Sepatah Dua Kata

Isnin, Jun 04, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 01





JUN 2007
Port Dickson, Negeri Sembilan

LANGIT dilitupi mega kelabu yang bergumpalan menutup sinar mentari. Mungkin titis-titis hujan akan mencurah turun sebentar lagi. Desiran angin lembut menyapa dedaun kemboja yang mula rekah bunganya. Sehelai demi sehelai dedaun kering gugur ke lantai bumi.
Suasana di tanah perkuburan Kampung Bagan Pinang sunyi-sepi. Hening. Hanya kedengaran unggas berlagu-lagu menyanyi. Di sudut timur tanah perkuburan itu kelihatan seorang gadis sedang asyik berteleku menghadap dua buah pusara di hadapannya. Rumput-rumput hijau mula bercambah di sekeliling pusara yang nisannya sudah berlumut. Tampak sudah lama benar pusara itu dibina. Rumput-rumput dicabut agar tidak terus melata sambil mulutnya kumat-kamit berzikir memuji Tuhan Yang Esa supaya roh kedua-dua arwah ibu bapanya disemadikan bersama-sama golongan yang beriman dan mendapat keredhaan-NYA.
22 tahun dia hidup tanpa merasa belaian mesra seorang ibu. 22 tahun dia hidup tanpa kasih seorang ayah. 22 tahun dia hidup tanpa sekelumit kenangan bersama-sama arwah ayah dan ibu tercinta. Kedua-duanya pergi meninggalkan dia sejak berumur empat tahun dengan hidup menumpang bersama seorang ibu saudara yang tidak pernah menyayangi dirinya setulus hati.
Ya, pertalian saudara tidak semestinya menjamin bahagia. Ibu saudara yang diharap sebagai tempat mengadu ketika berduka, bermesra ketika gembira, semuanya hanya angan semata. Mak Ngah Leha, ibu saudaranya, tidak pernah melayan dia seperti seorang anak saudara. Hidup terasa dikongkong di bawah jagaan wanita itu. Pergerakan terbatas. Jiwa tidak bebas. Segalanya berada dalam kawalan Mak Ngah Leha.
Sumpah-seranah, cacian, makian, sudah menjadi lagu merdu pada pendengarannya. Cubitan, tamparan, sudah menjadi belaian kasih pada dirinya. Tidak pernah walau sesaat, dia ditatang bagai minyak yang penuh. Sejak kecil sudah diajar berdikari dan punya disiplin yang ketat. Sudah dikerah ke dapur memasak dan menolong menjual kuih-muih. Tidak punya masa bergaul dengan rakan sebaya mahupun meminta untuk dibelikan anak patung.
Ibu saudaranya itu seorang yang tegas. Amat tegas sehingga rakan-rakan sekolah dahulu takut untuk bertandang ke rumah. Wajahnya yang lembut memang tampak berbeza dengan peribadinya. Lagak seperti cerita dongeng lama, Bawang Putih dan Bawang Merah. Mak Ngah Leha seperti Mak Kundur yang tidak pernah sukakan Bawang Putih yakni dirinya. Yang menjadi beza dalam cerita dongeng itu adalah dia tidak punya kakak tiri yang dengki dan busuk hati. Dia hanya tinggal berdua dengan ibu saudaranya itu.
Siulan merbah di dahan halban mengembalikannya ke alam realiti, tidak lagi bergelumang dengan memori-memori pahit yang menyesak dada. Pusara arwah ayah dan ibunya yang terletak bersebelahan dipandang sayu.
Mendung yang menyelubungi langit beransur pergi. Cahaya mentari mula menerobos di sebalik serakan awan. Rasanya jam sudah menginjak pukul sembilan pagi sejak dia keluar dari rumah hampir sejam yang lalu. Ah, mungkin juga sudah pukul sepuluh. Dia sendiri tidak dapat mengagak waktu yang sebenar. Cuma sekadar andaian. Yang pasti sewaktu dia melangkah keluar dari rumah, jam menunjukkan tepat pukul lapan.
Setiap Sabtu dia pasti ke sini, menziarah pusara arwah ayah dan ibu. Membaca Surah Yasin dan berzikir untuk disedekahkan pada arwah orang tuanya. Dia damai di sini. Segala tekanan yang dihadapi sepanjang minggu seakan sirna dengan duduk berteleku di tanah perkuburan ini.
Sekuntum bunga kemboja berguguran ke atas kepala lalu jatuh tepat ke telapak tangan. Kemboja putih itu ditatap lesu. Beberapa hari lagi kemboja itu akan layu. Sama seperti hayat manusia. Sampai masanya, dia akan turut menjejaki arwah ayah dan ibu.
Dia mendongak memandang langit yang cerah. Sungguh dia berharap agar hari-hari yang ditempuh juga secerah sinar mentari. Namun, dia tahu, hari-hari yang dilalui sama seperti mendung sebentar tadi. Jarang sekali sinar mentari menerjah di sebalik mendung yang membawa awan kelabu, sekelam hidupnya.
Perlahan-lahan dia bangun dari duduk. Terasa kaki ini sedikit kebas. Mungkin kerana sudah lama duduk bersimpuh di atas rerumput. Kain baju kurung dikibas, membuang debu-debu tanah yang melekat.
“Ayah, mak, Niya pergi dulu. Insha-Allah, minggu hadapan Niya datang lagi,” ucap Nur Dhaniyah sebelum melangkah pergi meninggalkan Tanah Perkuburan Kampung Bagan Pinang itu.

