Sepatah Dua Kata

Selasa, Jun 19, 2012

Cerpen: Magis Frimorie



LANGKAH kaki dipercepat. Desah nafasnya tidak menentu. Peluh yang merenik di dahi hanya dibiarkan meleleh membasahi wajah. Sesekali dia menoleh ke belakang, bimbang jika ada yang masih mengejar. Semakin lama semakin laju dia berlari sehinggalah dia jatuh tersungkur akibat tersadung akar pokok di dalam hutan tebal itu. Dia segera bangun namun kaki kanannya berdenyut lantas dia mengerang sedikit. Pasti sudah terseliuh.
“Cari dia! Cari!” jeritan seseorang mengejutkannya.
Darah terasa mengalir laju mengepam jantung. Debar di dalam hati terasa menggila. Bagaimana dia hendak melarikan diri sekarang dengan keadaan kaki yang begini? Habislah jika dia ditangkap nanti. Dia tidak mahu kembali ke lembah derita itu. Dia tidak suka dikurung dan dilayan bagai tahanan. Tidak, dia tidak boleh kembali!
Bunyi salakan anjing kedengaran. Tak guna! Anjing-anjing itu pasti dapat mengesan baunya! Bertenang! Fikir! Fikir! Dia memejamkan mata, mengerah otaknya berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Bunyi air mengalir kedengaran sayup-sayup menampar gegendang telinga.
‘Sungai!’ detik hatinya.
Lantas dia cuba bangun sekali lagi dengan berpaut pada batang pokok yang sebesar pemeluk itu. Dia terus berjalan walau terhencut-hencut. Dia perlu segera sampai ke sungai. Biarlah sungai yang membantunya melarikan diri. Dia tidak kisah walau ke mana hala tuju sungai tersebut asalkan dia bebas dari mereka yang memburunya.
Seperti yang dijangka, memang ada sebatang sungai yang deras airnya tidak jauh dari tempat dia terjatuh tadi. Dia meneguk liur. Berenang bukanlah kepakarannya. Lebih tepat lagi, dia tidak tahu berenang. Sejak kecil dia tidak pernah diajar untuk berenang.
“Itu dia!” suara salah seorang dari kelompok yang memburu dirinya kedengaran.
Tanpa berfikir panjang, dia terus terjun. Biarlah dia lemas sekalipun, itu lebih baik dari ditangkap. Mungkin pengakhiran hayatnya sudah termaktub begini.
‘Selamat tinggal istana Futurina,’ desis hatinya dengan mata yang terpejam.


*  *  *  *  *

MATANYA dibuka perlahan-lahan. Seluruh tubuhnya terasa sengal-sengal. Dia cuba menggerakkan kaki dan tangannya tetapi tidak berdaya. Usai kelopak matanya terbuka, atap yang dibuat dari daun-daun pokok kelihatan. Pandangan matanya meliar. Jika tidak silap, dia berada di dalam sebuah pondok. Tapi, siapa pemiliknya?
            Bunyi keriuk pintu menarik perhatian. Seorang pemuda yang memakai baju lusuh terpampang di ruang mata. Pemuda itu mengukir senyum manis seraya melangkah ke arahnya.
            “Kamu sudah sedar?” perkataan pertama yang keluar dari mulut pemuda tersebut.
            “Di mana ni?”
            “Di rumah saya. Saya jumpa kamu terdampar di tepi tasik semalam. Sepertinya kamu dibawa arus,” jelas pemuda itu.
            Dia kembali menyelak memori lamanya. Ya, seingat dia, selepas terjun ke sungai, dia bergelut di dalam air yang deras sehingga pengsan. Sedar sahaja dia sudah berada di atas katil dalam pondok kayu ini. Kepalanya terasa berdenyut.


