Sepatah Dua Kata

Isnin, April 16, 2012

Cerpen: Carta Hati Najwa




“BELAJAR main gitar?”
Wajah bujur sirih dengan tudung rona ungu di hadapannya dipandang dengan penuh tanda tanya. Sejak bila pula gadis bernama Najwa ini minat pada alat muzik? Gitar pula tu. Bukahkah sebelum ini gadis itu mengatakan bahawa bermain alat muzik membuang masa sahaja? Pelik! Tersampuk hantu agaknya. Ish, mustahil!
“Ha’ah, main gitar. Saya tahu awak pandai main gitar. Please, ajar saya. Yang asas pun jadilah. Saya memang nak sangat belajar. Tolong ya Dil,” rayu Najwa sambil mengerdipkan mata beberapa kali, cuba berlagak comel.
Aidil berdehem beberapa kali. Sejak tadi wajah putih kemerahan gadis di hadapannya itu ditatap dengan rasa curiga. Pasti ada sebab mengapa Najwa tiba-tiba berminat mahu bermain gitar.
          “Macam nilah, terus-terang dengan aku, kenapa kau, seorang pelajar medik, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba nak belajar main gitar?” Aidil akhirnya meluahkan apa yang sejak tadi bermain di mindanya.
          Najwa mengukir senyum kecil sebelum menjawab, “Saja, isi masa lapang.”
          Jawapan gadis berblaus ungu itu mengundang sengih Aidil. Satu jawapan selamat pada hematnya. Dia tahu, ada sebab lebih penting lagi untuk Najwa belajar bermain gitar tetapi sukar untuk ditekanya.
          Beberapa orang pelajar yang lalu-lalang di hadapan sesekali melirik ke arah mereka. Bangku kayu di bawah pohon semarak api itu menjadi singgahan sebelum kuliah seterusnya bermula. Ada lebih kurang setengah jam lagi.
          “Eh, kau join tak ujibakat kelab muzik tu? Aku dengar, kalau lulus, boleh keluar temu-janji dengan Abang Nurman tau!”
          “Serius? Tapi aku tak pandailah main alat muzik ni. Ruginya...”
          Telinga Aidil menangkap perbualan dua orang gadis yang berjalan di hadapan mereka. Ujibakat kelab muzik? Jangan-jangan...
          “Kau biar betul Naj?” soal Aidil dengan mata yang terbeliak.
          Kali ini giliran Najwa pula tersengih. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Yakin kawan baik sejak sekolahnya ini sudah tahu tujuan sebenarnya untuk belajar bermain gitar.
          “Kau jangan main-main Naj,” tutur Aidil lagi.
“Saya serius Dil. Saya yakin boleh lulus dalam ujibakat tu,” balas Najwa.
“Semuanya sebab lelaki buaya tembaga tu?”
“Tak elok awak cakap macam tu. Abang Nurman lelaki yang baik!” Najwa bertegas.
“Baik? Bertukar-tukar pasangan tu kira baik ke?” Aidil menyindir.
“Awak tahu kan yang Abang Nurman tu Naib Pengerusi Persatuan Pelajar. Mestilah ramai orang yang jumpa dia,” Najwa membela pujaan hatinya.
“Naj, aku bukan nak mengata tapi kau yakin yang Abang Nurman akan jatuh hati pada kau? Hanya sebab dia pernah selamatkan kau dari dilanggar dulu, tak bermakna dia sukakan kau.”
“Perasaan hati itu sesuatu yang sukar dijangka Dil. Walaupun Abang Nurman tak kenal saya, tapi saya akan berusaha untuk mendekati dia. Saya yakin dengan perasaan dalam hati saya,” ujar Najwa seraya meletakkan kedua telapak tangannya ke dada.
Aidil menarik nafas panjang. Ya, kata-kata Najwa memang tidak silap. Perasaan hati itu memang sukar dijangka tetapi sebagai manusia yang dikurniakan akal, tidak terfikirkah Najwa akan perbezaan taraf antara dia dan lelaki itu? Mustahil lelaki yang menjadi pujaan seluruh kampus boleh jatuh hati pada gadis biasa seperti Najwa. Apatah lagi mereka berlainan jurusan. Seorang belajar muzik dan seorang lagi mendalami bidang perubatan. Sangat tidak serasi.
“Salah ke kalau saya belajar main gitar untuk sampaikan hasrat hati saya? Sebagai kawan, awak tak boleh tolong saya?” soal Najwa apabila tiada reaksi dari pemuda berkemeja kotak di sebelahnya.
“Maaf, aku tak dapat tolong.”
“Aidil!”
“Aku tak mahu tengok kau kecewa Naj. Berhentilah sebelum kau buat hati kau sendiri sakit. Dia tak mungkin akan masuk dalam carta hati kau,” ujar Aidil.
Najwa tersentak. Lantas ingatannya menerawang pada perbualannya dengan Aidil sewaktu mereka mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading ini.
“Awak nak tahu sesuatu tak?”
“Apa dia?” tanya Aidil.
“Cuba teka, awak berada dalam kedudukan nombor berapa dalam carta hati saya?”
“Carta hati?” Aidil bertanya, hairan.
“Yup, carta hati untuk orang yang saya sayang. Tempat pertama tentulah papa dan mama saya,” jawab Najwa dalam senyuman.
“Ooo... Jadi aku nombor berapa?”
“Rahsia!”
“Dia yang suruh teka, lepas tu rahsia pula. Apalah kau ni...” Aidil menarik muka masam.
“Awak tekalah,” pujuk Najwa.
“Malaslah...”
“Huh, kalau macam tu, awak tak ada tempatlah dalam carta hati saya,” rajuk Najwa membuatkan Aidil tergelak.
“Okey, walaupun aku tak berada dalam carta hati kau, aku nak kau tahu, tak ada siapa dapat ganti kedudukan aku sebagai teman yang paling rapat dengan kau.”
“Naj!”
Nada suara Aidil yang sedikit tinggi itu mengejutkan Najwa dari lamunan. Wajah pemuda itu dipandang sekilas sebelum dialih pada sekumpulan pelajar yang sedang duduk berkumpul di meja kecil tidak jauh dari kedudukan mereka. Ya, di mana agaknya kedudukan Abang Nurman dalam carta hatinya ini?
“Kalau awak tak dapat tolong tak apalah. Saya akan cuba tanya pada kawan-kawan yang lain. Maaf sebab susahkan awak,” ucap Najwa lalu bingkas bangun.
Baru sahaja beberapa tapak dia melangkah, kedengaran suara Aidil memanggil namanya.
“Baiklah, aku akan ajar kau...” lemah Aidil berkata.
Najwa tersenyum lebar, menampakkan barisan giginya yang memutih. Sememangnya Aidil adalah kawan yang paling baik.