*  *  *  *  *

BAYU laut bertiup lembut. Desiran pepohon kelapa yang melambai-lambai menghasilkan irama yang mengasyikkan. Ditambah pula dengan bunyi deburan ombak yang menghempas pantai yang memutih. Semuanya menarik dia ke dalam khayalan. Alangkah indahnya alam ciptaan Ilahi ini. Seketika dia bermuhasabah. Menilai segala tingkah lakunya sepanjang mengharungi kehidupan yang penuh onak dan ranjau. Dari tanah perkuburan yang terletak di hujung kampung, dia berjalan kaki ke pantai yang berdekatan.
Itulah rutin Dhaniyah setiap hujung minggu tiba. Bersenandung dengan alam membuatkan hatinya tenang. Biarlah dia mengecap ketenangan yang sekejap cuma ini kerana dia tahu, apabila dia pulang ke rumah, ketenangan tersebut pantas diragut dengan sikap ibu saudaranya yang tidak punya belas kasihan itu.
“Jauh termenung?” sapa satu suara.
Dhaniyah membuka mata perlahan-lahan. Tidak bimbang kerana dia kenal pemilik suara itu. Suara yang menghadirkan debar di dalam hati. Suara itu jugalah yang seringkali muncul dalam mimpinya saban malam. Dhaniyah memandang ke hadapan, ke arah laut biru yang terbentang luas, saujana mata memandang.
“Boleh Hilmiduduk di sini?” pinta Hilmi Najhan.
Dhaniyah hanya mengangguk tanda bersetuju. Lelaki itu duduk tidak jauh darinya. Sekilas dia menoleh ke arah Hilmi. Tampak kacak dengan sehelai T-shirt berkolar berbelang oren putih dan seluar jeans rona hitam. Kebetulan dia memakai baju kurung Kedah berwarna putih gading disulam corak awan larat berwarna jingga. Semacam berjanji pula.
Hilmi menghadiahkan sebutir senyum. Dhaniyah membalasnya. Serentak dengan itu, ada debar yang menjalar di hati. Lelaki ini seorang sajalah yang mampu menerbitkan getaran dalam jiwanya. Oh, Tuhan... Apakah ini namanya cinta?
“Tak kerja hari ni?” soal Hilmi.
Dhaniyah menggeleng. Hari ini hari Sabtu. Mana ada orang bekerja hari cuti begini. Lagipun cuti sekolah masih ada seminggu lagi. Tidak perasankah lelaki itu? Atau, sengaja bertanya untuk memancing dirinya berbicara?
Ranting kayu pohon ketapang yang kecil di sebelah dicapai. Lalu Dhaniyah melakar sesuatu di atas pasir yang memutih. Suara kanak-kanak, girang berkejaran sesama sendiri sambil ditemani ibu bapa masing-masing. Sedetik ingatannya kembali pada masa lalu di mana dia tidak pernah berlari dikejar ombak begitu. Mak Ngah Leha amat menjaga pergaulannya.
Betapa dia hidup dikongkong. Kanak-kanak sebaya riang bermain bersama-sama sedangkan dia, duduk di dapur menolong Mak Ngah Leha menyediakan kuih-muih untuk dijual. Segera dipadamkan kenangan pahit itu dari layar memori, tidak mahu dihambat kesedihan lagi.
“Sejak bila jadi bisu ni? Semalam Hilmi rasa Niya masih ada suara,” ujar Hilmi, mengusik gadis yang tidak bersuara sejak tadi.
Dhaniyah ketawa kecil. Bunyi kicauan camar membingitkan telinga mereka sebentar. Dia terdengar lelaki itu mengeluh tiba-tiba.
“Kenapa?”
“Ingatkan dah tak nak bercakap. Ada emas ke dalam mulut tu?” usik Hilmi lagi.
