Sepatah Dua Kata

Ahad, April 22, 2012

Tercipta Untukku - Bab 04




NOVEL yang sudah hampir separuh dibaca itu diletakkan ke tepi. Babak yang sedang dibaca sekarang hampir serupa dengan apa yang sedang berlaku pada dirinya. Cuma heroin di dalam novel itu tidak berputus asa untuk menambat hati si hero. Serta-merta seperti ada satu semangat yang hadir dalam diri. Bernyala-nyala bagai api yang marak membakar. Ya, dia tidak seharusnya cepat mengalah. Bukankah Nain sendiri mengatakan tiada siapa yang berada di hatinya kini? Jadi, dia tidak patut melepaskan peluang untuk lebih dekat dengan lelaki itu. Buangkan rasa malu, lontarkan rasa segan. Dia perlu kuat untuk membuatkan Zulkarnain sedar akan kehadiran dirinya.
          Adhwa bingkas bangun dari tilam. Dia mencapai buku catatan yang berada di atas meja lalu mula mencatit sesuatu. Lebih tepat, perancangan untuk memiliki hati Zulkarnain. Beberapa minit menulis, jari-jemarinya berhenti menari. Sebuah senyuman diukir tanda puas. Harap-harap rancangannya ini berjalan lancar. Adhwa, fighting!
          Bunyi tolakan pintu menarik perhatiannya. Adhwa berpaling ke belakang. Wajah Faridah kelihatan sugul pada pandangan mata. Gadis itu mencampakkan beg sandang ke atas katil. Usai membuka sepatu rona biru yang dipakai, tubuhnya terus dihempas ke atas tilam. Sebuah keluhan berat dilepaskan. Adhwa hanya diam memerhati. Jarang dia lihat Faridah diam tanpa bicara. Pasti ada sesuatu yang buruk telah berlaku.
          “Benci! Benci! Benci!” jerit Faridah tiba-tiba membuatkan Adhwa melekap tangan ke dada, terkejut.
          “Ida...” tegur Adhwa.
          “Lelaki semua sama! Pantang nampak yang cantik, mula nak mengendeng. Apa, perempuan yang tak cantik tak layak bercinta ke?” rungut Faridah masih dalam keadaan baring.
          Adhwa menggeleng. Apa-apa sajalah rakan sebiliknya ini. Nak kata ada teman lelaki, tak pernah nampak pula. Lagipun mesti Faridah akan memberitahunya jika gadis itu sudah punya kekasih hati. Tapi setakat ini dia memang yakin 200% bahawa Faridah masih single and available.
          “Ida, kenapa ni?” soal Adhwa apabila gadis itu senyap tiba-tiba.
          Mendengar pertanyaan Adhwa, Faridah bangkit dari baring. Tudung rona biru yang tersarung di kepala ditarik, menampakkan rambutnya yang panjang separas bahu. Diselak rambutnya ke belakang. Sekali lagi kedengaran gadis itu melepaskan keluhan.
          “Aku sakit hati,” ujar Faridah.
          Adhwa mengangkat kening ala-ala ahli gusti The Rock. “Sakit hati dengan siapa?”
          “Nazran.”
          Pantas raut wajah pemuda bercermin mata dengan rambut botak licin itu terbayang di ruang mata. Dia kenal pemuda itu yang merupakan ahli kelab tenis seperti Zulkarnain. Samalah dengan dia juga. Walaupun dia menyertai kelab tersebut kerana suka-suka (sebab mahu dengan dengan Zulkarnain lebih tepat), ada juga dia bertegur—sapa dengan ahli-ahli lain.
Em, Faridah jatuh hati pada Nazran ke? Bukankah selama ini hubungan mereka tidak pernah baik? Kalau di dalam kelas asyik nak berlawan mulut aja. Itu yang dicakapkan Faridah padanyalah. Mana dia tahu sebab dia tidak sekelas dengan rakan sebiliknya itu.
