Sepatah Dua Kata

Ahad, September 16, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 06


Jika sayang itu cuka, walau masam rasanya, tetap disuka

DARI satu rak ke satu rak dijejaki. Bakul berwarna biru yang dijinjit di tangan kanan sudah hampir separuh diisi. Dhaniyah berhenti di rak yang menempatkan barisan jem pelbagai perisa dan jenama. Seingatnya, bekalan jem di rumah sudah hampir habis. Maklumlah, hampir setiap malam dia akan menikmati jem blueberry kesukaannya bersama-sama dengan roti atau biskut lemak. Nampak sahaja badannya kurus tapi selera makan agak besar. Tengah-tengah malam pun masih berasa lapar.
            Setelah mengambil jem kegemarannya, Dhaniyah bergerak ke bahagian barang-barang dapur kering. Plastik putih yang tersedia di situ ditarik lalu tangannya mencapai beberapa biji telur ayam. Cukuplah untuk stok seminggu memandangkan cuti sekolah akan tamat tidak lama lagi.
            Usai memasukkan bungkusan berisi telur tadi, dia melangkah ke bahagian bawang dan ubi kentang pula dan yang terakhir sekali di bahagian cili kering. Kemudian Dhaniyah mula beratur di kaunter untuk membuat pembayaran. Tidak ramai pengunjung pasaraya tersebut waktu tengah hari Jumaat begini. Memang dia gemar pergi membeli barang kala ini kerana tidak perlu bersesak. Rimas dan penat menungu giliran jika orang ramai.
            Juruwang memulangkan baki kepada Dhaniyah selepas barang-barang yang dibeli selesai dibayar. Dua buah beg plastik sederhana besar tidaklah membebankan. Dia pernah memikul beberapa tandan pisang dari kebun ke rumah yang terletak hampir satu kilometer jaraknya. Apalah sangat setakat barang dapur kering yang tidak sampai lima kilogram itu. Lagipun kedudukan pasaraya tersebut terletak tidak jauh dari perhentian bas.
            Ketika melangkah keluar dari pasaraya tersebut, terik mentari mula menjamah wajahnya. Inilah yang harus dia hadapi untuk mengelakkan kesesakan sewaktu membeli-belah. Bukannya di kampung tidak ada kedai runcit tetapi dia lebih gemar mendapatkan barang-barang keperluan rumah di pasaraya tersebut kerana harganya lebih murah dan barang-barangnya segar.
Berbanding kedai runcit Pak Joko yang terletak di jalan masuk ke kampung itu, tahu mencekik darah sahaja. Mentang-mentang hanya dia seorang sahaja yang berniaga di situ, bukan main lagi ambil kesempatan. Sudahlah barang-barangnya berhabuk sana-sini. Dan tambah menyakitkan hati, duda beranak lima itu miang keladi orangnya. Sudah bercicit pun masih mahu menggatal. Jadi, lebih baik dia ke pekan yang mengambil masa sepuluh minit saja menaiki bas dari mengadap muka orang tua tak sedar diri itu.
            Baru sahaja hendak melangkah ke perhentian bas, ada seseorang merempuh bahunya menyebabkan beg plastik di tangan kanan terlepas. Lelaki yang melanggarnya terus sahaja berlari tanpa menoleh ke belakang.
            “Pencuri! Tolong!”
            Dhaniyah menoleh ke arah suara teriakan di belakangnya. Seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan Mak Ngah Leha tercungap-cungap berlari. Entah dari mana tiba-tiba datang satu semangat yang mendorong Dhaniyah untuk mengejar pencuri yang tidak jauh di hadapannya. Beg plastik di tangan dibiarkan begitu saja. Sebelum itu sempat dicapai dua biji telur yang dibeli tadi.
            Adegan kejar-mengejar antara Dhaniyah dan pencuri tersebut menarik perhatian beberapa pasang mata yang berada berhampiran. Mujurlah dia memakai seluar hari ini. Jangan tak tahu, nampak sahaja dia ni ayu tapi pernah jadi juara lumbar lari semasa di sekolah dulu. Dululah, sekarang agaknya 100 meter dia dah pancit.
Apabila sudah hampir dengan pencuri itu, tanpa berlengah, Dhaniyah melontar sebiji telur ke arah pencuri terbabit. Tepat lontarannya mengenai belakang kepala pencuri itu membuatkan langkah lelaki tersebut hampir tersadung. Dan kali ini Dhaniyah membuat lontaran yang terakhir namun balingannya tersasar mengenai kepala seorang pemuda yang entah muncul dari mana, tiba-tiba menghalang laluan sasarannya.
            Dhaniyah mengecilkan mata. Aduhai, habislah dia! Segera dia berlari mendapatkan pemuda yang sedang memegang kepalanya yang berlumuran telur itu.
            “Maaf encik! Maafkan saya!”
            Izhar meraba dahinya yang melekit dengan putih telur. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja ada sebiji telur mengenai kepalanya. Dia mendongak, memandang tajam gadis di hadapannya.
            “Awak ni kenapa?” soal Izhar.
            “Maaf, maafkan saya! Saya nak baling pencuri tu tadi. Tak sangka terkena encik pula,” Dhaniyah membuat penjelasan lantas mengeluarkan peket tisu dari beg tangannya.
            Baru sahaja dia hendak mengesat kepala Izhar yang melekit itu, segera tangannya ditepis kasar. Izhar mendengus. Baling pencuri dengan telur? Gila apa?
            “Awak ni tak ada kerja lain ke? Kenapa tak baling batu ke, kepala paip ke? Kan lagi bagus. Setakat telur tu, apa sangatlah...” perli Izhar lalu pantas merampas tisu dari tangan gadis berblaus biru laut dengan sedikit sulaman bunga di hujung kainnya itu.
Dhaniyah menelan liur. Harap muka aje kacak tapi mulut beracun. Dalam keadaan tersebut dia sempat menilik wajah pemuda di hadapannya. Memang bergaya dengan kemeja lengan panjang warna biru muda dan bertali leher putih. Sekali pandang ada iras wajah pelakon sinetron Rionaldo Stockhorst, hero pujaan hatinya.
Usai mengelap kepala dan dahinya yang melekit, Izhar terus melangkah pergi meninggalkan Dhaniyah tanpa apa-apa pamitan. Dia bergegas ke firma guaman milik rakannya yang terletak tidak jauh dari situ. Perlu segera membersihkan kepala dan dahinya. Terasa rimas.
Sementara itu, Dhaniyah hanya memandang langkah kaki Izhar yang semakin jauh. Pencuri tadi pun sudah tidak nampak bayangnya. Ah, dia tidak sengaja tadi. Niatnya baik, mahu membantu menangkap pencuri tersebut. Itu sahaja.