Dhaniyah menghadiahkan cubitan kecil di bahu lelaki itu membuatkan Hilmi mengaduh sakit lantas ketawa. Hilmi periang dan cepat mesra orangnya. Lelaki itu sudah dikenali sejak kecil. Umurnya tua setahun. Mereka belajar di sekolah yang sama, dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Kemudian terpisah seketika apabila dia melanjutkan pengajian ke maktab perguruan sementara Hilmi ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di selatan tanah air tetapi pengajiannya terhenti di separuh jalan kerana keputusan peperiksaan yang tidak memberangsangkan.
Namun lelaki itu tidak berputus asa, dengan berbekalkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, dia diterima bekerja sebegai pembantu tadbir di sebuah syarikat di bandar Port Dickson.
Hanya dengan Hilmi dia mampu menjalin hubungan. Hubungan persahabatan yang bertukar menjadi cinta. Mak Ngah Leha terlalu mengawal pergaulannya. Tidak boleh bercakap dengan lelaki langsung. Memang pada mulanya dia agak gusar untuk berkawan rapat dengan lelaki itu namun Hilmi tidak pernah putus asa untuk merapati dirinya. Dan semangat lelaki itulah yang membuatkan dia lembut hati. Perlahan-lahan dia mula menerima diri Hilmi dalam hidupnya. Tanpa pengetahuan Mak Ngah Leha! Ya, jika wanita itu tahu akan hubungan ini, alamatnya dia pasti menerima bahana.
Apabila dia melanjutkan pengajian di maktab perguruan, Hilmi masih berusaha mencari pekerjaan. Sehinggalah dia bergelar seorang guru, barulah lelaki itu menjawat jawatan yang dipegang sekarang.
Tidak dinafikan ada resah yang menyelubungi jiwa setiap kali bersama-sama dengan Hilmi namun dia cuba tabahkan hati kerana dia juga manusia biasa, yang punya hati dan perasaan. Ingin menyayangi dan disayangi. Sampai bila dia hendak duduk seorang diri dalam dunia ciptaan Mak Ngah Leha?
Dia kini sudah menginjak dewasa. Sudah punya kerjaya sebagai guru. Sudah tahu mengatur arah hidup. Mak Ngah Leha pula tidak punya hak untuk menentukan apa yang perlu dan apa yang tidak untuk dia ikuti lagi.
“Hilmi minta diri dulu. Tak manis duduk berdua begini. Nanti apa pula kata Mak Ngah Niya. Dia kan, tak suka kita berkawan,” ujar Hilmi sedikit hampa.
Dhaniyah tersentak. Kata-kata lelaki berambut panjang yang dibelah tengah itu ada benarnya. Lelaki itu memang seorang yang amat memahami kesukaran yang diri ini alami. Hilmi bangun lalu melangkah pergi. Dhaniyah hanya memandang sayu derap langkah pujaan hatinya yang semakin jauh. Seketika kemudian, dia turut sama bangun, berniat untuk pulang ke rumah.
Cahaya mentari semakin hangat berbahang. Makanan tengah hari harus disiapkan. Mak Ngah Leha akan pulang dari kebun sebentar lagi dan pastinya dia kelaparan. Nahas jika di atas meja kosong tanpa makanan.
Tanpa disedari, kemesraan yang terjalin antara Dhaniyah dan Hilmi rupanya membuahkan cemburu di hati seseorang yang sejak tadi tidak lekang memandang mereka.

