Sepatah Dua Kata

Isnin, Januari 09, 2012

Tercipta Untukku - Ceritera 03



PAGI yang mendung. Dengan langkah yang malas, Adhwa bersiap untuk ke kuliah. Usai membersihkan diri, dia membuka almari pakaian yang diperbuat dari besi itu. Membelek beberapa helai blaus yang tergantung dan akhirnya menarik keluar blaus rona biru laut ditaburi dengan bunga-bunga kecil warna putih yang dipadankan dengan jeans hitam. Tudung rona putih susu dicapai, menutup rambutnya yang separas bahu.
          Dia menekap sedikit bedak tipis ke pipi, sekadar penambah seri. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Adhwa ke meja belajar, mengambil beberapa buah fail yang sudah tersedia di situ. Beg sandang yang berada di kerusi diangkat lalu diletakkan di bahu kanan. Sempat dijeling teman sebiliknya yang masih enak dibuai mimpi. Cemburu pula melihatnya. Kuliah Faridah bermula pada pukul dua hari ini. Memang pukul satulah jawabnya gadis itu akan bangun.
          Sepatu putih disarungkan ke kaki lalu Adhwa menarik daun pintu dan menutupnya perlahan, tidak mahu mengganggu lena Faridah. Baru beberapa langkah, dia berpaling sambil menepuk dahi. Pintu ditolak semula lalu dia terjingkit-jingkit ke katil. Telefon bimbit yang berada di bawah bantal diseluk. Serta-merta ingatannya berputar pada panggilan telefon yang diterima dari Zulkarnain semalam.
“Hai, Awa...”
Talian sunyi seketika. Adhwa meneguk liur, gugup.
“Awa...”
Suara itu menyapa lagi. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mematikan talian. Tidak tegar mendengar namanya diucapkan dari bibir lelaki itu.
“Nain tahu Awa dengar. Em, Nain... Nain cuma nak ucap selamat malam.”
Tut... Tut... Tut... Kali ini talian benar-benar dimatikan. Tuhan, mengapa lelaki itu masih mahu menambah luka di hati? Apakah Zulkarnain lupa akan peristiwa yang menghadirkan duka dalam hidupnya itu? Beberapa ketika kemudian, kedengaran isyarat mesej diterima. Terketar-ketar tangannya menekan butang hijau. Mesej dari Zulkarnain.
“Nain cuma dah biasa ucap selamat malam pada Awa. Nain harap walau apa pun yang berlaku, kita masih kawan.”
Adhwa melepaskan keluhan. Kawan... Apakah hubungan mereka akan kekal begitu?
“Jangan! Jangan! Jangan kejar aku!” jeritan Faridah secara tiba-tiba itu mengejutkan Adhwa dari lamunan.
Kus semangat! Bertuah betul Faridah ni! Pagi-pagi macam ni pun masih sempat mengigau lagi. Adhwa menggeleng lalu tersengih sebelum kembali menyambung langkah ke kuliah. Anak tangga dituruni. Mujur kedudukan biliknya terletak di tingkat satu. Tidaklah terasa penat sangat mendaki tangga. Tidak dapat dia bayangkan mereka yang tinggal di tingkat empat. Mesti letih apatah lagi bila hendak cuti semester, semua barang-barang di dalam bilik perlu dibawa pulang ke rumah untuk mengelak berlaku kecurian.
          Langit masih diselubungi mega kelabu. Sesekali bayu berpuput lembut menyapa wajah. Terasa sedikit dingin. Rata-rata pelajar dilihat membawa payung bersama. Adhwa mengerutkan dahi. Mengapa dia tidak teringat untuk membawa payung juga? Habislah kalau hujan lebat nanti. Jarak kolej kediaman dengan bangunan kuliah bukanlah dekat. Hampir satu kilometer juga. Nampaknya kalau hujan, terpaksalah dia berteduh di perpustakaan dahulu.
          “Awa!”
