Sepatah Dua Kata

Rabu, Jun 27, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 03





BAU harum kari kepala ikan menusuk ke hidung. Aromanya tersebar ke segenap ruang rumah. Dhaniyah bertambah pelik dengan tingkah laku Mak Ngah Leha hari ini. Lihat sahaja di atas meja yang terhidang begitu banyak juadah. Ada ikan keli panggang, sambal belacan, ulam pucuk paku dan timun, ikan kembung masin, kari kepala ikan, sambal sotong dan puding sirap. Seperti ada tetamu jauh yang ditunggu-tunggu hari Ahad begini. Tapi, siapa?
Selepas pulang dari pasar, Mak Ngah Leha memintanya menyapu halaman dan ruang tamu sementara ibu saudaranya itu ke dapur untuk menyediakan hidangan tengah hari. Curiga memang sudah mula mendapat tempat di hati sejak sarapan tadi. Pasti ada sesuatu yang akan berlaku.
“Sempat kau termenung lagi! Sudah, masuk bilik, salin baju. Pakai baju kurung yang aku dah sediakan atas katil tu,” arah Mak Ngah Leha.
Hati  Dhaniyah bertambah pelik. Mengapa dia disuruh tukar pakaian? Siapalah tetamu yang hendak berkunjung ke rumah Mak Ngah Leha hari ini? Setahunya, Mak Ngah Leha tidak pernah berkahwin. Justeru tidak mungkin punya anak. Mungkin saudara-mara jauh agaknya, Dhaniyah menyedapkan hati. Dia menapak ke bilik dan terpana melihat sepasang baju kurung dari kain sutera yang bercorak indah tersedia di atas katil. Disentuh baju tersebut. Terasa halus dan lembut.
Baju itu dilekapkan ke tubuh lalu dia menari-nari girang. Serasa hidupnya akan berubah. Sinar mentari yang menyusup masuk melalui jendela seolah-olah memberi dia harapan yang baru. Segera dilucutkan pakaian dan menyarung baju kurung yang halus jahitannya itu. Rambut yang diikat dibiar bebas mencecah bahu. Sempat dicapai compact-powder dan melekapkannya ke pipi. Entah mengapa terasa ingin tampak berseri sedikit.
“Dah siap?” sapa Mak Ngah Leha.
“Dah,” jawab Dhaniyah.
“Amboi, cantik sungguh anak saudara aku ni. Marilah, kita keluar. Kejap lagi sampailah rombongan tu,” ajak Mak Ngah Leha dengan intonasi yang lembut dan mesra seraya membuatkan jiwa Dhaniyah libang-libu.
Hatinya berdetik. Rombongan? Apakah maksud Mak Ngah tentang rombongan? Ah, dia mula berasa tidak sedap hati.

*  *  *  *  *

WAJAHNYA yang terpapar di dalam cermin direnung. Sudah cukup cantik pada pandangannya. Sejak semalam dia tidak dapat melelapkan mata apabila mendengar khabar yang disampaikan oleh emaknya. Tidak percaya yang urusannya menjadi begitu mudah. Tidak perlu lagi bersusah-payah untuk mempertahankan hak dirinya. Selepas ini dia boleh hidup dengan lega-seleganya.
“Apalagi yang kamu buat kat dalam bilik tu?” laung Mak Su Munah.
“Yalah, Intan dah siap ni!” jawab Intan.
Rumah papan bercat kuning itu dikunci dengan mangga yang bersaiz besar. Setelah memastikan semua tingkap dan pintu berkunci, Mak Su Munah dan Intan melangkah ke destinasi.
“Betul ke ada orang nak kat Niya tu Mak?” soal Intan ketika berjalan meredah semak-samun yang sudah meninggi mencecah betisnya.
“Dah Mak Ngah kamu yang cakap macam tu. Betullah agaknya,” jawab Mak Su Munah.
Intan ketawa besar di dalam hati. Bibirnya mengukir senyum.
‘Padan muka kau! Lepas ni Abang Hilmi akan jadi milik aku. Kau tak ada hak ke atasnya lagi!’ getus hati Intan, gembira.