            “Siapa nama kamu?” pemuda itu bertanya.
            “Frimorie.”
            “Frimorie? Puteri Frimorie?” nada suara pemuda itu jelas terkejut.
            Anggukan dari gadis berambut panjang separas bahu itu membuatkan pemuda tersebut menarik nafas panjang lalu menghembuskannya dengan sekaligus.
            “Saya Gizani,” pemuda itu memberitahu namanya.
            “Terima kasih kerana menyelamatkan saya,” ujar Frimorie, lirih.
            “Hanya untuk tika ini saja,” balas Gizani, menarik perhatian Frimorie.
            “Maharani Fioria sudah mengeluarkan arahan untuk menangkap kamu dengan menawarkan sejumlah wang yang besar. Saya yakin, seluruh Negara Salfador kini sedang menjejaki kamu,” jelas Gizani.
            Mendengar nama bonda tirinya itu sudah cukup membuatkan jantung Frimorie serasa mahu luruh. Ya, bonda tirinya itu tidak akan melepaskannya dengan sebegitu mudah. Dengan kuasa yang Maharani Fioria ada, bukan susah mahu mencari dirinya.
            “Awak, akan serahkan saya pada bonda?”
            Gizani menggeleng sekaligus menghadirkan tanda-tanya dalam hati Frimorie. Mengapa pemuda ini tidak mahu mendapatkan ganjaran yang telah ditawarkan? Apakah ada agenda lain yang lelaki ini rancangkan?
            “Saya tidak tahu apa masalah yang telah kamu wujudkan di dalam istana tetapi sejak kemangkatan Maharaja Fullowski, negara ini sedang berubah. Kamu faham maksud saya bukan?”
            Frimorie mengangguk. Mendengar nama ayahandannya yang telah mangkat setahun yang lalu, menyebabkan hatinya diterjah pilu. Ada rindu yang membelit tangkai hati. Dia sangat rindu pada ayahanda dan bondanya, Maharani Irixa.
Bondanya itu telah mangkat selepas melahirkannya. Beberapa bulan selepas kemangkatan bondanya, ayahanda telah berkahwin dengan sepupunya yang bernama Fioria, yang seterusnya ditabalkan menjadi maharani.
            Sejak kecil, bonda tirinya itu tidak pernah melayannya bagai anak sendiri. Apatah lagi tidak pernah ada dalam keturunan keluarga Istana Futurina yang tidak tahu menggunakan kuasa magis. Mungkin kerana ayahandanya berkahwin dengan orang biasa, maka kuasa magis itu tidak diturunkan kepadanya.
            Walaupun dia puteri sulung kerajaan Salfador, dia tidak boleh menaiki takhta bagi menggantikan ayahandanya yang telah mangkat kerana dia tidak boleh menggunakan magis. Justeru, adik tirinya, Puteri Fioza yang akan dilantik menjadi raja baru. Namun, sehingga Puteri Fioza belum mencapai umur 18 tahun, bonda tirinya yang akan berkuasa. Adik tirinya itu baru berumur 14 tahun, sepuluh tahun lebih muda darinya.
            Frimorie bukan tidak boleh menggunakan magis sebenarnya. Sejak berumur lima tahun, sumber tenaga magisnya telah dikunci oleh bonda tirinya itu. Hal ini semata-mata untuk menghalangnya dari menaiki takhta. Walaupun ayahandanya berkahwin dengan bondanya dari kalangan orang biasa, dia masih dapat rasakan ada kuasa magis yang mengalir dalam diri cuma ia tidak boleh digunakan.
            “Atas alasan apa waran tangkap itu dikeluarkan?” soal Frimorie setelah agak lama berdiam diri.
            “Menderhaka dan cubaan membunuh Maharani,” jawab Gizani.
            Frimorie melepaskan keluhan. Memang ternyata bonda tirinya itu mahu menyingkirkan dia terus dari kerajaan Salfador. Atau lebih tepat lagi, membunuhnya!
            “Kenapa awak tak serahkan saya pada Maharani?”
            “Wajah awak kelihatan suci. Saya tidak percaya awak melakukan jenayah tersebut.”
            “Hanya dengan melihat wajah, awak boleh meneka peribadi seseorang?”
            Gizani menggeleng. Dia bangun lalu menghalakan kaki ke arah tingkap, membuang pandang ke kawasan pergunungan.
            “Setahun yang lalu, ada seorang pertapa singgah bermalam di sini. Sebelum bertolak untuk meneruskan pengembaraan, dia ada memberitahu bahawa akan ada seorang gadis yang berwajah polos akan saya selamatkan dari bahaya. Pesan pertapa lagi, saya perlu membantu gadis itu untuk mendapatkan haknya semula,” terang Gizani.
            “Awak yakin gadis yang dimaksudkan pertapa itu adalah saya?”
            “Ya!”
            “Dari mana keyakinan itu datang?”
            “Saya percaya pada suara hati.”
            “Awak tidak risau yang saya hanya akan mendatangkan bahaya pada awak?” tanya Frimorie lagi.
            “Saya dah bersedia. Dan sekarang ini pengembaraan kita akan bermula,”
            “Maksud awak?”
            Bunyi derap tapak kaki kuda menerjah pendengaran Frimorie. Adakah tentera dari istana sudah datang ke mari? Gizani dan Frimorie saling berpandangan. Tertera di wajah masing-masing akan riak cemas.


