Sepatah Dua Kata

Sabtu, Oktober 20, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 09


Kenangan, pergilah jauh dari sisiku

KERDIPAN bintang di langit begitu mengasyikkan. Ditambah pula dengan keserian bulan yang memancar terang. Angin malam sepoi-sepoi bahasa bertiup. Sesekali kedinginan mencengkam tubuh. Dhaniyah duduk di beranda sambil menikmati suasana malam.

Malam,
Keindahanmu mengusik nurani,
Kegelapannya,
Kesunyiannya,
Membuatkan hatiku aman tenteram.

Malam,
Dihiasi kerdipan bintang kejora,
Ditambah keserian sang dewi malam,
Cahayanya menyerlah menerangi maya.

Malam,
Alangkah permai suasanamu,
Tiada gangguan,
Tiada dogma-dogma palsu,
Bayu bertiup sayu,
Unggas bernyanyi ria,
Dan,
Tahukah duhai malam,
Betapa girangnya aku,
Jika dapat menjadi sepertimu.

Bait-bait puisi yang sememangnya dihafal itu dialunkan. Memang hobinya di masa lapang ialah menulis puisi. Beginilah cara untuk dia meluahkan rasa dan melepaskan tekanan. Hati Dhaniyah tiba-tiba dipaut gemuruh. Esok, dia akan bertentang mata dengan tunangnya. Nek Mariam menelefon semalam menjemput datang ke rumah. Dia terpaksa bersetuju apabila melihat renungan tajam dari Mak Ngah Leha. Bagus juga, bolehlah dia melihat rupa bakal tunangnya itu. Kacak ke, hodoh ke, juling ke? Manalah tahu.
“Niya, masuk! Apalagi yang kamu buat kat luar tu? Esok kamu nak ke sekolah. Nanti lambat bangun macam tadi,” laung Mak Ngah Leha dari dalam.
 Dhaniyah tersentak. Sempat lagi Mak Ngahnya itu menyindir.
“Yalah!” jawab  Dhaniyah lalu melangkah masuk menuju ke biliknya.

*  *  *  *  *

“HILMI suka tengok laut. Ia seakan satu dunia yang tidak berpenghujung,” ujar Hilmi.
Waktu itu Dhaniyah dan Hilmi sedang duduk di bangku kayu yang menghadap matahari terbenam. Langit kala itu disepuh rona jingga kemerahan. Serakannya semakin lama semakin meluas. Sebentar lagi, malam akan menjelma, memaksa sang mentari mengundur diri sementara.
Beberapa orang nelayan kelihatan sedang menarik perahu ke darat. Pukat yang dibawa dicampak ke pasir. Tong-tong ikan turut dikeluarkan dari dalam perahu. Rezeki mereka tampak murah hari ini. Alhamdulillah, usaha mereka bertarung di tengah lautan membuahkan hasil.
Anak-anak kecil pula girang mengutip teritip mahu pun sekadar berkejar-kejaran. Sesekali bayu laut yang berhembus, menghantar aroma air laut masin yang mengasyikkan.
“Tetapi laut tidak selamanya tenang bukan? Sekali bergelora, ia membawa kemusnahan,” ujar Dhaniyah.
Hilmi melempar senyum. Dia bingkas bangun lalu melangkah ke arah gigi air.  Dhaniyah juga turut bangun, mengekori lelaki itu.
“Benar, sama seperti hidup ini. Jika sentiasa tenang, hidup terasa tidak berseri. Sesekali perlu ada cabaran yang mematangkan diri dan membantu menyedarkan kita bahawa hidup tidak selamanya indah,” Hilmi berfalsafah.
“Jadi, kalau diberi kesempatan, antara laut dan pantai, Hilmi nak pilih yang mana?”
“Hilmi akan pilih pantai,” jawab Hilmi pada pertanyaan gadis berbaju kurung Kedah rona hijau di sebelahnya itu.
Dhaniyah mengerutkan dahi lantas memandang Hilmi, menginginkan penjelasan.
“Sebab pantai sentiasa setia menanti deburan ombak, sama seperti kesetiaan cinta Hilmi pada Niya,” ucap Hilmi.
Wajah Dhaniyah merona merah. Ternyata lelaki di sebelah ini memang romantis orangnya. Dirinya sentiasa dibuai dengan madah-madah indah dari Hilmi. Selain penyayang, lelaki itu seorang yang matang.
Bunyi ketukan di pintu menganggu lamunan Dhaniyah. Suasana di laut tadi bertukar semula dengan bilik rumah papan tempat tinggalnya. Kenangan bersama-sama Hilmi segera lenyap, diganti dengan wajah ibu saudaranya.
“Jangan lupa kunci jam,” pesan Mak Ngah Leha.
“Baik Mak Ngah!” balas  Dhaniyah lalu hanya memandang kosong langkah Mak Ngah Leha keluar.
Ah, dia dilanda rindu yang sarat. Rindu pada lelaki yang menambat hati dengan sikapnya yang romantis itu. Sudah lama dia tidak menatap wajah Hilmi. Apakah lelaki itu turut merasakan rindu yang menyelubungi hati ini? Dia sedar tidak wajar lagi dia berperasaan begitu sementelah dia bakal menjadi tunangan orang tidak lama lagi. Namun, cinta pertama itu bukan senang mahu dilupakan. Oh, angin, khabarkanlah rindu ini padanya!