“Apa pula yang mamat botak tu buat kali ni?” soal Adhwa, memancing rakannya berbicara.
“Macam ni. Masa kelas elektronik tadi, kita orang buat eksperimen. Nasib aku malang dapat satu kumpulan dengan dia. Dalam kumpulan tu ada lima orang. Dua perempuan tiga lelaki. Yang perempuan lagi seorang namanya Tasha. Model celup orang kata,” ujar Faridah.
‘Ada saja gelaran bukan-bukan yang diberi dek Faridah ni,’ getus hati Adhwa, lucu.
“Nama pun model celup, confirm perangai tu gedik. Aku pun tak tahulah macam mana minah tu boleh ambil course engineering ni. Pasang litar yang tutup sebelah mata aje boleh buat tu pun dia fail, inikan nak buat projek lagi rumit. Dipendekkan cerita, ada ke si mamat botak tu boleh suruh model celup tu duduk diam aja tak buat kerja. Konon nak tunjuk terror.
Aku pun apalagi, beranginlah. Mahunya puting beliung kelas tu tadi kalau budak lelaki yang dua orang tu tak tenangkan aku. Nama pun kerja kumpulan, kenalah buat sama-sama. Ah, bencilah aku!”
Adhwa mengangguk. Kali ini dia bersetuju dengan Faridah. Memang dasar lelaki hidung belang. Eh, kenapa mesti belang ya? Kenapa tak hidung penyet ke, polkadot ke, ops, terlebih sudah. Hmm... Memang patutlah Faridah sakit hati.
“Oh ya, tadi aku jumpa Qayyum. Dia kirim salam,” sempat Faridah menyampaikan pesan.
Kiriman salam Qayyum dijawab dalam hati. Sejak dua hari lepas, dia jarang menghubungi lelaki itu. Sengaja menjarakkan diri supaya tidak memberi harapan pada Qayyum. Lebih-lebih lagi dia akan melaksanakan rancangan untuk menambat hati Zulkarnain. Dia perlu fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya supaya rancangannya berjalan lancar dan paling penting, menemui kejayaan.
“Kenapa ya kau tak terima Qayyum?”
Adhwa tersentak. Sudah, Faridah ni tiba-tiba tanya soalan cepu-gangsa. Bukan tadi tengah berbincang pasal sakit hati dia ke? Tup, tup tukar tentang perkara yang tak mahu diungkitkan ni pula.  
“Abaikan pasal tu. Ni kau dengan Nazran macam mana?” segera Adhwa menukar topik.
“Macam mana apa?”
“Sampai bila nak bergaduh? Orang dulu-dulu kata, kalau selalu bergaduh, nanti lama-lama sayang tau,” usik Adhwa.
Faridah mencebikkan bibir. “Banyaklah kau punya sayang. Musuh ketat aku tu...”
“Sekarang memanglah musuh ketat. Nanti, sayang ketat-ketat,” sambung Adhwa sambil ketawa kecil.
Sebuah renungan tajam dihadiahkan padanya. Woo... Macam kucing nak terkam tikus aja. “Rilekslah, orang gurau aje. Dah, dari kau layan sakit hati kau tu, baik kau pergi mandi. Kejap lagi cerita ‘My Girl’ nak start. Kalau kau lambat, aku turun dulu,” ujar Adhwa lalu kembali menghadap buku catatan di hadapannya.
Pantas kedengaran pintu almari dibuka. Siapa tak kenal Faridah, peminat fanatik drama dan lagu Korea. Drama ‘My Girl’ yang ditayangkan di televisyen setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 08.30 malam itu sudah berulang-kali ditonton tetapi masih tidak jemu-jemu. Mungkin sebab itu drama tersebut diulang-tayang semula.

