Sepatah Dua Kata

Khamis, Januari 26, 2012

Cerpen: Biarku Sentuh Cintamu



“MAAF, saya tak dapat terima hasrat hati awak,” ujar Izdihar seraya memandang wajah gadis di hadapannya.
Mazlina tersenyum tawar. Walau terkilan, hatinya lapang. Sekurang-kurangnya bebanan perasaan yang membelenggu jiwa sekian lama sudah dileraikan.
“Saya harap awak faham,” tambah Izdihar lagi.
Mazlina sekadar mengangguk. Ternyata, lelaki yang saban hari menemani lenanya tidak dapat terus menghuni di hati lagi. Lelaki itu bukan miliknya. Seperti kata Izdihar, dia harus faham.
“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,” ujar Izdihar lalu melangkah meninggalkan Mazlina keseorangan di taman mini sekolah berhampiran dengan makmal sains itu.
Serentak, loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Mazlina berjalan perlahan menuju ke kelasnya di Blok B, di tingkat dua. Ketibaannya disedari oleh rakan baiknya, Yusra yang sejak tadi menanti dengan penuh debar. Yusra tahu Mazlina akan meluahkan perasaan hatinya pada Izdihar hari ini. Namun, melihat wajah Mazlina yang muram, Yusra seakan mengerti apa yang telah terjadi.
“Macam mana?” soal Yusra walau dia sudah dapat mengagak jawapan yang akan keluar dari bibir kawan baiknya itu.
Mazlina mengukir senyum namun riak duka di wajahnya tetap tidak mampu diselindung. Kepalanya digelengkan ke kiri dan ke kanan beberapa kali.
“Eii... aku tak fahamlah dengan Izdihar tu! Dah banyak kali dia reject perasaan gadis-gadis yang menyukai dia. Apa, dia tu gay ke?” rungut Yusra.
Mazlina tergelak kecil. Andaian Yusra sedikit mencuit hatinya.
“Tak apalah Yus, mungkin dia sudah ada yang punya. Hati dia, siapalah kita untuk meneka,” ujar Mazlina.
“Ha’ah, betul juga tu. Tapi, mustahillah! Kau kan tahu, dia tu banyak peminat tapi sorang pun tak melekat. Entah perempuan macam manalah yang jadi idaman dia agaknya?” ujar Yusra.
“Perempuan macam kaulah,” sampuk Arifah tiba-tiba.
Yusra yang mendengar menyeringai. Mazlina tergelak lagi. Arifah duduk di atas meja Mazlina. Dia yang sememangnya terkenal di dalam kelas dengan gelaran Melodi SDASA, singkatan bagi Sekolah Menengah Tinggi Datuk Haji Abdul Samad, mula mencari berita. Kadangkala, Yusra mahupun Mazlina hairan dari mana Arifah tahu segala berita yang berlaku di sekolah itu. Tidak dinafikan, telinga dan mata gadis itu memang tajam. Kata orang cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar. Oleh sebab itu, bila Arifah berada berhampiran, janganlah dibuka cerita apa-apa. Pasti esoknya, seluruh sekolah akan tahu.
“Mana Cikgu Robaitul tak sampai-sampai lagi ni?” Arifah merungut.
“Kejap lagi sampailah tu. Eh, tak ada gosip baru ke Ifah?” soal Mazlina.
“Tak adalah Lina. Entah kenapa sejak dua menjak ni ramai yang jadi baik. Macam tagline Melodi tu, kurangkan kontroversi, tingkatkan produktiviti,” balas Arifah.
