Sepatah Dua Kata

Ahad, September 30, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 07


Setiap pertemuan itu adalah takdir yang indah

LAGU “Selamat Pengantin Baru” menyambut ketibaan Dhaniyah di majlis perkahwinan rakan mereka, Aina. Waktu itu, jam di tangan sudah menunjuk hampir ke angka satu. Kemeriahan jelas terasa. Dia datang dengan menaiki teksi memandangkan rumah Aina terletak di pusat bandar Port Dickson. Selepas SPM, keluarga Aina berpindah ke kawasan perumahan yang lebih selesa di bandar. Ada juga dia mengajak Intan tetapi sepupunya itu memberi alasan ada hal lain yang lebih penting. Biarlah, bukan dia tidak mengajak.
            Sampai sahaja, dia terus mencari kelibat Aina. Majlis persandingan bakal berlangsung beberapa ketika sahaja lagi. Masih sempat untuk bertemu dengan rakannya itu.
            “Niya!” jerit Aina sejurus Dhaniyah masuk ke bilik persalinan pengantin.
            “Ya Allah, cantiknya kau Aina!” ucap Dhaniyah lalu bersalaman dengan rakannya itu sebelum dia ditarik dalam pelukan Aina.
            Rakannya itu tampak cantik dengan kebaya ungu songket berserta tiara kecil di atas kepala. Tudung juga rona serupa dengan selendang warna krim. Jelas terpancar seri pengantin pada wajah Aina. Ditambah dengan senyuman yang terukir, Aina tampak menawan sekali.
            “Gembiranya aku kau datang...”
            “Mestilah! Kalau aku tak datang, mahunya kau merajuk dengan aku bertahun nanti,” Dhaniyah mengusik usai pelukan terlerai.
            “Intan tak datang?”
            “Dia ada hal lain. Dia kirim salam. Wah, tak sangka kau naik pelamin dulu dari aku ya. Ni kira langkah bendul tau,” giat Dhaniyah.
            Tawa Aina meletus. Faham usikan gadis berbaju kurung hijau serindit dengan tudung rona putih itu. Tarikh lahir Dhaniyah jatuh pada bulan April sementara dia lahir pada bulan November. Tentulah Dhaniyah dianggap sebagai kakak walau mereka lahir dalam tahun yang sama.
            “Macam mana boleh kenal dengan suami kau?” sambung Dhaniyah lagi apabila kedua-duanya melabuhkan punggung di atas tilam beralaskan cadar warna putih tanpa corak itu.
            “Senior aku masa belajar dulu. Mulanya aku yang syok kat dia tapi dia tak layan. Macam-macam aku buat nak pikat dia tapi sombong sangat. Perasan yang dia tu jejaka idaman Malaya. Nak dijadikan cerita, satu hari tu aku demam teruk juga. Seminggu tak datang kuliah. Balik aja kampus, kawan aku cakap suami aku tu ada bertanya pasal aku.
            Rupanya, dalam diam, concern juga dia. Agaknya seminggu aku tak kacau dia, dia bosanlah tu. Sudahnya, satu hari dia ajak aku keluar. Masa tu dia terus lamar aku untuk jadi kekasih dia. Lepas dia habis belajar, kami bertunang dua tahun sebab nak tunggu aku habis belajar dan dapat kerja. Macam tulah ceritanya,” terang Aina.
            Dhaniyah mengangguk dalam senyuman. Bertuahnya Aina dapat insan yang menyayangi dan menyintainya. Sedangkan dirinya, terpaksa mengikat tali pertunangan dengan orang yang langsung tidak dikenali. Apakah akan terbit rasa cinta di kemudian hari?
            “Hah, bila giliran kau pula?”
            Dhaniyah menarik nafas lalu menghembusnya perlahan-lahan. “Insha-Allah, tak ada aral tahun depan.”
            “Wah! Senyap-senyap aja ya. Tak sangka jodoh kau kuat dengan Hilmi,” ujar Aina.
            Mendengar nama Hilmi meniti di bibir Aina, hati Dhaniyah diserang pilu. Terasa matanya bergenang lantas segera diseka. Aina yang melihat perubahan pada wajah rakannya itu mula ragu-ragu.
            “Kenapa Niya?”
            “Aku dengan Hilmi tak ada jodoh,” jawab Dhaniyah dengan suara yang bergetar.
            “Dah tu, kau kahwin dengan siapa?”
            “Aturan keluarga.”
            “Hah? Kenapa Mak Ngah kau buat kau macam ni Niya? Dia tak sepatutnya sekat kebebasan kau. Tak patut halang kebahagiaan kau!” suara Aina sudah naik satu oktaf, geram.
            “Orang tua lebih tahu apa yang terbaik. Aku serahkan segalanya pada Allah. Dia Maha Mengetahui. Dahlah, lupakan pasal aku. Tu aku dengar macam bunyi kompang tu,” balas Dhaniyah sambil menguntum senyum semula.
            Serentak dengan itu, pintu bilik dibuka. Mak Andam muncul meminta agar Aina bersedia. Dhaniyah mengekori langkah Aina sehingga ke muka pintu hadapan rumah. Dia memandang wajah rakannya itu yang sedang berjalan perlahan menemui kekasih hatinya. Terdetik di hati, apa agaknya yang dia rasa apabila bertemu dengan Izhar dalam keadaan itu nanti?

