Sepatah Dua Kata

Isnin, Oktober 29, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 10





HIASAN dalaman banglo dua tingkat itu membuat Dhaniyah terpegun. Begitu indah dan bergemerlapan persis berada dalam istana. Perabot dan susun aturnya tampak mewah dan bergaya. Sekali lihat memang sudah jelas akan kekayaan yang dimiliki oleh tuan empunya rumah banglo itu. Dirinya dilanda gemuruh tiba-tiba. Tidak betah dengan keadaaan dan suasana di sini. Terlalu jauh jurang perbezaan dengan rumah papannya itu. Ibarat semut dengan gajah saiznya.
Dhaniyah dijemput dengan menaiki Mercedes berwarna hitam tepat pukul lapan malam. Sebelum itu, dia hampir pitam memilih pakaian apa yang hendak dipakai. Terpaksalah dia meminta pandangan Mak Ngah Leha. Tanpa diduga, ibu saudaranya itu telah menyiapkan sepasang persalinan lengkap untuk dirinya.
“Pakai ni,” arah Mak Ngah Leha.
Dhaniyah menilik baju yang dihulurkan padanya. Dress labuh hijau pucuk pisang yang dipotong mengikut ukuran badan diserikan dengan labuci dan agak terdedah di bahagian peha itu mengejutkannya. Tak mungkin dia akan pakai pakaian yang menjolok mata begini.
“Tak naklah. Seksi sangat,” Dhaniyah menolak.
“Oi, kau tu nak pergi rumah orang kaya. Pakaian mestilah cantik dan bergaya. Aku tak kira, pakai juga baju ni!” arah Mak Ngah Leha.
Menyesal dia meminta pendapat Mak Ngah Leha tadi. Jika dia tahu beginilah jadinya, tak pergi dinner malam ni pun tak apa. Yang dia pelik, dari mana Mak Ngah Leha dapat baju sebegitu?
“Err... tak apalah Mak Ngah. Niya pakai baju kebaya yang arwah mak jahit tu. Niya tak pernah guna lagi,” ujar  Dhaniyah.
Tajam renungan Mak Ngah Leha sehingga menyebabkan Dhaniyah menundukkan muka. Serasa harimau hendak menerkam mangsa saja lagaknya. Apa nak jadi, jadilah. Dia sudah bertekad tidak akan menyarungkan pakaian sebegitu ke tubuhnya.
“Suka hati kaulah. Cakap orang tua tak nak dengar. Yang malunya nanti engkau, bukan aku. Sudah, cepat bersiap!” bentak Mak Ngah Leha dan berlalu keluar dari bilik.
“Silakan cik,” sapa pembantu rumah banglo tersebut sekaligus mematikan lamunan Dhaniyah.
Salam diberi lalu dia melangkah masuk dengan lafaz bismillah. Dhaniyah melihat Nek Mariam sedang asyik menonton televisyen. Dia menyapa wanita berusia lewat 60-an itu lalu menjabat tangannya
“Dah sampai pun kamu. Maaf, nenek tak perasaan. Khusyuk sangat tengok drama Melayu ni hah,” ujar Nek Mariam sambil tersenyum.
Dhaniyah duduk di sofa berwarna peach itu. Empuk sekali. Pasti buatan luar negara. Tidak seperti kusyen di rumahnya yang sudah usang dan tipis kekabunya. Dia gelisah apabila melihat Nek Mariam merenungnya dari atas ke bawah. Ada yang tak kena dengan penampilannya ke?
“Cantik baju kebaya kamu ni. Halus jahitannya. Beli di mana?” soal Nek Mariam.
“Err... ini baju yang arwah mak saya jahitkan,” jawab Dhaniyah, jujur.
Nek Mariam mengangguk. Sejurus kemudian, Dhaniyah melihat Dato’ Iskandar dan isterinya menuruni anak tangga. Pantas dia bangun dan bersalam dengan mereka. Inilah kali pertama Dhaniyah bersua muka dengan isteri Dato’ Iskandar, yakni emak kepada bakal tunangnya. Dapat dirasa sikap wanita itu yang tidak senang akan kehadirannya dengan acuh tak acuh berjabat salam.
“Apa khabar Dato’, Datin?” ujar Dhaniyah sekadar berbasa-basi.