*  *  *  *  *

PAGI tiba jua. Usai solat Subuh, Dhaniyah bergerak ke dapur. Pili air dipulas lalu ditadah air ke dalam cerek. Kemudian dia memetik suis dan menunggu air di dalam cerek elektrik itu masak. Cadangnya untuk memasak mee goreng pagi ini. Namun, melihat jam di dinding, dia membatalkan hasrat. Tinggal dua puluh minit lagi sebelum pukul tujuh. Hai, makan roti lagilah nampaknya.
Selepas mengisi perut dengan tiga keping roti yang disapu jem dan secawan milo, Dhaniyah bergerak ke perhentian bas seperti biasa. Sepanjang perjalanan, dia bertegur sapa dengan penduduk di situ yang rata-rata terdiri dari warga emas. Ada juga beberapa orang muda yang duduk melepak di bawah pokok. Mungkin sedang menunggu tawaran belajar atau sekadar menghabiskan masa berbual kosong.
Lima minit menunggu, bas yang dinanti tiba. Pagi-pagi begini bas tidak terlalu penuh. Dhaniyah duduk di barisan kiri bersebelahan dengan tingkap. Hembusan angin pagi yang nyaman menerpa ke wajah. Terasa dingin. Sepuluh minit perjalanan, dia tiba di sekolah. Jam menunjukkan pukul 7.20 pagi. Dhaniyah menghadiahkan secangkir senyum pada Pak Mail. Kemudian dia ke pejabat melakukan aktiviti seperti biasa.
Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Saujana merupakan sekolah pertamanya berkhidmat selepas tamat belajar dari Maktab Perguruan Raja Melewar, Negeri Sembilan. Sudah hampir tiga tahun dia mengajar di sini. Dia diberikan tugas untuk mengajar matapelajaran Bahasa Melayu berdasarkan opsyen yang diambil semasa belajar dahulu. Banyak pengalaman pahit manis yang telah dikutip sepanjang berada di sini. Banyak juga telatah dan kerenah murid-murid yang telah dia tempuh. Semuanya sudah menjadi asam garam dalam kehidupan sebagai guru.
Loceng berbunyi menandakan murid-murid akan masuk ke kelas masing-masing. Pagi ini Dhaniyah ada kelas bersama dengan murid-murid tahun Empat Kenanga. Ah, kelas inilah yang paling ingin dihindari. Tak disangka, awal pagi sudah berjumpa dengan murid-murid kelas tersebut yang memang terkenal dengan kenakalan dan keriuhan penghuninya.
Bukannya mereka tidak boleh dibentuk, boleh. Cuma mereka ini jenis yang cakap masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Segala nasihat dan tunjuk ajar seperti mencurahkan air ke daun keladi. Sia-sia sahaja. Nak tak nak, terpaksa juga digagahkan kaki untuk masuk ke kelas tersebut. Itu tanggungjawabnya sebagai seorang guru. Untuk membantu murid-muridnya menjadi orang yang berilmu.
“Bangun semua! Selamat pagi cikgu!” ucap ketua kelas Empat Kenanga, Hasyim.
Semua pelajar mengikut apa yang diucapkan oleh Hasyim tadi. Kemudian mereka menadah tangan membaca doa. Ya Allah, kau makbulkanlah doa mereka. Kemudian, Dhaniyah menyuruh mereka duduk.
“Baiklah, cikgu nak awak semua keluarkan buku teks dan letak atas meja,” arahnya.
Seketika kemudian, Dhaniyah mengeluh kecil. Hanya beberapa orang sahaja yang membawanya dan meletakkannya di atas meja. Hatinya hampa. Berat sangat ke buku teks yang tidak sampai pun satu kilogram itu untuk dimasukkan ke dalam beg?
“Yang tak bawa buku sila berdiri.”
“Imran, kenapa awak tak bawa?” soal Dhaniyah.
“Terlupa,” jawab murid lelaki yang rambutnya disisir ke tepi itu.
Ah, alasan lapuk! Terlupa, tertinggal, kawan pinjam antara alasan-alasan yang dikira sudah tidak boleh diterima. Kadang-kadang hatinya membara jika mendengar jawapan sedemikian. Dhaniyah mengambil sebatang kapur putih lalu menulis sesuatu di atas papan hitam.

