Sepatah Dua Kata

Selasa, Jun 12, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 02




DHANIYAH duduk bersandar di balik dinding yang memisahkan ruang tamu dengan biliknya, memasang telinga mendengar perbualan antara Mak Ngah Leha dengan Tok Penghulu. Barulah dia tahu siapa punya angkara yang menyebarkan khabar angin yang tidak benar itu. Intan, sepupu yang amat membenci dirinya. Sejak dari zaman sekolah lagi Intan tidak pernah sebulu dengannya. Puas ditilik apa kesalahan yang telah dilakukan pada Intan tapi sehingga kini tidak ditemui. Di dalam hati, timbul amarah bagai gunung berapi yang akan meletus pada bila-bila masa sahaja. Namun, segera Dhaniyah berisghtifar. Teringat pesan ayah, kemarahan itu datangnya dari syaitan. Api lawannya air. Berwuduklah untuk padamkan api kemarahan itu. Sekurang-kurangnya, berisghtifarlah.
Ayah, mak, mengapa tinggalkan Niya sendirian mengharungi pahit-maung hidup ini? Niya tak punya kekuatan lagi ayah. Niya dah tak larat lagi menghadapi segala hinaan dan cacian dari Mak Ngah. Niya dah penat ayah, Niya dah penat mak, penat!

*  *  *  *  *

INTAN tersenyum puas. Jeratnya mengena. Pasti teruk Dhaniyah dibalun oleh Mak Ngah mereka yang memang terkenal dengan sikap panas baran itu. Tidak boleh silap sedikit, melentinglah orang tua tu. Sakit hatinya terubat. Cemburunya bertandang tatkala melihat kemesraan antara Dhaniyah dan Hilmi sewaktu di pantai tadi. Sudah lama dia menaruh perasaan pada lelaki itu. Cuma Hilmi yang buat tidak endah.
Justeru, selepas Dhaniyah dan Hilmi bergerak pergi, dia segera berlari menuju ke arah rumah Mak Ngah Leha. Waktu itu ibu saudaranya sedang duduk di pangkin di bawah pokok mangga yang merendang. Mungkin melepaskan penat selepas pulang dari berkebun.
Apalagi, melihat ibu saudaranya yang keseorangan di situ, dia pun mula menyampaikan apa yang dilihat semasa di pantai tadi. Sengaja dia menokok-tambah bagi menyemarakkan api kemarahan Mak Ngah Leha. Dia tahu wanita itu memang tidak pernah merestui hubungan Dhaniyah dan Hilmi.
“Niya, kalau aku berputih mata, engkau pun mesti turut sama! Aku tak akan biarkan Abang Hilmi jatuh ke tangan kau!” gerutu Intan sambil ketawa kuat.
“Kamu dah tak betul ketawa sorang-sorang?” sapaan dari seorang wanita berbaju kurung dengan berkain batik mematikan tawa Intan.
Intan mencebikkan bibir. Mak Su Munah, emak Intan menggeleng. Pasti anaknya sudah berjaya melakukan sesuatu yang memuaskan hati. Bukannya dia tidak kenal anak perempuan tunggalnya itu. Kuat cemburu dan pintar dalam mengenakan orang. Sudah berbuih mulut menasihat tetapi semuanya ibarat mencurahkan air ke daun keladi sahaja. Sia-sia.
“Dari kamu tergelak sorang-sorang, ada baiknya kamu tolong mak sapu laman rumah ni. Buta mata kamu, tak nampak daun rambutan berselerak sana-sini?” sindir Mak Su Munah.
‘Hish! Tak boleh tengok orang senang sikit,’ detik hati Intan.
Segera dia berlalu ke tepi tangga lalu mengambil penyapu dan mula menyapu halaman rumah kayu yang didiami oleh dia dan ibu bapanya. Sambil menyapu, Intan menyanyi kecil. Girang hatinya kerana dendamnya terbalas sudah!

