Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 06, 2012

Cerpen: Epal Cinta Kita



“EPAL lagi?”
Raihana memandang pemuda di hadapannya sambil mengerutkan dahi. Ini adalah kali kelima Yuzer memberinya sebiji epal merah yang diikat reben ketika bertemu-janji. Ya, kalau lelaki lain memberi bunga atau coklat, berbeza dengan Yuzer yang lebih suka menghadiahkan epal padanya.
          “An apple a day, keeps the doctor away,” jawab Yuzer dalam senyuman.
          “Kalau dah sakit, kena jumpa doktor juga,” balas Raihana sambil menyambut huluran epal dari pemuda berkemeja corak kotak dengan jeans hitam itu.
          “Itulah bahaya.”
          Sekali lagi Raihana mengerutkan dahi. Jumpa doktor bahaya? Biar betul teman lelakinya ini? Doktor itu kan tugasnya merawat, masakan boleh mendatangkan bahaya.
          “Saya tak faham.”
          “Mestilah bahaya. Kalau doktor tu lelaki, dia pikat awak, habislah saya,” usik Yuzer lalu membetulkan duduk di atas kerusi berbentuk bulat di dalam restoran makanan segera itu.
          Raihana menjeling mendengar kata-kata Yuzer. Namun dalam hatinya berbunga ria. Itu tanda Yuzer sayangkannya. Bimbang jika dirinya jatuh ke tangan lelaki lain.
          “Iyalah tu. Dah lah, kita nak pergi mana lepas makan ni?”
          Pertanyaan Raihana dibiarkan tergantung seketika apabila seorang pelayan wanita datang mengambil pesanan. Kedua-duanya sepakat untuk menikmati set kecil Hawaiian Chicken Pizza sahaja sebagai hidangan tengah hari mereka. Cukuplah untuk mengisi perut sebelum minum petang nanti.
          “Kata nak pergi POPULAR, cari novel baru,” ujar Yuzer, kembali menumpukan perhatian pada gadis bertudung ala penyanyi Yuna di hadapannya.
          Raihana tampak ayu dengan blaus ungu tanpa corak dengan tudung rona krim itu. Sekali pandang, wajahnya ada iras pelakon Neelofa cuma bezanya gadis di hadapannya ini sedikit gelap kulitnya.
“Memanglah tapi apa kata kita tengok wayang dulu, nak?” Raihana membuat cadangan.
“Cerita apa?”
“Sherlock Holmes!”
“Ish, tak mahulah. Saya tak minat sangat cerita penyiasatan ni,” balas Yuzer.
“Dah tu?”
“Ombak Rindulah.”
“Hah?” Raihana melopong.
Mata Yuzer turut membulat melihat reaksi teman wanitanya itu. Beberapa saat kemudian, tawanya meletus.
“Tutuplah mulut tu, nanti lalat masuk,” ujar Yuzer dalam sisa tawa.
“Awak tolong jangan buat kelakar boleh tak? Ombak Rindu tu cerita cinta!” tegas Raihana.
“Jadi? Apa salahnya kalau tengok cerita cinta?”
“Awak tu lelaki!”
“Oh, perempuan tengok cerita apa pun tak salahlah? Bila lelaki nak tengok cerita cinta, tak boleh pula? Ini tidak adil, tidak adil...” ujar Yuzer sambil menyanyi mengikut rentak lagu Yuna, Penakut.
Raihana menepuk dahi. Macam manalah hatinya boleh terpaut dengan mamat tiga suku ni? Sudahlah tiga suku, dalam hati ada taman pula tu.
“Yuzer!”
“Ala, rilekslah, saya gurau aja. Cepat sensitif betul.”
Raihana menarik nafas lega. Mujurlah Yuzer hanya bergurau. Dia tahu lelaki itu tidak minat menonton cerita cinta. Sama sepertinya walau kadang-kadang ada juga dia melayan filem dalam genre begitu sekiranya tidak ada filem lain untuk ditonton. Bukanlah dia anti cerita cinta tetapi sudah minatnya ke arah genre lain. Lagipun, pada Raihana, filem cinta tidak realistik. Semuanya pasti berakhir dengan penamat yang bahagia. Sudah boleh diduga jalan ceritanya. Berlainan dengan filem bercorak sci-fi atau penyiasatan, sukar untuk menjangka penamat cerita. Barulah ada thrill.
