Sepatah Dua Kata

Selasa, September 04, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 05



MENTARI galak menyinar. Tiada langsung hembusan bayu mendinginkan suasana. Kehangatannya terasa membakar kulit. Air laut beralun tenang. Sesekali ombak yang menampar gigi pantai menderu kuat. Hanya bunyi desiran angin dan kicauan camar yang kedengaran. Angin Monsun Barat Daya pada bulan Jun ini tidak mampu menerbangkan kerisauan yang bermukim di hati. Kebisuan bermaharajalela sejak tadi antara dia dan Hilmi. Sebenarnya, terlalu banyak yang ingin diluahkan tetapi tidak terucap oleh bibir ini.
“Hilmi dengar Niya akan bertunang tak lama lagi, betul ke?” akhirnya Hilmi memulakan bicara.
Dhaniyah hanya mampu mengangguk. Tidak sampai hati untuk menyatakannya. Sempat dilihat raut wajah Hilmi berubah. Pasti hatinya terluka.
“Tahniah! Hilmi tumpang gembira.”
Dhaniyah tersentak. Bukan kata-kata itu yang dia harap keluar dari mulut Hilmi. Sepatutnya lelaki itu menentang perkara ini demi membuktikan keutuhan cinta antara mereka. Tetapi, Hilmi seolah-olah berputus asa. Apakah selama ini dia seorang sahaja yang bersungguh-sungguh?
“Kita tak dapat melawan takdir. Hilmi terimanya dengan redha. Andai ada jodoh antara kita, pasti akan bersatu juga. Sekuat mana pun kita merancang, Tuhan jua yang menentukan,” suara Hilmi.
Kata-kata lelaki itu membuatkan Dhaniyah berfikir. Terselit kebenaran dalam percakapannya tadi. Ya, pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini.
“Siapa lelaki bertuah tu?”
“Tak tahu. Tapi, namanya Izhar,” jawab Dhaniyah
“Hai, tak sangka zaman moden macam ni pun ada juga perkahwinan yang diaturkan oleh orang tua,” ujar Hilmi sambil tersengih.
Dhaniyah memandang ke arah laut. Majlis pertunangan akan berlangsung tiga minggu sahaja lagi. Majlis akan dibuat di rumah Dato’ Iskandar. Hanya saudara-mara terdekat sahaja yang dijemput.
“Hilmi tak nak halang pertunangan ni?” tanya Dhaniyah setelah agak lama berdiam.
Soalan itu telah lama dipendam. Akhirnya dilepaskan juga. Hilmi menggeleng. Kemudian dia mengeluh, kedengaran berat pada pendengaran Dhaniyah.
“Tak ada gunanya. Hilmi tak mampu. Lagipun, Hilmi tak layak jika dibandingkan dengan tunang Niya. Terlalu jauh jurang antara kami. Hilmi hanyalah anak seorang nelayan. Anak bekas banduan pula tu. Izhar pula dengarnya anak seorang hartawan. Terlalu jauh Niya, jauh...” jawab Hilmi.
“Tapi Niya sayangkan Hilmi,” ucap Dhaniyah.
“Sayang tanpa harta tak ke mana.”
Benarkah? Apakah dengan duit dapat membeli cinta dan kasih sayang? Tidak disangka cinta dan sayang Hilmi padanya serapuh itu. Dia terlalu mudah menyerah pada takdir.
“Sudahlah, lebih baik Niya balik. Tak elok duduk berdua begini. Niya tu bakal tunang orang, ingat tu,” ujar Hilmi.
Tanpa sedar, air mata Dhaniyah menitis. Dia tidak rela akan perpisahan ini. Seluruh jiwa raganya hanyalah untuk lelaki bernama Hilmi. Bukannya bakal tunang yang entah bagaimana rupa dan kelakuannya. Tidak, dia tidak rela kehilangan cinta ini!