Sebaik sahaja Arifah menghabiskan kata, Izdihar melangkah masuk ke dalam kelas bersama-sama dua orang rakannya. Mazlina menundukkan wajah. Rasa malu masih berbekas di hatinya. Dia sendiri tidak mengerti, mengapa lelaki itu yang jadi pilihan. Memang tidak dinafikan, Izdihar persis lelaki idaman setiap gadis. Tubuhnya tegap dan tinggi. Wajahnya juga kacak. Anak kacukan Cina di sebelah ibunya itu memang sekali pandang seperti orang Cina. Matanya yang sepet dengan kulit yang putih kuning, ditambah dengan rambut yang pendek tetapi tebal itu, membuatkan hati yang memandang berkocak. Tidak banyak, sedikit mesti ada. Apatah lagi apabila melihat bibir merah itu menguntum senyum. Hati yang hangat pasti segera reda.
“Ehem, hidung aku ni mengesan sesuatu yang luarbiasa. Lina, baik kau cakap, kenapa kau terus diam bila lelaki idaman Malaya tu masuk?” duga Arifah.
“Ish, kau ni... apa salahnya Lina diam. Dah dia nak diam, biarlah dia,” Yusra segera bersuara bagi menutup perihal tentang Mazlina.
“Oi, cik kak, aku tak tanya kau. Sejak bila kau jadi PA si Lina ni? Hah! Jangan-jangan kau ada hati dengan si Izdihar tu ya Lina?” serkap Arifah.
Mazlina masih menundukkan wajah, tidak berani bertentang mata dengan Arifah. Ternyata telahan Arifah benar namun masakan dia mahu mengkhabarkan pada gadis itu tentang perasaan hatinya yang telah ditolak mentah-mentah oleh Izdihar. Tidak sanggup dia menanggung malu andai hal itu diketahui oleh seluruh warga sekolah SDASA.
“Orang tua-tua cakap, kalau diam tu, tandanya betul. Ala, aku tak hairan kalau kau jatuh hati kat dia. Aku pun ada juga terasa jatuh hati kat dia sekejap tapi kau tahu, siapalah aku ni jika nak dibandingkan dengan dia yang jadi kegilaan semua gadis kat sekolah. Setakat taraf ‘minah kilang’ macam kita ni, sebelah mata pun dia tak pandang,” bicara Arifah.
Mazlina tersentak. Kata-kata Arifah seakan menghiris hatinya. Benar, dia terlalu jauh berharap. Niat hati ingin menggapai bintang tapi sayang tangan tak sampai. Terlalu jauh bezanya antara dia dan Izdihar. Dia harus sedar sejak dari mula, Izdihar itu pujaan semua gadis sedangkan dia, hanya seorang perempuan yang biasa parasnya.
Namun, perasaan hati, siapalah yang dapat menghalang. Cinta itu datang tanpa dipinta namun untuk melepaskannya pergi, ia mengambil masa.
“Apa dia Ifah? Minah kilang? Oi, minah kilang pun manusia, ada hati, ada perasaan. Kau ni cakap tak berlapik,” bantah Yusra.
“Memanglah, aku faham. Maksud aku, sapalah yang nak pandang gadis biasa macam kita ni. lainlah kalau kita ni anak raja ke, pelakon fofular ke, model macam Tyra Banks tu ke, tak apa juga,” bidas Arifah semula.
Para pelajar mula kembali ke tempat masing-masing tatkala Cikgu Robaitul yang mengajar matapelajaran Kimia melangkah masuk ke dalam kelas. Yusra melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan Izdihar. Wajah Izdihar dipandang sekilas sebelum menumpukan perhatian pada guru yang berkebaya biru laut dengan corak awan larat di hadapan kelas.
Ketika sedang asyik menyalin formula-formula kimia yang dicatit di atas papan hitam, Yusra menerima sehelai kertas kecil dari Izdihar yang duduk di sebelahnya. Pantas Yusra membaca bait-bait ayat yang ditulis.