Pesanan sampai lebih kurang sepuluh minit kemudian. Belum sempat pizza dimasukkan ke dalam mulut, telinga Raihana menangkap suara seorang gadis menjerit memanggil nama Yuzer. Terus matanya melilau mencari gerangan yang memanggil teman lelakinya itu dan akhirnya tertancap pada sesusuk tubuh ala perasan model yang kian menghampiri meja mereka.
“It’s you Yuzer! Really it’s you!” gadis muda dengan cardigan biru itu bersuara sedikit kuat, menarik perhatian beberapa pasang mata yang turut berada di dalam restoran tersebut.
‘Hek eleh, speaking London pula minah ni...’ suara hati Raihana.
Diperhati gadis tersebut atas ke bawah. Ya, tidak dinafikan, gadis itu cantik orangnya. Ketinggian persis model, pinggang yang ramping, rambut blondie yang lurus melepasi bahu dan kulit yang cerah kemerahan. Cukup membuatkan lelaki menoleh kali kedua jika bertentang mata.
“Ezyra! Long time no see ya!” balas Yuzer.
‘Amboi, mamat ni pun nak join sama speaking London,’ getus Raihana lagi dengan wajah sedikit cemberut.
“Tak sangka dapat jumpa you dekat sini. I ingat tak akan dapat jumpa you lagi...” nada suara gadis tersebut berubah sayu.
“Laa... Yuzer selalu ada di sini. Tak lari mana pun. By the way, bila balik Malaysia ni?” Yuzer memanjangkan perbualan.
‘Hello! Tak nampak ke I dekat depan ni? I bukan tunggul kayu okey?’ mahu sahaja Raihana meluahkan kata-kata tersebut namun disimpan di dalam hati saja. Dia pun nak ber ‘I’, “You’ juga...
Last month. I cuti summer. Tak lama, dua bulan aja. Oh, kejap ya,” ujar Ezyra sambil membuka tas tangan yang tertera label Gucci itu.
‘Gucci konon. Entah-entah pasar malam punya barang aja’ sangka Raihana yang sejak tadi sekadar memerhati saja.
This is my card. Jangan lupa telefon tau! Okeylah, I’ve got to go. My friends dah tunggu dekat luar tu. Hope to hear from you soon and miss you so much!” ucap Ezyra sekaligus membuatkan jiwa Raihana berbahang. Dan tambah hangat apabila terlihat senyuman sinis gadis itu yang sepertinya ditujukan buatnya.
Yuzer sekadar mengangguk. Dihantar pemergian Ezyra dengan pandangan mata. Diteliti kad nama di tangannya sebentar. Bagai terasa ada aura membunuh sedang berlegar berhampiran, segera dialihkan pandangan pada gadis di hadapan yang sedang merenung tajam ke arahnya.
“You, siapa perempuan tu?” sengaja Raihana meliuk-lentokkan suara ala-ala gedik gitu.
Yuzer tersengih. Tahu kekasih hatinya itu mula diterpa curiga.
“Nama dia Ezyra,” jawab Yuzer.
I tak tanya nama dia, I tanya dia siapa. Nak I speaking London juga ke baru faham?” perli Raihana.
Yuzer tersengih lagi. Dah datang perangai kebudak-budakan Raihana tu. Namun itulah yang mencuit hatinya. Raihana tampak comel bila sedang marah.
“Bekas kekasih saya.”
“What?” Hah, kan dah terkeluar speaking London juga.
“Hei, rilekslah... Cerita lama. Saya kan dah ada awak sekarang,” balas Yuzer.
Raihana bungkam. Entah mengapa kehadiran gadis perasan model itu mula mengocak ketenteramannya...