“Kenapa kau tak terima Qayyum?”

Persoalan Faridah tadi berlegar di minda. Mudah saja jawapannya, tidak ada rasa cinta dalam hati untuk lelaki itu. Cintanya hanya untuk sebaris nama yang ditulis pada buku catatan di hadapannya. Mulai esok, rancangannya akan bermula. Tengoklah, Zulkarnain pasti akan jatuh hati dengannya!


“ACHUM!!!”
          Sekali lagi dia terbersin. Siapalah yang sedang mengatanya sekarang ni? Sudah beberapa kali dia terbersin sejak mula berlatih tadi. Nazran, lawannya sudah bersedia mahu membuat pukulan. Tanpa berlengah, dia menggenggam kuat raket tenis di tangan.
          Pukulan demi pukulan dibalas dengan baik. Dia perlu lebih giat berlatih memandangkan pertandingan tenis antara universiti akan berlangsung dalam dua bulan lagi. Sebelum itu, dua minggu lagi akan diadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan univerisiti luar. Walaupun bukan perlawanan sebenar, dia tidak boleh mengambil remeh perlawanan tersebut kerana ia akan dijadikan kayu pengukur kemajuannya.
          “Stop! Stop! Cukup aku dah penat ni,” laung Nazran lalu terduduk di atas lantai gelanggang.
          Zulkarnain melangkah ke tepi gelanggang. Dia melabuhkan punggung di atas bangku kayu yang disediakan di situ. Tuala putih dicapai lalu dikesat peluh yang mencurah di wajah dan leher. Botol air masak di sebelah diambil lalu air di dalamnya diteguk rakus. Terasa lega.
          “Aku tahulah kau terror main tenis tapi janganlah belasah aku teruk-teruk sampai tak dapat mata. Cubalah kesian sikit,” ujar Nazran yang entah bila sudah duduk di sebelahnya.
          Zulkarnain hanya tersengih. Bukannya dia mahu menunjuk hebat tetapi bila dia sudah berada di dalam gelanggang, tumpuannya memang diberikan sepenuhnya pada perlawanan. Tidak kisahlah sama ada semasa sedang berlatih atau ketika perlawanan sebenar, dia harus berikan yang terbaik.
          “Aku dengar kau terlibat dengan festival tak lama lagi tu. Anjuran fakulti kau dengan Fakulti Pengurusan Maklumat, kan?” tanya Nazran lalu meneguk air mineral di tangannya.
          “Ha’ah, jadi ad-hoc untuk tolong mana yang patut.”
          “Kalau tak silap ada pertandingan nyanyian, kan? Tak nak cuba masuk?” Nazran bertanya lagi.
          “Ish, tak mahulah aku. Buat malu aja. Suara aku bukan sedap pun.”
          “Nak merendah diri pula. Macamlah aku tak pernah dengar kau menyanyi. Masa nilah nak jadi lebih glamour. Confirm gadis-gadis cair punya...” ujar Nazran.
          “Ada-ada aje kau ni. Dahlah, kita stop kat sini. Balik dulu,” kata Zulkarnain lalu bingkas bangun mencapai beg sandangnya. Raket yang sudah dimasukkan ke dalam sarung disangkut pada bahu kanan.
          Dalam perjalanan menuju ke hostel, kata-kata Nazran berlegar di fikiran. Menyanyi merupakan salah satu hobi kegemarannya. Tidak ramai yang tahu akan minat nyanyiannya kecuali rakan-rakan di hostel. Tiba-tiba dia teringatkan Adhwa yang suka menyanyi di dalam kelas. Tidak dinafikan gadis itu punya suara yang lunak. Mengenangkan Adhwa, segera diseluk saku seluar putihnya. Telefon bimbit dicapai lalu butang mesej ditekan.
          Ucapan selamat malam ditaip lalu dihantar pada gadis itu. Entah mengapa dia suka menghantar ucapan itu pada Adhwa. Semua sebab Adhwa yang memulakannya dan dia sudah terbiasa. Jika dulu, gadis itu pasti akan membalas dengan tambahan tiga tanda hati. Namun sejak peristiwa dia menolak hasrat hati gadis itu, tiada lagi balasan yang diterima. Mungkin Adhwa sedang mengubat luka. Beberapa ketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada isyarat mesej diterima. Butang hijau ditekan.

Selamat malam. Mimpikan saya tau. <3 <3 <3

Zulkarnain tersentak. Tidak menyangka akan menerima balasan dari Adhwa. Adakah gadis itu telah sembuh dari lukanya? Perlahan-lahan, bibir Zulkarnain menguntum senyum.

p/s: Maaf sebab lambat update mini novella ini. Sekarang ada kelapangan sedikit, saya cuba sambung beberapa bab.

Tiada ulasan :