Sepatah Dua Kata

Isnin, Jun 25, 2012

Dengarkan Kata Hati - Cerita 01



EPISOD 01

PAGI Isnin itu tidak ramai pesakit yang berkunjung ke Klinik Desa Kampung Kundur untuk menerima rawatan. Hanya ada beberapa orang ibu muda yang datang membuat pemeriksaan kandungan masing-masing. Cuaca di luar masih lagi mendung dengan awan hitam menyelubungi angkasa. Hujan lebat sejak malam semalam baharu sahaja berhenti Subuh tadi.
Asma melirik jam di dinding kaunter pendaftaran itu. Hampir ke pukul sembilan pagi. Televisyen di atas meja bulat yang terletak di sudut kiri dinding itu sedang menayangkan rancangan Malaysia Hari Ini. Nada suara televisyen itu perlahan sekali seakan berbisik. Memang telah diminta untuk berbuat begitu supaya tidak menganggu pesakit-pesakit yang datang. Pada Asma, lebih baik ditutup sahaja televisyen tersebut dari menayangkan gambar bisu semata.
Dia kembali menumpukan perhatian pada rekod-rekod pesakit yang pernah datang menerima rawatan di klinik yang terletak berhampiran pintu masuk kampung ini. Salah satu tugasnya untuk mengemaskini fail-fail yang sedia ada supaya segala maklumat di dalamnya disusun rapi.
Sedang asyik menulis sesuatu di atas kad rona kuning milik seorang pesakit, telinganya menangkap bunyi pintu ditolak. Serentak Kak Faridah, jururawat senior di klinik itu muncul di sisinya. Mujurlah, biar Kak Faridah sahaja yang melayan pesakit yang baru tiba itu. Pagi Isnin begini, mood kerjanya masih belum datang. ‘Monday Blues’ kata orang putih. Enjin semangatnya masih belum panas lagi.
“Assalammualaikum kak. Saya nak jumpa doktor. Mak saya ni sakit perut dari semalam,” ujar seorang pemuda sejurus tiba di kaunter pendaftaran itu.
Pen yang ligat menari-nari di atas kad tadi terhenti dengan sendirinya tatkala suara itu menyapa cuping telinga. Asma mendongak sedikit, mencari pemilik suara tersebut. Matanya membulat. Serta-merta terasa jantung yang mengepam darahnya bekerja lebih pantas dari biasanya. Dia dilanda debar.
‘Kacaknya!’ getus hati Asma.
Pemuda yang mengenakan t-shirt putih tanpa corak dengan kemeja kotak sebagai jaket itu tampak sangat mempersona. Kulitnya putih kemerahan. Rambut pula digayakan ala spike. Mata pemuda itu sepet dengan hidung mancung terletak. Bibirnya pula merah ranum. Goathie sejemput di bawah dagu menambahkan lagi kekacakkannya. Serius, wajahnya memang saling tak tumpah macam model dari luar negara. Sekali pandang, ada iras-iras pelakon Nicholas Teo dalam drama Taiwan “Sonria Pasta”.
Mungkin menyedari ada mata yang memerhati, pemuda tersebut mengalihkan pandangannya ke kiri. Tepat menikam mata Asma. Pantas, Asma menundukkan wajah, pura-pura menulis kembali di atas kad di hadapannya.
“Pernah datang sini?” kedengaran suara Kak Faridah menyoal.
Pemuda itu memandang neneknya lalu bertanya soalan yang sama. Pertanyaannya dijawab dengan anggukan dan pemuda itu turut sama mengangguk pada Kak Faridah. Asma mencebikkan bibir. Amboi, tak sangka Kak Faridah pun nak menggatal juga. Iyalah, bukannya mereka tidak kenal wanita yang datang itu. Orang kampung memanggilnya Hajah Khalidah. . Saja Kak Faridah ni nak jual minyak. Mentang-mentanglah pemuda tu kacak.
Bekerja sebagai jururawat di desa ini sudah cukup membuatkan dia mengenali hampir semua penduduk yang ada. Tambahan pula dia duduk menyewa di kampung ini juga. Selalunya selepas pulang dari kerja, sempat juga bertegur-sapa dengan jiran tetangga. Orang kampung, semangat kejiranan masih utuh.