*  *  *  *  *

GIZANI segera melangkah ke tengah rumah. Dia menyelak tikar yang dibuat dari jerami lantas membuka sebuah pintu kecil yang tersembunyi.
            “Masuk dan jangan bersuara! Saya akan buka pintu ini kemudian,” arah Gizani.
            “Kenapa?”
            “Pengawal dari istana sudah tiba,” jawab Gizani.
            Frimorie tersentak. Wajahnya berubah pucat. Pantas dia mengikut arahan pemuda berambut pendek itu. Dia duduk menikus di dalam ruang bawah tanah yang hanya disinari cahaya lampu minyak tanah. Sekeliling ruang itu diperhati. Matanya bersinar.
            Terdapat beberapa buah rak yang menempatkan ratusan buah buku dan manuskrip lama. Ada yang sudah lusuh kulitnya. Ruang kecil itu juga terdapat sebuah meja berbentuk bulat dan dua buah kerusi. Tidak disangka ada ruang tersembunyi yang begitu menakjubkan di bawah pondok kayu ini.
            Dia melangkah ke arah rak buku lalu mencapai sebuah buku yang berkulit hijau tua. Buku tidak bertajuk itu dibuka kulitnya. Baris demi baris dalam buku itu dibaca dengan teliti. Serasa macam pernah dilihat di perpustakaan istana.
            ‘Tidak, ini tidak mungkin. Siapa gerangan lelaki itu sebenarnya?’ hati Frimorie berdetak.
            Sementara itu, Gizani berpura-pura bangun dari tidur apabila pintu rumahnya ditendang dari luar. Beberapa orang tentera berbaju zirah rona coklat dengan wajah yang bengis kelihatan.
            “Kami dari Istana Salfador. Ada kamu nampak seseorang yang mencurigakan sekitar kawasan ini?” tanya salah seorang dari tentera yang masuk ke dalam pondoknya itu.
            “Tidak tuan. Saya tidak nampak sesiapa sejak semalam. Tuan ada mencari seseorang?” dalih Gizani.
            “Betul kamu tidak nampak apa-apa?”
            “Betul tuan. Saya baru saja pulang dari mencari herba di hutan. Tidak ada pula kelihatan sesiapa yang mencurigakan menghampiri kawasan sekitar,” jelas Gizani dengan wajah yakin.
            Tentera yang bertanya tadi segera berpaling lalu melangkah keluar. Gizani dapat melihat dari luar jendela, tentera itu berbisik sesuatu pada seorang lelaki yang memakai topi seperti samurai. Ketua mereka barangkali.
            Beberapa ketika kemudian, tentera itu mengarahkan agar anak-anak buahnya berundur. Gizani menarik nafas lega. Mujurlah mereka tidak melakukan pemeriksaan di dalam pondok kecilnya ini.
            Setelah memastikan bayang tentera Istana Salfador tidak lagi kelihatan, Gizani menyelak semula tikar jerami yang menutupi lantai rumahnya. Dia membuka pintu kecil itu seraya berteriak memanggil nama Frimorie. Beberapa saat kemudian, Frimorie menjengah lalu menaiki anak tangga yang disediakan.
            “Tentera sudah pergi. Kamu selamat sekarang,” ujar Gizani.