*  *  *  *  *

SUASANA di sekelilingnya kosong. Kosong tanpa sebarang warna dan corak. Hanya putih. Kedua-dua belah tangannya disilangkan, memeluk tubuh yang diserang dingin. Perasaan dan mindanya bertarung sesama sendiri. Di manakah dirinya kala ini? Dia cuba menjerit namun suaranya seakan tersekat di kerongkong. Hatinya diamuk gelisah. Nun jauh di satu sudut, kelihatan dua buah lembaga menuju ke arahnya.
Semakin lama semakin dekat dan perlahan-lahan lembaga-lembaga tersebut mula menunjukkan wajah. Dhaniyah menekup mulut. Tidak sedar pelupuk mata sudah digenangi air. Wajah kedua orang tuanya memenuhi ruang pandang.
Ayah sedang memegang bahu kiri emak penuh erat. Kedua-duanya menatap dirinya dengan senyuman terukir di bibir. Pandangan emak sedikit berubah sayu.  Dhaniyah cuba menggerakkan kaki untuk berlari ke arah mereka namun kedua belah kakinya tidak mahu mendengar kata. Pegun dan kaku bagai dipaku.
Seketika kemudian, ayah dan emaknya mula menjauh. Emak melambaikan tangan sementara ayah masih tidak lekang dengan senyuman. Tidak! Tunggu! Jangan pergi! Emak! Ayah! Jangan tinggalkan Niya seorang diri!
“Mak!!!”
Dhaniyah terjaga. Ah, rupanya hanya mimpi. Dia berisghtifar di dalam hati. Nafas diatur semula agar kembali tenang. Peluh yang merenik di dahi diseka. Emak... Ayah... Niya rindu...
Jam kecil yang terletak di meja sebelah kiri dipandang sekilas. Sudah hampir 02.30 pagi. Perlahan-lahan Dhaniyah menyebak gebar yang menyelimuti tubuhnya. Dia cuba bangun namun terasa sedikit sengal. Pasti kesan dipukul Mak Ngah Leha pagi tadi.
Satu hari dia berkurung di dalam bilik, tidak berani untuk keluar. Bimbang selepas Tok Penghulu pulang, Mak Ngah Leha akan mengamuk lagi. Syukurlah, ibu saudaranya itu tidak berbuat demikian. Sudahnya, sehari suntuk dia menghabiskan masa dengan membaca novel di dalam bilik. Cuma sesekali dia keluar untuk ke tandas. Itu pun setelah memastikan Mak Ngah Leha tidak berada berhampiran.
Merajuk? Hanya sia-sia jika dia merajuk. Mak Ngah Leha tidak akan sesekali memujuk. Kerat sepuluh jari dia berani bertaruh. Entah mengapa sejak kecil ibu saudaranya itu seakan membenci dirinya. Dia pernah bertanya. Dan bukan jawapan yang diterima sebaliknya tamparan sebagai habuan. Sejak itu dia tidak berani untuk membuka mulut tentang perkara itu lagi.
Cuma, yang dia tidak faham, mengapa Mak Ngah Leha masih mahu memeliharanya sedangkan wanita itu sangat membencinya. Dia tidak tahu hendak menemukan jawapannya di mana. Mak Su Munah juga tidak tahu sebabnya. Jawapan hanya ada pada Mak Ngah Leha. Dan jawapan itu pastinya akan terkubur sampai bila-bila.
Bunyi keriuk yang keluar dari perut menganggu lamunan Dhaniyah. Terasa pedih. Maklumlah, seharian dia tidak makan. Lantas, dia mula berdiri, mahu menuju ke dapur. Harap-harap masih ada lebihan lauk makan malam.
Sampai di ruang dapur, dia bergegas menuju ke meja makan. Tudung saji dibuka. Hatinya diserang pilu. Hanya ada sisa-sisa cucur pisang semasa sarapan tadi. Sampai hati Mak Ngah Leha! Tuhan, mengapa begini berat dugaan-MU?

*  *  *  *  *

“NIYA!!!” laung Mak Ngah Leha.
Jam loceng di atas meja kecil di tepi katil dicapai. Jarum jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Ya Allah! Dia terlepas solat Subuh. Kenapalah dia tak terfikir nak kunci jam malam tadi? Ah, baru dia teringat, selepas minum air milo tengah malam tadi, dia kembali menyambung tidur. Cukuplah buat mengalas perut hingga pagi. Cucur pisang yang ada tidak diusik. Seleranya hilang terus.
“Niya!!!” laung Mak Ngah Leha lagi.
Dhaniyah bingkas bangun. Mengemaskan tempat tidur dan berlari keluar menuju ke dapur. Dilihat Mak Ngah Leha sudah terpacak di situ.
“Awal kau bangun hari ni?” sindir Mak Ngah Leha.
Dhaniyah menundukkan wajah. Tahu kesalahannya. Sebentar lagi pasti pipinya merah dihinggap tamparan Mak Ngah Leha.
“Sudah, pergi masak air! Lepas tu ikut aku ke pasar!” arah Mak Ngah Leha.
Eh? Betulkah apa yang didengar? Telinganya sudah rosakkah? Dhaniyah menampar lembut pipi beberapa kali. Ya, dia tidak bermimpi kerana pipinya terasa perit. Mak Ngah Leha sudah berubah? Ah, mustahil!
Pili air dipulas lalu segera dimasukkan air ke dalam cerek dan memanaskannya di atas dapur. Kemudian, Dhaniyah melangkah ke bilik mandi. Dingin air mencengkam tubuh. Terasa segar. Usai membersihkan diri, dia ke bilik dan mengenakan pakaian, baju kurung rona ungu dengan corak bunga-bunga kecil. Rambutnya yang panjang melepasi bahu diikat ekor kuda. Sempat ditilik wajahnya pada cermin meja solek, bimbang jika ketara kesan lebam di bibir. Mujurlah, tidak terlalu kelihatan.
Solat Subuh yang tertinggal tadi sempat diganti. Setelah berpuas hati dengan keadaan dirinya, Dhaniyah melangkah ke dapur. Sekali lagi dia terkejut apabila melihat semangkuk nasi goreng ikan masin sudah terhidang di atas meja bersama-sama dengan seteko air teh tarik ketika sampai di dapur. Kenapa dengan Mak Ngah Leha hari ini? Dah buang tabiat?
“Cepat sikit makan tu! Lepas ni, ikut aku ke pasar!” tegas suara Mak Ngah Leha, mengingatkan anak saudaranya itu sekali lagi.
Dhaniyah menyenduk nasi goreng yang masih berasap ke dalam pinggan. Kemudian, dia menuang air teh ke dalam cawan. Begitu berselera dia menikmati masakan Mak Ngah Leha. Jarang dia dapat merasainya. Selalunya, urusan memasak dan mengemas rumah tergalas di bahunya.
Tiba-tiba ada rasa tidak enak bermukim di hati. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Apakah perkara itu? Baikkah atau burukkah?

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

apakah yg sudah terjadi?
kusykil2