Sepatah Dua Kata

Isnin, Oktober 08, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 08


Jika sayang itu gunung, setinggi mana pun sanggup didaki

DHANIYAH berlari agak laju menuju ke arah pintu pagar belakang sekolah kerana sudah lewat lima belas minit dari waktu yang sepatutnya. Sudahlah ini hari pertama sekolah dibuka selepas cuti pertengahan penggal kedua tamat semalam. Semuanya gara-gara menonton tayangan larut malam di televisyen malam tadi. Filem romantik yang berkisarkan tentang percintaan dua orang remaja yang menempuh pelbagai dugaan. Namun, yang dia tidak puas hati, cerita itu berakhir dengan penamat yang sedih apabila perempuan itu meninggal dunia kerana menghidap leukimia. Tinggallah kekasihnya seorang diri mengingati segala kenangan semasa hidup bersama. Tak sempat pun mereka kahwin. Filem itu tamat pada pukul dua pagi. 
Masuk ke dalam bilik, dia tidak dapat melelapkan mata. Sekejap berguling ke sana, sekejap berguling ke sini, mata tetap tidak mahu pejam. Mungkin dia terbawa-bawa dengan kisah filem tersebut atau dia gementar dengan perihal pertunangannya. Ada juga dia teringat akan ‘Encik Telur’ tetapi segera ingatan itu dilupuskan. Tak ada faedahnya mengingati lelaki itu. Entah pukul berapa, baru dia terlena.
Sedar sahaja dari tidur, jarum jam menunjukkan pukul tujuh pagi. Ditepuk dahinya kerana  lupa untuk mengunci jam tersebut. Patutlah tidak berbunyi. Apalagi, kelam-kabutlah dia. Mujur hari ini dia ‘bercuti’. Biasalah, cuti am bagi orang perempuan. Tidaklah risau dengan solat Subuh yang tertinggal tadi.
Dhaniyah menyarung sepasang baju kurung berwarna hijau dan tudung juga dari warna serupa. Dia menjenguk ke dapur. Kelibat Mak Ngah Leha tidak kelihatan. Masih belum bangun agaknya. Atau seperti kebiasaan, sudah pun ke kebun yang terletak di belakang rumah. Beberapa keping roti sempat dicapai buat pengalas perut. Dia jarang tidak bersarapan. Selalunya, dia membuat lempeng untuk sarapan pagi. Paling ringkas, telur separuh masak. Itu sudah cukup mengenyangkan sementara menanti waktu makan tengah hari.
Sarapan pagi tidak perlu dibuat kerana Mak Ngah Leha akan pulang dari kebun sekitar jam 07.30 di mana waktu itu dia sudah pun berada di sekolah. Memang wanita itu yang menyiapkan sarapan untuk dirinya sendiri. Cuma jika dia bangun awal dan punya lebih masa, dia akan menggoreng nasi lebihan yang ditanak untuk makan malam.
Dhaniyah terpaksa menapak agak jauh ke perhentian bas. Hendak menunggu bas tiba memang sesuatu yang paling dibenci. Nasibnya agak baik pagi itu kerana ada sebuah bas sampai sejurus dia tiba ke perhentian bas tersebut. Walaupun agak sesak, terpaksa juga dinaiki kerana sudah terlambat untuk ke sekolah. Sepuluh minit perjalanan, dia tiba di perkarangan sekolah.
“Lambat hari ni cikgu?” sapa Pak Mail, pengawal keselamatan sekolah yang masih lagi gagah berkhidmat walau umurnya sudah menjangkau hampir 70 tahun.
“Ya Pak Mail, terlajak pagi ni. Jam loceng buat hal,” jawab Dhaniyah lantas berlalu ke Blok Cendiakawan di mana bangunan pentadbiran sekolah ditempatkan.
Dhaniyah bergegas ke pejabat dan menandatangani buku kehadiran seterusnya memasukkan kad kehadiran ke dalam mesin kecil yang dilekapkan pada dinding berdekatan pintu masuk pejabat sekolah. Fuh, better late than never. Sekurang-kurangnya dia sampai juga, Alhamdulillah...
Kedengaran suara ucapan guru besar bergema di corong pembesar suara. Dia pantas keluar dari pejabat, menuruni tangga semula untuk menyertai acara perhimpunan rasmi. Dengan muka penuh yakin dia menyertai barisan guru yang sedang duduk di kerusi, tekun mendengar amanat yang disampaikan oleh guru besar. Mujurlah tapak perhimpunan sekolah letaknya di belakang Blok Cendiakawan. Jika sebaliknya, pasti ramai guru-guru yang nampak kelewatannya.
“Hai, lambat nampak?” bisik Fadzillah, guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah merangkap kawan baiknya di sekolah itu.
“Jet lag,” ujar  Dhaniyah, mengusik.
Mereka kembali menumpukan perhatian apabila beberapa orang guru senior melirik ke arah mereka. Perhimpunan rasmi tersebut tamat sepuluh minit kemudian. Murid-murid mula bergerak memasuki kelas masing-masing mengikut barisan.
Guru-guru juga turut bangun, memulakan aktiviti masing-masing. Ada yang terus ke kelas, ada yang ke bilik guru dan tidak kurang juga, ada yang ke kantin.  Dhaniyah berjalan seorang diri ke pejabat semula untuk mengambil buku rekod mengajar sementara Fadzillah sudah berlalu ke kelas untuk masa pertama ini.
Jadual waktu pengajaran disemak. Hari ini dia tiada kelas sehingga pukul sembilan pagi. Apa yang ingin dibuat? Ah, lebih baik dia ke kantin dahulu kerana perutnya sudah berkeroncong. Entah lagu apa, tidak pula dia ketahui. Tiba-tiba dia teringat tentang buku latihan pemahaman yang belum habis ditanda semalam. Cuti tinggal lagi seminggu nak habis, baru dia mahu mula menanda buku-buku latihan para pelajar. Itu satu tabiat yang sukar untuk diubah. Suka buat kerja last minute. Sejak zaman belajar lagi. Ah, lepas makan nantilah baru dia tandakan, rancang Dhaniyah. Tengok, bertangguh lagi. Niya, Niya... desis hatinya.
Suasana di kantin agak lengang kerana sekarang bukannya waktu rehat.  Dhaniyah menuju ke tempat makan guru. Sebelum itu, dia mengambil piring dan mengisinya dengan beberapa keping kuih. Ada sebiji karipap, seri muka dan pulut panggang. Cukuplah rasanya.
“Tak sempat sarapan tadi ke cikgu?” soal Makcik Kiah, tukang masak di kantin sekolah itu.
Dhaniyah melemparkan senyum, kemudian mengangguk. Dia memang kenal rapat dengan kakitangan sokongan sekolah ini. Mungkin kerana mulutnya yang terlebih peramah, mudah sahaja dia bergaul dengan mereka. Tak salahkan jika kita berkenalan dengan semua orang? Bak kata pepatah, berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali. Bukan apa, ada sesetengah guru yang merasa diri mereka lebih tinggi tarafnya berbanding kakitangan sokongan. Sombong sampai tidak mahu bersapa. Bukankah manusia di sisi Tuhan semuanya sama sahaja? Cuma yang membezakan hanyalah iman dan amal.
Selepas menikmati sarapan, Dhaniyah menuju ke bilik guru. Tidak ramai guru yang berada di situ kerana ke kelas untuk mendidik dan mengajar anak-anak murid yang bakal mencorak masa depan negara. Dia menuju ke meja peribadinya lantas mencapai sebuah buku latihan pemahaman dan mula menanda.
Tidak dapat dinafikan, murid-murid sekarang agak lemah dalam Bahasa Melayu. Bukankah bahasa ini bahasa ibunda kita? Tatabahasa entah ke mana. Ayat karangan pula tunggang-terbalik. Bayangkan, menulis karangan menggunakan ayat singkatan. Perkataan seperti ‘yang’ menjadi ‘yg’, ‘kenapa’ ditulis ‘knp’, ‘adalah’ disingkatkan menjadi ‘adlh’ dan pelbagai lagi. Yang dahsyatnya, perkataan berganda seperti rama-rama ditulis menjadi ‘rama2’! Nak tergelak pun ada. Ini semua bahana menggunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai sms
Walaupun ada kebaikannya, namun terselit juga keburukan. Lihat saja impaknya pada penulisan karangan murid-murid sekarang. Bagaimana jika ibu bapa mereka membaca tulisan tangan anaknya yang sebegini? Pengsan agaknya. Ewah, dah macam bersyarah pula. Dhaniyah melihat jam di tangan. Ada hampir satu jam lagi sebelum dia masuk ke Kelas Lima Mawar untuk mengajar. Dia kembali meneruskan penandaannya yang tertanggguh tadi.