          Langkah Adhwa terhenti. Dia lantas berpaling, mencari arah suara yang memanggil namanya tadi. Tidak jauh darinya, seorang gadis yang memakai kardigan jalur biru putih dengan T-shirt tertera gambar Hello Kitty dan jeans hitam sedang melambai ke arahnya. Si Cantik Melissa! Oh, bukan orang yang panggilnya begitu, tetapi empunya badan sendiri. Nak tahu gelaran orang lain padanya? Debot! Ya, kawan sekelasnya itu berbadan sedikit gempal. Jadi, untuk keyakinan diri, dia menggelar dirinya Si Cantik. Hai, apa-apa sajalah...
          “Amboi, dari jauh dah nampak muka ayam berak kapur kau tu. Apa dah jadi?” sapa Melissa sejurus gadis itu berada di sebelah Adhwa.
          “Assalammualaikum,” ucap Adhwa membuatkan Melissa tersipu malu sambil tersengih kecil.
          “Waalaikummussalam. Sorry, excited tengok muka kau tadi,” dalih Melissa sambil kedua-duanya kembali menyambung jalan ke kuliah.
          “Iyalah tu. Eh, kardigan baru ya?”
          “Hah, cantik, kan? Macam aku. Baru beli Ahad lepas dekat Jusco. Ada less 70% tau,” terang Melissa.
          Adhwa tersengih. Sempat lagi masuk lif tekan sendiri. Tapi memang kardigan biru berbelang putih itu cantik. Nampak padan dengan Melissa yang berbadan gempal.
          “So, pagi-pagi dah mendung macam kat langit tu apa hal? Ceritalah sikit...” ujar Melissa sambil menyebak rambutnya yang panjang separas bahu itu ke belakang.
          “Tak cukup tidur,” Adhwa memberi alasan, malas mahu membuka cerita duka itu.
          “Dengan orang lain, bolehlah kau bagi alasan macam tu. Macamlah aku tak kenal kau. Dah tiga tahun kita kawan tau. Luar dalam kau tu aku dah cukup kenal.”
          “Wah, sampai begitu sekali ya. Kalau kau kenal sangat aku, berapa banyak tahi lalat kat belakang badan aku ni?” usik Adhwa membuatkan Melissa menjeling.
          “Perli nampak... Ceritalah... Kalau aku tak mampu tolong, sekurang-kurangnya aku ada untuk dengar,” ujar Melissa, lalu memandang ke sebelah kiri, menatap wajah lembut itu.
          Adhwa bungkam. Memang tiada apa yang dapat disorokkan dari kawannya yang seorang ini. Seperti kata Melissa, sudah hampir tiga tahun mereka menjalin hubungan persahabatan. Sudah banyak suka-duka yang mereka kongsi bersama-sama. Cuma apabila melibatkan soal hati dan perasaan, dia lebih gemar memendam sendiri. Dan kini dia tidak mampu bertahan lagi. Duka yang menyelebungi jiwa perlu dimuntah keluar. Dia tidak punya kekuatan untuk mengharunginya seorang diri.
          “Nantilah aku cerita dekat kau masa lunch nanti. Eh, pinjam nota subjek Piano Proficiency minggu lepas. Aku tak sempat salin habis,” Adhwa mengubah topik perbualan.
“Mana nak sempat kalau kau membuta. Punyalah semangat Prof. Sabariah mengajar kat depan, kau tetap mengantuk juga.”
          “Semangat apanya, layu adalah. Dengan suara perlahan, lembut gemersik, sapa yang tak mengantuk? Memang sesuai nama Prof. tu dengan sikapnya. Sabar aja...” balas Adhwa lantas tergelak kecil.
“Hish, kau ni...” Melissa sudah menggeleng.
          Asyik berbual, tanpa sedar mereka sudah sampai ke bangunan kuliah yang dicat warna coklat itu. Sejurus pintu ditolak, mata Adhwa terus tertancap pada sesusuk tubuh yang juga sedang merenung ke arahnya. Segera dia menunduk. Jantung berdegup kencang seolah-olah dia baru lepas marathon keliling kampus.
          Pantas Adhwa mengambil tempat duduk di tepi tingkap lajur kedua. Kedudukan Zulkarnain yang selang dua baris dengannya menyebabkan dia tidak dapat menoleh ke belakang, bimbang bertentang mata dengan lelaki itu. Sungguh, kalau boleh diputarkan semula waktu, dia tidak akan meluahkan hasrat hatinya pada Zulkarnain. Dia lebih selesa dengan hubungan mereka seperti sebelum ini. Mesra dan tidak asing. Bukan seperti sekarang. Seakan-akan ada tembok besar dan tinggi yang muncul tiba-tiba antara mereka.
