Sepatah Dua Kata

Isnin, Mac 19, 2012

Semanis Epal


Ini adalah sambungan cerpen “Epal Cinta Kita”. Babaknya bersambung dari babak sebelum ini. 
Selamat membaca!

LANGKAHNYA dipercepatkan. Dia tahu gadis itu pasti ada di sana. Di tempat rasa cinta mereka berputik. Dia harus cepat menguraikan curiga dalam hati gadis itu. Dan ternyata jangkaannya tepat. Di bangku bawah pohon semarak api yang rendang, seorang gadis sedang membuang pandang ke tasik yang beralun tenang. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri.
          “Jauhnya termenung. Dah sampai mana? Itali ke?”
          Raihana terpana. Perlahan-lahan wajahnya ditoleh ke kiri. Anak matanya membulat.
          “Hebat betul rancangan awak ya. Ada bakat jadi pengarah ni,” sindir Yuzer.
          “A... Apa yang awak buat kat sini?” gugup Raihana bersuara.
          “Awak yang mesej saya semalam ajak jumpa kat taman ni, kan?”
          “Tapi...”
          “Syyhh... Biar saya jelaskan.”
          Semilir petang yang bertiup menghantar nyaman pada Yuzer dan Raihana. Ciak-ciak burung di kaki langit sedikit menghiburkan. Taman Tasik Seremban agak ramai pengunjung petang itu.
          “Awak tak percayakan saya?” soal Yuzer, membuka bicara setelah agak lama mereka membisu.
          Raihana menunduk. Percaya... Cukupkah cinta hanya berlandaskan percaya?
          “Saya tak sesuai dengan awak Yuzer...” ucap Raihana lalu menunduk.
          “Apa hak awak untuk tentukan siapa yang sesuai dengan saya? Hanya saya yang tahu siapa yang sesuai untuk saya. Hanya saya yang berhak ke atas diri saya. Bukan awak Ana.”
          “Awak tak sepatutnya dengar dari sebelah pihak saja. Saya kekasih awak Ana. Awak seharusnya mempercayai saya sebagaimana saya tidak pernah meragui awak,” sambung Yuzer.
          Raihana dapat rasakan empangan matanya bakal pecah bila-bila masa sahaja. Sungguh, kata-kata Yuzer menyiat-yiat rakus hatinya. Ya, dia bersalah kerana tidak mempercayai cinta Yuzer padanya. Mengapa dia begitu buta melihat sinar cinta di mata lelaki itu yang dituju khas untuk dirinya? Mengapa dia biarkan hatinya diperangkap ragu-ragu? Cinta itu tidak semestinya dilafaz dari bibir. Ia terserlah dari pelbagai cara.
          “Maafkan sayaYuzer, maafkan saya...” ujar Raihana, mula teresak.
          Yuzer menarik nafas lalu menghembusnya perlahan-lahan. Dia tidak salahkan Raihana. Dia faham apa yang gadis itu fikirkan. Silapnya kerana masih tidak mampu menarik kepercayaan Raihana padanya. Apatah lagi gadis itu pertama kali bercinta. Masih belum memahami selok-belok dan asam-garam dunia percintaan.
          “Nah, jangan menangis lagi. Hodoh tau!” usik Yuzer lalu menghulurkan sesuatu pada gadis yang kian memenuhi ruang hatinya dengan rasa cinta.
          Raihana mengangkat wajah. Sebiji epal merah menghiasi pandangannya yang kabur dengan sisa air mata. Huluran itu tidak disambut sebaliknya pandangannya dialih pada wajah Yuzer. Mata kedua-duanya saling bertentangan.
          “Kenapa awak selalu beri saya epal?” tanya Raihana, soalan yang sejak dari dulu disimpan dalam mindanya.
          “Awak kan pernah beritahu saya bahawa awak suka makan epal?”
          “Jadi?”
          “Jadi, saya sentiasa mahu berikan sesuatu yang awak suka supaya awak sentiasa gembira. Kegembiraan awak, adalah kegembiraan saya juga. Senyuman awak, memberi semangat pada saya. Keceriaan awak, menceriakan saya. Dan kesedihan awak, kalau boleh saya mahu menanggungnya...”
          Mendengar kata-kata Yuzer, Raihana kembali teresak semula. Tuhan, sungguh dia tidak layak berdampingan dengan lelaki sebaik Yuzer. Kali ini dia bertekad, tidak akan lagi membiarkan curiga dan ragu-ragu menghantui perhubungan mereka.
          Epal di tangan Yuzer dicapai lalu digenggam erat. “Epal, tanda cinta kita ya.”
          Yuzer mengangguk dalam senyuman.
          “Sekejap! Kenapa semalam awak beri saya bunga ros warna kuning? Awak tahu, kan, ros kuning lambang persahabatan?” tanya Raihana.
          “Saya tahu. Tapi...”
          “Tapi?”
          “Ros merah kat kedai bunga tu dah habis. Jadi, saya belilah yang warna kuning. Tapi tak sangka pula sebab warna ros, awak boleh salah anggap pula. Bunga aja pun. Suka sangat fikir yang bukan-bukan,” jawab Yuzer dalam tawa.
          “Awak ni!” Raihana membentak sekaligus menyumbat epal di tangannya tadi dalam mulut Yuzer menyebabkan tawa lelaki itu terhenti.
          Kali ini, giliran Raihana pula ketawa. Bahagia!