DERU angin malam yang menampar wajah terasa menyamankan. Sengaja dia berdiri memandang ke luar jendela, melihat langit yang dihiasi kerdipan bintang yang begitu mempersona. Kala itu, seraut wajah milik lelaki yang mengusik jiwanya muncul di awangan. Masih ingat kali pertama bertentang mata, ada debar yang menggila. Sungguh dia terhutang nyawa dengan lelaki bernama Nurman itu. Jika lelaki tersebut tidak menyelamatkannya dari dilanggar motosikal ketika melintas jalan berhampiran fakulti muzik dulu, mungkin dia sudah tidak berada di sini lagi. Sejak itu, dia sudah bertekad untuk memiliki hati Nurman yang berumur 23 tahun, tua tiga tahun daripadanya.
          Nurman berada dalam semester akhir pengajian muziknya sementara dia masih ada beberapa tahun lagi untuk menamatkan pengajian. Biasalah, pelajar jurusan perubatan punya tempoh pengajian yang lebih lama berbanding jurusan lain.
          Mulanya tidak tahu bagaimana untuk mendekati Nurman. Sebagai Naib Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar, tentunya lelaki itu menjadi tumpuan. Apatah lagi wajah seiras pelakon muda Nazim Othman yang hangat diperkatakan sekarang ini. Ketampanan wajahnya saja sudah membuatkan ramai siswi tidak lena tidur. Kalau dapat berbual dengannya, memang boleh dikatakan bertuah.
Dan apa yang membuatkan Najwa lebih jatuh hati padanya adalah lelaki itu menghormati kaum wanita. Walupun desas-desus mengatakan lelaki itu seorang playboy, Najwa tahu itu tidak benar. Dia tidak pernah nampak Nurman berpeleseran dengan mana-mana siswi sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa dengan sukan ragbi dan kumpulan muziknya.
Sekarang, peluang untuk memikat Nurman sudah tiba. Fakulti muzik menawarkan pelajar dari fakulti lain untuk bersama-sama membuat persembahan pada malam kemuncak festival penubuhan kampus yang ke-10 tahun. Ujibakat pemilihan peserta akan diadakan dua minggu lagi dan peserta-peserta yang dipilih akan menjalani latihan bersama-sama dengan ahli koir fakulti muzik di mana Nurman adalah salah seorang ahlinya.
Antara kriteria peserta untuk ujibakat itu adalah tahu bermain alat muzik, tak kisah apa jenis sekalipun. Najwa tahu, pasti ramai yang akan menghadirkan diri terutama golongan siswi kerana tidak mahu melepaskan peluang berada dekat dengan lelaki pujaan kampus, Nurman. Walaupun peluang untuk lulus agak tipis, tetapi dengan pertolongan Aidil, sedikit-sebanyak menambah semangatnya untuk terus berjuang. Dia bukan gadis yang cepat putus asa. Keturunan Tun Sri Fatimah tidak kenal erti kalah sebelum berjuang. Eleh, pandai-pandai saja mengaku keturunan Tun Sri Fatimah. Najwa ketawa kecil lalu kembali melayan lamunannya. Lamunan yang punya senyuman manis dari Nurman.