Asma menyewa di sebuah rumah yang letaknya hampir satu kilometer sahaja dari klinik desa ini. Kawasan rumah sewanya itu ada lagi lima buah rumah yang dibina sederet di atas tanah milik Haji Othman, ketua kampung tersebut. Sementara Kak Faridah pula tinggal di pekan yang jaraknya tujuh kilometer dari kampung ini. Sudah pun berkeluarga dan mempunyai dua cahaya mata yang masih kecil. Seorang berumur tujuh tahun dan yang bongsu berumur lima tahun.
“Nama maknya siapa?” Kak Faridah bertanya lagi.
“Hajah Khalidah,” jawab pemuda tersebut.
“Duduk dulu ya, nanti akak panggil.”
Pemuda itu memimpin emaknya ke deretan kerusi plastik yang disusun di tepi dinding sebelah kanan kaunter pendaftaran itu. Kak Faridah tekun mencari kad milik Hajah Khalidah di dalam rak.
Asma kembali dengan tugasnya. Beberapa saat kemudian, Kak Faridah berlalu semula ke bilik doktor yang terletak selang sebuah bilik di belakang kaunter pendaftaran ini.
“Cik, tandas kat mana?”
Terpelanting pen yang tadi berada dalam genggaman Asma. Kus semangat! Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba sergah begitu.
“Maaf, saya tak berniat nak buat cik terkejut,” ujar pemuda tadi.
“Err... Tak apa. Tandas ada di belakang. Encik belok kiri, terus saja. Ada sign-board nanti,” jawab Asma, gemuruh.
“Terima kasih,” jawab pemuda tersebut dalam senyuman.
‘Sama-sama kasih,’ Asma membalas dalam hati. Ah, gatal kamu ni Asma.
Dia kembali mencari pen yang terpelanting tadi. Terasa segan juga pada pemuda tersebut. Nasib baik tidak termelatah. Kalau tidak, jatuh sahamnya. Setelah menjumpai pen rona biru itu, dia kembali semula mencatit pada kad kuning di hadapannya.
Handsome kan budak lelaki tu!” bisik Kak Faridah di tepi telinga kanannya.
“Oh, suka mamat tu!” latah Asma. Sekali lagi pen yang baru dijumpai itu terpelanting ke belakang. Tawa Kak Faridah meletus.
“Akak!!!” nada suara Asma naik satu oktaf.
Dia menarik muncung. Sudah berapa kali diberitahu supaya jangan berbuat begitu tetapi wanita berumur 34 tahun ini memang suka menyakatnya. Mentang-mentanglah dia suka melatah bila disergah, jadi itulah modal Kak Faridah untuk mengusiknya. Cuma bila di hadapan pemuda tadi, sifat latahnya tidak menjadi pula.
“Kamu ni Asma, bukannya akak sergah kamu pun. Bisik dekat telinga aja. Lemah semangat betul kamu ni,” ujar Kak Faridah dalam sisa tawa.
Asma mencari pen yang terpelanting tadi tanpa membalas kata-kata seniornya itu. Kak Faridah sudah hampir lima tahun berkhidmat di sini sedangkan dia baharu saja tujuh bulan dihantar bertugas ke sini setelah tamat pengajian. Dulu ada seorang jururawat berbangsa India bernama Syema namun telah berpindah dua bulan yang lalu ke klinik yang lain. Tinggallah dia dan Kak Faridah bersama-sama seorang doktor di klinik kecil ini menabur bakti pada penduduk Kampung Kundur.
“Tak sangka pula akak Hajah Khalidah ada anak handsome macam tu. Memang akak tahu dia ada dua orang anak lelaki tapi yang sorang ni tak pernah nampak. Mesti baru habis belajar macam kamu juga. Sebaya agaknya. Tapi memang handsome, kan? Macam pelakon,” panjang bicara Kak Faridah.
“Ingat sikit Abang Lokman kat rumah tu kak,” balas Asma tanpa melihat pada wajah Kak Faridah.
“Ala kamu ni... Akak main-main aja. Cinta hati akak selamanya dekat Abang Lokman tau!”
“Euw...” Asma mencebikkan bibir, terasa loya dengan kata-kata Kak Faridah tadi.
“Eh, mana budak tu?”
“Tandas,” pendek saja jawapan Asma.
“Ala, akak baru nak menatap wajah dia yang kacak tu,” Kak Faridah bersuara hampa.
“Akak!!!”
Sekali lagi tawa Kak Faridah meletus.


