Sepatah Dua Kata

Selasa, Februari 28, 2012

Prosa: Merinduimu



RINDU di dalam hati sudah amat sarat. Tidak mampu lagi dibendung. Ingin sahaja diri ini berlari menemui lelaki yang telah mencuri hati dan perasaan saat itu juga. Betapa aku rindukan untuk menatap wajah mulus itu. Betapa aku rindu untuk mendengar suaranya yang serak-serak basah itu. Betapa aku rindu akan renungan matanya yang redup itu. Ah, aku lemas bergelumang dengan rindu yang menyesakkan dada ini.
Bintang-bintang yang menghiasi dada langit tidak mampu untuk mengsirnakan rasa rindu dalam hati ini. Rembulan yang bersinar terang tidak berdaya mengusir wajah lelaki itu dari ruang mata ini. Sapaan bayu yang dingin tidak dapat melupuskan kepedihan hati yang membelit kala ini.
Aku rindu! Sungguh aku rindu! Bagaimana harus kusampaikan rindu yang membelenggu ini padanya? Hendak menghantar mesej ringkas, aku takut dia tidak membalas. Hendak menelefon, aku takut tidak berjawab. Hendak pergi berjumpanya, aku takut menganggu. Justeru, apa yang perlu aku lakukan untuk menyingkirkan rindu yang semakin sarat menghempap jiwa?
Oh, sesiapa, tolong aku! Tolong khabarkan padanya yang aku sedang dilamun rindu. Biar dia tahu yang setiap saat dia sentiasa berada dalam jiwaku. Biar dia tahu setiap detik dia tidak jauh dari hatiku. Biar dia tahu setiap ketika dia tidak lekang dari ingatanku.
Apa agaknya yang sedang kau lakukan kala ini duhai pujaan hati? Sedang merinduiku sebagaimana aku merinduimu? Atau kau sedang enak diulit mimpi indah? Pernahkah aku muncul dalam lenamu saban malam?  Atau kau ada fikirkan tentang diriku walau sekejap cuma?
Oh, seseorang, tolong aku! Tolong nyatakan padanya aku tidak mahu lagi menangung beban perasaan yang kian menghimpit. Aku tidak kuat untuk terus memikul rindu ini. Aku perlu segera menguraikan rindu ini agar tidak menghadirkan luka di hati. Biarlah rindu ini disiat-siat jadi cebisan agar aku bisa mengawal diriku dari terus merindu.
Aku mahu dia mengerti betapa mendalam rasa rindu ini padanya. Aku mahu dia memahami betapa pentingnya dia dalam hidupku. Tetapi bagaimana untuk memberitahu padanya segala apa yang aku rasa ini?
Oh, bintang... tunjukkan padanya yang aku sedang rindu dengan cahaya kerdipanmu yang cerah. Oh, bulan... sampaikan padanya yang aku sedang rindu dengan sinarmu yang penuh pesona. Oh, bayu... khabarkan padanya yang aku sedang rindu dengan hembusanmu yang mengasyikkan. Oh, awan... beritahu padanya yang aku sedang rindu dengan menurunkan hujan yang dingin.

Oh, seseorang, sesiapa sahaja, tolong aku nyatakan rindu ini walau aku hanya memandang dirinya dari jauh...

Tiada ulasan :