          Sekali lagi ingatan Adhwa kembali melayang saat mendapat panggilan telefon dari Zulkarnain semalam. Memang lelaki itu tidak pernah lupa mengucapkan selamat malam setiap hari. Sama ada secara panggilan atau mesej pesanan ringkas. Dan dia tidak akan melelapkan mata sebelum mendengar suara atau membaca kiriman lelaki itu. Mungkin, dia perlu meminta Zulkarnain supaya menghentikan ucapan selamat malamnya lagi. Dia bukan seorang yang sangat tabah.
          Bunyi pintu ditolak mengembalikan Adhwa ke alam realiti. Prof. Aimi melangkah masuk dengan sopan. Salam diberi dan dijawab hampir serentak oleh para pelajar. Adhwa cuba menumpukan perhatian di hadapan. Dia tidak mahu mencampur-adukkan soal hati dengan pelajaran. Ibu dan bapanya sejak kecil sudah menerapkan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Kata ibu, tanpa ilmu, seseorang itu buta hatinya, kelam jiwanya, mundur pemikirannya. Dan kata-kata itulah yang Adhwa pegang supaya dia tidak menghampakan harapan kedua ibu dan bapanya.
          “Seperti yang awak semua sedia maklum, kita akan bekerjasama dengan Fakulti Pengurusan Maklumat untuk Info-Art Festival yang akan diadakan bulan hadapan. Justeru, saya ingin melantik beberapa orang wakil dari kelas ini sebagai ad-hoc untuk membantu kedua-dua persatuan fakulti bagi memastikan program tersebut berjalan lancar,” maklum Prof. Aimi.
          Suara para pelajar berbisik sesama sendiri mula kedengaran. Masing-masing teruja dengan festival yang julung-julung kali diadakan itu. Festival yang akan berlangsung selama tiga hari tersebut padat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan muzik, pameran, booth-booth jualan dan acara kemuncak adalah persembahan dari artis popular Alif Satar. Semuanya akan diuruskan oleh ahli-ahli jawatankuasa persatuan masing-masing.
          “Jadi, saya nak beri kebebasan untuk awak semua memilih seramai lima orang sahaja dari kelas ini. Sesiapa yang sukarela lagi dialu-alukan,” sambung Prof. Aimi lagi.
          Seorang pelajar lelaki bangun lalu bersuara, “Saya cadangkan Zulkarnain, Fared, Melissa, Izwan dan Adhwa. Saya yakin yang lain pasti bersetuju dengan saya,” usul Firdaus, class-rap mereka.
          “Setuju! Setuju!” beberapa suara mula kedengaran membuatkan keadaan kelas sedikit hingar.
          Adhwa tersentak. Kenapa pula dirinya tak pasal-pasal dicalonkan pula? Dia bukannya minat sangat dengan aktivit persatuan ni.
          “Okey, okey... Tenang... Baiklah, ada cadangan lain?” Prof. Aimi bertanya, meminta kepastian.
          “Cadangan ditutup Prof.,” ujar seorang pelajar perempuan pula.
          “Baiklah, nama-nama yang Firdaus sebutkan tadi, ada bantahan?”
          Baru sahaja Adhwa hendak mengangkat tangan, Melissa yang duduk di sebelah menghalang. Adhwa menjengilkan mata, tanda tidak suka akan tindakan Melissa itu. Baru sahaja dia hendak membuka mulut, gadis itu terlebih dahulu bersuara.
          “Ini tahun terakhir kita sebagai pelajar universiti. Apa salahnya kumpul kenangan banyak-banyak, kan?” bisik Melissa, perlahan.
          Adhwa mengeluh. Jika peristiwa pahit itu tidak berlaku, dia pasti menerima dengan senang hati. Tetapi, sekarang kalau boleh dia tidak mahu langsung bertemu muka dengan lelaki itu. Jika dia bersetuju, bermakna mereka akan selalu berhubung selepas ini. Justeru, bagaimana untuk dia melupakan Zulkarnain?
