Sepatah Dua Kata

Khamis, Julai 12, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 04






MAK NGAH tak boleh buat Niya macam ni!”
Selepas para tetamu berlalu pergi, Dhaniyah. terus menghamburkan kemarahan pada ibu saudaranya. Pandai-pandai saja nak tunangkan dia. Kalau orang tu dia kenal tak apa juga. Ini, tak pernah jumpa langsung! Entah baik entahkan tidak. Yang penting, Mak Ngah Leha tidak ada hak untuk menentukan arah hidupnya.
“Tak payahlah kau nak merungut. Benda dah jadi. Lagipun, ini untuk kebaikan kau juga,” ujar Mak Ngah Leha.
“Niya tak setuju! Mak Ngah tak berhak masuk campur dalam hidup Niya!” tinggi nada suara Dhaniyah.
“Apa? Ulang balik apa kau cakap tadi? Aku tak berhak masuk campur dalam hidup kau? Oi, kau dengar sini. Kalau bukan aku yang kutip kau sejak ayah kau meninggal, dah lama kau hidup merempat tau tak? Bukannya reti nak berterima kasih, ditengkingnya aku pula. Memang dasar anak tak kenang budi!” nada suara Mak Ngah Leha naik satu oktaf.
Dhaniyah terkesima. Timbul satu perasaan asing dalam hatinya seketika. Ya, tidak dapat dinafikan kebenaran kata-kata ibu saudaranya tadi. Mak Ngah Lehalah yang menjaga dia dan memberi dia perlindungan sejak dia berumur empat tahun lagi. Mengapa dia tidak sedar tentang hakikat itu?
‘Ah, selama ni kau hidup terseksa juga tinggal dengan dia,’ Entah dari mana ada bisikan jahat yang menerjah cuping telinga.
Tidak! Dia bersalah pada Mak Ngah Leha. Dia memang anak yang tidak mengenang budi. Oh, apa yang perlu dia lakukan sekarang?
“Niya, aku buat semua ni untuk kau juga. Anak Dato’ Iskandar tu baik budaknya. Tak akan kebulur kau kalau kahwin dengan dia. Lagipun, didikan agama pun ada. Aku jamin kau akan hidup selesa dan bahagia dengan dia,” lembut Mak Ngah Leha bertutur, tidak sekeras tadi.
Dato’ Iskandar! Baru sekarang Dhaniyah teringat di mana dia pernah berjumpa dengan lelaki itu. Sewaktu majlis perkahwinan anak lelaki Pak Roslan sebulan yang lalu. Kalau tidak silap, anak lelaki Pak Roslan bekerja di syarikat Dato’ Iskandar. Dia ada melihat lelaki itu berbual dengan Mak Ngah Leha ketika majlis perkahwinan tersebut berlangsung.
“Tapi...”
“Sudah, lebih baik kau pergi kemas dapur tu. Kita bincangkan hal ni lain kali. Nanti aku kenalkan kau dengan Izhar. Sudah, pergilah,” arah Mak Ngah Leha.
Izhar! Nama tunangnya. Hmm... Baik, kita lihat nanti bagaimana perkembangannya. Yang pasti lelaki itu akan merana sebab musnahkan hidupnya!

*  *  *  *  *

RESTORAN makanan segera Kentucky Fried Chicken agak sesak dengan pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung sejak pagi lagi. Maklumlah, waktu makan tengah hari sudah tiba. Di satu sudut di dalam restoran itu, kelihatan dua orang gadis dan seorang pemuda sedang asyik menjamu selera. Keenakan ayam goreng di restoran tersebut memang tidak dapat dinafikan.
“Bagaimana dengan projek perumahan di Teluk Kemang tu?” soal Amelia membuka bicara.
“Projek Taman Anggerik?” ujar Ilham Falihin meminta pengesahan.
Amelia mengangguk. Adiknya, Afiqah yang duduk di sebelah sedang asyik mengunyah kentang goreng. Tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya.
So far so good. Fasa pertama berjalan dengan lancar. Penanaman cerucuk pun dah dimulakan. Kenapa?” tanya Falihin.
Just asking. Yalah, you dah lama tak datang ke butik I. So, I ingat projek tu ada masalah,” terang Amelia.
“Hmm... bunyi macam berjauh hati saja? Bukan I tak nak datang, cuma kebelakangan ni banyak kerja sikit. I kena melawat tapak projek, urusan dengan pihak bank lagi dan macam-macam lagilah. Sometimes I rasa nak berhenti saja. Lebih baik I suruh Abang Fizi  yang uruskan benda ni,” jelas Falihin.
Amelia menyedut air Pepsi di hadapannya. Inilah kali pertama mereka menikmati makan tengah hari di sini ketika waktu pejabat. Selalunya mereka lebih gemar lunch di hotel cuma hari ini adiknya yang bekerja sebagai pensyarah itu mahu belanja mereka makan kerana mendapat gaji pertama. Terpaksalah dia turutkan.
“Itulah, sapa suruh you gatal nak sangat tender tu. Elok-elok Fizi tawarkan diri, you tolak. Sekarang, nak menyesal pun tak guna. You kena teruskan juga,” ujar Amelia.
Falihin melepaskan keluhan kecil. Dia bersandar di kerusi, memandang ke luar sebentar. Kenderaan pelbagai jenis bertali-arus membelah jalan raya. Langit cerah tidak berawan. Pasti sinar terik mentari sedang memanah permukaan bumi. Mujur dia duduk di dalam restoran yang berhawa dingin itu. Tidaklah terasa sangat kehangatannya.
“Bukan apa. I ingat kerja ni mudah sebab tu I terima. Lagipun, papa I dah bising kata I tak buat kerja. Tahu menghabiskan duit syarikat aje,” rungut Falihin.
“Biasalah... Ala, tak payah you risaukan tentang tu. Bukannya you ni pekerja bawahan malah syarikat tu papa you yang punya,” ujar Amelia.
Bunyi telefon bimbit Falihin mengganggu perbualan mereka seketika. Amelia menghabiskan kentang goreng di dalam pinggannya. Afiqah sudah duduk bersandar kerana kekenyangan.
Okay, I’ve got to go now. Ada hal kat tapak projek. By the way, thanks for the lunch. Nanti kita jumpa lagi. Bye!” ucap Falihin lalu melangkah keluar dari restoran itu.
Amelia hanya memandang, lesu...

