Sepatah Dua Kata

Ahad, November 25, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 12 & 13



BAB DUA BELAS


TELEFON bimbit berdering minta diangkat. Sengaja dia membiarkannya seketika. Melihat nombor yang tertera di skrin, Dhaniyah mengerutkan dahi. Macam pernah dilihat nombor ini, tapi di mana ya?
“Hello, boleh saya bercakap dengan Dhaniyah?” tanya pemanggil berkenaan.
“Ya, saya bercakap. Siapa ni?”
“Saya Hafizi,” pemanggil itu memperkenalkan diri.
Hafizi? Siapa ya? Oh, lelaki yang mengirimkan bunga kepadanya semalam.
“Oh, awak,” ucap Dhaniyah.
“Kenapa tak call saya?”
“Maaf, saya benar-benar terlupa. Err... macam mana awak kenal saya?”
“Saya kan bakal tunang awak.”
Tunang? Hai, berapa ramailah yang mengaku tunang dia ni? Setahunya, tunang dia bernama Izhar, bukannya Hafizi.
“Saya rasa awak ni salah orang. Saya tak ada tunang nama Hafizi,” jelas Dhaniyah.
Talian senyap seketika. Masing-masing melayan angan.
“Awak ni Nur Dhaniyah binti Abdul Sulaiman, right?” Izhar menyoal.
“Ya. Tapi, awak ni siapa?”
“Tunang awaklah,” jawabnya.
‘Eh, budak ni, tak faham bahasa betul. Dah kata aku bukan tunang dia. Takkan Mak Ngah Leha tunangkan aku dengan orang lain pula? Tapi, dia tahu nama penuh aku. Pelik, pelik,’ getus Dhaniyah dalam hati.
“Tunang saya namanya Izhar,” beritahu Dhaniyah.
Terdengar lelaki itu ketawa. Apa yang kelakarnya? Tidak pula dirasakan yang dia sedang membuat lawak jenaka.
“Awak ni memang suka bergurau ya? Tak tahu pula saya,” ujarnya sambil ketawa.
Bila masa pulalah dia buat kelakar ni? Hish, pening, pening...
Okay, let me introduce my name. I’m Izhar Hafizi bin Iskandar. Selamat berkenalan,” ucapnya.
Astaga! Betullah tunangnya. Terasa merah muka menahan malu. Nasib baik lelaki itu tidak berada di hadapannya saat ini. Silap dia juga tidak bertanya nama penuh Izhar terlebih dahulu. Iyalah, dah Mak Ngah Leha yang memberitahu nama bakal tunangnya Izhar. Tak tahu pula lelaki itu lebih selesa dipanggi Hafizi.
“Ah, maaf. Saya tak tahu,” ujar Dhaniyah.
It’s okay. So, how about lunch?”
Let me see... baiklah, pukul 1.30 boleh?”
“Lambatnya. Waktu lunch, kan pukul satu?”
Cerewetnya mamat ni. Habis kelas pukul satu. Nak solat lagi. Takkan lelaki tu tak tahu.
“Waktu sekolah tamat pukul satu Encik Izhar,” jawab Dhaniyah.
“Sekolah? Awak ni cikgu ke?” tanya Izhar.
“Mustahil awak tak tahu,” perli Dhaniyah.
Talian senyap sekali lagi. Terasa hatikah dia? Takkanlah...
Okay, saya akan suruh driver saya jemput awak kat sekolah. Pukul 1.30, confirm. By the way, which school?
Driver? Amboi, mentang-mentanglah kau anak orang kaya. Bertuahnya badan...
“Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Saujana,” beritahu Dhaniyah.
Okay, see you at the restaurant. Bye.”
Talian dimatikan. Nampaknya, dia terpaksa berhadapan dengan bakal tunangnya sebentar lagi. Dhaniyah merenung jam di tangan. Sudah pukul 12.15 minit. Tak lama sahaja lagi. Harap-harap semuanya berjalan lancar, doanya.