*  *  *  *  *

“BETINA miang! Tak sedar diri! Berani kau conteng arang di muka aku ya! Dah gatal sangat nak kahwin?” tinggi nada suara Mak Ngah Leha.
Dhaniyah hanya diam membisu. Kalau dijawab, pasti semakin ligat tapak tangan Mak Ngah Leha hinggap di pipi. Akhirnya, hanya manik-manik putih yang keluar berjujuran sebagai tanda kesakitan yang dialami.
Tamparan demi tamparan yang hinggap ditubuh ibarat angin lalu. Benar, sakitnya memang terasa namun dia sudah lali dengan semua ini. Sepak-terajang, sumpah-seranah semuanya telah menjadi asam garam hidupnya. Seringkali hati berdetik, sampai bila harus terus begini?
Daun pintu kayu yang ternganga luas itu digenggam erat. Jika dia punya kekuatan yang cukup, mahu sahaja dia mencabut daun pintu tersebut buat pelindung diri. Mak Ngah Leha masih tidak berhenti dari menyakiti tubuhnya.
“Apa nak jadi dengan kau ni, hah? Kau ni memang budak tak sedar dek untung!” bentak Mak Ngah Leha.
Pang!!! Dhaniyah terjelepuk di atas lantai akibat tamparan Mak Ngah Leha. Entah untuk kali yang keberapa. Lantas gadis itu meraba pipi. Bibirnya terasa panas. Ada cecair merah mengalir di tepi bibir. Pantas dikesat dengan jemarinya. Namun, belum sempat Dhaniyah bangun, rambutnya dicengkam kuat lalu diheret ke ruang tamu. Peritnya tidak dapat dibayangkan. Betapa Mak Ngah Leha betul-betul naik angin hari ni. Semuanya kerana mulut manusia yang tidak pernah lekang dari menabur fitnah.
Pulang sahaja dari pantai tadi, Dhaniyah melihat Mak Ngah Leha sudah bercekak pinggang di depan pintu. Wajahnya bengis dengan mata yang mencerlung tajam. Hatinya mula berasa tidak enak. Pasti ada sesuatu berlaku yang telah menimbulkan kemarahan ibu saudaranya itu. Dan ternyata telahan Dhaniyah tepat apabila peristiwa dia bertemu dengan Hilmi terbongkar.
“Cakap! Kau nak keluar lagi tak dengan anak Pak Daud tu?” suara lantang Mak Ngah Leha menerbangkan segala lamunan Dhaniyah entah ke mana.
Bagai tersedar dari mimpi yang panjang, Dhaniyah berisghtifar di dalam hati. Memohon perlindungan dari Tuhan agar dia masih mampu meneruskan hidup. Mulutnya dicengkam. Dia memaut tangan Mak Ngah Leha meminta simpati.
“Baik kau cakap! Kau nak keluar lagi tak dengan anak bekas banduan tu? Cakap!” jerit Mak Ngah Leha sambil menguatkan cengkamannya.
“Leha! Apa yang kau buat ni?” suara Tok Penghulu menerjah ke gegendang telinga Dhaniyah.
‘Ya Allah! Terima kasih! Kau telah menghantar penyelamat kepadaku. Terima kasih!’ desis hati Dhaniyah.
“Tok jangan masuk campur. Ini urusan saya dengan anak saudara saya!” Mak Ngah Leha bertegas.
“Astaghfirullah, mengucap Leha. Kau ni dah gila apa? Si Niya tu dah macam separuh mati kau kerjakan. Cuba bawa bersabar,” pujuk Tok Penghulu.
“Ah! Tok jangan memandai nak nasihat saya. Tok bukannya tahu apa yang dia dah buat. Bersekedudukan kat tepi pantai dengan budak Hilmi anak banduan tu. Mana nak letak muka saya ni tok? Satu kampung dah tahu!” suara Mak Ngah Leha masih memetir seperti tadi sambil melepaskan cengkaman tangannya dari mulut Dhaniyah.
Dhaniyah mengambil peluang mengengsot ke tepi sedikit. Jauh daripada ibu saudaranya yang seperti harimau buas ingin menerkam mangsanya pada bila-bila masa sahaja. Jelingan Mak Ngah Leha sudah cukup menerbitkan gelisah di dalam hati.
“Astaghfirullah, mana kau dengar cerita ni Leha? Siasat dulu sebelum bertindak. Ini tidak, kau main terjah aja. Kau tak kesian ke dengan Niya? Dia ni kan anak kakak kau. Kau dah lupa?” ujar Tok Penghulu.
Mak Ngah Leha mendengus. Dhaniyah tidak berani mengangkat muka. Bertentang mata dengan ibu saudaranya itu pun dia tidak sanggup.
“Sebab dia anak kakak sayalah, saya buat begini. Dia ni memang anak tak sedar dek untung! Kalau bukan saya yang menjaganya selepas arwah Abang Leman meninggal, pasti merempat budak ni. Susu yang saya beri, tuba yang dibalasnya. Dia ni memang patut diajar!” tengking Mak Ngah Leha.
“Sudahlah tu Leha... bawa mengucap. Biar keadaan reda dulu. Kamu Niya, pergi masuk dalam bilik. Biar Tok yang selesaikan perkara ni dengan Mak Ngah kamu,” arah Tok Penghulu.
Dhaniyah memegang kekisi kerusi kayu untuk bangun. Badannya terasa sengal-sengal ditambah dengan kesan lebam di merata-rata tempat. Segera dia berjalan perlahan-lahan ke arah bilik. Air mata sudah lama berhenti mengalir.
“Hah, kamu Leha. Cerita pada aku apa yang terjadi,” pinta Tok Penghulu.
“Macam ni tok...”

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

sian niya
sampai ati mak sedaradia buat cam tu
apa salah niya
~sorry teremo sudah~