*  *  *  *  *

RAIHANA dan Yuzer berjalan beriringan menuju ke kereta masing-masing. Kedua-duanya sudah berjanji untuk makan malam di restoran Masakan Minang yang terletak lebih kurang lima kilometer dari Taman Tasik itu. Restoran tersebut memang dikenali dengan keenakan masakan Minang seperti masak lemak cili api dan sambal berlada. Sudah tentu makanan pedas seperti itu merupakan kegemaran Yuzer. Raihana bukan tidak suka tetapi dia tidak begitu tahan pedas.
          “Letak kereta di mana?” soal Yuzer.
          “Dekat pintu masuk belakang,” jawab Raihana.
          Kedua-duanya menyambung langkah sehingga kelihatan kereta Kancil milik Raihana yang terletak di seberang jalan. Setelah memastikan tiada kenderaan yang lalu-lalang, Raihana mula melangkah diikuti dengan Yuzer. Tanpa sedar, muncul sebuah kereta Perdana V6 yang meluncur laju tiba-tiba. Pantas, Yuzer menarik Raihana ke belakang dan bunyi dentuman menampar kuat telinga Raihana. Segalanya berlaku terlalu pantas. Di hadapannya kini, tubuh Yuzer terkulai layu...

*  *  *  *  *
BERDECIT bunyi tayar apabila pemandunya menekan brek mengejut. Nafas ditarik dan dilepas berulang-kali. Terasa peluh merenik di dahi. Cermin pandang belakang diintai. Matanya membulat. Tidak! Bukan lelaki itu yang sepatutnya menjadi mangsa. Bukan niat mahu melanggar lelaki itu. Jahanam! Mengapa perempuan perampas itu terselamat?
          Melihat orang ramai mula berkerumun di tempat kejadian, dia mula memasukkan gear lalu menekan minyak. Sudah terlambat untuk berpatah balik. Tidak kiralah sama ada lelaki atau perempuan itu yang dilanggar. Asalkan kedua-duanya tidak dapat bersama. Dia telah berputih mata, dan pastinya dia tidak akan biarkan pasangan tersebut bahagia. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum. Ezyra puas hati.
          Tiba-tiba tawanya meletus. Padan muka Yuzer! Mungkin ini pembalasan yang lelaki itu patut terima. Sesedap mulut menyuruh dia berjumpa pakar psikatari. Dia bukannya gila! Tawa Ezyra semakin lama semakin kuat sehinggalah tanpa sedar dia melanggar lampu isyarat merah dan tanpa diduga sebuah lori meluncur laju merempuh bahagian tengah keretanya!