*  *  *  *  *

“KARIM, tumpang washroom kejap.”
            Karim, rakan Izhar semasa sama-sama menuntut di universiti dulu tercengang seketika melihat wajah Izhar yang masam dengan rambut yang sedikit kusut. Tanpa banyak bicara, dia sekadar mengangguk sebagai jawapan dan melirik matanya ke kiri, menunjukkan isyarat kedudukan tandas.
            Beberapa minit menunggu, kelibat Izhar muncul di muka pintu. Lantas dijemput rakannya itu duduk di kerusi di hadapannya. Sekarang, wajah Izhar sudah seperti biasa. Tenang dan kacak. Ya, wajah yang pernah menjadi kegilaan para siswi suatu ketika dahulu. Tapi sayang, tidak ada seorang pun yang dapat menambat hati rakannya itu.
            “Kenapa tadi?” Karim membuka bicara sambil menghulurkan sebuah fail pada Izhar.
            “Kena baling telur,” ringkas jawapan Izhar lalu tangannya mula membuka fail yang diberikan Karim dan menyelak satu persatu helaian yang ada.
            “What?” tanya Karim dengan kening yang terangkat sebelah.
            “Nanti-nantilah aku cerita. Jadi dokumen ni semua dah siap ya?”
            “Dah. Kau bacalah dulu. Mana yang kau rasa nak pinda, kau beritahu nanti. Kenapa nak beli syarikat yang dah nak muflis tu?” tanya Karim, berniat ingin tahu.
            Seminggu lepas, Izhar ada memintanya untuk menyiapkan dokumen pembelian sebuah syarikat pembinaan kecil yang hendak ditutup kerana menanggung hutang yang banyak. Sebagai penasihat guaman syarikat Megah Jaya Holdings, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya. Namun, sedikit-sebanyak dia perlu tahu setiap tindakan yang dilakukan Megah Jaya Holdings supaya tidak timbul apa-apa masalah di kemudian hari.
            “Syarikat tu ada potensi besar untuk maju tapi mungkin silap pengurusan menyebabkan mereka menanggung banyak masalah. Lagipun, dengan pembelian syarikat ni, secara tak langsung, Megah Jaya sudah ada syarikat pembinaan sendiri. Untuk projek-projek kecil, tak perlulah gunakan khidmat syarikat luar. Aku dah bincang dengan papa aku dan dia bersetuju memandangkan banyak kos boleh dijimatkan nanti,” panjang penjelasan Izhar.
            Karim mengangguk. Tidak dinafikan, sejak Izhar mengambil-alih Megah Jaya Holdings, banyak pembaharuan telah dilakukan olehnya yang mana membantu dalam menguatkan lagi syarikat tersebut sebagai sebuah syarikat yang bukan sahaja menguruskan hal-ehwal reka bentuk bangunan, malah kini sudah melangkah setapak lagi dalam bidang pembinaan.
            “Okay, thanks a lot for your co-operation. Kalau ada apa-apa nanti aku call kau,” ucap Izhar lalu bingkas bangun dari duduknya.
            “Most welcome. Oh ya, jangan lupa Sabtu ni, majlis kahwin Shidi. Gerak sekalilah dengan aku,” ujar Karim.
            “No problem. Okey, assalammualaikum,” balas Izhar lalu berjalan keluar dari pejabat rakannya itu.
            Melangkah ke keretanya, Izhar terhenti seketika apabila melihat kulit telur yang bertaburan di atas jalan. Dia tersengih lalu menggeleng. Matanya meliar, mencari sesuatu dan akhirnya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang duduk menunggu bas di bus stop seberang jalan.
            Gadis bertudung putih dengan blaus biru itu direnung sejenak. Teringat semula kejadian tadi, terasa geli hati pula. Tanpa membuang masa, dia segera melangkah ke arah keretanya dan kemudian memandu pulang ke pejabatnya semula.