‘Lina okey?’

Yusra tersenyum. Prihatin juga lelaki ini. Lantas dia segera membalas di dalam kertas yang sama.

‘Lina okey. Dia tak apa-apa. Kenapa tolak cinta dia? Lina tu punyalah baik. Sopan, ayu, berbudi bahasa, perempuan Melayu terakhirlah katakan. Mata awak ni rabun apa?’

Kertas putih itu diserahkan pada Izdihar selepas selesai menulis. Dilihat Izdihar juga tersenyum. Dia kembali menulis di atas kertas tersebut, membalas semula apa yang Yusra coretkan tadi. Beberapa saat kemudian, Yusra menerima kertas itu semula.

‘Cinta tak boleh dipaksa. Hati saya bukan miliknya. Saya sudah punya pilihan hati sendiri,’

Yusra mengangkat kening setelah membaca kata-kata yang Izdihar tuliskan di dalam kertas tersebut. Rupanya ada gadis lain yang sudah mencuri hati lelaki itu. Siapalah gadis yang bertuah itu agaknya? Lantas, Yusra menulis, bertanyakan apa yang terbuku di fikiran.

‘Iya? Saya tak tahu pun... siapa gadis yang bertuah tu?’

Izdihar mengukir senyuman lebar membaca pertanyaan Yusra. Kali ini Yusra perasan hatinya diterpa sesuatu. Senyuman Izdihar menghadirkan debar dan terasa darah mengalir laju menyelubungi wajahnya.

‘Gadis bertuah tu... awaklah, Yusra Abdul Latiff’

Yusra membulatkan matanya tatkala membaca tulisan tangan Izdihar di atas kertas tadi. Serentak dengan itu dia bangun lalu menekup mulut. Perlakuannya menarik perhatian semua yang ada di dalam kelas.
“Kenapa Yusra?” tanya Cikgu Robaitul.
“Hah? Er... er... saya nak ke tandas sebentar,” jawab Yusra lalu segera melangkah keluar dari kelas.
Dia sempat memandang wajah Mazlina sebelum mengalihkan pandangan pada wajah Izdihar yang tiada riak. Kosong...

