Sepatah Dua Kata

Isnin, November 12, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 11




MAKAN malam semalam berlalu dengan penuh hambar. Dhaniyah tidak kisah. Cuma agak terkilan dengan layanan Datin Farida dan tidak dapat bertemu dengan bakal tunangnya. Tapi, dapat berkenalan dengan Falihin pun jadilah. Adik Izhar itu dua tahun lebih muda darinya. Seorang yang periang dan kelakar. Telatahnya mencuit hati. Ada saja perkara yang hendak dibicarakan. Memang tidak akan bosan jika berbual dengannya.
Keluarga Dato’ Iskandar ada enam orang semuanya. Dato’ Iskandar, Datin Farida, Nek Mariam, Izhar, Falihin dan Fatini, anak bongsu pasangan tersebut yang berumur 20 tahun. Buat masa ini Fatini sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Shah Alam dan hanya balik ke rumah kala hujung minggu. Itu pun jika tiada aktiviti di kampus, kata  Falihin. 
Dhaniyah pulang ke rumah agak awal dari jangkaan. Fikirnya, mungkin sekitar jam 11 malam, baru dia bertolak pulang tapi tidak sampai pukul sembilan lagi dia sudah meminta diri. Bukan apa, terasa sukar bernafas dalam atmosfera orang kaya-kaya ni. Hai, susah juga nak jumpa dengan bakal tunangnya tu.
Yang peliknya, tiada satu pun gambar tunangnya yang terdapat di ruang tamu banglo tersebut. Bukan orang kaya ni suka frame besar-besar gambar keluarga dan sangkut pada dinding ke? Itu yang biasa dia lihat dalam drama-drama di televisyen. Yang ada hanya gambar-gambar bunga dan lukisan abstrak. 
“Jauh termenung,” sapa Fadzillah.
“Terkejut aku... Kau tak ada kelas ke?” soal Dhaniyah lalu membiarkan lamunannya tergantung tanpa tali.
“Sepatutnya ada. Tapi aku malas nak masuk,” jawab Fadzillah.
“Kau dah buang tabiat?”
“Hehehe... kau ni. Cepat sangat gabra. Takkanlah aku tak masuk kelas mengajar. Mengamuk Hajah Rokiah nanti. Sebenarnya, sekarang ni budak-budak darjah dua tu ada bengkel pergigian. Kau tak tahu ke?”
“Oh ya, aku lupa. Tak khatam lagi budak-budak tu tentang cara gosok gigi ya.”
Fadzillah tergelak. Sempat Dhaniyah mengerling sekitarnya. Patutlah bilik guru penuh. Selalunya, waktu-waktu begini, lengang suasananya.
“Hello, may I see Cik Dhaniyah,” tegur seorang pemuda Cina tiba-tiba dengan membawa sejambak gubahan bunga mawar merah di tangan kirinya.
“Yes, I’m Dhaniyah.”
This is a delivery from you. Please sign here,” ujar lelaki penghantar bunga itu.
Thank you,” ucap Dhaniyah selepas menandatangani resit yang diberikan.
“Ehem...ehem... amboi, dah berpunya rupanya cikgu kita yang seorang ni. Tak beritahu kita pun. Sampai hati...” sindir Fadzillah.
“Merepeklah kau ni. Aku still single and available tau tak?” balas Dhaniyah.
Ya, pada guru-guru di sekolah, ramai yang menganggap dirinya masih belum dimiliki. Termasuk Fadzillah. Dia kurang gemar berkongsi perihal hati dan perasaan dengan orang lain.
Hmm... siapa pula yang bagi agaknya? Salah orang kot? Mimpi apalah dia malam tadi sampai dapat bunga hari ni. Jambangan bunga yang berhias indah itu dibelek-belek. Mencari siapakah pengirimnya. Dan sekeping kad kecil bercorak teddy bear memberikan jawapan.

Sorry for the dinner. How about lunch tomorrow?
This is my phone number. 012-1231234
Please, call me.
   -Hafizi-

Hafizi? Siapa pula ni? Bukankah tunang dia namanya Izhar? Mesti salah orang ni. Tapi, dia tahu tentang dinner malam semalam. Lebih baik cuba call dia. Baru sahaja Dhaniyah hendak mendail nombor telefon yang tertera di dalam kad tersebut, bunyi loceng membantutkan hasratnya. Selepas ini, dia ada kelas dengan murid-murid Darjah 6 Mawar. Ah, biarlah dulu. Malam nanti baru telefon mamat ni, fikir Dhaniyah.