*  *  *  *  *

TAMAN DAMAI dipenuhi dengan pelbagai flora yang beraneka jenis dan warna. Ada pokok bunga kertas, bunga raya, kaktus, puding dan beberapa tumbuhan renek lain yang ditanam dan disusun dengan penuh kreatif. Tidak ketinggalan, air terjun kecil yang sentiasa mengalir ke dalam kolam, membuatkan jiwa terasa damai, sesuai dengan nama yang diberi pada taman mini ini. Landskap taman tersebut mendapat sentuhan dari pemilik Banglo Semarak sendiri. Siap dengan meja dan kerusi serta buaian kayu. Beberapa ekor ikan kap kelihatan berenang bebas di dalam kolam.
Izhar mengambil bekas makanan ikan lalu menaburkan beberapa biji makanan tersebut ke dalam kolam. Bunyi deburan air menggamatkan suasana. Berlumba-lumba ikan-ikan kap itu membuka mulut menerima makanan. Terhibur hatinya seketika. Tiba-tiba fikirannya melayang mengingati kejadian semalam yang berlaku di pejabat.
“Hah? Fizi tak tahu apa-apa pun tentang ni! Macam mana papa dan mama boleh terfikir benda ni?” soal Izhar.
“Papa kamu tu yang pandai-pandai buat rancangan. Mama pun terkejut. Sebab tu mama terus ke sini nak dapatkan kepastian dari kamu,” ujar Datin Farida.
“Sabar, bawa bertenang. Biar nenek jelaskan,” Nek Mariam mencelah.
Datin Farida menjeling. Bibirnya dicemikkan. Hatinya membara mendengar kata-kata suaminya tadi. Ditambah pula apabila mengetahui rancangan pertunangan itu adalah dari ibu mentuanya. Bertambah hangat hatinya. Semua rancangannya akan musnah jika pertunangan ini terjadi. Hajat untuk bermenantukan Amelia pasti kecundang.
“Dulu, kamu ada beritahu nenek. Soal jodoh, kamu serahkan pada nenek. Jadi, sekarang nenek dah carikan calon isteri untuk kamu. Lagipun, kamu tu dah semakin dewasa. Dah layak berkahwin. Sepatutnya dah ada anak dua atau tiga orang,” jelas Nek Mariam.
Izhar mengerutkan dahi. Keningnya diangkat ke atas. Pandangan mata jatuh ke wajah neneknya dan kemudian beralih pada mamanya pula.
“Siapa? Tinggal di mana? Umurnya? Cantik ke?” bertalu-talu Izhar menyoal.
Nek Mariam tersenyum. Dia tahu cucunya yang seorang ini tidak akan membantah cadangannya itu. Memang telah lama dia mencari calon isteri untuk Izhar dan akhirnya ketemu juga.
“Namanya Dhaniyah. Tinggal di Kampung Baru. Umur nenek rasa dalam 26 tahun. Wajahnya memang ayu. Tingkah laku pun cantik. Sedaplah mata memandang,” jawab Nek Mariam.
Datin Farida menjeling pula ke arah suaminya, Dato’ Iskandar. Dia tidak mengerti mengapalah suaminya itu terlalu menurut kata ibunya? Dah tua begini pun masih bergantung pada ibu untuk membuat keputusan.
“Kalau macam tu, terpulang pada neneklah. Bila langsungnya?” tanya Izhar lagi.
“Wait! Don’t tell me you agree with this thing. Fizi kena siasat dulu perkara ni. Mama tak sangka Fizi boleh setuju begitu saja!” ujar Datin Farida tidak percaya.
Giliran Nek Mariam pula menjeling ke arah menantunya itu. Memang sejak dari awal perkahwinan dengan anaknya, dia tidak pernah sependapat dengan Datin Farida. Maklumlah, bukan menantu pilihan. Datin Farida pula pernah tinggal di luar negara. Jadi sedikit-sebanyak budaya di sana ada juga tempias ke diri menantunya itu. Tidak dinafikan, kebanyakkan keputusan dibuat olehvDatin Farida. Seolah-olah kedudukan suami isteri itu bertukar tempat.
“Fizi percaya apa yang nenek lakukan adalah demi kebaikan Fizi. Fizi yakin dengan nenek,” jawab Izhar.
“Kamu dah gila ke? Hah, ikut sangatlah cakap nenek kamu tu. Disuruhnya terjun lombong esok, terjunlah! Sudah! Malas mama nak masuk campur dalam hal ni. Suka hati kamulah. Nak terlingkup ke, apa ke, mama tak peduli. Mama nak kamu tahu yang mama memang tak setuju dengan pertunangan ni! Understand?” tegas Datin Farida lalu bingkas bangun meninggalkan pejabat anaknya itu.
Bunyi hon di halaman rumah mengejutkan Izhar dari lamunan. Mungkin papa dan mamanya sudah pulang dari majlis perasmian hotel yang baru dibina oleh syarikat Sinar Holdings milik kawan rapat mereka, Dato’ Murshid. Fikirannya kembali menerawang mengingati gadis yang bakal menjadi tunangnya itu. Apakah perasaan gadis itu ketika ini? Gembirakah? Hatinya sendiri berbolak-balik.
Dia sedar, dirinya bukan lagi remaja. Sudah meningkat dewasa dan betul seperti kata nenek, dia sudah layak berkahwin dan mendirikan rumahtangga. Namun, entah mengapa dirinya masih belum berjumpa dengan kekasih hati yang dapat menempuh bahtera rumahtangga bersama-samanya dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang.
Tak, sebenarnya dia sudah punya kekasih hati. Lebih tepat lagi, pernah. Sudah lama wajah itu tidak muncul di fikirannya. Tiada siapa pun pernah mengetahui perihal hubungannya dengan gadis itu. Waima ahli keluarganya sendiri pun tidak dapat menghidu hubungan mereka dahulu.
Mungkin sudah ketentuan dari-NYA, dia dan gadis itu tiada jodoh. Sejak itu, dia telah menutup pintu hatinya rapat-rapat. Kini, dia hanya mampu menyerahkan segalanya pada takdir.

2 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Salam. Blog yang berwajah baru. Cantik. Hebat. Kagum sangat.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Terima kasih Hilmi. Blog yang biasa-biasa saja. Harapnya dengan wajah baru ni, semangat menulis kembali semula. :)