*  *  *  *  *

PULANG ke rumah, Yusra terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk yang ditabiri cadar corak Hello Kitty. Peristiwa yang berlaku di sekolah tadi benar-benar merunsingkan hatinya. Apa dia hanya bermimpi atau kata-kata Izdihar itu satu realiti? Selepas pulang dari tandas, dia terus duduk di kerusi tanpa sekali pun memandang wajah Izdihar. Dia segan sebenarnya. Selebihnya dia takut. Takut apa pula kata Mazlina jika dia tahu Izdihar menyukainya. Ah, entah-entah lelaki itu hanya bergurau. Eii... malunya! Perasan betul aku ni! Yusra kembali bersemangat semula. Ingat Yusra, lelaki itu hanya bergurau. Bergurau! Yusra menyedapkan hati.
“Yus! Ada kawan kamu cari ni!” laung Puan Maria, ibunya dari tingkat bawah.
“Baik ibu!” sahut Yusra seraya berlari anak ke jendela, melihat gerangan kawan yang dikatakan ibunya itu.
Sekali lagi mata Yusra membulat. Bagai tidak percaya melihat sekujur tubuh yang sedang menanti di atas motosikal Yamaha Rxz rona hitam itu. Nampaknya lelaki itu tidak bergurau. Pantas, Yusra mengenakan semula tudung yang dibuka tadi. Seragam sekolahnya masih belum berganti. Apa tujuan lelaki itu datang walhal waktu persekolahan baru sahaja habis? Tidak sempat dia hendak melepaskan penat.
Yusra menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Ibunya yang sedang menonton drama di televisyen melemparkan senyum. Yusra menjungkit bahu sambil menggelengkan kepala, mengerti apa yang tersirat di fikiran ibunya. Yusra menarik nafas dalam-dalam lalu menghembuskannya perlahan-lahan sebelum membuka pintu. Dia amat berharap gemuruh yang melanda hati segera berlalu pergi.
“Assalammualaikum. Ada apa hajat datang ke mari?” Yusra bertanya sejurus tiba di hadapan Izdihar yang memakirkan motosikal di hadapan pintu pagar rumahnya yang bercat biru itu.
“Kita perlu berbincang. Mari, kita duduk di situ,” ajak Izdihar seraya menunjuk pada bangku kayu di bawah pokok mangga yang rendang di hadapan rumah Yusra itu.
Yusra membuka pintu pagar lalu membuntuti langkah Izdihar. Mereka mengambil tempat di atas bangku kayu tersebut. Seboleh mungkin Yusra berharap yang berada di sebelahnya sekarang bukan Izdihar kerana debaran di dalam dada semakin memuncak membuatkan hatinya seakan mahu pecah.
“Er...” serentak kedua-duanya bersuara.
“Awaklah cakap dulu,” sekali lagi mereka bersuara serentak.
Diam. Hanya bunyi desiran angin yang kedengaran meliuk-lintuk dedaun mangga. Cahaya mentari petang itu tidak begitu terik seperti biasa. Mungkin kerana banyak gumpalan awan yang terbentuk di langit biru sekaligus melindungi sinaran mentari dari menerobos ke lantai bumi.
“Tadi tu, awak bergurau, kan?” akhirnya Yusra membuka bicara.
“Saya serius,” balas Izdihar.
“Saya rasa awak sengaja nak mengusik saya. Izdihar, kalau nak kenakan saya pun, janganlah macam ni,” balas Yusra.
“Saya serius,” ujar Izdihar lagi.
“Izdihar, awak...”
“Saya serius Yusra. Saya sukakan awak,” ucap Izdihar membuatkan Yusra terkedu.
“Ta... tapi... kenapa saya? Apa yang ada pada saya yang membuatkan awak menyukai saya?” soal Yusra.
“Senyuman awak. Senyuman awak sudah cukup memberi saya semangat untuk terus berdiri dan melangkah,” jawab Izdihar.
Yusra memberanikan diri bertentang mata dengan lelaki di sebelahnya. Benar, ada sinar cinta yang bergemerlapan di dalam anak mata lelaki itu. Namun, jauh di dasar hati, Yusra tahu, lelaki itu tidak mungkin akan jadi miliknya.
“Maaf, saya hargai perasaan awak tapi saya tak dapat menerimanya,” luah Yusra.
Izdihar tersentak. Benarkah apa yang menampar pendengarannya? Yusra menolak perasaan hatinya? Mustahil! Bukankah Yusra tahu yang selama ini gadis-gadis di sekolah sanggup beratur untuk bertemu janji dengannya? Bukankah Yusra tahu yang selama ini gadis-gadis di sekolah sanggup bergaduh semata-mata untuk bercakap dengannya? Bukankah Yusra tahu yang selama ini gadis-gadis di sekolah sanggup ponteng kelas semata-mata untuk melihatnya bermain bola ketika waktu pendidikan jasmani? Justeru, tidakkan Yusra rasa bertuah bahawa dalam kebanyakan gadis di sekolah, dia yang menjadi pilihan?
“Kenapa? Sebab Lina?” telah Izdihar.
Yusra mengeluh perlahan. Kemudian, kepalanya digelengkan. Terus-terang, pintu hatinya sudah lama dikunci rapat dari membiarkan cinta hadir mengetuknya. Cukuplah sekali dia rasa betapa manis dan pahitnya menyintai dan dicintai. Lagipun, cintanya sudah dimiliki. Milik seorang lelaki yang ternyata dicintai setulus hati.
“Jadi, kalau bukan sebab Lina, kenapa awak tak boleh terima saya?” Izdihar bertanya.
“Saya minta maaf. Awak tak akan faham...” ujar Yusra.
“Macam mana saya nak faham kalau awak tak terangkan pada saya?”
“Cukuplah awak tahu yang hati saya sudah pun dimiliki,” beritahu Yusra.
Sekali lagi Izdihar tersentak. Yusra sudah dimilik? Bila? Siapa? Perlahan-lahan, dia melepaskan keluhan. Kedengaran berat pada pendengaran Yusra.
“Boleh saya tahu siapa lelaki yang telah mencuri hati awak?”
“Amir... Badrishameeir. Seorang rakan lama,” jawab Yusra.
Sudah lama nama itu tidak meniti dibibirnya. Nama yang telah mengajarnya erti menyayangi dan disayangi. Nama yang banyak menghadirkan gembira dan tidak kurang juga duka.
“Awak menyintainya?” duga Izdihar.
“Sudah tentu. Dialah cinta pertama saya. Satu-satunya lelaki yang bertakhta di hati,” penuh yakin Yusra menjawab pertanyaan Izdihar tadi.
Izdihar mengeluh sekali lagi. Nampaknya dia telah tersilap membuat taruhan. Baru sahaja dia ingin merasa manisnya cinta namun tidak kesampaian. Beginikah yang dirasai oleh gadis-gadis yang pernah ditolak hasrat hati olehnya? Terasa bagai disiat-siat. Pedih dan perit.
“Maaf, saya minta diri dulu. Jumpa di sekolah esok. Assalammualaikum,” ucap Yusra lalu melangkah pergi meninggalkan Izdihar keseorangan di bawah pohon mangga dengan luka di hati.