*  *  *  *  *

PINTU wad kecemasan itu masih belum dibuka sejak satu jam yang lalu. Raihana tidak betah duduk. Mundar-mandir di hadapan bilik tersebut. Resah di hati usah diteka. Bagai terbang seluruh semangatnya melihat tubuh Yuzer yang kaku sewaktu ambulans tiba tadi. Hatinya tidak berhenti-henti berdoa semoga kekasih hatinya itu selamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius. Sungguh, dia berhutang nyawa dengan Yuzer. Andai lelaki itu tidak menariknya, pasti dia yang telah menjadi mangsa. Tuhan, mengapa satu demi satu dugaan datang menimpa hubungan mereka? Ah, dia tidak seharusnya merungut mahupun mempertikaikan ketentuan Tuhan. Segera Raihana berisghtifar.
          Seketika, ingatannya kembali pada peristiwa kemalangan tadi. Dia masih ingat nombor plat kereta yang melanggar Yuzer. Sayangnya, wajah pemandu itu tidak kelihatan. Tidak kisahlah asalkan nombor plat kereta tersebut sempat dirakam ingatannya dan dia yakin boleh membantu siasatan pihak polis kelak.
          Kepada keluarga Yuzer, sudah dimaklumkan kejadian buruk yang menimpa. Walau baru sekali bersua-muka, penerimaan ibu bapa Yuzer pada dirinya adalah baik. Dia meminta untuk bercakap dengan papa Yuzer walaupun mama lelaki itu yang menjawab panggilannya. Dia tahu, papa Yuzer lebih kuat menerima berita buruk itu. Kata papanya, dalam dua jam lagi mereka akan tiba ke Seremban dari Segamat, Johor.
          Lampu bilik kecemasan itu akhirnya terpadam setelah hampir satu jam setengah sejak Raihana tiba di hospital. Seorang doktor lelaki yang bercermin mata keluar sambil membuka topeng mulut yang dipakai.
          “Bagaimana dengan Yuzer doktor?”
          “Cik ni...”
          “Kawan dia. Saya ada bersamanya di tempat kejadian,” jawab Raihana. Kawan, ya, lebih baik begitu supaya tidak perlu memanjangkan cerita.
          “Alhamdulillah, pesakit berjaya diselamatkan cuma buat masa ini pesakit masih tidak sedarkan diri. Saya cadangkan cik balik dahulu kerana pesakit perlu rehat yang secukupnya,” ujar doktor lelaki itu.
          Raihana mengangguk lalu mengucapkan terima kasih. Doktor tersebut meminta diri dan Raihana juga mula melangkah keluar. Dalam perjalanan ke keretanya, dia sempat memaklumkan pada keluarga Yuzer perkembangan terbaru anak mereka.
          Di dalam kereta, Raihana menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan. Syukurlah Yuzer selamat. Bagai satu beban berat yang dikendong diterbangkan angin lalu. Tidak dapat dibayangkan sekiranya Yuzer tiada di sisi. Mereka baru sahaja menyulam cinta, belum sampai ke jinjang pelamin. Sekali lagi nafas ditarik. Enjin kereta dihidupkan lalu kereta Kancil Raihana mula bergerak menuju ke satu tempat. Balai polis.

*  *  *  *  *
SAYUP-SAYUP kedengaran bunyi cengkerik yang mendayu-dayu bernyanyi di halaman rumah. Malam itu langit cerah dengan sinaran bulan. Sesekali bayu berpuput lembut, menyelimut dingin tubuh Raihana. Rindu... Ya, jiwanya bergelodak dengan rasa rindu pada Yuzer. Apatah lagi mengenangkan keadaan kekasih hatinya itu. Adakah Yuzer sudah sedarkan diri?
          Bunyi enjin motosikal memasuki halaman rumah menarik perhatian Raihana. Teman serumahnya Izayu baru pulang dari kerja. Gadis itu bekerja di sebuah kilang elektronik yang terletak tidak jauh dari rumah sewa mereka. Kerja bermula dari pukul sembilan pagi hingga enam petang tetapi selalu juga pulang lewat kerana melakukan kerja lebih masa. Dia yang duduk di muka pintu menyapa Izayu dengan senyuman.
          “Ni apa anak dara duk depan pintu ni? Tak elok tau. Orang tua kata nanti tak laku...” usik Izayu.
          Raihana tersengih. Banyaklah dia punya kata orang tua. Tak ada kajian santifik pun mengatakan anak dara yang duduk depan muka pintu itu tidak laku. Semuanya sekadar peringatan dari orang dulu-dulu kerana seorang gadis sewajarnya tidak mempamerkan diri untuk tontonan umum. Bukankah gadis Melayu itu terkenal dengan sifat pemalu? Ah, itu dulu. Zaman sekarang, rasa malu itu sudah semakin menipis. Rata-rata anak gadis tidak segan lagi bergaul bebas malah ada yang berani bertindak lebih dari sepatutnya. Entah bagaimana boleh hilang sifat pemalu itu, tidak pula Raihana ketahui. Cuma dirinya sentiasa berpegang pada pesan ibu. Jaga diri dan maruah sendiri dan keluarga. Maruah itu bukan boleh ditukar-ganti.
          “Ish, mengelamun aja kerjanya. Yuzer macam mana?”
          Pertanyaan Izayu mengembalikan Raihana ke alam nyata. Apa yang dikatakan doktor, itulah yang disampaikan pada teman serumahnya itu.
          “Kita doakan moga Yuzer cepat sembuh. Esok kau kerja ke?” Izayu bertanya pada gadis yang mengenakan baju kelawar rona biru tua itu.
        “Kerja tapi ambil half-day. Tengah hari nanti nak pergi hospital tengok Yuzer,” jawab Raihana.
          “Dahlah, jom masuk. Aku ada beli burger ayam ni,” ajak Izayu lalu menarik tangan Raihana bangun dan kemudian mengekori langkah Izayu ke dapur. Namun sempat dipandang langit  malam seketika.
          ‘Angin, sampaikan rinduku padanya...’ ucap Raihana dalam hati.