*  *  *  *  *

PINTU biliknya dikunci. Tidak mahu diganggu. Lantas direbahkan tubuh ke atas tilam. Tudung ditarik lalu rambutnya yang hampir separas pinggang diuraikan. Fikirannya benar-benar terganggu saat ini. Kemunculan bekas kekasih Yuzer membuatkan hatinya libang-libu. Yang mengusik jiwanya adalah senyuman sinis Ezyra sebelum melangkah pergi. Senyuman yang seakan memberi amaran supaya berjaga-jaga. Apakah Ezyra ingin merampas Yuzer daripadanya?
          Bunyi ketukan pintu tidak diendahkan. Ini tidak lain mesti Ayu Kepochi nak soal-siasat. Iyalah, sewaktu ditegur di ruang tamu tadi, langsung tidak diendahkan kawan serumahnya itu. Terus saja meluru masuk ke bilik. Akhirnya, setelah beberapa ketika berdiam diri, ketukan di pintu turut sama terhenti.
Raihana bingkas bangun lalu melangkah ke meja bacaan. Ditarik laci meja lalu dikeluarkan sebuah album gambar. Helaian pertama diselak. Gambar-gambar bersama Yuzer memenuhi ruang mata. Dadanya diterpa sebak. Dia tidak dapat bayangkan hidupnya tanpa lelaki itu. Ya, Yuzer adalah cinta pertamanya, dan kalau boleh cinta terakhirnya juga.
          Mengimbas semula perkenalan dengan lelaki itu setengah bulan yang lalu, seperti baru sahaja Yuzer melamarnya untuk menjadi kekasih. Lelaki itu bekerja sebagai akauntan di syarikat korporat yang terletak selang lima blok dari butik tempat dia bekerja. Perhubungan mereka terjalin apabila Yuzer datang ke butik untuk mengambil pakaian pengantin kakaknya. Lelaki itu tanpa segan-silu memberikan kad nama kepadanya.
          Mulanya dia tidak melayan. Lelaki tampan seperti Yuzer padanya pasti seorang buaya darat. Masakan gadis biasa sepertinya menarik perhatian lelaki seperti Yuzer. Namun dia juga manusia biasa. Punya perasaan ingin disayangi dan menyayangi. Sehari-dua juga dia merenung kad nama yang tertera nombor telefon bimbit lelaki itu. Walau bagaimanapun, dikuatkan hati agar tidak terjerat dengan perangkap perasaan.
        Tiga hari selepas itu, Yuzer datang ke butik, bertanya kenapa dia tidak menghubungi lelaki itu. Alasan yang paling logik dapat difikirkan adalah dia kehilangan kad nama yang diberikan. Pantas, Yuzer meminta telefon bimbitnya lalu menyimpan nombornya. Sejak itu, beberapa sms dan panggilan telefon dari Yuzer diterima. Dan semakin lama hatinya terbuai dengan sikap dan keprihatinan yang ditunjukkan Yuzer sehinggalah lelaki itu melamarnya untuk membawa hubungan mereka ke satu tahap lagi iaitu hubungan cinta.
          Dan setelah berfikir semasaknya, dia bersetuju kerana dapat dilihat sinar cinta dalam mata lelaki itu untuknya. Namun, sejak kali pertama mengenali Yuzer, tidak pernah langsung meniti nama Ezyra dari mulut lelaki itu. Dia juga tidak tahu di mana letak status dirinya pada Yuzer. Dia berada di tangga ke berapa dalam hati lelaki itu agaknya? Ternyata, dia bukan cinta pertama lelaki itu dan pastinya cinta pertama sukar untuk dilupakan.
          “Tuhan, usaikanlah curiga ini dari hatiku...” doa Raihana dalam linangan air mata.