*  *  *  *  *

KARIM memakirkan keretanya agak jauh dari khemah pengantin. Dapat dilihat pengantin sudah mula berarak. Bunyi kompang menggamatkan suasana. Izhar membuka pintu di sebelah tempat duduk pemandu lalu menutupnya rapat. Lantas, kedua-dua mereka berjalan menuju ke arah khemah yang dihiasi dengan kain warna putih dan ungu di sekeliling tiang.
            “Nak makan dulu ke, nak jumpa Shidi dulu?” soal Karim.
            “Makan dululah. Orang tu dah nak bersanding,” jawab Izhar.
            Kedua-duanya menyusup masuk ke dalam khemah dan beratur untuk mengambil makanan. Izhar mengintai lauk-pauk yang dihidangkan secara bufet di atas meja. Ada ayam masak merah, rendang daging, acar timun, pajeri nenas, ikan masin, ulam-ulaman berserta sambal belacan dan buah tembikai. Turut disediakan cendol sebagai pencuci mulut.
            Selesai mengambil makanan, dia mula mencari tempat duduk kosong. Dalam sibuk matanya meliar, dia terpandang akan seseorang yang seperti pernah dilihat sebelum ini. Izhar tersengih. Mungkin dia sedang berkhayal. Karim bersuara, menunjuk pada meja kosong di hujung khemah.
            Sementara itu, Dhaniyah melangkah masuk semula ke dalam rumah. Biarlah dia duduk melihat Aina bersanding dari situ. Namun, perut yang bergendang mematikan hasratnya. Pagi tadi dia hanya bersarapan roti dan jem sahaja kerana Mak Ngah Leha sudah keluar entah ke mana. Semalam dia sudah memaklumkan pada ibu saudaranya itu tentang majlis kahwin Aina.
            Dhaniyah melangkah keluar semula, menuju ke khemah untuk mengambil hidangan. Lama juga dia tidak merasa nasi minyak. Rata-rata mereka yang sebaya dengannya masih belum mahu berumah-tangga. Masing-masing ingin bekerja dan merasa duit sendiri dahulu. Boleh dibilang dengan jari mereka yang melangsungkan perkahwinan buat masa ini.
            Seketul ayam masak merah diambil dengan acar timun dan pajeri nenas kesukaannya. Tidak ketinggalan ulaman dan sambal belacan. Air sirap limau yang sudah sedia dituang di dalam cawan dicapai. Dia mula mencari tempat duduk kosong dan nasibnya baik apabila ada sebuah kerusi kosong tidak jauh dari meja hidangan. Sesekali matanya ke kiri dan ke kanan, mana tahu dapat bersua dengan rakan-rakan lama. Usai membasuh tangan, Dhaniyah terlihat seorang kanak-kanak yang duduk tidak jauh darinya sedang asyik mengopek kulit telur pindang. Wah, bukan senang nak dapat telur pindang masa majlis kahwin begini. Dia menggeleng menyedari kealpaannya.
Orang sekarang lebih gemar memberi bungkusan berisi gula-gula atau kuih bahulu berbanding telur rebus. Sewajarnya tradisi itu dikekalkan kerana telur rebus juga menjadi simbolik dalam sesebuah majlis perkahwinan.
            ‘Makan dululah, tak lari mana telur tu,’ getus Dhaniyah dalam hati.
            Usai menjamu selera, Dhaniyah bingkas bangun mahu menuju ke arah meja hidangan. Telur pindang yang dihajati masih banyak di dalam raga rotan yang sederhana besar saiznya di hujung meja. Kotak kecil bertulis perkataan “Terima Kasih” itu dicapai sebuah. Dan ketika dia menoleh ke belakang, tubuhnya bertembung dengan seseorang menyebabkan kotak berisi telur yang dipegang terlepas. Lebih teruk, orang yang melanggarnya telah memijak kotak tersebut dengan tidak sengaja.
            Anak mata Dhaniyah membulat. Wajahnya diangkat dan dia tergamam. Wajah insan yang berada di hadapannya ini masih segar dalam ingatan. Baru beberapa hari lepas mereka bertemu. Kebetulan apakah ini?

*  *  *  *  *

IZHAR merenung wajah gadis di hadapannya ini tanpa berkerlip. Tidak salah lagi, memang gadis yang sama. Gadis yang membaling telur ke arahnya beberapa hari yang lalu.
            “Awak?” serentak keduanya bersuara.
            Diam.
“Telur?” sekali lagi keduanya bersuara serentak.
Diam tetapi tidak lama kemudian terdengar ketawa dari mulut Izhar. Dhaniyah mengerutkan dahi. Apa yang lucunya? Melihat renungan tajam dari Dhaniyah, Izhar segera menghentikan tawa.
“Maaf, tak sengaja terpijak telur awak,” ucap Izhar.
Sebenarnya dia hendak mengisi semula air dalam cawannya yang hampir kosong tadi. Entah bagaimana pula boleh terlanggar dengan gadis tersebut. Ah, biasalah majlis kahwin dengan keadaan sesak begini. Terlanggar secara tidak sengaja itu selalu berlaku.
“Apa yang awak buat dekat sini?” soal Izhar apabila tiada balasan dari Dhaniyah.
“Majlis kahwin, tentulah datang makan dan menziarah. Takkan saya buat persembahan opera pula,” sindir Dhaniyah.
Izhar tersengih. Boleh tahan juga mulut perempuan ni. Melihat Dhaniyah yang sudah berpaling mahu melangkah pergi, Izhar segera memanggilnya.
“Cik!”
Dhaniyah menoleh. Apalagi yang lelaki itu hendak darinya?
“Telur...” ujar Izhar sambil menghulurkan kotak kecil berisi telur pada Dhaniyah.
Dhaniyah berjalan menghampiri Izhar tetapi huluran tangan lelaki itu tidak disambut. Sebaliknya, dia mencapai kotak telur di dalam raga dan berpatah semula dengan sebuah jelingan.
Izhar tersengih lagi.
 -->

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

'pekkk'
~bunyi telur penyek'
hahahahaha