*  *  *  *  *

“TAK mungkin! Boleh cik semak sekali lagi?” soal Raihana dengan wajah tidak percaya.
“Betul cik. Pesakit bernama Yuzer sudah dipindahkan ke hospital lain atas permintaan keluarganya. Lebih baik cik hubungi keluarga mereka untuk maklumat lanjut,” ujar jururawat yang bermata sepet itu.
“Boleh saya tahu hospital mana dia ditempatkan?”
“Maaf, saya tak tahu,” jawab jururawat tersebut.
Raihana tergamam. Serasa tidak percaya keluarga Yuzer akan memisahkan dia dari kekasih hatinya itu. Apakah kesalahan yang telah dia lakukan? Bukan dia yang melanggar Yuzer. Ezyra yang sepatutnya dipersalahkan. Ya, pagi tadi dia baru menerima panggilan telefon dari pihak polis dan terkejut apabila mendapat tahu pemandu yang melanggar Yuzer adalah Ezyra. Memang gadis itu berada di tempat yang sama dengan mereka semalam. Tambah mengejutkan apabila berita kematian Ezyra yang didengar selepas itu kerana kemalangan jalan raya.
          Satu demi satu kejutan yang diterima seakan tidak mampu dibendung. Raihana melangkah longlai ke pintu masuk hospital. Bagaimana untuk menjejak Yuzer? Dia hanya ada nombor telefon rumah keluarga lelaki itu. Dan pastinya mama dan papa Yuzer tidak akan menjawab panggilannya. Hendak menghubungi telefon bimbit lelaki itu, mungkin tidak akan berhasil juga. Tuhan... apakah benar takdir tidak menyebelahi cinta mereka?

*  *  *  *  *

Sebulan berlalu...

“TERIMA kasih cik, datang lagi...” ucap gadis berbalus jingga itu dengan senyuman manis.
“Alhamdulillah, murah betul rezeki kita sejak kebelakangan ni. Semuanya sejak Ana buat promosi di blog dan FB. Untung Kak Faezah dapat pekerja bijak macam Ana ni,” ujar Kak Faezah sambil menggamit Raihana untuk mengambil tempat duduk di sebelahnya.
          “Alhamdulillah kak. Itulah gunanya teknologi. Zaman sekarang ramai yang suka beli secara online saja. Cepat dan mudah. Kak, saya ke belakang sekejap ya, nak minum. Akak nak air apa?”
          “Tak apa Ana, akak dah minum. Pergilah...” balas Kak Faezah.
          Raihana menuju ke pantri. Tekaknya terasa mahu menikmati jus oren tengah hari itu. Peti sejuk bersaiz kecil itu dibuka pintunya. Raihana terpaku sebentar. Beberapa biji epal merah yang ranum memenuhi ruang mata. Semalam tiada pula epal merah di situ. Mungkin Kak Faezah baru beli pagi tadi. Sekotak jus Peel Fresh dicapai lalu dituang ke dalam cawan. Matanya mengerling epal-epal merah tersebut. Serta-merta dadanya diterpa pilu.
          Sebulan telah berlalu tanpa apa-apa khabar dari lelaki itu. Bukan dia tidak berusaha mencari lelaki tersebut tetapi semuanya hampa. Lelaki itu telah berhenti kerja. Hendak ke rumah lelaki itu, dia tidak ingat alamatnya. Nombor telefon juga telah ditukar. Jelas membawa maksud yang dia sudah ditinggalkan. Sampai sekarang dia tidak dapat memikirkan sebab mengapa keluarga Yuzer bertindak menjauhkan mereka. Adakah kerana dia hanya seorang gadis biasa saja? Tidak sekufu dengan Yuzer yang datang dari golongan agak berada?
          Jus oren di dalam cawan diteguk beberapa kali. Terasa dingin. Pintu peti ais ditutup semula. Seperti mana dia telah menutup pintu hatinya dari mengingati lelaki itu. Ah, walau telah ditutup, sesekali ia akan terbuka juga, seperti tadi. Masakan dia boleh melupakan lelaki yang telah membawa separuh hatinya itu pergi bersamanya. Namun, dia redha. Jika memang sudah ditakdirkan tiada jodoh antara dia dan Yuzer, apa yang mampu dilakukan hanya terima. Pasti Tuhan sudah aturkan jodoh yang lebih baik buatnya. Sementara ini, biarlah dia merawat duka di hati. Biarlah dia bersendirian sehingga benar-benar bersedia menerima sapaan cinta sekali lagi.
          Cawan yang digunakan tadi dibasuh lalu diletakkan di dalam bekas berhampiran sinki. Nafas diatur normal ke ruang hadapan semula. Kedengaran suara orang berbual. Pasti ada pelanggan yang baru datang. Sejak dia membuat blog dan FB tentang butik ini, ramai yang tinggal berhampiran kawasan itu datang menjengah. Baru sahaja dia hendak menyertai Kak Faezah dan pelanggan yang datang, langkah kakinya mati. Matanya membulat. Deruan nafasnya kelam-kabut. Sendi lutut terasa longgar. Tubuhnya menggigil.
          Mata bertentang mata, tiada suara yang menyapa. Masa terasa berhenti seketika. Seakan mereka berdua sahaja yang bernafas tika itu. Raihana terjelepok ke atas permaidani. Tak! Tak mungkin! Yu... Yuzer?!