*  *  *  *  *

HOW was the dinner?” soal Izhar kepada adiknya, Falihin.
Not bad. Ruginya Abang Fizi tak datang. Punyalah cun tunang abang tu. Memang sesuai jadi calon isteri. Lagak macam perempuan Melayu terakhir,” jawab Falihin bersungguh-sungguh.
“Hmm... ni semua sebab Amelia. Kalau tak, tak adalah terlepas peluang tu,” rungut Izhar.
“Jangan-jangan dia jealous tak? So, dia sengaja halang Abang Fizi balik malam tu,” teka Falihin.
“Hish, takkanlah. Memang kereta dia rosak. Lagipun, abang dan Amelia bukannya couple. Tak baik kau fikir macam tu,” ujar Izhar.
“Dan dia juga tak tahu yang abang dah nak bertunang,” Izhar menambah.
‘Tak tahu? Pelik, rasanya aku pernah beritahu Amelia tentang pertunangan Abang Fizi. Perasan aku aje kot,’ getus hati Falihin.
“Hmm... terpulanglah. Falihin hanya buat andaian saja. Tak semestinya betul dan tak semestinya salah. Okeylah bang, Falihin ada hal nak buat ni. Jangan lupa meeting pukul dua nanti,” pesan Falihin lalu dia melangkah keluar dari bilik abangnya itu.
Izhar mengetuk-ngetuk meja dengan jemarinya. Dia teringat kata-kata adiknya tadi. Benarkah kejadian malam itu adalah satu rancangan?

*  *  *  *  *

RUMAH peninggalan arwah kakaknya dikunjungi. Setakat ini tiada sesiapa pun yang mengetahui dialah yang menjaga rumah tersebut. Kakaknya telah mengamanahkannya supaya tidak memberitahu ahli keluarga yang lain bahawa dia pernah tinggal di situ. Rumah di hujung kampung itu agak tersorok kedudukannya. Dikelilingi oleh pagar kawat hijau yang dilitupi oleh pokok bunga seri pagi.
Hampir keseluruhan pagar diselubungi oleh pokok yang memanjat liar itu. Halamannya pula kemas dan bersih, dipenuhi pula dengan pokok bunga raya dan bunga kertas yang pelbagai jenis dan warna. Ada sebuah kolam kecil yang diletakkan keladi bunting di atas permukaannya. Masih ada beberapa ekor ikan haruan dan puyu yang berenang riang di dalam kolam tersebut.
Sebuah pangkin dan bangku kecil dibina di bawah pohon rambutan yang merendang. Putik-putik bunga mula kelihatan. Nampaknya, tak lama lagi merasalah dia akan buah rambutan gading yang manis itu. Tidak ketinggalan sebuah buaian kecil yang disangkutkan di dahan pohon rambutan tersebut. Kenangan silam mula menjengah mindanya.
“Kak Ngah duduk, Kak Long buaikan ya,” pinta seorang gadis kecil.
“Okey, tapi janji lepas ni giliran Kak Long pula duduk,” ujar kakak gadis itu.
Mereka bermain buaian dengan ria. Masing-masing tidak kisah dengan masalah dan perkara yang menyedihkan. Hanya kegembiraan yang menyelubungi mereka saat itu. Bergilir-gilir bermain buaian. Kakaknya menolak, adiknya dibuai. Adiknya menolak, kakaknya pula dibuai. Sehinggalah masing-masing kepenatan.
“Tidak!” dia menjerit sekaligus menerbangkan khayalannya tadi entah ke mana.
Sebenarnya, rumah papan beratap zink itu merupakan peninggalan arwah ibu dan ayahnya yang diwariskan kepada kakaknya. Dulu, mereka bahagia dan gembira tinggal di situ. Sehinggalah malapetaka itu berlaku. Keluarganya bergolak. Sejak itu, tiada lagi gelak tawa dan gurau senda seperti selalu. Yang ada hanyalah duka nestapa yang menghuni di segenap jiwa.
“Maafkan Leha, Kak Long,” rintih Mak Ngah Leha...

Tiada ulasan :