Sepatah Dua Kata

Rabu, September 05, 2012

Selamat Hari Ulang Tahun ke-2



Assalammualaikum dan salam mesra.
Eh, ulang-tahun apa ni? Anniversary perkahwinan ke? Tidaklah, kahwin pun belum. Hehe… Alhamdulillah, selesai juga mengubah-suai blog sempena ulang tahun ke-2 blog ini diwujudkan. Bermakna, sudah hampir tiga tahun saya berkecimpung dalam dunia penulisan. Sepanjang tiga tahun ini, saya kira banyak pengalaman yang saya kutip. Ada yang manis, dan tidak kurang juga yang pahit. Saya dapat ramai kenalan baru dan belajar banyak perkara baru.
            Masih segar dalam ingatan, tanggal 05 September tahun 2010, saya belajar untuk membina blog. Waktu itu tiada yang menunjuk ajar kerana rata-rata kawan sekuliah tidak ramai yang minat blogging. Saya cuba upload satu entri tetapi tidak menjadi. Tulisannya tidak seragam dan tidak tersusun. Berpeluh juga mencari maklumat melalui Google tentang cara bina blog dan muat-naik entri.
Entri pertama yang saya muat-naik adalah sebuah entri perkenalan.  Kala itu tiada yang mengenali saya. Ruang komen sunyi-sepi. Seperti tiada pelawat yang berkunjung.  Namun saya sedar, itu sesuatu yang normal. Hampir setiap hari saya muat-naik entri. Kebanyakannya cerpen dan puisi. (Ya, dulu saya rajin menulis puisi tapi sekarang tidak lagi).
Syukur, usaha saya membuahkan hasil apabila semakin hari ada yang berkunjung ke blog saya yang tidak seberapa itu. Maklumlah, layout tidak menarik dan tidak tahu letak widget yang berbagai-bagai. Apabila saya menyertai satu komuniti iaitu Kapasitor.net, di sana saya giat mempromosi karya sehinggalah novel pertama saya Semanis Coklat diterbitkan.  Pengikut di blog juga semakin bertambah.
Namun, dek kerana tangan saya yang gatal mahu mengubah layout, menyebabkan blog saya mengalami masalah teknikal. Puas cuba diperbaiki namun kerana ceteknya ilmu dalam bidang blogging, saya terpaksa biarkan blog tersebut berkubur begitu sahaja. Tak lama selepas itu, saya buat blog yang baru. Alhamdulillah, ia kekal sehingga sekarang.
Karya semakin bertambah. Kenalan juga semakin ramai. Ilmu tentang blog juga meningkat. Syukur, usaha yang tidak berhenti, akhirnya beginilah blog saya yang terkini. Walau namanya seirng bertukar, pengisiannya tetap sama. Nama yang terbaru, “Ceritera Cinta” dipilih kerana saya menulis dalam genre cinta. Kiranya, ia sesuai dengan tema penulisan saya.
Wah, kali ini panjang pula bicara saya. Ikutkan hati banyak yang ingin ditulis. Sebelum mengakhiri bicara, saya mengambil kesempatan ini melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga buat semua rakan pembaca yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Sebagai tanda penghargaan, sebuah e-book boleh dimuat-turun secara percuma, eksklusif untuk anda. E-book ini dalam format PDF.
Selamat Ulang Tahun ke-2 Ceritera Cinta! Doakan agar saya diberi kesempatan untuk terus menulis dan menghasilkan karya yang bermutu buat semua. Wassalam.

Tiada ulasan :