          “Baiklah, memandangkan tak ada bantahan, saya anggap nama-nama yang diberikan tadi bersetuju. Selepas kelas ni, saya nak jumpa awak berlima. Okey, sekarang kita sambung pelajaran minggu lepas tentang aplikasi keyboard pada piano.”
          Para pelajar mula menumpukan perhatian pada wanita bertubuh genit di hadapan mereka itu. Namun, tumpuan Adhwa sedikit-sebanyak terganggu. Mengapa semakin dia ingin lari, bayang-bayang lelaki itu tetap menghampiri?


“APA?”
Beberapa pasang mata memandang ke arah dua orang gadis yang duduk di meja hujung sebelah kanan kafeteria itu. Merona merah muka Adhwa sementara Melissa segera menekup mulut, menyedari keterlanjurannya.
“Tolonglah jangan over sangat. Kau ni...” tegur Adhwa.
“Spontan okey! Tapi serius, kau tak tipu?”
“Apa aku dapat kalau tipu kau? Terpulanglah nak percaya ke tak, aku tak rugi apa-apa pun...”
“Okey, okey, aku percaya. Tapi tak sangka kau berani gila luahkan perasan dekat Nain! Kagum aku!” ucap Melissa, sedikit tinggi nadanya.
“Ish, kau ni apasal? Tertelan mikrofon ke? Tak boleh cakap slow-slow? Agaknya nak bagi semua orang dekat kafe ni dengar ya?” gerutu Adhwa.
Melissa tersengih. Entah mengapa dia rasa teruja mendengar cerita kawannya itu. Dia memang tahu Adhwa gadis yang berani. Kalau tidak, masakan Adhwa mempunyai tali pinggang hitam dalam taekwando. Bukan itu saja, gadis di hadapannya ini meminati aktiviti lasak seperti hiking dan mountain climbing. Cuma Adhwa sedikit pendiam dan lebih banyak bergaul dengan kaum sejenisnya sahaja.
          Yang buat dia terkejut apabila Adhwa terlebih berani meluahkan rasa hati pada lelaki pujaan ramai di kampus. Langsung tidak pernah terlintas di fikiran yang Adhwa berani berbuat begitu.
          “Kalau tahu, aku tak akan halang kau angkat tangan tadi,” ujar Melissa.
          “Tau tak mengapa. Sekarang, sebab kaulah aku terpaksa tengok muka dia selalu. Macam mana aku nak lupakan dia macam ni?”
          “Kenapa nak lupakan pula? Kalau pun tak jadi kekasih, both of you are still friend, right? Percayalah Awa, persahabatan itu lebih indah dari percintaan,” balas Melissa.
          “Aku malu Lisa.”
          “Memanglah malu tapi lama-lama rasa malu tu akan hilang. Buat macam biasa dahlah...”
          “Buat macam biasa? Tak semudah itu...” keluh Adhwa.
          “Ia akan jadi mudah kalau kau sendiri yang jadikan ia mudah. Rilekslah, kumbang bukan seekor. Kalau benar Nain bukan prince charming kau, bermakna Tuhan dah sediakan lelaki yang lebih baik dari dia untuk kau,” panjang bicara Melissa.
          Adhwa menyedut air sirap limau di dalam gelas di hadapannya. Lelaki yang lebih baik? Siapakah? Serentak, matanya menangkap kelibat Qayyum memasuki kafeteria dari salah satu pintu yang agak jauh dari tempat duduknya. Satu kebetulankah? Pantas digeleng kepala. Tidak, dia tidak mungkin menyintai lelaki itu.
          Melissa yang melihat gelengan Adhwa segera berpaling. Bibirnya mengukir senyum.
          “Mungkin memang dia yang telah tercipta untuk kau Awa...” ujar Melissa.
          “Merepeklah!”  

2 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Saya akan menunggu e-mel dari saudara. Sudah adakah alamat e-mel saya. mie_adham86@yahoo.com Salam perkenalan kembali.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Saya sudah pun mengirimkan e-mel kepada tuan. Gembira dapat berkenalan dengan penulis mapan seperti tuan. :)