“SALAH key tu! Berapa kali nak ajar ni?” tegur Aidil, dengan wajah sedikit merah.
          “Ala, janganlah marah. Nama pun baru belajar, mestilah selalu buat silap,” ujar Najwa.
          Aidil menggeleng. Ikutkan hati, dia malas mahu menolong kawan sejak dari kecilnya itu. Mereka dah lama berjiran. Keluarga masing-masing cukup rapat. Dari tadika sehinggalah kini, dia dan Najwa sentiasa bersama. Jarang berpisah cuma jurusan yang mereka ambil di universiti ini berbeza. Najwa adalah pelajar perubatan sementara dia pelajar bidang kejuruteraan mekanikal. Namun, masih punya masa untuk ketemu selepas habis kuliah.
          “Kita berehat kejap. Lepas ni aku nak kau ingat balik key yang aku ajar semalam, faham?” tegas Aidil.
          Najwa mengangguk laju. Amboi, mengajar mengalahkan guru disiplin. Sabar Najwa, sabar. Demi ujibakat tu, kena berkoban sikit. Tahan aja bebelan si Aidil tu. Tak lama, dua minggu aje.
          Kertas-kertas yang bertulis nota-nota muzik itu diteliti. Tak adalah susah sangat belajar main gitar ni sebenarnya. Terasa seronok pula. Dah perasan ala-ala Najwa Latif pun ada. Kebetulan nama sama. Mana tahu nasib pun sama untuk terjun ke bidang nyanyian? Ah, merepeklah! Bidang perubatan tetap nombor satu di hati. Memang sejak kecil cita-citanya mahu mengikut jejak langkah papa menjadi seorang doktor. Cuma pilihan dia lebih menjurus kepada doktor sakit puan.
          Para pelajar yang lalu-lalang di sekitar taman itu tidak dihiraukan. Waktu petang begini, memang ramai pelajar yang beriadah. Ada yang berjogging, bersukan atau sekadar jalan-jalan menghirup udara petang. Seperti biasa, dia dan Aidil duduk di bangku di bawah pohon semarak yang mula berbunga jingga.
          “Assalammualaikum,” tegur satu suara menarik perhatian Najwa. Salam dijawab di dalam hati. Sepertinya dia mengenali suara itu dan apabila didongakkan muka, hampir terlopong mulutnya. Tidak percaya dengan apa yang dilihat mata.
          “A... Abang Nurman!” suara Najwa berubah ceria. Lebih tepat lagi, teruja.
          “Abang tak tahu pula Najwa pandai main gitar,” ujar Nurman.
          Najwa tersenyum nipis. “Tak adalah pandai. Sikit-sikit aja,”
          “Tak nak cuba masuk ujibakat kampus tu?” Nurman bertanya sambil menatap gadis yang berblaus hijau muda dengan tudung rona krim itu. Tampak manis wajahnya.
          Najwa menggeleng beberapa kali. “Tak layak rasanya Abang Nurman.”
          “Belum cuba belum tahu, kan? Kalau lulus, abang gembira dapat bekerjasama dengan Najwa,” ujar Nurman sekaligus membuatkan Najwa tersipu.
          Aidil yang memerhati sejak tadi hanya mencebikkan bibir. Pandainya kau berlakon ya Naj. Tak layak konon. Depan Abang Nurman bukan main lagi. Aku ni dah macam tunggul kayu pula terpacak tengok sinetron kau orang.
          “Okeylah, abang nak pergi berlatih ragbi ni. Harap Najwa sudilah sertai ujibakat tu nanti ya. Take care!” ucap Nurman lantas melangkah pergi.
          Najwa memerhati langkah Nurman yang kian jauh, Tidak berkerdip matanya. Dalam hati, sudah dilambung ombak gembira. Bukan senang dapat peluang berbual dengan Nurman. Walaupun sekejap, terasa sangat bermakna. Lebih-lebih lagi lelaki itu berharap yang mereka dapat bekerjasama dalam festival tu nanti. Ini yang buat tambah bersemangat!
          “Ehem, ehem... Sudahlah tu, nak tercabut biji mata aku tengok kau pandang dia. Dah, fokus! Fokus!” kata Aidil sekaligus menyentak khayalan Najwa.
          “Dil, dengar tak apa Abang Nurman cakap tadi? Dia nak saya join kumpulan muzik tu. Sukanya!”
          “Itu pun kalau luluslah...” perli Aidil.
          “Awak ni kan! Buat orang lemah semangat aja. Huh!”
          “Dah, dah, cepat mainkan key tu lagi sekali. Kalau tak jadi juga, jangan mimpilah kau nak lulus,” arah Aidil dengan tawa yang cuba ditahan. Wajah Najwa yang memuncung padanya sangat menggelikan hati.
          “Awak tengoklah, saya akan buktikan yang saya boleh lulus. Kalau berjaya, saya akan luahkan isi hati saya dekat dia!” tekad Najwa.
          Aidil tersentak. Entah kenapa kata-kata Najwa menghadirkan gusar di hati.