*  *  *  *  *

“AWAK penipu!” bentak Izdihar sewaktu para pelajar kelas 6A sedang berehat selama tiga puluh minit sebelum kelas yang seterusnya bermula.
Rata-rata yang berada di dalam kelas tersebut melopong. Tidak terkecuali Yusra. Apatah lagi kata-kata itu ditujukan padanya.
“Bertenang Izdihar... Kenapa ni?” ujar Yusra cuba mententeramkan Izdihar yang seakan mahu menerkamnya, rakus.
“Kenapa awak tipu saya?” soal Izdihar.
“Apa yang awak cakap ni?” Yusra bertanya tidak faham.
“Kenapa awak tipu saya?”
“Tipu apa ni?”
“Awak jatuh cinta pada lelaki yang dah tak ada!”
Dup! Yusra terkesima! Dari mana lelaki ini tahu tentang perkara itu? Pantas, anak matanya mencari kelibat Mazlina. Tajam wajah itu dipandangnya. Mazlina menundukkan wajah. Dia kesal kerana mengkhabarkan perkara itu pada Izdihar. Tidak sangka lelaki itu akan membuat kecoh begini.
“Apa yang awak dengar tu tak betul,” ujar Yusra, cuba bertenang.
“Masih nak berdalih? Yusra, terima hakikat bahawa lelaki yang awak cintai dah tak ada. Dia dah meninggal!” terang Izdihar.
“Izdihar!!!” suara Yusra melengking kuat.
Kelas terus jadi senyap-sunyi bagai baru dilanda tsunami. Hanya bunyi kipas yang menghantar kedinginan sahaja kedengaran. Kedinginan yang langsung tidak singgah di hati Yusra.
“Awak tak berhak nak masuk campur urusan hidup saya. Dengan siapa saya nak bercinta, itu hak saya! Awak siapa nak tentukan perasaan hati saya?” bentak Yusra.
“Tapi Yusra, awak kena faham. Lelaki yang awak cintai tu dah pergi selamanya. Sampai bila awak nak tutup pintu hati awak? Sampai bila?”
“Sampai saya mati! Puas hati awak! Sudah! Pergi mati dengan cinta awak tu! Saya hanya cintakan Amir! Hanya Amir! Faham!” tekad Yusra lalu melangkah pergi.
Suara orang berbisik-bisik mula kedengaran. Drama sebabak yang dipersembahkan di hadapan mereka sebentar tadi ternyata membuahkan pelbagai tanggapan dalam diri setiap individu. Mazlina segera bangun mengekori langkah kawan baiknya itu. Sungguh dia tidak pinta semua ini berlaku. Izdihar menendang kerusi di hadapannya. Kemudian, dia juga turut melangkah keluar.

*  *  *  *  *

“YUSRA! Tunggu!” laung Mazlina.
Yusra menghentikan langkahnya sejurus mendengar suara Mazlina. Dia terjelepok di atas tanah di taman mini berhampiran makmal sains. Air matanya masih belum berhenti mengalir. Sampai hati Izdihar. Lelaki itu tidak mengerti perasaan yang ditanggungnya. Lelaki itu tidak memahami beban yang digalasnya. Cintanya pada Amir tiada galang gantinya. Amirlah cinta pertamanya. Lelaki yang amat disayangi. Cuma, cinta mereka tidak bersatu ke jinjang pelamin. Amir telah pergi meninggalkannya keseorangan akibat kemalangan jalan raya sewaktu ingin bertandang ke rumah untuk menjemputnya meraikan hari jadi lelaki itu dua tahun yang lepas. Amir pergi meninggalkan kenangan manis yang tercipta sewaktu mereka bersama. Amir pergi meninggalkan cinta yang disulami duka dalam hatinya.
“Maafkan aku Yusra, maafkan aku!” rayu Mazlina.
“Kenapa? Kenapa kau beritahunya tentang Amir?”
“Dia datang berjumpaku malam tadi, bertanyakan tentang Amir. Aku sangka dia kenal Amir. Aku tak tahu dia cintakan kau. Sungguh aku tak tahu!” terang Mazlina.
“Apa yang perlu aku buat Lina? Apa yang perlu aku buat?” soal Yusra dalam tangis.
Mazlina membisu, Dia juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ada simpati yang menjalar dalam jiwanya melihat Yusra begitu. Dia tahu tentang perhubungan Yusra dan Amir. Dia tahu betapa Yusra menyintai Amir.
Mulanya dia memang terkejut apabila mengetahui yang Izdihar menyintai Yusra. Mungkin inilah masanya Yusra membuka semula pintu hatinya. Sampai bila dia ingin biarkan diri dibayangi kenangan silam yang memeritkan itu?