*  *  *  *  *

BILA nak dilangsungkan budak dua orang tu?” tanya Mak Su Munah.
“Entahlah Su. Aku pun tak tahu. Bertunang tu pun entahkan jadi, entahkan tidak,” jawab Mak Ngah Leha.
“Maksud Kak Ngah?”
Mak Ngah Leha mengeluh berat. Tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Ligat otaknya mencari penjelasan yang sesuai.
“Datin Farida, isteri Dato’ tu, macam tak suka saja dengan pertunangan ni. Silap-silap dia dah ada menantu pilihan sendiri,” jelas Mak Ngah Leha.
“Kalau dah macam tu, buat apa gatal tunangkan anak dia dengan si Niya tu?” soal Mak Su Munah lagi.
“Bukan datin tu yang berkenan dengan Niya tapi suami dia,” balas Mak Ngah Leha.
Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup mendinginkan suasana tengah hari itu. Mendung yang berarak menutup sinar mentari. Cuaca begitu redup dan tenang. Kadangkala bunyi kokokan ayam saling bersahutan.
“Macam mana Kak Ngah kenal dengan Dato’ tu?”
“Ingat lagi kenduri kahwin anak si Roslan tu? Kat situlah aku jumpa dengan Dato’ Iskandar. Anak laki si Roslan pekerja syarikat Dato’ tu. Entah macam mana Dato’ tu terserempak dengan Niya. Ditanya pada Roslan anak siapa. Apalagi si Roslan cakaplah anak saudara aku. Sudahnya Dato’ tu tinggalkan kad dia dan minta nombor telefon aku. Katanya dia berkenan dengan Niya untuk calon isteri anak sulungnya,” Mak Ngah Leha menjawab pertanyaan adiknya tadi.
“Kak Ngah pula terus setuju saja? Tak tanya Niya dulu?”
“Aku buat semua ni pun untuk kebaikan dia Munah. Aku ni hidup pun tak lama lagi. Entah esok lusa aku pergi. Tak adalah nanti Niya tu terkontang-kanting sorang-sorang. Eh, aku nak pergi masak nasi kejap. Si Niya dah nak balik ni,” ujar Mak Ngah Leha.
Belum sempat dia menuju ke dapur, telefon rumahnya menjerit nyaring. Segera Mak Ngah Leha mengangkatnya. Selepas bercakap beberapa ketika, dia meletakkan gagang. Kemudian, dia kembali ke ruang tamu mendapatkan Mak Su Munah.
“Siapa telefon?”
“Si Niya. Dia kata dia balik lewat hari ni. Tak payah tunggu dia makan,” jawab Mak Ngah Leha.
Kedua-dua beradik itu membisu. Sepi bertakhta di segenap penjuru ruang tamu.
“Kak Ngah masih tak dapat terima dia ke?” Mak Su Munah bersuara tiba-tiba.
Mak Ngah Leha tersentak, tahu apa yang dimaksudkan oleh adiknya itu. Kenapa soalan itu ditanya tiba-tiba?
“Sampai bila Kak Ngah nak hidup macam ni? Sudahlah tu. Niya tak bersalah. Tak ada gunanya Kak Ngah memusuhi dia,” nasihat Mak Su Munah.
“Tapi, hati aku ni sakit Su. Parutnya masih ada. Aku tak dapat terima yang dia sanggup mengkhianati aku,” rengus Mak Ngah Leha.
Mak Su Munah menghela nafas panjang. Tahu penderitaan kakaknya selama ini. Dia sebenarnya tidak faham tentang peristiwa yang berlaku lama dulu. Perkara yang menyebabkan permusuhan antara dua beradik. Keinginan hatinya untuk bertanya meluap-luap tetapi entah mengapa setiap kali hendak membuka mulut, lidahnya kelu. Dia tahu, ada sesuatu yang disembunyikan oleh dua orang kakaknya itu.
“Kak Long pun dah tak ada lagi. Buat apa nak dikenang kisah yang lama. Lupakan saja. Lagipun, si Niya tu tak bersalah. Tak elok berdendam ni. Kita adik-beradik Kak Ngah,” ujar Mak Su Munah.
Mak Ngah Leha hanya membisu. Yang pasti, hatinya memang terluka pedih. Dia tidak akan lupa peristiwa itu seumur hidupnya. Peristiwa yang menerbitkan dendam dalam hati. Semuanya berpunca dari kakak sulungnya. Ah, permainan takdir ini memang susah untuk difahami!