            “Awak ini siapa sebenarnya?” tanya Frimorie sambil mengibas-ngibas baju seakan jubah yang menyelimuti tubuhnya.
            “Kenapa?”
            “Buku-buku di bawah itu milik siapa?”
            “Kenapa?”
            “Ia buku yang mengandungi mantera-mantera magis. Awak ini ahli magis?”
            Derap tapak kaki kedengaran menarik perhatian Frimorie. Tentera bonda tirinya masih belum beredar lagikah? Telahan Frimori silap apabila seorang wanita tua bongkok tiga menyapa pandangannya. Di belakang wanita tua itu ada sebuah bakul kayu sederhana besar saiznya.
            “Ibu,” ucap Gizani lantas melangkah ke arah wanita tua yang dipanggil ibu itu lalu membantunya menurunkan bakul tersebut.
            Sempat Frimorie mengintai isi kandungan bakul itu. Ada daun-daun hijau dan akar kayu.
            “Siapa ini?” wanita tua itu bersuara.
            “Puteri kerajaan Futurina, Frimorie,” jawab Gizani.
            Frimorie cuba mencari riak terkejut di wajah wanita tua itu namun hampa. Apakah wanita tua itu sememangnya sudah menjangka akan kehadirannya di sini?
            “Kamu datang juga akhirnya,” ujar wanita tua itu.
            Wajah Frimorie berubah hairan. Memang wanita itu sudah tahu dia akan berada di sini. Siapa agaknya wanita tua ini?
            “Saya Gayari, bekas tabib diraja,” wanita tua itu memperkenalkan diri.
            “Apa? Kenapa saya tidak pernah tahu tentang kamu?”
            Wanita tua itu tersengih, menampakkan barisan giginya yang sudah rongak di sana-sini. “Tapi saya tahu semua tentang kamu.”
            Frimorie diserang dengan pelbagai tanda-tanya. Seingat dia, tabib diraja sejak dia kecil lagi adalah seorang lelaki. Lelaki yang mukanya tampak menakutkan. Sebelah matanya berwarna putih tanpa bola mata sementara mulutnya herot ke sebelah kiri. Tabib itulah yang menjaga hal-ehwal kesihatan ayahanda dan seisi keluarganya.
            “Saya telah dihalau oleh Maharani Fioria selepas Maharani Irixa mangkat. Saya juga tahu yang kamu tidak boleh menggunakan kuasa magis,” jelas wanita tua bernama Gayari itu.
            “Sa... Saya tidak faham...” ujar Frimorie.
            “Berehatlah dulu. Selepas makan malam, saya akan ceritakan semuanya...” Gayari bersuara lalu perlahan-lahan menapak ke dapur.
            Frimorie kembali duduk di katil sementara Gizani sudah mengekori langkah ibunya. Puteri sulung kerajaan Futurina itu memanggung kepalanya dengan tangan kanan. Fikirannya cuba dikosongkan namun tidak berjaya. Pelbagai persoalan bertalu-talu menyerang benak fikirannya. Tidak sabar-sabar lagi mahu dimuntahkan selepas makan malam nanti. Dia harus bersabar sedikit masa lagi. Hanya wanita tua itu saja yang mempunyai penjelasan terhadap apa yang menimpanya ketika ini. Hanya wanita tua itu.