*  *  *  *  *

GAGANG telefon diletakkan semula pada tempatnya. Panggilan dari Aina sebentar tadi menghadirkan rasa gembira dalam hati. Rakan sekelasnya semasa sekolah menengah itu bakal bergelar raja sehari tidak lama lagi. Syukurlah, Aina sudah menemui kebahagiaan. Dia gembira kerana walau lama terpisah, ingatan Aina terhadapnya tidak pernah pudar.
            Selepas tamat SPM, gadis itu telah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Maklumlah, Aina pintar orangnya. Dulu, Aina dan keluarganya tinggal tidak jauh dari kawasan rumahnya. Selalu juga Aina bertandang ke rumah. Hanya Aina sahaja yang berani datang ke rumah berbanding rakan-rakan sekelasnya yang lain. Maklumlah, Mak Ngah Leha bukan suka sangat dia membawa kawan ke sini.
            Mujurlah selepas tamat SPM, Mak Ngah Leha membenarkan dia untuk melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan. Bimbang juga pada mulanya andai Mak Ngah Leha mahu mengahwinkannya selepas tamat SPM. Dia juga sudah nekad dulu. Jika Mak Ngah Leha mahu dia berkahwin, dia akan lari dari rumah tersebut. Alhamdulillah, perkara itu tidak berlaku dan dia berjaya mencapai cita-citanya untuk bergelar seorang guru.
            Secara tidak langsung, dia berhutang budi dengan ibu saudaranya itu. Sejak kecil lagi wanita itu sudah menjaga dan membesarkannya. Memberinya makan dan minum, membiayai persekolahannya, dan menjadikan dia seorang insan yang berjaya. Walau tidak pernah sekelumit pun dia merasai belaian kasih dari wanita itu, jauh di sudut hati, dia tetap sayangkan ibu saudaranya.
            Atas dasar budi itulah dia menerima pertunangan yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi. Dia tahu Mak Ngah Leha lakukan semua itu untuk kebaikannya. Cuma, padanya, perkahwinan atas dasar cinta akan membawa kepada bahagia. Tetapi, tidak semua perkahwinan yang diaturkan keluarga itu mendatangkan derita. Cinta itu boleh dipupuk. Jika selalu dibaja dengan kasih dan disiram dengan sayang, Insha-Allah, akan membuahkan bahagia.
            Teringa akan Hilmi Najhan, Dhaniyah melepaskan keluhan. Kisah cinta antara mereka perlu ditamatkan. Selepas ini, cintanya hanya untuk bakal suami yang akan menemaninya hingga hujung nyawa. Biarlah kisah cinta itu tinggal kenangan sahaja. Kenangan yang tak akan dilupakan sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya, mereka pernah merasai bahagia. Lelaki itu mengajarnya erti menyintai dan dicintai. Cuma, jodoh mereka tidak kuat.
            “Niya!” laung Mak Ngah Leha dari luar rumah.
            Dhaniyah tersentak lalu berlari ke arah tingkap. Kelihatan Mak Ngah Leha sedang menyiram pokok-pokok bunga kertas peliharaannya.
            “Pergi jerang air. Kejap lagi Mak Su kamu nak datang. Buatkan teh,” arah ibu saudaranya itu tanpa menoleh pada Dhaniyah.
            “Baik Mak Ngah,” ujar Dhaniyah lantas berjalan menuruni anak tangga ke ruang dapur.
            Kala petang begini, memang Mak Sunya rajin ke rumah. Kadang-kadang Mak Su datang bersama-sama beberapa kaum ibu yang lain. Sungguhpun Mak Leha tampak garang, tapi dengan penduduk kampung yang lain, wanita itu kelihatan mesra.
            Cerek di atas dapur dicapai lalu diisi dengan air paip sehingga tiga per empat penuh. Api dapur dihidupkan lalu cerek tadi dijerang. Selepas itu, dia mengambil teko yang selalu digunakan untuk minum petang. Beberapa uncang teh dikeluarkan. Mak Ngah Leha memang gemar minum teh pekat.
            Sementara menunggu air yang dijerang masak, dia memikirkan juadah untuk minum petang itu. Cempedak semalam masih ada baki di dalam peti sejuk. Cukup rasanya untuk digoreng. Pintu peti sejuk dibuka dan Dhaniyah terpandang bungkusan telur yang belum sempat disusun di dalam peti sejuk itu. Serta-merta ingatannya terbang pada seraut wajah tampan tanpa senyuman yang seiras pelakon sinetron kesukaannya. Harap-harap Encik Telur tidak marah padanya. Encik Telur... Suka hati saja menggelar lelaki itu dengan panggilan tersebut. Pedulilah, lebih baik dia siapkan minum petang cepat.

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

encik telur...
nice name
hehehehe