HARI yang ditunggu-tunggu sejak dua minggu lepas sudah tiba. Semalam, tidurnya tidak lena. Hatinya diselebungi gemuruh dan teruja. Berbaur menyebabkan dia sukar melelapkan mata. Seperti dijangka, ramai peserta yang ingin menjalani ujibakat tersebut. Hampir 90% darinya terdiri dari golongan siswi. Ada yang membawa gitar, biola, seruling dan pelbagai lagi. Tiba-tiba terasa kerdil pula.
          Gitar pinjaman Aidil digenggam erat. Nafas ditarik panjang lalu dihembus perlahan-lahan. Lelaki itu tidak dapat menemaninya hari ini. Saat dia memerlukan sokongan, Aidil tiada di sisi. Ah, bukan salah lelaki itu. Sepatutnya Aidil ada bersamanya sekarang tetapi sewaktu latihan petang semalam, ada seorang gadis yang tiba-tiba muncul lalu menyerahkan sepucuk surat pada lelaki itu.
          Apabila dibaca, ternyata surat bersampul ungu itu adalah luahan hati gadis tersebut. Fatini namanya. Turut dinyatakan tempat dan waktu untuk bertemu sekiranya Aidil menerima hasrat hati gadis itu. Oleh yang demikian, Aidil tiada di sisinya sekarang. Lelaki itu telah memaklumkan akan pertemuan dengan gadis semalam.
          Kini, tidak tahu mengapa hatinya berasa tidak enak. Adakah kerana dia tidak mahu berkongsi keprihatinan dan kasih sayang Aidil dengan gadis lain? Tidak, dia tidak boleh pentingkan diri sendiri. Aidil berhak mencari cintanya seperti mana dia sekarang yang sedang berusaha mendapatkan cinta dari Nurman. Jauh di sudut hati Najwa tahu, lenanya semalam terganggu kerana membayangkan pertemuan antara Aidil dan Fatini tetapi segera disangkal. Dia harus fokus pada ujibakat yang akan berlangsung sebentar lagi.
          Kedengaran suara ad-hoc meminta para peserta untuk beratur bagi memulakan proses pendaftaran. Sekali lagi Najwa menarik nafas lalu menggenggam gitar di tangan erat, seakan Aidil turut sama di sisinya.


