Sepatah Dua Kata

Selasa, Julai 24, 2012

Cerkon: Halaman RIndu



SENGAJA dia duduk di bangku kayu yang dibina di halaman rumah banglo dua tingkat itu. Bunyi deruan air terjun buatan memecah keheningan malam, ditambah dengan nada unggas yang mendayu-dayu bernyanyi. Sesekali, bayu malam menampar lembut wajahnya cuba menghantar damai di hati. Kepalanya didongak menongkah langit. Gemerlapan bintang-bintang ditemani cahaya rembulan yang mengambang penuh, mengasyikan sekali. Namun semua itu tetap tidak mampu mengsirnakan duka yang menyelubungi jiwa kala ini. Dia melepaskan keluhan perlahan-lahan. Sebaris nama disebut.
“Fitri,”
Sekali lagi keluhan dihamburkan. Nama itu sudah terlalu lama singgah di hatinya. Nama itu sudah acapkali dilafaz bibirnya. Nama itu selalu muncul dalam ingatannya. Ah, betapa hidupnya selalu bergelumang dengan nama itu. Nama milik lelaki yang menghadirkan perasaan kasih, sayang, dan cinta dalam hati.
Bunyi enjin kenderaan memasuki halaman menarik perhatiannya. Wajah papa dan mama menerpa pandangan. Pasti mereka telah selesai menghadiri majlis makan malam di rumah kenalan mereka.
“Buat apa termenung di luar ni Hidayah?” tegur mamanya.
“Saja, tunggu papa dan mama balik,” dia menjawab.
“Kami masuk dulu ya. Jangan lama-lama di luar. Angin malam, tidak elok,”  ujar mamanya.
Dia menganggukkan kepala lalu melukis segarit senyum. Matanya menghantar pemergian papa dan mama masuk ke dalam rumah. Dia kembali merenung kolam air terjun buatan itu. Perlahan-lahan, wajah lelaki itu datang lagi.
Dia masih ingat, masih segar dalam benak mindanya perkenalan pertama antara dia dan lelaki itu. Saat mata bertentang mata, lidah jadi kelu untuk bersuara. Pandangan mata lelaki itu mengusik jiwanya sekaligus menerbitkan debar. Waktu itu sedang diadakan sesi pendaftaran pelajar-pelajar baru di Management and Science University (MSU) yang terletak di Shah Alam. Mereka bertemu di pintu masuk dewan. Dia hendak keluar sementara lelaki itu baru hendak melangkah masuk.
Perselisihan yang sepintas lalu itu rupanya berlanjutan apabila mereka ditempatkan di dalam kelas yang sama. Satu kebetulan yang indah. Seminggu menjalani kehidupan di kampus, masing-masing masih tidak mahu bersuara. Hanya pandang-memandang, jeling-menjeling. Ketika sesi orientasi pelajar baru juga begitu. Mereka tidak dijodohkan di dalam satu kumpulan tetapi masih tetap berselisih. Terus pandang-memandang.
Dua minggu menjalani proses pelajaran dan pembelajaran, masih tetap begitu cuma sudah tahu nama masing-masing. Sehinggalah apabila seorang pensyarah memberi tugasan berkumpulan dan mereka ditemukan dalam kumpulan yang sama seramai lima orang.
“Apa khabar? Saya Fitri,”
Itulah ungkapan pertama yang meniti di bibir lelaki itu. Dia masih ingat sehingga kini. Kala itu barulah mereka saling berbicara tetapi hanya soal pelajaran, tidak lebih dari itu. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, entah bagaimana mereka menjadi rapat. Rapat hanya ketika berhubung melalui telefon bimbit. Di dalam kelas, mereka berlagak biasa. Baginya, Fitri seorang yang mengambil berat dan penyayang.
Pernah suatu ketika, komputer bimbitnya diserang virus. Segala file dan folder yang berada di dalam komputer bimbit itu habis hilang. Hampir menangis dia tatkala mengenang semua tugasan dan nota disimpan di dalam komputer bimbit itu. Mujur ada Fitri. Lelaki itulah yang membantunya membaiki komputer bimbitnya semula. Sungguh, dia terhutang budi pada lelaki itu.
Walau bagaimana pun, perasaan sayang dalam hatinya tetap dibiar sembunyi walau sudah mekar mewangi. Bukan dia tidak mahu melafazkan kalimah itu tetapi dia tidak boleh. Fitri, ternyata lelaki yang menarik. Oleh kerana wajahnya yang tampan serta peramah, dia senang bergaul dengan gadis-gadis lain. Setiap minggu, gadis-gadis yang mendampinginya sering bersilih ganti. Namun Fitri masih tetap menghubunginya menerusi mesej-mesej yang diberi. Walau tidak setiap hari, mesej dari lelaki itu tetap dinanti.
Dia teringat tiba-tiba akan kata-kata sahabat baiknya di dalam kelas. Kata sahabatnya itu, Fitri selalu merenung dan memandangnya. Oleh kerana di selalu duduk di barisan hadapan sementelah lelaki itu suka duduk di bahagian belakang, dia jarang menyedari perlakuan lelaki itu. Justeru, apakah maksud pandangan lelaki itu padanya? Apakah lelaki itu juga turut menyimpan rasa yang sama?