Saya berjanji tidak akan lupa untuk membawa buku teks Bahasa Melayu ke kelas lagi selepas ini.

“Cikgu nak, yang tak bawa buku teks tulis di atas kertas kosong ayat ni sebanyak lima puluh kali. Serahkan pada cikgu esok. Faham!” arah Dhaniyah.
Terdengar rungutan dari mereka. Dia tidak peduli. Mereka ni harus diajar supaya mendengar kata. Dah terlalu dimuakan, beginilah jadinya.
“Sudah, diam semua! Oleh sebab ramai yang tak bawa buku teks, cikgu akan bagi kamu latihan tatabahasa. Sepatutnya hari ini kamu belajar pemahaman. Tapi, dah kamu tak bawa buku, terpaksalah cikgu ganti dengan latihan ni,” ujar Dhaniyah lalu mengagihkan kertas latihan kepada mereka.
Ramai yang mencebikkan bibir tanda tidak puas hati. Mereka tahu, bila Cikgu Dhaniyah memberi latihan tatabahasa, harus disiapkan sebelum tamat masa pembelajaran. Bukannya sedikit soalan yang diberi. Tapi, Dhaniyah sudah memastikan bahawa anak-anak muridnya itu dapat menjawab soalan yang diberi sebelum habis masa dan latihan tatabahasalah yang paling mereka tidak gemari. Sengaja mendera mereka secara mental. Takut jika mendera secara fizikal, dia pula yang dapat masalah nanti. Silap-silap kena turun naik mahkamah. Budak-budak zaman sekarang, perangainya lain macam.
Dhaniyah memerhatikan anak-anak muridnya membuat latihan. Suasana di dalam kelas sunyi-sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas siling yang berputar ligat. Dalam hati, Dhaniyah bersuara. Sampai bilalah mereka hendak jadi begini?

*  *  *  *  *

JANGAN lupa makan malam nanti. Bakal tunang kamu tu pun ada,” beritahu Nek Mariam pada cucunya itu.
What? Wait a minute! Bakal tunang? Tunang siapa?” soal Falihin terperanjat.
“Tunang abang,” jawab Izhar.
Really? Is it true nenek?” soal Falihin lagi.
“Ya. Kamu tak tahu lagi ke?” ujar Nek Mariam.
What a pleasant surprise! Sampai hati Abang Fizi tak beritahu Falihin. Sampai sekarang Falihin tak tahu lagi nek. Agaknya, Falihinlah orang yang terakhir tahu,” ujar  Falihin seolah-olah berjauh hati.
“Dah, jangan nak mengada-ngada. Abang pun tak kenal dengan tunang abang tu lagi,” kata Izhar.
Oh my God! I don’t believe it! Siapa yang punya rancangan ni?” tanya Falihin lagi.
Izhar melirikkan matanya kepada Nek Mariam yang sedang asyik mengait alas kusyen.
And... you accept it macam tu saja? Hebat! I really admire you my big brother,” ucap Falihin.
“Dah jodoh, nak buat macam mana,” ujar Izhar.
“Macam terpaksa saja bunyinya. Abang Fizi biar betul?” soal Falihin lagi.
Izhar Hafizi hanya mengeluh kecil. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia boleh terjebak dalam semua ini.