“BARU habis kerja Asma?”
Pak Mahad, pemilik kedai runcit di kampung itu menyapa Asma yang sedang asyik membelek kentang di dalam sebuah bakul merah.
“Ha’ah. Mak Som mana Pak Mahad?” soal Asma, sekadar berbasa-basi.
“Mak Som kamu tu petang-petang macam ni balik rumah kejap bagi ayam-itiknya makan. Nak masak apa malam ni?”
“Ingat nak buat kari ikan sikit Pak Mahad. Lama tak makan kari,” jawab Asma sambil tangannya lincah memasukkan beberapa biji kentang ke dalam plastik.
“Hai, untunglah sapa dapat beristerikan kamu ni Asma. Dah lah lawa, pandai masak pula tu,” Pak Mahad mengusik gadis berbaju seragam putih itu.
Asma tersipu malu. Dia sekadar tersenyum sambil menggeleng. Kentang yang dipilih tadi dimasukkan ke dalam bakul yang dijinjit di tangan kiri. Sudah ada tomato, bendi dan beberapa biji telur di dalam bakul tersebut. Tinggal serbuk kari sahaja.
Baru dia hendak melangkah ke rak yang menempatkan bahan-bahan rempah, ada sesusuk tubuh yang tiba-tiba keluar dari celah rak botol-botol minuman lalu melanggar tubuhnya. Asma kebelakang sedikit. Mujurlah bakul yang dijinjit tidak terlepas.
“Maaf, maafkan saya!”
Pandangan mata Asma jatuh tepat pada wajah yang melanggarnya tadi. Hampir terkeluar anak matanya melihat wajah pemuda tersebut. Anak Hajah Khalidah di klinik pagi tadi!
“Maaf, cik tak apa-apa?”
“Ah, saya okey.”
“Maaf ya. Saya nak cepat tadi.”
“Tak... Tak apa.”
“Okey, saya pergi dulu,” ujar pemuda tersebut lalu melangkah ke kaunter bayaran.
Asma memerhatikan tubuh tersebut sehingga pemuda itu selesai membuat bayaran dan berlalu pergi. Ketika hendak menyambung langkah, dia perasan ada sesuatu di atas lantai. Lantas, dia menunduk lalu mengutip benda seakan buku catatan.
Muka hadapan buku berwarna hijau bersaiz kecil itu dilihat sebentar. Tiada apa yang menarik ditulis di situ. Kosong. Muka surat pertama diselak. Dibaca teliti satu persatu.


‘Macam jalan cerita. Mamat tu penulis novel ke?’
Buku catatan itu ditutup lalu dimasukkan ke dalam bakul. Asma bergegas menuju ke rak yang menempatkan serbuk kari. Usai membuat pembayaran, dia menyerahkan buku tersebut pada Pak Mahad. Mana tahu jika pemuda itu berpatah semula ke sini setelah menyedari buku catatannya itu tercicir. Hari ini sudah dua kali dia bertemu dengan pemuda tersebut. Dan entah mengapa, hati Asma terasa gundah-gulana pula.

Tiada ulasan :