*  *  *  *  *

“ANA, ada orang cari!” teriak Kak Faezah, pemilik butik Bunga-bunga Cinta tempat dia bekerja.
          Raihana yang sedang menyapu segera menyudahkan tugasnya. Siapa agaknya yang datang? Kalau Yuzer, mesti Kak Faezah kenal. Pantas dilajukan langkah ke ruang hadapan butik dan terbeliak matanya melihat Ezyra sedang memandangnya dengan senyuman penuh makna.
          “Hai!”
          “Err... Hai...”
          “Boleh jumpa sekejap?” pinta Ezyra.
          Raihana memandang Kak Faezah yang duduk membaca majalah di meja. Anggukan Kak Faezah meresahkan hatinya. Jika boleh dia mahu Kak Faezah menggeleng dan melarang dia keluar. Tidak ada hati mahu berbicara dengan gadis yang menggugat lenanya malam tadi.
          “Kita berbual di sini sajalah Ezyra,” ujar Raihana.
          “Cik Ezyra,” tukas Ezyra sambil menyelak rambutnya ke belakang.
          “Maaf, Cik Ezyra,” balas Raihana dengan jiwa yang membengkak. Cik Ezyra celah mana? Ingat kau tu keturunan bangsawan apa?
          Raihana membawa Ezyra duduk di sudut bacaan. Hari ini gadis itu mengenakan skirt labuh rona hitam dengan kemeja warna coklat. Tampak elegan sekali. Bagai langit dengan bumi penampilan mereka. Dia hanya memakai blaus rona biru bersulam bunga putih dengan slack longgar warna hitam sahaja.
          “I tak banyak masa jadi kita straight to the point aja,” ujar Ezyra.
          Raihana meneguk liur. Bagai mengetahui apa yang bakal dilontar keluar dari mulut gadis di hadapannya ini.
        “I dengar you rapat dengan Yuzer sekarang. Dan you mesti dah tahu yang I ni ex-girlfriend dia, kan?” soal Ezyra, sedikit angkuh.
          Raihana hanya mengangguk sebagai menjawab pertanyaan Ezyra tadi. Kenapa dirasa dirinya begitu kerdil di hadapan gadis ini? Jiwanya dibelit rasa rendah diri. Jika digandingkan Ezyra dengan Yuzer, pasti ramai yang memuji kepadanan mereka berdua. Berbeza jika dia dengan Yuzer, pasti ramai yang bersangka buruk. Iyalah, gadis biasa dengannya tidak padan dengan lelaki kacak dan berharta seperti Yuzer.
          “I nak nasihatkan you supaya jangan berharap pada Yuzer. Dia tak cintakan you...”
          Kata-kata Ezyra ibarat bom atom yang gugur tepat ke bahagian tengah jantung Raihana. Yuzer tidak cintakan dia? Benarkah?
          “You tahu kenapa kami berpisah?”      
          Kali ini pertanyaan Ezyra dibalas dengan gelengan.
          “I berpisah dengan Yuzer bukan sebab kami tak menyintai satu sama lain. I terpaksa ikut kemahuan parents I untuk sambung masters di Australia. I harus pikul tanggungjawab sebagai pewaris syarikat papa I. Yuzer pula tak mahu hubungan jarak jauh. Jadi, kami berpisah tanpa rela. I tahu, jauh di sudut hatinya, masih ada cinta untuk I seperti mana I yang tak pernah berhenti menyintai dia!”
          Kali ini bukan bom atom lagi, sudah seperti tahi bintang yang menghentam kuat dinding hatinya. Tuhan, berilah dia kekuatan... Apakah dia sebenarnya sekadar mengisi kesunyian dalam hati Yuzer sahaja? Buat peneman bicara kala lelaki itu merindui Ezyra?
          “I tak pernah putuskan hubungan ni. I cuma minta kami tangguhkan saja. Dan I percaya, Yuzer juga tak mahu hubungan kami berakhir begini. Kami kenal sejak sekolah menengah lagi. Hampir 10 tahun kami bersama. You rasa, 10 tahun tu tak meninggalkan apa-apa rasa di hati Yuzer ke?” tokok Ezyra lagi membuatkan Raihana semakin jauh terperosok ke lubang simpati.