*  *  *  *  *

IZHAR HAFIZI mengeluh perlahan. Dikuak rambutnya ke belakang. Kemudian dia bangun dan mengangkat tangannya tinggi ke udara. Selepas itu, diregangkan otot-otot tangan dan kaki untuk menghilangkan penat. Dia duduk kembali di kerusi dan mengambil sebotol air mineral lalu diteguk perlahan.
Sejak kebelakangan ini kerja-kerja pejabat makin bertambah. Lepas selesai masalah suatu projek, masalah lain pula muncul. Terasa beban penanggungannya sebagai CEO Syarikat Megah Jaya Holdings begitu mencabar. Kagum dia melihat ketekunan dan kesabaran papanya menguruskan organisasi sebegini besar dan hebat. Barulah dia mengerti situasi yang dialami oleh papanya selama ini.
“Tuan, Encik Falihin di talian satu sekarang ni. Nak saya sambung, kan?” soalan dari setiausahanya melalui interkom itu mengganggu sedikit ketenangannya.
“Baiklah, sambungkan,” jawab Izhar.
“Abang Fizi, kenapa tak jawab handphone?” terus dia diterjah dengan soalan dari adiknya.
“Assalammualaikum. Bertenang Falihin. Kenapa ni?” tanya Izhar.
“Waalaikummussalam. Maaf bang. Ni, Falihin ada kat Batu Empat. Projek Astana Beach Resort tu, pihak di sini kata bekalan yang diterima tak cukup. Lepas tu lain yang diminta lain yang mereka beri. Macam mana ni bang?” suara Falihin kedengaran kalut.
Ah, datang lagi satu masalah. Bertambah pening kepalanya. Perkara ni tak akan terjadi jika adiknya berbincang dengannya terlebih dahulu. Bukan dia tidak tahu perangai adiknya yang terburu-buru itu.
“Macam nilah. Kita bincang hal ni di pejabat. Kamu boleh datang jumpa abang sekarang kalau kamu ada masa,” ujar Izhar.
“Baiklah... Abang Fizi tunggu Falihin. I’ll be there in 15 minutes,” balas Falihin.
Talian dimatikan. Izhar mula berfikir tentang cara penyelesaian masalah adiknya itu. Dia tahu adiknya inginkan projek Astana Beach Resort itu berjaya kerana projek tersebut akan membuktikan kesungguhannya terhadap syarikat dan membuka mata papa mereka bahawa adiknya juga mampu menguruskan sesuatu projek dengan baik.
“Suhana, lepas ni saya ada apa-apa urusan?” soal Izhar pada setiausahanya di interkom.
“Ada. Tuan ada mesyuarat dengan para pegawai di Jabatan Kewangan pukul dua nanti,” jawab Suhana.
“Pindakan ke pukul tiga boleh?” pinta Izhar.
“Baiklah tuan. Ada apa-apa lagi?” pinta Suhana.
“Tak. Terima kasih,” ucap Izhar.
Baru sahaja dia hendak bangun, pintu pejabatnya dikuak. Terjengul wajah mama dan papanya. Neneknya juga ada sekali. Izhar memandang wajah mereka dengan pandangan yang berbaur.
‘Apa tujuan mereka datang ke sini?’ detik hati Izhar.

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

izhar pun tak tau ke dia dah bertunang...