*  *  *  *  *

“DULU, ketika Maharani Irixa masih hidup, negara Futurina ini aman damai. Maharani sangat disayangi rakyat kerana baginda selalu mengambil-berat soal kebajikan dan selalu membantu rakyat yang berada dalam kesusahan. Negara ini mempunyai kelompok yang tahu menggunakan kuasa magis namun rata-rata tidak mahu menggunakannya dan hidup seperti rakyat biasa kecuali jika ada yang memerlukan khidmat mereka.
            Di istana pula, setiap keluarga diraja diajar untuk menggunakan magis supaya dapat melindungi negara dari ancaman musuh selain melindungi diri sendiri. Sehinggalah wujudnya magis gelap yang diamalkan oleh sesetengah golongan menyebabkan Maharani Irixa mengharamkan penggunaan magis di kalangan rakyat kerana bimbang akan berlaku penindasan,” terang Gayari usai mereka bertiga menikmati makan malam.
            Mereka bertiga duduk di ruang tamu dengan diterangi lampu minyak tanah. Di luar, cahaya unggun api yang dibuat oleh Gizani tambah menerangkan suasana. Terasa sedikit hangat kala kedinginan malam menyapa. Gayari meneruskan kata,
            “Tanpa sedar, magis gelap sudah pun memasuki istana di mana Maharani Fioria mengamalkannya. Baginda yang sudah lama menyimpan perasaan pada Maharaja Fullowski bertekad mahu memusnahkan Maharani Irixa kerana merampas cintanya. Apatah lagi Maharani Irixa dari kalangan rakyat biasa.
            Dan apabila Maharani Irixa disahkan mengandung, bertambah-tambah api kebencian dalam diri Maharani Fioria. Berbagai-bagai cara digunakan untuk menggugurkan kandungan tersebut namun tidak berjaya kerana saya sentiasa berada di sisi Maharani Irixa. Sehinggalah kamu dilahirkan, nyawa bonda kamu tidak panjang. Saya pula telah dituduh membunuh Maharani Irixa lalu dihalau dari istana. Sejak itu, Maharani Fioria menguasai pemerintahan dengan dikuasi magis gelap.
            Saya yakin, kemangkatan Maharaja Fullowski juga adalah agenda Maharani Fioria untuk merampas takhta. Baginda maharani mahu menguasai dunia dengan magis gelap. Memang itu adalah matlamat asal baginda maharani. Dan sekarang, rakyat yang menjadi mangsa kerakusan nafsu dan ketamakan baginda.”
            Frimorie menundukkan wajah. Kasihan bonda dan ayahandanya yang tidak bersalah menjadi mangsa kekejaman Maharani Fioria. Dan kini gilirannya pula. Tetapi mengapa bonda tirinya itu mahu membunuhnya sedangkan dia langsung tidak boleh menggunakan kuasa magis? Adakah bonda tirinya itu menganggap dia sebagai satu ancaman?
            “Sekarang sudah tiba masanya Negara Futurina aman semula,” Gayari bersuara lagi.
            “Maksud kamu?” Frimorie bertanya.
            “Kamu akan membebaskan Futurina dari belenggu kegelapan.”
            “Saya?” Frimorie benar-benar tidak percaya dengan kenyataan wanita tua bongkok tiga itu.
            “Ya, hanya kamu satu-satunya waris Maharaja Fullowski yang boleh menumpaskan Maharani Fioria.”
            “Tapi bagaimana? Bonda Fioria terlalu hebat!”
            “Jangan mengalah sebelum berjuang. Saya dan anak saya akan bantu kamu.”
            “Tapi...”
            “Yakinlah, arwah bonda kamu juga ada di sisi kamu memberi sokongan.”
            Hati Frimorie dipaut sayu. Bonda...

