Sepatah Dua Kata

Rabu, Julai 04, 2012

Tips Karya: Penghantaran Cerpen ke Media Cetak




ADA yang bertanya tentang cara menghantar karya untuk siaran di media cetak. Justeru, saya harap informasi yang dikongsikan ini dapat membantu sedikit-sebanyak.

Antara perkara yang perlu dititik-beratkan adalah:

1)      Format
Spesifikasinya seperti berikut:
  • Jenis tulisan: Times New Roman atau Arial
  • Saiz tulisan: 12
  • Langkau baris (spacing): 1.5 atau 2

2)      Mukasurat
Cerpen adalah cerita pendek. Maka ia tidak harus ditulis panjang-panjang kerana media cetak tidak menyediakan ruang yang banyak untuk bahagian cerpen.
Jumlah mukasurat yang dicadangkan adalah antara enam hingga lapan muka surat sahaja. Tidak lebih dari itu. Malah, ada yang mahukan cerpen sekadar 150 baris sahaja.

3)      Tema
Perkara ini perlu diberi perhatian. Sila kaji skop atau jurusan majalah/akhbar yang hendak anda hantarkan karya.
Ramai yang teruja menghantar cerpen tanpa menyelidik perkara ini terlebih dahulu dan hasilnya, cerpen tersebut tidak terpilih untuk disiarkan.
Contoh:
  • Jika anda menulis cerpen/puisi dalam genre cinta, majalah seperti Remaja lebih sesuai berbanding majalah Jelita.
  • Jika anda menulis cerpen/puisi dalam genre Islami, majalah seperti Anis lebih padan.
  • Jika anda menulis cerpen/puisi yang mengungkap tema kekeluargaan dan perjuangan kaum wanita, maka majalah seperti Wanita dan Mingguan Wanita wajar dipilih.
  • Jika anda menulis cerpen/puisi tentang sesuatu dalam genre Sains Fiksyen, majalah seperti Dewan Kosmik adalah pilihan yang wajar.
  • Jika anda menulis cerpen/puisi yang lebih bersifat sastera, seharusnya anda memilih majalah seperti Tunas Cipta dan Dewan Siswa.

4)      Surat Iringan
Surat iringan lebih kepada pengenalan dan pemberitahuan tentang kiriman cerpen tersebut. Sekurang-kurangnya editor akan lebih mengenali anda dan terasa dihargai.
Surat iringan ditulis dalam bentuk surat rasmi.

Contoh ayat dalam surat iringan adalah seperti berikut:

Bersama ini dikirimkan cerpen bertajuk “Gerimis di Hati Alia” untuk dipertimbangkan penerbitan dalam majalah Mingguan Wanita. Adalah diakui dan disahkan bahawa cerpen ini merupakan karya asli saya dan belum pernah dihantar di mana-mana. Di atas pertimbangan dan pemilihan pihak puan, saya ucapkan jutaan terima kasih.Sekian.

Nyatakan juga biodata seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon untuk dihubungi

5)      Etika
  • Sebelum menghantar, semak sekali lagi bagi memastikan tiada kesalahan ejaan mahu pun tanda baca.
  • Minimakan kesalahan penggunaan tatabahasa.
  • Gunakan ayat yang mudah difahami.
  • Jangan menulis sesuatu yang menyentuh isu sensitif.
  • Pelbagaikan teknik olahan.

6)      Tempoh
Karya yang dihantar biasa mengambil masa satu hingga tiga bulan dan paling lama enam bulan untuk disiarkan. Jika tiada, bermakna karya anda kurang bernasib baik. Jangan sesekali berputus asa sebaliknya perbaiki karya tersebut dan hantar ke majalah atau akhbar yang lain.
Kebiasaannya editor tidak akan memberi maklum-balas sekiranya karya anda disiarkan. Anda sendiri harus peka pada setiap keluaran majalah di mana anda menghantar karya anda.
Jika karya anda tersiar, janganlah berat tangan untuk menghantar e-mel mengucapkan terima kasih.

7)      Penghantaran Karya
Ada dua cara untuk anda menghantar karya:
  • Melalui e-mel
  • Secara pos
Alamat e-mel editor biasanya ada pada helaian kedua atau dipanggil sebagai verso page majalah tersebut.
Jika anda hantar melalui pos, pastikan alamat penerima itu betul dan jangan lupa sertakan disket atau CD yang mengandungi karya anda.

8)      Honorarium atau Saguhati
Apabila karya anda tersiar, sedikit honorarium atau saguhati yang berupa wang ringgit akan diberikan sama ada dalam bentuk cek atau bank-in ke akaun bank anda.
Ia mengambil masa tiga bulan untuk anda menerima honorarium atau saguhati dari tarikh karya tersiar.
Pastikan anda mendapat surat pengesahan, menyatakan karya anda sudah disiarkan dan penerimaan honorarium atau saguhati tersebut.

Sekian. Selamat mencuba!

2 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Perkongsian yang menarik dan berguna. Moga dapat dimanfaatkan kepada penulis dan pembaca-pembaca semua.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Terima kasih Helmi. Harap dapat membantu sedikit-sebanyak mana yang mampu. (^_^)