*  *  *  *  *

FALIHIN berlegar-legar di lobi bangunan Syarikat Megah Jaya Holdings menanti abangnya. Mereka akan bertemu dengan klien dari Syarikat Purnama yang membekalkan bekalan bahan-bahan pembinaan kepada syarikat mereka sebentar lagi. Temujanji akan diadakan di Glory Resort pada pukul dua petang. Masih ada setengah jam sebelum tiba waktu yang dijanjikan. Telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat. Pantas dia melihat nama yang tertera di skrin. Bibirnya mengukir senyum.
“Hello, how are you today?” sapa Falihin.
Fine, thank you. Busy ke? Kalau tak, I nak ajak pergi lunch,” pelawa Amelia.
I’m so sorry. Ada appoiment dengan klien hari ni. Abang Fizi pun ada juga. Nak bincang tentang bekalan untuk projek Astana Beach Resort tu,” beritahu Falihin.
“Oh, kalau macam tu tak apalah. Maybe next time,” ujar Amelia.
Okay, that’s a deal. See you, bye!” ujar Falihin seterusnya mematikan talian.
Bahunya ditepuk dari belakang tiba-tiba. Terkejut dia seketika. Izhar mengajak adiknya menuju ke kereta Kia Sephia miliknya. Kemudian, mereka bergerak meninggalkan kawasan perkarangan letak kereta milik Syarikat Megah Jaya Holdings.
“Tadi, Amelia call ajak pergi lunch,” Falihin memberitahu abangnya.
“Hai, sejak dua menjak ni, asyik keluar dengan dia saja. Ada apa-apa ke?” soal Izhar.
“Abang Fizi mulalah nak merepek. Amelia tu minat kat abang, bukannya Falihin,” jelas Falihin.
Izhar hanya tersengih. Dia tahu tentang itu cuma dia tidak menunjukkannya. Baginya, Amelia tidak sesuai menjadi suri hidupnya kerana sikap Amelia sama seperti Datin Farida yakni mamanya. Terlalu cemburu dan suka memerintah. Dia tidak mahu dikongkong seperti papanya. Oleh sebab itu dia cuba mengelak dari selalu bersama dengan Amelia. Dia tidak mahu gadis itu menaruh perasaan padanya. Dia tidak tegar untuk menghampakan gadis itu.


-->

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

bestttttttttttttt(>_<)