*  *  *  *  *

DI Istana Salfador, Maharani Fioria seperti cacing kepanasan. Hatinya tidak tenteram selagi tiada khabar tentang Puteri Frimorie. Anak Irixa itu tidak boleh dibiarkan hidup!
“Tuanku, Jeneral Agustria sudah tiba di pintu masuk istana,” beritahu Bendahara.
“Panggil dia segera!” arah Maharani Fioria.
Beberapa ketika menunggu, Jeneral Agustria masuk menghadap. Dia menunduk tanap sedikit pun memandang wajah Maharani Fioria. Bimbang jika pemerintah Negara Futurina itu berang dengan perkhabaran yang akan disampaikannya nanti. Seluruh istana tahu, jika Maharani Fioria naik angin, baginda akan menukar apa saja yang dilihat matanya kepada batu.
“Bagaimana Jeneral?”
“Ampun tuanku. Puteri Frimori masih belum dapat ditemui,”
“Tak guna! Apa yang kamu buat sepanjang hari hah? Beta mahu kamu kerahkan seluruh bala tentera untuk mencari Puteri Frimorie. Jika tidak, beta akan hapuskan semua sekali!” ugut Maharani Fioria.
“Menjujung titah tuanku!” ucap Jeneral Agustria.
“Sudah! Pergi!”
Jeneral Agustria bingkas bangun lalu melangkah pergi. Wajah Maharani Fioria berubah merah bagai udang dibakar. Dia segera turun dari singgah sana lalu berjalan laju menuju ke bilik tabib diraja.
“Hidolulu! Hidolulu!” jerit Maharani Fioria.
“Patik di sini tuanku,” ujar Hidolulu, tabib diraja yang sedang menjalankan satu eskperimen menggunakan kucing hitam.
“Beta mahu kamu cari Puteri Frimorie!”
“Sudah patik cuba tuanku namun kuasa patik tidak mampu mencari jejaknya. Ada medan kuasa lain yang melindungi dirinya. Dan...” Hidolulu keberatan mahu menyambung kata.
“Dan?”
“Ketika patik melihat dalam bebola kristal tadi, patik nampak kelibat cahaya putih yang akan datang menyerang istana ini. Patik yakin itu Puteri Frimorie,”
Maharani Fioria yang mendengar ketawa besar. Kata-kata Hidolulu kedengaran lucu pada pendengarannya.
“Budak hingusan itu mahu menentang beta? Barangkali dia sudah gila! Biarkan, biarkan dia datang ke mari. Beta akan sambut dengan tangan terbuka! Hahahaha....”
Maharani Fioria terus ketawa dan ketawa.


*  *  *  *  *

AURA rona kehitaman jelas keluar dari tubuh Frimorie yang sedang duduk bersila sambil memejam mata. Gayari yang turut bersila di hadapannya terkumat-kamit membaca mantera. Dia sedang membantu Frimorie untuk membuka semula tenaga magis yang telah dikurung di dalam badan puteri itu. Bilik bawah tanah yang hanya disinari cahaya lampu minyak tanah itu nampak berbalam. Sudah hampir setengah jam mereka berdua berada di dalam.
            Tidak semena-semena, aura kehitaman tadi berubah menyerupai tengkorak lalu menerkam ke arah Gayari namun tidak sedikit pun menggugat keyakinan wanita tua itu. Sebaliknya Gayari tetap fokus sepenuhnya pada mantera yang dibaca. Akhirnya, aura kehitaman itu hilang begitu saja apabila berada betul-betul di hadapan wajah Gayari.
“Semua sudah selesai. Sekarang, saya akan ajar kamu menggunakan tiga magis asas iaitu magis terbang, magis berubah bentuk dan magis bumi,” ujar Gayari sambil menyeka peluh yang merenik di dahi.
Frimorie mengangguk faham. Dia menggeliat sebentar. Terasa badannya ringan. Dia melihat Gayari bangun lalu menuju ke rak yang menempatkan pelbagai buku dan manuskrip lama itu. Wanita itu mencapai sebuah buku yang agak tipis kandungannya lalu dihulurkan pada Frimorie.
“Baca dan fahamkan. Kemudian, saya akan latih kamu,” arah Gayari.
Frimorie segera mencapai huluran ibu Gizani itu lalu mula membaca. Gayari berlalu ke tingkat atas rumah semula. Beberapa ketika kemudian, dia turun dengan membawa sesuatu di tangan.
“Ambillah...” ujar Gayari.
Tongkat kayu yang dipegang oleh Gayari menarik perhatian Frimorie. Ianya tidaklah terlalu panjang dan tidak pula pendek. Sedang-sedang sahaja saiznya. Di atas tongkat itu ada daun berbentuk seperti daun maple, simbol negara Futurina.
“Ini adalah tongkat magis kepunyaan ibumu. Dia telah mengamanahkan saya untuk menyerahkan tongkat ini kepadamu apabila kamu dewasa kelak. Bawalah tongkat ini ke mana saja. Ia akan melindungi kamu dari kejahatan,” pesan Gayari.
Tongkat kayu itu berubah tangan. Serta-merta satu cahaya keemasan mengeliling Frimorie sejurus tongkat itu berada di tangannya. Frimorie bagai terdengar-dengar suara bonda memanggil namanya.
“Kita akan mula berlatih sebentar lagi. Siap-siaga. Kita ada masa sepurnama untuk kamu bersedia menentang ibu tirimu itu,” kata Gayari sambil memandang Frimorie, tegas.