          Keadaan begitu hening antara mereka. Kedua-duanya melayan rasa. Pendingin hawa butik tersebut tidak mampu mendinginkan jiwa Raihana yang semakin menghangat. Hangat atas rasa kecewa akan cinta Yuzer padanya.
          “Saya sayangkan Yuzer,” ucap Raihana, memecah kesunyian yang sejak tadi berlegar menyelubungi mereka.
          “Dan you yakin Yuzer sayangkan you?” agak sinis nada suara Ezyra kedengaran pada telinga Raihana.
          “Saya yakin...” jawab Raihana, perlahan.
          “Sayang dan cinta itu berbeza Raihana. Setiap manusia ada perasaan sayang antara sesama manusia. Tetapi cinta hanya dimiliki oleh pasangan yang merasai perasaan itu dalam hati kedua-duanya. I dapat rasakan cinta I pada Yuzer dan I yakin Yuzer juga dapat rasakan cintanya pada I. Dan you, yakin yang perasaan cinta Yuzer ada untuk you?” panjang bicara Ezyra.
        Raihana tersentak. Perasaan cinta Yuzer pada dirinya? Pernahkah lelaki itu melafaz kata cinta? Tidak. Raihana yakin tidak pernah ucapan cinta meniti dari bibir lelaki itu. Yang ada hanyalah sayang dan kasih. Ketika melamarnya menjadi kekasih hati pun tiada madah cinta yang ditujukan istimewa buatnya. Kata-kata Ezyra tadi benar. Sayang dan cinta itu berbeza. Adakah ini bermakna, Yuzer tidak cintakan dia?
          “I ada setengah tahun lagi sebelum tamat pengajian. I pernah bertekad, sekiranya selepas I tamat pengajian dan Yuzer masih belum sah menjadi milik orang lain, bermakna I masih ada peluang untuk bersama dengannya. Dan I semakin yakin apabila baru-baru ini I tahu yang dia hanya rapat dengan you dan belum berniat mahu menjadikan you suri hidupnya. Tidakkah ini satu petunjuk bahawa Yuzer masih menunggu I?
Raihana, I mohon agar you pulangkan Yuzer pada I. I yakin you tentu faham cinta yang bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Yuzer telah diciptakan untuk I. Lepaskan dia, dan I doakan agar you bertemu dengan insan yang menyintai you seikhlas hatinya...” ujar Ezyra.
Raihana terasa lidahnya kelu seakan dipaku. Jika dia berada di dalam perbicaraan mahkamah sekarang, pastinya dia akan kalah teruk dengan hujah-hujan Ezyra. Memang tidak dapat disangkal kata-kata gadis itu tadi.
“Ini kad I. Kalau you dah buat keputusan, hubungi I. Dan I harap, keputusan tu akan memberi kebaikan pada kita bertiga,” ucap Ezyra lalu bingkas bangun meninggalkan Raihana yang termangu seorang diri.
“Ana!”
Teriakan dari Kak Faezah mengembalikan Raihana ke alam realiti. Tidak sedar yang dia ditinggalkan keseorangan di situ. Perlahan-lahan dia bangun menuju ke meja ketuanya.
“Ada delivery untuk Ana. Akak dah tandatangan. Nah, dari Yuzer,” beritahu Kak Faezah sambil menghulurkan setangkai mawar kuning berserta sebiji epal merah. Pada tangkai bunga mawar itu dikepil sekeping kad kecil yang bertulis:
Istimewa buat gadis yang senyumannya semanis epal
-Yuzer
Raihana terjelepok ke atas permaidani. Tanpa sedar air matanya berjuraian. Kak Faezah panik melihat keadaan pekerjanya itu. Mujurlah tidak ada pelanggan waktu itu. Raihana menangis dan terus menangis. Tidakkah Yuzer tahu, mawar kuning itu melambangkan persahabatan? Rupanya, kata-kata Ezyra itu benar. Gadis itu adalah cinta pertama Yuzer. Dan Yuzer, masih menunggu cinta pertamanya itu...