*  *  *  *  *

SUDUT bacaan yang terletak di bahagian kanan butik Bunga-cunga Cinta menjadi tempat pertemuan dua jiwa yang saling merindu. Lima minit berlalu, hanya mata yang bersuara. Lidah seakan kelu untuk melontar kata.
          “Ana...” akhirnya Yuzer membuka bicara.
          Raihana terasa matanya bergenang. Fikirnya, dia tidak akan mendengar suara itu memanggil namanya lagi. Dikuatkan hati agar air matanya tidak tumpah. Terlalu banyak yang ingin ditanya tetapi semuanya tersekat di kerongkong.
          “Ana sihat?”
          Hanya anggukan sahaja sebagai jawapan pertanyaan lelaki berkemeja kotak-kotak di depannya. Ya, secara luaran, memang kelihatan dia sihat seperti biasa. Namun dalamannya, sudah hancur-luluh.
          “Ana sihat?”
          Ah, tidak perasankah Yuzer akan anggukannya tadi? Sekali lagi Raihana mengangguk. Sungguh, mulutnya terasa bagai digam. Ketat dan rapat.
          “Ana sihat?” tanya Yuzer untuk kesekalian kalinya.
          Sepasang mata bening milik Yuzer ditatap sayu. Dia tahu lelaki itu mahu memancingnya berbicara tetapi dia tidak punya kekuatan untuk melafaz kata. Hati dan jiwanya sudah basah-kuyup dengan hujan derita. Terlalu perit mengenangkan luka yang ditinggalkan Yuzer.
          “Saya minta maaf.”
          Air mata yang ditahan sejak tadi gugur juga. Ucapan maaf Yuzer dirasakan seperti pisau tajam yang menyiat-nyiat rakus hatinya. Pedih. Bukan itu yang mahu didengar dari mulut Yuzer. Dia mahu tahu apakah status dirinya kini pada lelaki itu. Apakah masih punya cinta dalam hati Yuzer untuknya?
          “Kenapa? Kenapa awak hilangkan diri?” akhirnya, Raihana bersuara. Tidak mampu lagi menahan gelora rasa ingin tahunya.
Yuzer melepaskan keluhan. Kali ini gilirannya pula yang sukar berkata-kata. Soalan Raihana itu sudah dijangka. Sangkanya dia sudah bersedia dengan jawapan tetapi mengapa lidahnya tidak mengikut arahan? Kelu dan bisu.
          “Kenapa Yuzer?” suara Raihana sedikit meninggi.
          “Tak cukupkah keadaan diri saya sebagai jawapannya?”
          Raihana tersentak! Memang sewaktu mula dia bersua dengan Yuzer, bagai tidak percaya melihat keadaan diri lelaki itu. Yuzer datang bersama-sama mama dan papanya. Yuzer datang dengan keadaan dirinya berkerusi roda. Lelaki itu lumpuh kedua belah kaki. Jangan... Jangan katakan sebab ini Yuzer menghilangkan diri.
          “Saya tak kuat Ana...” sambung Yuzer lagi.
          “Yuzer... Awak...”
          “Selepas sedar dari kemalangan, saya dapati kedua belah kaki saya tak dapat digerakkan. Kemalangan tersebut menyebabkan saya lumpuh Ana. Jadi, bila papa dan mama saya tiba, saya terus minta mereka untuk tukarkan saya ke hospital lain. Saya malu nak berjumpa dengan awak, Ana. Saya tak mahu awak lihat saya tak berkeupayaan macam ni. Saya tak mahu awak menderita dengan saya sebagai beban. Saya tak mahu menyusahkan awak. Awak berhak dapat lelaki yang sempurna, yang bukan cacat macam saya!” luah Yuzer.