KEPUTUSAN ujibakat akan diumumkan petang itu juga. Najwa menanti dengan penuh debaran. Walaupun keyakinan untuk menang senipis kulit bawang, harapan itu tetap ada. Telefon bimbit di tangan direnung seketika. Tiada kiriman mesej atau panggilan telefon dari Aidil. Mungkin lelaki itu sedang asyik bertemu-janji. Nampaknya, selepas ini dia tidak akan boleh selalu bersama Aidil lagi. Bimbang pula Fatini akan salah faham.
          Najwa termangu seketika. Jika dia tidak lulus dalam uji bakat ini, bermakna dia tidak akan meluahkan isi hati pada Nurman. Dan kesannya, dia akan kehilangan Nurman dan juga Aidil. Nurman itu tidaklah dia ralat sangat tetapi Aidil... Bukankah lelaki itu yang sejak kecil setia berada di sisinya? Mampukah dia menjalani hidup tanpa lelaki itu kelak?

          “Walaupun aku tak berada dalam carta hati kau, aku nak kau tahu, tak ada siapa dapat ganti kedudukan aku sebagai teman yang paling rapat dengan kau,”

Kata-kata Aidil berlegar di minda. Ya, memang tidak ada sesiapa yang dapat mengganti tempat Aidil sebagai teman yang paling akrab dengannya. Tiba-tiba Najwa rasakan hatinya dilanda sebak.
          “Baiklah, saya minta semua berkumpul. Keputusan akan diumumkan oleh Nurman sekejap saja lagi,” suara pengerusi majlis kedengaran.
          Para peserta mula berkumpul di tengah dewan. Masing-masing menanti dengan penuh debaran. Najwa berdiri di barisan belakang sekali. Tidak ada rasa teruja. Mungkin kerana Aidil tiada di sampingnya. Jika dia lulus, tentu Aidil gembira. Jika sebaliknya, tentu Aidil akan memujuk rasa kecewanya. Lelaki itu tempat dia berkongsi segala suka dan duka, tawa dan tangis.
          “Okey, lima orang peserta yang lulus ujibakat ini adalah....” suara Nurman kedengaran memenuhi ruang dewan.
          “Idris dari fakulti pengurusan, Aida dan Farah dari fakulti perniagaan, Ammar dari fakulti perakaunan dan... Najwa dari fakulti perubatan! Tahniah diucapkan!”
          Suara tepukan menggegar dewan. Najwa bagai tidak percaya dirinya terpilih. Dia tersentak apabila bahunya ditepuk lembut. Wajahnya dipalingkan ke kiri. Senyuman Aidil menghiasi ruang mata.
          “Tahniah! Aku tahu kau boleh lakukannya...” ucap Aidil.
          “Bila awak sampai?”
          “Baru beberapa saat. Hei, kenapa macam tak gembira aja ni?” soal Aidil, hairan.
          “Saya berjaya Dil?” pertanyaan Aidil dibalas dengan soalan.
          “Ya, kau berjaya lulus ujibakat tu. Betul!” tegas Aidil.
          Najwa berpaling semula ke hadapan. Wajah Nurman dicari. Setelah ketemu, dia pantas membuka langkah.
          “Naj, kau nak pergi mana?” soalan Aidil menghentikan langkah Najwa.
          “Saya nak jumpa Abang Nurman!” jawab Najwa lalu kembali menyambung jalan.
          Aidil terpaku. Dia terlupa. Jika gadis itu lulus, bukankah dia akan meluahkan perasaan pada lelaki pujaan hatinya? Langkah Najwa diperhati sehingga gadis itu bertemu dengan Nurman. Aidil rasakan dadanya sakit bagai dicucuk dengan beribu jarum.
Entah mengapa tadi selepas berjumpa Fatini, dia bergegas ke dewan untuk bersama-sama Najwa, memberi sokongan. Perjumpaannya dengan Fatini adalah untuk menolak hasrat hati gadis itu. Semalaman berfikir, dia yakin hatinya sudah lama menjadi milik satu nama. Hanya Najwa yang bertakhta di jiwanya. Namun, dia tahu sejak awal lagi dia tidak mendapat tempat di carta hati Najwa. Gadis itu tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan istimewa padanya. Tetapi dia tetap berharap, suatu hari nanti, dia punya kekuatan untuk memberitahu Najwa perasaan yang sekian lama terpendam di lubuk sanubari. Walaupun terlewat, sekurang-kurangnya beban rasa itu dapat diuraikan.
          Baru sahaja dia hendak berjalan keluar dari dewan, terdengar suara Najwa bergema di corong pembesar suara.
          “Maaf semua. Di sini saya nak buat satu pengumuman. Terus-terang, saya sertai ujibakat ni sebab nak luahkan perasaan pada Abang Nurman. Saya sukakan dia, mengagumi dia. Tapi tak tahu kenapa hati saya rasa kosong tiba-tiba. Namun kekosongan itu hilang serta-merta apabila saya bertentang mata dengannya tadi.”
          Seisi dewan mula senyap-sunyi. Semua pandangan tertumpu pada gadis berblaus biru muda dengan tudung rona putih di atas dewan. Nurman sejak tadi tidak lepas memandang Najwa. Dia sendiri terkejut dengan pengakuan gadis itu tadi. Tidak dinafikan, gadis itu sedikit mencuri perhatiannya selepas insiden kemalangan dulu. Tetapi dek kerana kesibukan dalam persatuan dan sukan, dia tidak dapat mendekati gadis itu. Mujurlah, rasa yang berputik dalam hatinya belum berkembang mekar.
          “Awak, saya sendiri tak sangka dengan perasaan saya tetapi saya yakin pada kata hati.  Bila awak tak ada tadi, saya tak dapat bayangkan apa yang akan jadi pada saya kalau awak tak ada di sisi. Awak ingat tak, saya pernah tanya, kedudukan awak dalam carta hati saya? Jawapannya...” ujar Najwa lalu tangannya mula memetik gitar.