*  *  *  *  *

PINTU butik Bunga-bunga Cinta ditolak kasar. Matanya meliar mencari seseorang. Kak Faezah terkejut dengan kehadiran Yuzer secara tiba-tiba itu.
“Kenapa Zer?
“Ana mana, Kak Faezah?”
          “Ana dah balik. Dia ambil half-day hari ini. Tak sihat katanya,” jawab Kak Faezah.
          Tanpa mengucapkan apa-apa, Yuzer segera berlari keluar. Dia mendail nombor telefon bimbit Raihana. Hanya peti simpanan suara yang kedengaran. Hatinya diamuk resah. Jiwanya dirobek gundah. SMS dari Raihana tadi masih jelas diingatannya.
Maaf, Ana rasa kita tak sepadan. Jangan cari Ana lagi. Hubungan kita tamat setakat ni
          Apakah yang Raihana fikirkan sebenarnya? Tiba-tiba sahaja mahu memutuskan perhubungan. Adakah sesuatu perkara yang kurang elok terjadi pada gadis itu?

*  *  *  *  *

MALAM itu langit kelihatan suram. Tiada kerdipan bintang mahupun sinaran rembulan. Malam bagai mengerti sanubarinya yang diselubungi duka. Matanya melirik pada jam di meja bacaan. Sudah hampir menjangkau ke angka sepuluh. Perlahan-lahan tangannya menggapai telefon bimbit yang terletak tidak jauh dari duduknya. Butang merah ditekan dan seketika kemudian, bertalu-talu isyarat SMS kedengaran. 21 miscall dan sembilan sms. Semuanya dari Yuzer. Satu persatu SMS dibaca. Jelas ada kerisauan di dalam setiap kiriman SMS tersebut. Mujurlah Yuzer tidak tahu rumah sewanya di mana. Kalau tidak, mungkin lelaki itu tidak teragak-agak untuk ke sini.
          Raihana tahu tindakannya pasti menimbulkan tanda-tanya pada lelaki itu. Namun setelah berfikir dan menimbal-balik kata-kata Ezyra, ternyata memang dia bukanlah pilihan hati Yuzer. Dia hanya tempat Yuzer berkongsi rasa apabila lelaki itu merindui Ezyra atau terkenangkan gadis itu.
          Nampaknya, mahu atau tidak, dia harus meletakkan titik nokhtah pada hubungan ini. Nombor telefon bimbit Ezyra didail. Selepas berbual seketika, dia menamatkan panggilan. Seterusnya, dia menaip beberapa ayat lalu dihantar sms pada Yuzer. Esok, semuanya akan ditamatkan!

