Sepatah Dua Kata

Jumaat, Februari 17, 2012

Cerpen Kanak-kanak: Kawan


“JANGAN main dekat semak belakang rumah tu. Nanti disorok dek hantu baru tahu!” Mak Minah memberi peringatan pada anak lelakinya yang bernama Anas itu.
“Tak mak! Anas main dekat tepi longkang ni je,” jerit Anas.
Mak Minah yang melihat dari atas rumah menggelengkan kepala. Sudah beberapa kali ditegah anaknya dari bermain berhampiran belukar belakang rumah itu. Bukan apa, takut andai ada binatang merbahaya di situ. Mak minah sudah beberapa kali membuat pagar untuk menghalang anaknya dari bermain di situ namun pagar tersebut selalu sahaja dirempuh oleh lembu-lembu peliharaan Pak Dollah yang dibiarkan lepas bebas.
Sudahnya Mak Minah hanya membiarkan sahaja. Mak Minah tahu, di sebalik belukar itu ada hutan kecil. Itulah yang dia takutkan. Takut anaknya sesat seorang diri. Walau pun hutan itu tidak setebal mana kerana bersambung dengan jalan besar di hujungnya namun keresahan itu tetap ada. Anaknya masih kecil. Baru berumur enam tahun.
Kalau main berteman tidak mengapa tapi ini seorang diri. Macam mana kalau sesuatu yang tidak elok terjadi pada anaknya itu? Sudahlah mereka hidup hanya berdua. Suaminya telah menemui ajal dua tahun lalu kerana terjatuh dari memanjat pokok petai di dalam hutan kecil itu. Dia tidak mahu kejadian yang sama menimpa anaknya.
“Anas! Dah nak masuk maghrib ni! Sudah, mari masuk!” jerit Mak Minah.
“Kejap lagi mak! Anas tengah main dengan kawan Anas ni,” laung Anas sambil tangannya mengorek tanah merah yang lembut di hadapannya.
Mata Mak Minah membulat tatkala mendengar kata-kata anaknya tadi. Kawan? Mana kawannya? Sudah rabunkah Mak Minah kerana dia tidak nampak kelibat sesiapa pun di situ melainkan Anas. Sudah! Apa yang dilihat oleh anaknya itu?
“Dahlah tu... cepat masuk! Cerita Doraemon dah nak mula ni,” ajak Mak Minah lagi.
“Hari ni mana ada Doraemon mak! Doraemon hari Sabtu. Hari ni hari Jumaat,” jawab Anas lagi.
“Ada! Mak tengok iklan tadi! Dah, dah, cepat masuk! Mak cubit nanti!” Mak Minah mengugut anaknya.
Anas mencebikkan bibir tanda tidak puas hati. Dia sedang asyik bermain dengan kawan barunya itu. Dengan langkah yang malas, dia menuju ke rumahnya. Mak Minah sudah tercegat di muka pintu. Risau melihat anaknya yang berwajah muram itu. Kena sampukkah dia?
“Mak ni... kacau tau! Anas tengah seronok main dengan kawan Anas tu. Kitaorang tengah buat rumah dengan kolam...” ujar Anas membuatkan Mak Minah mengerutkan dahi.
“Kamu tak apa-apa Anas?”
Anas memandang wajah emaknya dengan hairan.
“Kenapa mak tanya macam tu?”
“Dengan siapa kamu bermain tadi?”
“Dengan kawan Anaslah,”
“Mak tahu tapi sapa?”
“Takkan mak tak nampak?”
“Ha’ah, memang mak tak nampak!”
“Patutlah... sebab dia kecil je,” balas Anas.
“Hish, kamu ni... siapa kawan kamu tu?”
“Semut hitamlah mak. Anas tengah buatkan rumah untuk dia,” jawab Anas lalu meninggalkan emaknya menuju ke ruang tamu.
Mak Minah tercengang. Semut? Biar betul!
“Mak tipu! Mana ada Doraemon! Ni cerita Tomato Man, Anas tak suka!” jerit Anas dari ruang tamu.
Mak Minah hanya mampu menggelengkan kepala. Hai, anaknya ini... macam-macam kerenahnya. Buat orang risau saja. Mak Minah melangkah ke arah anaknya dengan senyuman terukir di bibir. Dalam hati, dia tergelak kecil mendengar jawapan anaknya tadi. Semut pun semutlah, asalkan Anas tak buat sesuatu yang buruk, itu dah cukup...

3 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Wah, bolehlah selepas ini buat kumpulan cerpen kanak-kanak pula.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Helmi: Saya kurang arif menulis cerita kanak-kanak. Ini pun idea spontan. Hehe... ;)

Ku Za berkata...

Hi, ur great cerpen give me inspiration untk adaptasi ur cerpen for my assignment. Sy minta izin nk buat ur cerpen as my assignment ye :)