Jangan engkau jangan pergi
Jangan tinggalku sendiri
Jangan tinggalkan carta hati
Kau janji kan bahagia
Ku janji kau tak terluka
Teruslah berada di carta hati kita

“Aidil, awak berada di kedudukan yang paling istimewa dalam carta hati saya,”
          Serentak dengan itu, tepukan gemuruh sekali lagi menguasai dewan. Tidak kurang juga bunyi mereka yang bersiul dan menjerit. Najwa memandang ke arah Nurman. Lelaki itu mengangguk dalam senyuman. Mujurlah Najwa sedar akan rasa hatinya. Mendengar luahan hati Najwa tadi, dirasakan ada getar yang mengusik jiwa tetapi segera dibuang jauh. Gadis itu telah menemui cintanya. Dan dia bukanlah cinta hati gadis itu.
          Aidil terasa masa seakan terhenti seketika. Tidak percaya dengan apa yang dilihat mata, didengar telinga. Benarkah? Benarkah dia mendapat tempat dalam carta hati gadis itu? Dari atas pentas, Najwa melambaikan tangan. Entah kuasa apa yang menggerakkan kakinya, Aidil berlari ke atas pentas. Sorakan dan siulan bergema lagi.
          Najwa menyerahkan gitar di tangan pada Aidil. Wajahnya merona merah tatkala pandangan mata lelaki itu menikam ke arahnya. Sungguh, dia tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk dia meluahkan isi hati.
          “Terima kasih sudi tempatkan aku dalam carta hati kau,” ucap Aidil lalu memetik gitar.
Sekali lagi lagu Carta Hati kedengaran. Kali ini dinyanyikan oleh Aidil, istimewa untuk Najwa.
Engkau duduk di situ
Diam tersipu malu
Mahu mendekati aku
Aku mulai resah
Hatiku jadi kebah
Melihat dirimu aku rebah
Tapi hati ini kuat menyatakan
Kau terkini duduk di carta hati
Lalu cinta kita bermula
Dari mata turun ke jiwa
Dari teman menjadi cinta
Dan berjanji untuk setia
Sehidup semati kita
Menjanjikan bahagia
Untuk kita berdua selamanya…
::TAMAT::
  

4 ulasan :

hikmah md isa berkata...

Saya suka ! X tau la tahun bila punya cerpen nie . Menghiburkan

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Terima kasih Hikmah. Gembira Hikmah menyukainya. :)

Aimie Lieya berkata...

😁👍😍😍

Syahirah_sya berkata...

👍