*  *  *  *  *


ISTANA SALFADOR dicengkam sunyi. Sewaktu Frimorie dan Gizani tiba di hadapan pintu masuk istana, tiada pengawal yang kelihatan. Apabila pintu besar itu ditolak, ruang legar sepi tanpa satu bayang manusia pun. Frimorie diterpa keanehan. Tidak mungkin dia tersilap tempat. Atau, mungkin in adalah perangkap?
“Nampaknya Maharani sedang mengalu-alukan kedatangan kita,” ucap Gizani, menarik perhatian Frimorie.
Terbeliak mata Frimorie apabila melihat makhluk gergasi berkepala tiga di hadapannya. Kepala makhluk itu serupa ular dan badannya serupa manusia. Seperti kata Gizani, pasti ibu tirinya itu sudah menjangka kedatangannya ke istana ini.
“Biar saya uruskan makhluk ini. Kamu segera masuk ke dalam istana,” arah Gizani sambil menarik keluar pedang yang disisip di tepi pinggangnya.
“Tapi...”
“Yakinlah, jangan sia-siakan pertolongan dari ibu saya. Mendiang ibu kamu juga pasti berharap kamu dapat kembalikan semula kesejahteraan pada negara Futurina,” ujar Gizani, memberi semangat pada puteri yang tampak gelisah itu.
Frimorie mengangguk. Dia membaca ayat mantera lalu kasut yang dipakainya berubah kepada kasut yang mempunyai sayap. Frimorie terbang ke atas, menyusup di celah-celah makhluk gergasi itu, meluncur laju masuk ke salah satu tingkap di dalam istana. Sempat dia menoleh melihat Gizani yang mula bertarung dengan makhluk gegasi itu.
Frimorie mendarat di ruang legar tingkat dua istana itu. Dia harus mencari ibu tirinya segera. Dia perlu menghalang ibu tirinya dari melakukan kejahatan lagi. Tiba-tiba Frimorie rasakan tubuhnya bagai ditarik. Dia cuba melawan namun kakinya tetap terus melangkah sehinggalah berhenti di tengah-tengah balairong istana.
Lampu chandelier yang bergemerlapan di pusat bumbung itu menerangi seluruh ruang balairong tersebut. Frimorie memerhati sekeliling. Tiada sesiapa di situ melainkan dia seorang.
“Budak hingusan seperti kamu mahu menentang beta?” kedengaran satu suara yang entah datang dari mana.
Serentak dengan itu, ruang balairong istana gelap-gelita. Frimorie membaca mantera lalu tapak tangannya mengeluarkan api kecil.
“Oho, kamu sudah tahu menggunakan magis? Hebat!” suara itu kedengaran lagi.
“Bonda! Cukuplah! Jangan buat jahat lagi,” pinta Frimorie.
Satu ketawa kuat meletus lalu di hadapan Frimorie muncul Maharani Fioria dengan tongkat berkepala naga di tangan kirinya. Frimorie berundur sedikit ke belakang. Tongkat magis pemberian mendiang bondanya digenggam kuat.
“Kamu datang menyerah diri atau datang untuk mati Frimorie?” tanya Maharani Fioria sambil terus ketawa.
“Saya datang untuk menghentikan perbuatan jahat bonda!”
“Kamu mampu?”
“Bonda Irixa ada bersama saya!”
Mendengar Frimorie menyebut nama itu, Maharani Fioria berubah berang. Dia segera menghalakan tongkatnya ke arah Frimorie lalu satu cahaya kemerahan menerpa tepat ke arah gadis itu.
Frimorie membaca mantera lalu dia terbang ke atas. Mulutnya terus membaca mantera lalu tangan kanannya mengeluarkan cahaya kebiruan lantas dihalakan pada cahaya kemerahan tadi menyebabkan cahaya itu terpadam.