*  *  *  *  *

BUNYI enjin kereta memasuki halaman rumah menarik minat Dhaniyah. Belum sempat dia bangun menjenguk, Mak Ngah Leha mengarahkan dia duduk. Terdengar suara orang memberi salam dari luar rumah. Salam dijawab di dalam hati. Serta-merta debaran di dalam dada kembali menggunung.
“Jemputlah masuk. Maaflah, rumah papan aje Dato’,” ujar Mak Ngah Leha.
Derap kaki yang masuk ke dalam rumah menghantar gelisah ke dalam jiwa. Dhaniyah menoleh ke belakang, mengatur duduk agar tampak lebih sopan. Sempat dia membetulkan tudung rona putih yang tersarung di kepala. Ada beberapa orang yang dia tidak kenali melangkah ke ruang tamu. Dua orang lelaki dan tiga orang perempuan.
“Silakan duduk,” pelawa Mak Ngah Leha, lembut.
Tetamu-tetamu yang hadir itu mengambil tempat duduk masing-masing. Dua orang lelaki yang berpakaian kemas duduk di kerusi di sebelah kiri Dhaniyah manakala dua orang perempuan duduk bertentangan dengan lelaki tersebut. Seorang perempuan yang agak berumur duduk di kerusi di hadapannya.
Setiap wajah yang yang ada di ruang tamu itu diperhati. Serasa macam pernah dilihat wajah lelaki yang segak berkot dan bercermin mata itu. Dhaniyah mula membuka kotak ingatan, menyelongkar satu persatu kenangan lalu yang tercipta namun tidak dapat dicerna dengan baik bila dia bertemu lelaki itu.
Namun dia yakin, ini bukan kali pertama dia bertentang mata dengannya. Tak mengapalah, mungkin dia akan ingat nanti. Lelaki itu mengukir senyum padanya membuatkan Dhaniyah menundukkan wajah. Terasa agak tidak selesa ditenung begitu.
“Inilah anak saudara saya, Dhaniyah,” Mak Ngah Leha memperkenalkan Dhaniyah pada tetamu yang hadir.
“Hmm... cantik. Patutlah kamu berkenan,” ujar perempuan yang berumur itu sambil memandang lelaki yang senyum padanya tadi.
Dhaniyah meminta diri ke dapur apabila melihat isyarat mata dari Mak Ngah Leha. Dalam fikiran, dia sudah dapat mengagak tujuan kedatangan para tetamu itu namun hatinya menolak mentah-mentah. Mengusir tanggapan buruk itu dari jiwa. Dia membancuh air oren di dalam jug lalu meletakannya di atas dulang bersama-sama beberapa biji gelas. Kek buah yang dibuat oleh Mak Ngah Leha semalam dipotong lalu dimasukkan ke dalam pinggan.
Kemudian, Dhaniyah melangkah semula ke ruang tamu bersama-sama dulang yang berisi air oren dan kek buah. Terkejut dia melihat Mak Su Munah dan Intan sudah mengambil tempat di ruang tamu itu. Entah bila mereka sampai, tidak dia sedari. Perlahan-lahan dia meletakkan dulang ke atas meja. Gelas-gelas diatur lalu diisi dengan jus oren.
“Jemputlah minum,” pelawa Mak Ngah Leha.
“Niya, mari duduk sebelah nenek,” pelawa wanita yang berumur itu.
Dhaniyah memandang ibu saudaranya. Mak Ngah Leha menjengilkan mata tanda menyuruh dia bangun dan mengikut kata-kata wanita tersebut. Lalu dia melangkah perlahan dan duduk di sebelah perempuan yang memakai kebaya rona biru laut dan bertudung juga rona serupa itu. Memang tampak bergaya walaupun sudah lanjut usia.
“Hulurkan tangan. Nenek nak beri sesuatu,” ujar wanita itu lagi.
Dhaniyah bagai terpukau dengan kata-kata wanita tersebut dengan segera menghulurkan tangannya. Terasa jari disarungkan sesuatu. Terpana dia melihat cincin yang cantik terletak di jari manisnya. Belum pernah dilihat cincin yang bersinar begini. Pasti mahal harganya.
Lidahnya kelu. Dia tidak mampu mengucapkan walau sepatah perkataan. Tanpa disedari, ada manik-manik putih berjuraian. Pantas diseka dengan jemari dan menguntum secangkir senyum. Entah untuk apa air mata itu gugur, Dhaniyah tidak tahu tetapi ada rasa sayu yang menjalar di hati.
“Jadi tarikhnya kita tetapkan tiga minggu dari sekarang, bagaimana?” tanya lelaki yang tersenyum pada Dhaniyah tadi.
“Saya setuju saja Dato’. Kata orang, perkara baik macam ni, tak elok ditangguh-tangguh,” balas Mak Ngah Leha.
“Alhamdulillah, dah selesai semuanya. Tinggal menunggu majlis sahaja,” ucap seorang lelaki yang juga memakai cermin mata.
“Rasanya, dah tak ada apa-apa lagi. Kalau macam tu, marilah kita ke dapur. Saya ada masak sedikit untuk makan tengah hari,” Mak Ngah Leha mempelawa para tetamu ke ruang dapur di tingkat bawah.
Dhaniyah hanya menghantar pemergian mereka dengan ekor mata. Kaki serasa tidak mampu bangun melangkah. Bagai sudah dipaku sehinggalah terasa bahunya dipeluk dari belakang.
“Tahniah! Tak lama lagi jadi isteri oranglah kau,” ujar Intan.
“Isteri orang?” soal Dhaniyah dalam keliru.
“Ha’ah, kau ni... Sempat lagi nak bergurau. Cincin kat jari tu kan cincin tanda,” jawab Intan.
Kata-kata Intan tadi bagai halilintar memecah masuk ke gegendang telinga Dhaniyah. Hatinya berbolak-balik bagai dilanda tsunami. Ibarat tesedar dari lena yang panjang, dia menjerit sekuatnya di dalam hati.
Tidak! Tak mungkin! Apa semua ni?

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

siapa yang meminang niya
SIAPA...SIAPA
~TEROVER SDAH~