*  *  *  *  *

MALAM tidak dihiasi kerlipan bintang. Hanya sepoi-sepoi bayu yang berhembus, menerbangkan rambut Yusra yang lurus. Langit kosong, sekosong hatinya kala ini. Yusra mengalihkan pandangan pada sebuah bingkai gambar di tangan kanan. Gambar pujaan hati yang telah menyahut seruan Ilahi. Lelaki yang amat dirindui saban waktu. Amir tiga tahun lebih tua darinya, penuntut di salah sebuah univeristi di selatan tanah air dalam bidang kejuruteraan elektrik. Merupakan anak kepada Puan Aishah, jiran sebelah rumahnya. Sejak kecil lagi dia sudah mengenali Amir. Lelaki itu begitu mengambil berat akan dirinya. Berada di sisi lelaki itu, dia rasa selamat dan dilindungi. Namun, ternyata Tuhan lebih menyayangi lelaki itu.
Yusra kembali merenung langit malam. Kejadian yang berlaku siang tadi benar-benar menoreh semula bekas luka di hati. Sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran, dia duduk di meja belajar di sebelah Mazlina yang sememangnya kosong. Tidak sesaat pun anak matanya memandang wajah Izdihar. Hatinya sakit apabila Izdihar mengungkit perihal Amir. Teramat sakit.

“Tapi Yusra, awak kena faham. Lelaki yang awak cintai tu dah pergi selamanya. Sampai bila awak nak tutup pintu hati awak? Sampai bila?”