*  *  *  *  *

YUZER menunggu dengan penuh debaran. Mesej ringkas dari Raihana malam tadi benar-benar membuatkan tidurnya tidak lena. Gadis itu menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya di Taman Tasik petang itu selepas waktu pejabat. Kini, sudah hampir sepuluh minit menunggu, kelibat gadis itu masih belum kelihatan.
          “Yuzer!”
          Yuzer berpaling apabila mendengar namanya dipanggil. Tidak percaya dengan kehadiran Ezyra di situ. Sejak pertemuan semula dengan gadis itu beberapa hari lepas, dia seboleh mungkin mahu menjarakkan hubungan antara mereka. Dia tahu Ezyra masih berharap padanya tetapi kisah cinta antara mereka benar-benar telah berlalu. Selebihnya, dia tidak mahu Raihana curiga. Hanya gadis itu yang mendapat tempat di hatinya kini.
          “Yuzer!” ucap Ezyra, teruja.
          “Apa yang you buat kat sini?”
          “Raihanana telefon I semalam. Dia ajak I jumpa di sini. You pula?”
          Yuzer mengeluh. Apa yang Raihana cuba aturkan sekarang?
          “Wait! Okay, now I understand!” ujar Ezyra, girang.
          “What?” soal Yuzer, tidak faham.
          “Raihana dah buat keputusan untuk kembalikan you pada I. Tak sangka dia buat keputusan secepat ni. Semalam baru I jumpa dia tentang...”
          “Apa? You jumpa dia? Untuk apa?” tukas Yuzer, sedikit berang.
          “Hey, rilekslah. I jumpa dia untuk terangkan hubungan kita. I tahu you masih tunggu I dan I...”
          “You memang melampau Ezyra!” sekali lagi Yuzer mematikan kata-kata gadis berblaus merah bata itu.
          “Yuzer... I...
          “Antara kita itu kisah lama. Sejak you buat keputusan untuk sambung belajar, hubungan kita dah pun tamat. Apa yang you dah cakapkan pada Ana?!” suara Yuzer sudah naik satu oktaf.
          “You tahu, kan I terpaksa ikut cakap papa I. Takkan sebab I futher study, you nak putuskan hubungan kita?” Ezyra juga tidak mahu mengalah.
          Yuzer menggengam jemarinya erat. Nafas ditarik panjang, berharap agar ada ketenangan yang menyinggah. Fahamlah dia kini sebab Raihana bertindak demikian semalam.
          “Bukan sebab tu I putuskan hubungan dengan you Zyra...” ujar Yuzer, lirih.
          “Habis tu, kenapa?”
          “Sebab I tahu hubungan sulit you dengan Imran.”
          Mata Ezyra terbeliak. Dia terpempan. Serta-merta lututnya terasa lemah.
          “I... I...”
          “Imran dah beritahu I semuanya. Dia tak nak rasa bersalah pada I. Mungkin sebab kami sepupu dan dah macam adik-beradik, jadi dia minta I berundur,” jelas Yuzer.
          “Tapi... I...
          “Cukuplah Ezyra. Antara kita memang dah tamat. You sepatutnya pergi pada Imran, bukan I. Dia terlalu cintakan you dan masih setia menunggu you.”
          “Tak, I tak cintakan dia! I cintakan you!” tegas Ezyra.
          “Don’t be selfish Ezyra! Silap you menduakan I dan sejak tu tak ada sekelumit pun rasa percaya dalam hati I untuk you. Apatah lagi rasa cinta,” balas Yuzer.
“Dan tolong jangan ganggu I dan Ana lagi. Kalau I tahu you jumpa dia lagi dan cakap benda yang bukan-bukan, I jamin, you tak akan jumpa I seumur hidup you!’ tegas Yuzer lalu berpaling namun lengannya digenggam utuh oleh Ezyra.
          “Wait! Don’t leave me Yuzer. I need you!” rayu Ezyra.
          Perlahan-lahan Yuzer meleraikan pegangan tangan Ezyra. “No, you don’t need me. You need a pyschiatrist!”
          Ezyra melopong!

