Sepatah Dua Kata

Ahad, Jun 03, 2012

Previu: Dia Jantung Hatiku

Watak-watak

“BETINA miang! Tak sedar diri! Berani kau conteng arang di muka aku ya! Dah gatal sangat nak kahwin?” tinggi nada suara Mak Ngah Leha.
Dhaniyah hanya diam membisu. Kalau dijawab, pasti semakin ligat tapak tangan Mak Ngah Leha hinggap di pipi. Akhirnya, hanya manik-manik putih yang keluar berjujuran sebagai tanda kesakitan yang dialami.
Tamparan demi tamparan yang hinggap ditubuh ibarat angin lalu. Benar, sakitnya memang terasa namun dia sudah lali dengan semua ini. Sepak-terajang, sumpah-seranah semuanya telah menjadi asam garam hidupnya. Seringkali hati berdetik, sampai bila harus terus begini?
Daun pintu kayu yang ternganga luas itu digenggam erat. Jika dia punya kekuatan yang cukup, mahu sahaja dia mencabut daun pintu tersebut buat pelindung diri. Mak Ngah Leha masih tidak berhenti dari menyakiti tubuhnya.
“Apa nak jadi dengan kau ni, hah? Kau ni memang budak tak sedar dek untung!” bentak Mak Ngah Leha.
            Pang!!! Dhaniyah terjelepuk di atas lantai akibat tamparan Mak Ngah Leha. Entah untuk kali yang keberapa. Lantas gadis itu meraba pipi. Bibirnya terasa panas. Ada cecair merah mengalir di tepi bibir. Pantas dikesat dengan jemarinya. Namun, belum sempat Dhaniyah bangun, rambutnya dicengkam kuat lalu diheret ke ruang tamu. Peritnya tidak dapat dibayangkan. Betapa Mak Ngah Leha betul-betul naik angin hari ni. Semuanya kerana mulut manusia yang tidak pernah lekang dari menabur fitnah.
            Pulang sahaja dari pantai tadi, Dhaniyah melihat Mak Ngah Leha sudah bercekak pinggang di depan pintu. Wajahnya bengis dengan mata yang mencerlung tajam. Hatinya mula berasa tidak enak. Pasti ada sesuatu berlaku yang telah menimbulkan kemarahan ibu saudaranya itu. Dan ternyata telahan Dhaniyah tepat apabila peristiwa dia bertemu dengan Hilmi terbongkar.
“Cakap! Kau nak keluar lagi tak dengan anak Pak Daud tu?” suara lantang Mak Ngah Leha menerbangkan segala lamunan Dhaniyah entah ke mana.
            Bagai tersedar dari mimpi yang panjang, Dhaniyah berisghtifar di dalam hati. Memohon perlindungan dari Tuhan agar dia masih mampu meneruskan hidup. Mulutnya dicengkam. Dia memaut tangan Mak Ngah Leha meminta simpati.
“Baik kau cakap! Kau nak keluar lagi tak dengan anak bekas banduan tu? Cakap!” jerit Mak Ngah Leha sambil menguatkan cengkamannya.
“Leha! Apa yang kau buat ni?” suara Tok Penghulu menerjah ke gegendang telinga Dhaniyah.
‘Ya Allah! Terima kasih! Kau telah menghantar penyelamat kepadaku. Terima kasih!’ desis hati Dhaniyah.
“Tok jangan masuk campur. Ini urusan saya dengan anak saudara saya!” Mak Ngah Leha bertegas.
“Astaghfirullah, mengucap Leha. Kau ni dah gila apa? Si Niya tu dah macam separuh mati kau kerjakan. Cuba bawa bersabar,” pujuk Tok Penghulu.
“Ah! Tok jangan memandai nak nasihat saya. Tok bukannya tahu apa yang dia dah buat. Bersekedudukan kat tepi pantai dengan budak Hilmi anak banduan tu. Mana nak letak muka saya ni tok? Satu kampung dah tahu!” suara Mak Ngah Leha masih memetir seperti tadi sambil melepaskan cengkaman tangannya dari mulut Dhaniyah.
            Dhaniyah mengambil peluang mengengsot ke tepi sedikit. Jauh daripada ibu saudaranya yang seperti harimau buas ingin menerkam mangsanya pada bila-bila masa sahaja. Jelingan Mak Ngah Leha sudah cukup menerbitkan gelisah di dalam hati.

Tiada ulasan :