“Khabar baik. Tak payahlah ber ‘Dato’ dengan saya. Panggil saja papa dan mama. Kamu pun nak jadi menantu kami juga nanti,” ramah Dato’ Iskandar berkata.
“Eh, awak ni. Sesedap mulut awak aje. Bertunang pun belum dah berangan nak jadi menantu. Jangan nak pandai-pandai. Silap-silap tak jadi kahwin,” sinis nada suara Datin Farida.
Dhaniyah tersentak. Wah, boleh tahan juga mulut wanita ini. Nampak sangat tidak ingin dia jadi menantu. Ala, pinggan tak retak, nasi tak dingin. Engkau tak nak, aku lagi tak ingin. Bagus juga, sekurang-sekurangnya dia boleh beritahu Mak Ngah Leha bahawa Datin ini tidak mahu dia jadi menantu. Pasti Mak Ngah Leha tak boleh menolak lagi jika dia tidak bertunang dengan Izhar.
“Tak apalah Dato’. Saya faham,” ujar Dhaniyah, sekadar menyedapkan hati.
Dato’ Iskandar memandang sayu. Datin Farida pula menjeling tajam. Ketara benar perbezaan sikap pasangan suami isteri itu. Bagai langit dengan bumi. Hairan, masih lagi kukuh rumah tangga mereka.
Bunyi kenderaan yang memasuki perkarangan Banglo Semarak menarik perhatian sekaligus menghadirkan debar dalam hati. Pasti itu tunangnya. Ya Allah, berilah dia kekuatan!
Pintu dikuak. Terjengul seraut wajah yang agak tampan pada pemerhatian Dhaniyah. Misainya dibiarkan tipis dan ada janggut sejemput di dagu. Keningnya lebat seolah-olah bercantum. Ada iras-iras pelakon Fahrin Ahmad pula. Umurnya dalam kiraan Dhaniyah masih muda. Ish, tak naklah yang muda-muda ni. Tak matang!
Mum, dad, I’ve a bad news. Abang tak dapat join dinner malam ni. Dia ada meeting dengan klien dari Perlis. Dia kirim salam,” ujar pemuda itu.
“Bertuah punya budak. Orang merancang makan malam ni untuk dia, dia tak datang pula. Nanti nenek telefon dia,” kata Nek Mariam.
“Tak payahlah mak. Dia memang sibuk. Macam tak ada hari lain pula. Esok-esok pun boleh makan malam juga,” Datin Farida bersuara.
“Kamu diam! Mak tak minta pun pendapat kamu,” perli Nek Mariam.
Dhaniyah hanya memerhati saja pertelingkahan antara dua beranak itu. Memang ada yang tidak kena dengan Datin Farida dan Nek Mariam. Dia ni dah macam tunggul kayu. Sudahlah dia tak biasa dengan benda ni semua.
You must be my brother fiancee-to-be?” sapa pemuda tadi.
Oh, adik Izhar rupanya. Nasib baik...
“Cik?”
“Ah, maaf, saya Dhaniyah. Boleh panggil Kak Niya aja,” ujar  Dhaniyah.
I’m Ilham Falihin. Nice to meet you,” Falihin memperkenalkan diri lalu menghulurkan tangan untuk berjabat.
“Maaf,” ujar Dhaniyah dalam senyum kecil.
Budak ni tak belajar ke? Mana boleh pegang-pegang tangan. Nak kena ketuk tangan tu?
“Oh, it’s okay. Jemputlah duduk. I nak naik atas tukar pakaian kejap. Abaikan saja mereka tu. Dah selalu macam ni,” terang  Falihin.
Dhaniyah hanya tersengih. Tak cakap pun dia dah boleh agak. Nek Mariam meletakkan gagang agak kuat pada pendengaran Dhaniyah. Wanita itu mendengus seperti menahan marah.
“Dahlah mak, nak buat macam mana. Tak ada rezeki dia nak jumpa Niya ni. Jomlah kita makan, nanti sejuk pula lauk tu. Niya, mari, kita makan,” ajak Dato’ Iskandar.
Datin Farida tersenyum-simpul. Rancangannya berjaya. Izhar memang tidak akan hadir makan malam ini. Dia tidak akan benarkan pertunangan itu berlaku. Dia akan pastikan, menantunya ialah Amelia bukannya Dhaniyah!