*  *  *  *  *

LANGKAHNYA dipercepatkan. Dia tahu gadis itu pasti ada di sana. Di tempat rasa cinta mereka berputik. Dia harus cepat menguraikan curiga dalam hati gadis itu. Dan ternyata jangkaannya tepat. Di bangku bawah pohon semarak api yang rendang, seorang gadis sedang membuang pandang ke tasik yang beralun tenang. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri.
          “Jauhnya termenung. Dah sampai mana? Itali ke?”
          Raihana terpana. Perlahan-lahan wajahnya ditoleh ke kiri. Anak matanya membulat.
          “Hebat betul rancangan awak ya. Ada bakat jadi pengarah ni,” sindir Yuzer.
          “A... Apa yang awak buat kat sini?” gugup Raihana bersuara.
          “Awak yang mesej saya semalam ajak jumpa kat taman ni, kan?”
          “Tapi...”
          “Syyhh... Biar saya jelaskan.”
          Semilir petang yang bertiup menghantar nyaman pada Yuzer dan Raihana. Ciak-ciak burung di kaki langit sedikit menghiburkan. Taman Tasik Seremban agak ramai pengunjung petang itu.
          “Awak tak percayakan saya?” soal Yuzer, membuka bicara setelah agak lama mereka membisu.
          Raihana menunduk. Percaya... Cukupkah cinta hanya berlandaskan percaya?
          “Saya tak sesuai dengan awak Yuzer...” ucap Raihana lalu menunduk.
          “Apa hak awak untuk tentukan siapa yang sesuai dengan saya? Hanya saya yang tahu siapa yang sesuai untuk saya. Hanya saya yang berhak ke atas diri saya. Bukan awak Ana.”
          “Awak tak sepatutnya dengar dari sebelah pihak saja. Saya kekasih awak Ana. Awak seharusnya mempercayai saya sebagaimana saya tidak pernah meragui awak,” sambung Yuzer.
          Raihana dapat rasakan empangan matanya bakal pecah bila-bila masa sahaja. Sungguh, kata-kata Yuzer menyiat-yiat rakus hatinya. Ya, dia bersalah kerana tidak mempercayai cinta Yuzer padanya. Mengapa dia begitu buta melihat sinar cinta di mata lelaki itu yang dituju khas untuk dirinya? Mengapa dia biarkan hatinya diperangkap ragu-ragu? Cinta itu tidak semestinya dilafaz dari bibir. Ia terserlah dari pelbagai cara.
          “Maafkan sayaYuzer, maafkan saya...” ujar Raihana, mula teresak.
          Yuzer menarik nafas lalu menghembusnya perlahan-lahan. Dia tidak salahkan Raihana. Dia faham apa yang gadis itu fikirkan. Silapnya kerana masih tidak mampu menarik kepercayaan Raihana padanya. Apatah lagi gadis itu pertama kali bercinta. Masih belum memahami selok-belok dan asam-garam dunia percintaan.
          “Nah, jangan menangis lagi. Hodoh tau!” usik Yuzer lalu menghulurkan sesuatu pada gadis yang kian memenuhi ruang hatinya dengan rasa cinta.
          Raihana mengangkat wajah. Sebiji epal merah menghiasi pandangannya yang kabur dengan sisa air mata. Huluran itu tidak disambut sebaliknya pandangannya dialih pada wajah Yuzer. Mata kedua-duanya saling bertentangan.
          “Kenapa awak selalu beri saya epal?” tanya Raihana, soalan yang sejak dari dulu disimpan dalam mindanya.
          “Awak kan pernah beritahu saya bahawa awak suka makan epal?”
          “Jadi?”
          “Jadi, saya sentiasa mahu berikan sesuatu yang awak suka supaya awak sentiasa gembira. Kegembiraan awak, adalah kegembiraan saya juga. Senyuman awak, memberi semangat pada saya. Keceriaan awak, menceriakan saya. Dan kesedihan awak, kalau boleh saya mahu menanggungnya...”
          Mendengar kata-kata Yuzer, Raihana kembali teresak semula. Tuhan, sungguh dia tidak layak berdampingan dengan lelaki sebaik Yuzer. Kali ini dia bertekad, tidak akan lagi membiarkan curiga dan ragu-ragu menghantui perhubungan mereka.
          Epal di tangan Yuzer dicapai lalu digenggam erat. “Epal, tanda cinta kita ya.”
          Yuzer mengangguk dalam senyuman.
          “Sekejap! Kenapa semalam awak beri saya bunga ros warna kuning? Awak tahu, kan, ros kuning lambang persahabatan?” tanya Raihana.
          “Saya tahu. Tapi...”
          “Tapi?”
          “Ros merah kat kedai bunga tu dah habis. Jadi, saya belilah yang warna kuning. Tapi tak sangka pula sebab warna ros, awak boleh salah anggap pula. Bunga aja pun. Suka sangat fikir yang bukan-bukan,” jawab Yuzer dalam tawa.
          “Awak ni!” Raihana membentak sekaligus menyumbat epal di tangannya tadi dalam mulut Yuzer menyebabkan tawa lelaki itu terhenti.
          Kali ini, giliran Raihana pula ketawa. Bahagia!

3 ulasan :

yani berkata...

comel je cter ni...mmg asik syum ja msa bc...

actlly ni 1st komen,,kra new comer la kt cni...agk trlmbt plak,but better late than nver rite?..hehe..really nice blog~

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Selamat datang diucapkan Yani.

Berbanyak terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. Amat hargainya. :D

misz ain berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.