Seketika, kata-kata Izdihar singgah di benak mindanya. Dia sendiri tidak punya jawapan untuk itu. Yang pasti, dia masih belum bersedia untuk menerima orang lain sebagai pengganti Amir. Baginya, Amir terlalu berharga.
Bunyi enjin motosikal yang berhenti di hadapan rumah menganggu khayalan Yusra. Izdihar! Apalagi yang lelaki itu inginkan malam-malam begini? Yusra melihat jam di dinding. Pukul lapan tiga puluh minit. Belum sempat ibunya memanggil, Yusra sudah turun ke tingkat bawah. Dia ingin jelaskan segalanya pada Izdihar agar lelaki itu mengerti akan perasaan hatinya.
“Apa tujuan awak datang malam-malam buta ni?” terjah Yusra tanpa salam.
“Kita perlu berbincang,”
“Dah tak ada apa yang nak dibincangkan. Saya harap awak faham. Antara kita tak mungkin ada apa-apa hubungan,” jelas Yusra.
“Maafkan saya,” ucap Izdihar.
“Kenapa awak minta maaf?”
“Saya tahu saya dah lukakan hati awak. Saya tak bermaksud nak mengungkit tentang Amir. Saya cuma...”
“Cuma nak sakitkan hati saya? Cuma nak tuduh saya penipu? Begitu?” tingkah Yusra.
“Tak... Yusra, dengar dulu...”
“Sudahlah Izdihar. Saya harap awak faham. Saya masih belum bersedia,” ujar Yusra.
“Saya tetap akan tunggu,”
“Walaupun diakhirnya nanti, penantian awak hanya sia-sia? Awak tak kisah dikecewakan?” Yusra menyoal Izdihar.
“Saya yakin awak tetap jadi milik saya,” ujar Izdihar, tegas.
Yusra tersengih. Sinis pada pandangan Izdihar.
“Dari mana awak dapat keyakinan tu?”
“Saya yakin yang awak juga menyayangi saya,” jawab Izdihar.
Nonsense!
“Yusra...” ucap Izdihar sekaligus menerbitkan debar dalam hati Yusra.
Entah mengapa setiap kali lelaki itu menyebut namanya, dadanya akan bergetar hebat. Tidak dinafikan, ada ketikanya, perasaan ketika berada hampir dengan Izdihar, seakan sama ketika perasaannya berada di sisi Amir cuma Yusra tidak mahu mengakui hakikat itu.
“Saya faham perasaan dan cinta awak pada Amir. Cuma, yang telah pergi, biarlah dia pergi. Kita yang masih hidup perlu terus jalani kehidupan seperti biasa. Memang saya tidak mengenali Amir. Tapi saya yakin, dia juga tak mahu lihat awak menderita begini. Menutup pintu hati semata-mata kerana terlalu menyintai seseorang. Cinta pertama tak semestinya cinta terakhir Yusra,” panjang lebar bicara Izdihar.
Yusra menundukkan wajah. Kata-kata Izdihar menghadirkan sesuatu perasaan yang berbeza dalam jiwanya.
“Awak tak faham Izdihar...”
“Mengapa pilih untuk menderita sedangakan jalan menuju bahagia terbentang di depan mata? Awak boleh hidup dengan kenangan tetapi kenangan tidak akan berulang semula. Amir mengajar awak erti cinta dan saya akan biar awak merasai kemanisan cinta itu,” ujar Izdihar.
“Memang perit apabila orang yang kita sayangi tiada lagi di sisi. Namun, tidak salah jika benarkan orang lain menyayangi diri kerana lumrah manusia itu ingin disayangi dan menyayangi. Yusra... izinkan saya, menyentuh cinta yang ada dalam hati awak, agar kita tahu erti bahagia,” sambung Izdihar lagi.
Yusra terkedu mendengar setiap patah kata yang Izdihar tuturkan. Lelaki ini ingin menyentuh cinta yang bersarang di hatinya? Perlukah dia membuka pintu hatinya semula?
“Saya harap awak boleh berikan saya masa untuk berfikir sedalamnya,” ujar Yusra.
Izdihar melukis segarit senyum. Senyum yang membelit jiwa Yusra dengan keriangan.
“Ini, untuk awak...” ujar Izdihar lalu mengunjukan sebuah anak patung beruang bersaiz sederhana rona merah jambu pada Yusra.
“Ambillah, buat peneman ketika awak bersedih atau perlukan seseorang untuk meluah rasa,” kata Izdihar.
Yusra teragak-agak mengambil anak patung beruang itu dari tangan Izdihar. Seketika kemudian, lelaki itu meminta diri. Yusra menghantar pemergian lelaki itu dengan pandangan matanya. Dia masih tidak bergerak dari tempatnya berdiri. Kepalanya didongakkan, memandang langit malam yang kelam. Cahaya bulan kembali menyinar setelah bersembunyi di balik awan hitam sebentar tadi.
Anak patung beruang di tangan dipegang kejap. Mungkin, sudah tiba masanya dia melupakan kenangan lalu. Akan disisip segala kenangan dan cintanya terhadap Amir jauh di lubuk hati.
“Hmm... nak beri nama apa ya teddy bear ni?” fikir Yusra.
“Okey, Iz, mulai hari ni, awak harus setia berada di sisi saya ya,” ucap Yusra pada anak patung beruang yang dipanggil Iz itu, singakatan bagi nama Izdihar.

::TAMAT::


Nota kaki: Cerpen ini pernah tersiar di majalah Remaja keluaran November 2009

4 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Saya sangat teruja apabila melayari blog saudara. Sangat kreatif dan menarik.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Tetamu Istimewa: Terima kasih... Blog yang biasa-biasa saja. :)

Norziratul Hayat berkata...

seronok bc...tahniah...

diqa berkata...

Cinta kdg2 lbih baik d simpn dri terluka...