Membulat mata Maharani Fioria dengan tindakan Frimorie itu lalu dia mambahagikan dirinya menjadi tiga. Frimorie tergamam. Kuasa magis kegelapan bonda tirinya itu ternyata memang hebat.
Seketika terleka, salah seorang dari Maharani Fioria sudah berada di belakangnya lalu menolak Frimorie dengan magis angin yang kuat menyebabkan gadis itu berpusing-pusing sebelum terhempas ke lantai. Ketawa Maharani Fioria kedengaran lagi. Kali ini lebih kuat.
“Kamu bukan saingan beta. Menyerah saja!”
“Tidak! Saya masih boleh berlawan,” balas Frimorie, cuba bangun namun tidak terdaya.
“Sia-sia!” jerit Maharani Fioria lalu cahaya kemerahan dipancarkan ke arah Frimorie dari tiga arah. Kali ini cahaya itu lebih besar dari sebelumnya.
Frimorie mengangkat tongkat magis mendiang bondanya ke udara lalu membaca mantera.
“Matahari yang menerangi langit, bulan yang menyinari malam. Dengan nama Frimorie, berikan saya kuasa untuk mengalahkan kejahatan ini!” ucap Frimorie.
Lantas satu cahaya keemasan muncul dari tongkat tersebut membentuk satu medan pelindung di sekeliling Frimorie. Cahaya kemerahan tadi dilantun semula pada tiga orang Maharani Fioria. Terdengar jeritan bergema. Frimorie melihat bonda tirinya sudah kembali seperti sediakala. Cuma tubuh bonda tirinya itu berasap.
Maharani Fioria rebah. Dia cuba bangun menggunakan tongkatnya. Tidak! Mustahil dia boleh tewas kepada budak hingusan ini.
“Hidolulu! Hidolulu! Sembuhkan beta! Hidolulu!” jerit Maharani Fioria nampuk tiada balasan.
Lampu chandelier yang terpadam tadi bercahaya semula. Terbeliak mata Maharani Fioria melihat Hidolulu sudah diikat bersama-sama dengan Puteri Fioza, anaknya. Frimorie tersenyum ceria apabila melihat Gizani selamat. Dia tahu lelaki itu seorang yang boleh diharap.
“Sekarang, selesaikan tugas kamu Frimorie,” ujar Gizani.
Frimorie mengangguk lalu matanya merenung Maharani Fioria tajam. Wanita yang berpakaian seperti ahli sihir itu kelihatan tidak tenteram. Frimorie mengangkat tongkat magisnya sekali lagi ke udara lalu membaca mantera tadi sekali lagi.
Cahaya keemasan yang muncul dari hujung tongkat itu membentuk anak panah lalu tepat menusuk ke arah Maharani Fioria. Jeritan kuat bergema di dalam istana. Sekelip mata, tubuh Maharani Fioria lenyap begitu sahaja.
Frimorie terjelepok di atas lantai. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Akhirnya! Akhirnya dia berjaya menamatkan kejahatan bonda tirinya itu. Frimorie tersentak apabila terasa bahunya disentuh. Dia berpaling lalu mendongak. Wajah Gizani yang sedang menguntum senyum menyapa pandangannya.
“Futurina sudah kembali aman,” ucap Gizani.
Frimorie mengangguk.
‘Bonda, ayahanda, Futurina sudah kembali aman,’ getus hatinya.

::TAMAT::

4 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah, suatu percubaan yang menarik.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Terima kasih saudara Helmi sudi singgah membaca tulisan yang tidak seberapa ini. Saya jarang menulis cerita dalam genre fantasi. Sekadar cuba lari dari genre kebiasaan. Harap terhibur membacanya. :)

Tanpa Nama berkata...

Bagus. Lain dr yg lain

Zaifah Azwani berkata...

Menarik