*  *  *  *  *

LAIN kali make sure you check dulu kereta sebelum pergi mana-mana,” tegur Izhar.
“Manalah I tahu benda ni nak jadi. Bukannya ada signal dulu,” jawab Amelia.
“Tapi, you kena juga ambil tahu serba-sedikit benda-benda macam ni.”
“Hello, I ni perempuan, tak ada masa nak involve dalam hal remeh-temeh macam ni. Lagipun...” Amelia tidak dapat meneruskan kata kerana dipintas oleh Izhar.
“Okey, okey. You dah panggil mekanik ke?”
“Dah. Dalam five minutes lagi sampai. So, you kena hantar I balik nampaknya,” jawab Amelia.
“Hmm...”
“Tak ikhlas aje bunyinya. I tak paksa you. I boleh call teksi,” rajuk Amelia.
“Dah, jangan nak mengada-ngada. Merajuk konon. Tak ada masa I nak pujuk. Kita tunggu mekanik tu sampai then I hantar you balik,” balas Izhar.
Amelia tersenyum. Rancangannya dan Datin Farida berjaya. Dia berpakat bersama-sama Datin Farida untuk menghalang Izhar dari menghadiri majlis makan malam di Banglo Semarak sekaligus bertemu dengan tunang lelaki itu.
I dengar rumah you ada buat function,” ujar Amelia setelah agak lama mereka berdiam diri.
Izhar memandang ke arah langit. Terasa serba-salah sebenarnya kerana membohongi neneknya. Dia terpaksa. Amelia merayu dan berharap padanya untuk memberi pertolongan. Terlepas peluang untuk berjumpa dengan bakal tunangnya yang misteri itu.
“Hello, I tengah cakap dengan you ni. Bukan dengan kereta I,” ujar Amelia lalu melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Izhar.
“Ops, sorry. Apa you cakap tadi?”
“Huh! I dengar rumah you ada buat function,” ulang Amelia.
Izhar mengerutkan dahi. Function? Function apa pula? Dari mana Amelia tahu hal itu? Jangan-jangan tentang dinner tu agaknya.
Oh, just a simple dinner. Ala, macam family gathering. Nak kenalkan I dengan tunang I,” jelas Izhar.
What? Tunang? Is it true?” Amelia berpura-pura terkejut walaupun dia sudah mengetahuinya.
“Ya, it’s true. I akan bertunang tak lama lagi. Pilihan keluarga. Kenapa? Salah?” soal Izhar.
“Err... tak. Cuma I terkejut aje. Hmm... nampaknya terlepaslah peluang I nak jadi menantu mama you,” ujar Amelia dalam tawa, sengaja menyembunyikan perasaan hatinya.
Izhar turut tergelak. Dia menganggap Amelia hanya bergurau sedangkan Amelia benar-benar mengharap yang Izhar akan menerima cintanya.
“Hah, tu pun mekanik dah sampai. You masuk dulu dalam kereta I . Nanti I bincang dengan dia,” ujar Izhar.
Amelia berlalu dengan hati yang berbaur. Geram dan marah. Dia akan pastikan Izhar menjadi miliknya seorang bukan orang lain.


-->

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

sibuk je amelia tu
ketuk kang ngan seduk baru tau
~meluat~