Tidak. Mengapa? Kerana lelaki itu selalu sahaja menduga hatinya. Pernah suatu ketika dia meminta Fitri menghantarnya ke stesen komuter kerana dia terlewat untuk menaiki bas ke sana. Hampir setengah jam dia duduk menunggu namun bayang lelaki itu tetap tidak muncul. Telefon tidak diangkat, mesej tidak berbalas. Akhirnya dia terpaksa menaiki teksi yang sudah tentu mencekik darah tambangnya. Mujur dia tidak terlepas komuter seperti yang dijadualkan tengah hari itu.
Apabila ditanya, Fitri buat muka bersalah. Lelaki itu dengan mudah memohon maaf dan dia, dengan mudah juga memaafkan. Entah mengapa bila berdepan dengan lelaki itu, dia jadi lemah. Bukan sekali dua Fitri berbuat begitu, sudah tidak terbilang dengan jari bila lelaki itu memungkiri janji. Tak mengapalah, asalkan lelaki itu masih sudi berkawan dengannya, dia sudah cukup puas hati.
Malam masih muda. Cahaya bulan yang terang sebentar tadi mula beransur kelam kerana dilitupi awan hitam. Dia menundukan wajah. Mengapa malam ini dia membiarkan perasaan menguasai diri? Ah, biarlah... sekurang-kurangnya dia berasa lega.
Dia kembali menerawang, membuka memori silam. Sebulan yang lepas, sebelum peperiksaan akhir semester tiba, lelaki itu memohon untuk dipinjamkan nota kuliah darinya. Dia pelik. Dalam banyak pelajar di kelas, mengapa dia yang lelaki itu pilih? Nak kata notanya bagus, tidak juga malah ada lagi pelajar yang lebih rajin membuat dan menyalin nota dari dirinya. Tapi, mengapa dia yang jadi pilihan? Ah, mungkin kerana lelaki itu mempercayainya.
Bila bertemu untuk menyerahkan nota kuliah, lelaki itu mengucapkan terima kasih sambil memberi sekotak kecil coklat dan sekuntum mawar putih padanya. Dia tergamam. Apakah maksud pemberian ini? Lelaki itu, selalu membuatkan perasaannya terapung-apung.
Selang dua hari selepas itu, ketika berjalan-jalan di sebuah pasaraya di bandar, dia terserempak dengan Fitri. Sedang bergandingan dengan seorang gadis jelita. Dia kenal gadis itu. Setiausaha Persatuan Pelajar. Wah, bukan calang-calang orang pasangan lelaki itu. Dan entah mengapa kali ini hatinya terasa amat pedih. Serasa diracik-racik halus oleh belati yang tajam. Dia tidak mengerti, mengapa ada hiba yang menjalar di hati? Air matanya menitis kala itu juga namun cepat diseka kerana tidak mahu kawan-kawan melihat yang dia sedang dilanda duka. Cemburukah dia? Tapi untuk apa? Oh, bukankah lelaki itu lelaki yang dia cintai? Jadi perasaan ini memang cemburu, tidak salah lagi. Namun lelaki itu tidak memahami dan tidak sesekali pernah mengerti.
Menginjak semester baru, dia mula bertindak menjauhi diri dari lelaki itu. Sepanjang cuti semester, dia berusaha untuk melepaskan semua perasaan yang terbuku di hati untuk lelaki itu. Biarlah perasaan cinta ini dibuang jauh-jauh. Tidak ada gunanya memendam rasa pada lelaki yang tidak pernah pandang akan dirinya. Bila menjauh, lelaki itu datang dekat. Kembali menghantar mesej-mesej yang membuatkan hatinya berdetak hebat. Mengapa di saat dia ingin melupakan, lelaki itu melangkah ke sisi?
Dia penasaran! Dan sekali lagi dia biarkan perasaan menguasai diri. Perasaan yang membuai indah dirinya dan turut mencampakan dia ke lembah derita. Dia berusaha. Fitri dekat. Bila dia rasa lelaki itu mula melangkah merapatinya, tiba-tiba lelaki itu melupakannya dan berundur semula.
Oh, dia benar-benar lemas dengan perasaan yang pelbagai ini. Satu-persatu semakin berselirat dan sukar untuk dirungkai. Perlukah diluah kata hati, atau biar lelaki itu sendiri yang menyedari? Hendak diluah, dia malu, takut ditolak. Hendak tunggu lelaki itu sedar, dia tidak sabar. Dia takut masa mencemburuinya.
 “Hidayah, sudah tu, mari masuk. Dah lewat ni,” terdengar panggilan dari mamanya.
“Baik mama. Dayah masuk sekarang,” balas Hidayah lalu bangun.
Dia berdiri memandang langit yang dilimpahi kerdipan bintang-bintang. Wajah Fitri terbayang lagi. Perlahan-lahan, rindu mula menerpa, menyelubungi hati. Ah, dia tidak boleh biarkan diri ini terus dihanyut oleh rindu yang tidak berkesudahan. Dia harus tegas. Esok, dia akan cuba melafazkannya. Namun jauh di lubuk hati dia tahu, itu tidak mungkin. Jadi, sampai bila dia harus terus dihantui dengan bayang-bayang lelaki itu? Sampai bila dia harus terus bergelumang dengan rindu yang menghimpit dada ini?
Masa, punya jawapan untuk segalanya. Dia yakin, suatu ketika, dia pasti dapat lupakan lelaki bernama Fitri andai ada kumbang lain yang sudi hinggap di tangkai hati. Buat masa ini, biarlah laman hatinya dipenuhi dengan rindu. Rindu dan terus rindu. Dia bahagia begitu...

::TAMAT::

p/s: Sesi memanas enjin menulis yang dah lama beku. Huhu...

Tiada ulasan :