          Raihana teresak. Tuhan... Mengapa begini jadinya hubungan cinta mereka?
          “Awak kejam Yuzer! Kejam!”
          “Ana...”
          “Awak ingat saya ni apa? Tak ada hati dan perasaan? Tak nak biar saya menderita? Apa dengan meninggalkan saya terkapai-kapai mencari awak, saya bahagia? Tak Yuzer, tak! Saya menderita merindui awak, risau memikirkan keadaan awak.
          Kenapa awak buat saya macam ni? Saya bukan seorang yang pentingkan diri. Bila kita menyayangi dan menyintai seseorang, kita akan berkongsi segala dengannya. Suka dan dukanya, sakit dan peritnya, tak kisahlah macam mana keadaan dirinya sekalipun. Cinta itu satu janji Yuzer. Janji untuk memberi dan menerima. Janji untuk berkongsi hidup dan menempuh dugaan bersama. Apa, tak cukup kuatkah cinta saya pada awak sehingga awak tegar tinggalkan saya begitu saja?”
          Yuzer diam menikus. Dia tahu silapnya meninggalkan kekasih hatinya seorang diri. Bukan dia tidak percaya pada cinta Raihana, dia cuma tidak yakin pada dirinya sendiri. Dia tidak mahu menjadi satu beban pada gadis itu. Namun, setelah sebulan berlalu, dia mula sedar dirinya tidak dapat hidup tanpa Raihana. Siang dan malam hanya wajah Raihana yang berlegar dalam ruang matanya. oleh sebab itu dia tekad untuk bersemuka dengan buah hatinya itu hari ini. Untuk menjalinkan semula hubungan yang terputus sementara. Dia mahu bersama-sama Raihana mengharungi kehidupan ini.
          Kerusi rodanya ditolak menghampiri Raihana yang menunduk dalam esakan. Kepala gadis itu diusap lembut.
          “Maafkan saya Ana. Maafkan saya... Saya tak akan tinggalkan awak lagi...” ucap Yuzer.
          Raihana terus menangis dan menangis. Mama Yuzer menghampiri mereka lalu menghulurkan sesuatu pada anak lelakinya itu. Yuzer menyambut dengan senyuman.
          “Ana, epal merah ini rasanya manis. Saya mahu awak bantu saya bersama untuk jalani hidup ini agar kehidupan kita manis seperti epal. Jika sudi, terimalah epal ini, Ana...” ujar Yuzer lalu mengunjukkan sebiji epal merah di tangan kanannya pada gadis yang sejak tadi tidak berhenti menumpahkan air mata.
          Perlahan-lahan Raihana mendongak. Wajahnya sembap dengan mata yang memerah. Epal di tangan Yuzer tampak kabur namun warna merahnya seakan menyalurkan semangat dalam diri. Lantas, dicapai epal merah tersebut lalu dibawa ke dada sambil digenggam erat.
          “Jangan tinggalkan saya lagi Yuzer...”
          “Tidak sayang. Epal ini akan jadi saksi cinta kita yang kembali terjalin,” ucap Yuzer dalam senyuman.
          Begitu juga dengan Raihana. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Manis, seperti epal di tangan...
TAMAT


1 ulasan :

diqa berkata...

Cinta memerlukn pengorbnn...cinta yg suci kekl abadi....hnya kpda Allah kta brserah...