itu ketika minggu orientasi, jiwanya bergetar hebat. Menatap wajah cerah itu menjadikannya seakan terpesona. Mata lelaki itu sepet sedikit tetapi keningnya tebal. Hidung lelaki itu mancung bak seludang dan bibirnya mungil, merah jambu warnanya. Bentuk mukanya bujur sirih dengan rambut pendek, sedikit spiky.
Dan apabila pandangan mata mereka bertemu, terasa jantung bekerja sepuluh kali ganda lebih pantas dari biasa. Berpeluh dahinya. Segera dipalingkan wajah, malu. Dan tanpa diduga, mereka berada di dalam kelas yang sama. Pada Adhwa, inilah baru yang dikatakan jodoh. Satu petunjuk bahawa lelaki itu adalah putera impiannya.
Mulanya dia tidak berani mahu menegur Zulkarnain kerana lelaki itu tampak serius dan dingin. Sehinggalah mereka diminta membuat tugasan kuliah secara berkumpulan, barulah kedua-duanya bertegur sapa. Ternyata, Zulkarnain agak ramah orangnya cuma lelaki itu agak serius. Orang kata nampak cool.
Menginjak ke semester kedua, Zulkarnain mula dikenali ramai kerana penglibatannya dalam sukan tenis. Lelaki itu telah terpilih untuk mewakili universiti dalam pertandingan sukan tersebut. Populariti Zulkarnain semakin melonjak apabila lelaki itu dilantik menjadi Biro Sukan dalam Majlis Perwakilan Pelajar universiti.
Dengan raut wajah yang tampan, susuk tubuh yang tinggi dan tegap, hati perempuan mana yang tidak cair. Walau jarang tersenyum, Zulkarnain tetap nampak segak dan berkarisma. Dan dia berasa bertuah kerana lelaki itu begitu dekat dengannya hampir setiap hari. Mungkin kerana mereka pernah berkerjasama di dalam satu kumpulan, Zulkarnain sentiasa menjadikannya sebagai pusat rujukan andai ada perkara yang tidak difahami di dalam kelas. Dan dia akan mengambil peluang tersebut untuk menatap wajah itu sepuasnya.
Akibat tidak mampu menahan gelora yang melanda jiwa, dia akhirnya mengambil keputusan untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati pada lelaki itu. Sebelum menyatakan hasrat hatinya, dia telah meminta padangan Qayyum. Lelaki itu dengan selamba mengatakan bahawa dirinya akan ditolak. Seolah-olah dia tidak layak berdampingan dengan mana-mana lelaki kecuali Qayyum.
Ternyata, anggapan Qayyum benar. Cintanya pada Zulkarnain bertepuk sebelah tangan. Namun dia tidak kesal. Sekurang-kurangnya Zulkarnain tahu perasaan hatinya dan mungkin lelaki itu akan lebih menghargainya kelak.
Bunyi deringan telefon bimbit menjerit nyaring. Adhwa bingkas bangun lalu mencapai telefon bimbit pemberian ayahnya sempena keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM lalu. Melihat nama yang tertera di skrin, tangannya menggigil. Zulkarnain?

2 ulasan :

alya berkata...

wargh, suke buat ending tgantung cam tu. cpat sambung!

Rizai Reeani berkata...

alya: Hehehe... Buat masa ni sedikit sibuk. Insha-Allah, akan sambung tak lama lagi. Terima kasih sudi singgah membaca. :)