BAB TIGA BELAS


RESTORAN Selera Makmur menjadi destinasi Dhaniyah untuk menikmati makan tengah hari pada hari itu. Selepas loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan tamat, dia segera bergegas ke bilik guru untuk meletakkan buku rekod mengajar dan mengemas mejanya serba-sedikit. Fadzillah pula masih tidak kelihatan di mejanya waktu itu.
Sampai sahaja di luar pintu pagar sekolah, dia mencari kelibat seseorang yang dikenali sekiranya ada. Melilau matanya mencari namun hampa. Tiba-tiba dia disapa oleh seorang lelaki yang memakai kemeja lengan panjang warna biru laut dan berseluar slack. Rambutnya dibelah tengah, tersisir rapi. Agak tampan juga.
“Cik  Dhaniyah ke?” soalnya.
Dhaniyah mengangguk. Tak syak lagi, dia pasti pemandu yang dikatakan Izhar dalam panggilan tadi.
“Saya Rosman, pembantu Encik Hafizi. Dia minta saya jemput cik dan ini daripada dia,” ujar lelaki tersebut sambil menghulurkan sejambak bunga pada Dhaniyah.
Bunga lagi? Kali ini bunga carnation pula. Setahunya, bunga ni bermaksud cinta pertama. Takkanlah, dia cinta pertama lelaki itu. Jumpa pun tak pernah. Mustahil!
Dhaniyah dibawa menaiki kereta Honda Prelude yang memang jelas tampak moden dan sudah tentu mahal harganya. Dia perasan ada beberapa pasang mata yang mengintai pandang. Terselit rasa bangga walau kereta itu bukan hak miliknya.
Sepanjang perjalanan, dia hanya mendiamkan diri. Tiada apa yang hendak dibualkan dengan pemuda bernama Rosman itu. Lelaki itu pun nampak pendiam dan pemalu orangnya. Lima belas minit perjalanan, Dhaniyah tiba di Restoran Selera Makmur. Selepas mengucapkan terima kasih, Rosman berlalu pergi bersama-sama dengan Honda Prelude yang mewah itu.
Restoran tersebut agak lengang pada pandangan Dhaniyah. Tiada kelibat pelanggan yang sedang menjamu selera di situ. Sepatutnya, sekarang adalah masa makan tengah hari. Jangan-jangan restoran ni tutup tak? Ya, memang ada tanda ‘close’ tetapi ada kelibat orang di dalamnya. Pekerja-pekerja restoran itu mungkin. Agaknya sekejap lagi, bukalah tu.
“Cik Dhaniyah ke?” tegur salah seorang pekerja di situ menyebabkan  Dhaniyah tersentak.
Hai, tak sangka dia begitu popular sehingga orang di sini pun kenal dirinya. Muka dia ada masuk dalam surat khabar ke hari ni? Rasanya tak. Dalam majalah? Lagilah tak mungkin. Dhaniyah hanya mengangguk lalu tersenyum.
“Silakan masuk,” pelawa pekerja itu sambil membukakan pintu.
Dhaniyah memberanikan diri melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Dia mengambil tempat duduk yang disediakan. Rasa berdebar dan gemuruh bertarung hebat di dalam hati. Sempat diperhati keadaan sekitar restoran tersebut. Baginya restoran itu biasa sahaja, tidaklah nampak terlalu mewah. Namun hiasan dalamannya amat cantik sekali.
Berkonsep tropika dicampur dengan sedikit western. Tetap nampak elegan dan hebat. Dhaniyah menyedari ada seseorang sedang menuju ke arahnya. Lelaki yang memakai apron dan topi panjang itu sudah tentu tukang masak di sini. Nak ambil pesanankah?
“Selamat datang ke restoran kami. Saya Chef Zamri, tukang masak selaku ketua di sini. Harap cik selesa. Nak pesan apa-apa?” soalnya.
“Ah, tak apa. Maaf saya bertanya. Kenapa benarkan saya masuk sedangkan restoran ni ditutup?” tanya Dhaniyah.
“Oh, Encik Hafizi telah menempah seluruh restoran ini untuk cik dan dia. Sebab tu tiada orang masuk ke sini,” jawab Chef Zamri.
Kata-kata lelaki itu mengejutkan Dhaniyah. Gila ke Izhar? Buat apa membazir duit macam ni? Tahulah diri tu anak Dato’ tapi dia tidak nampak langsung faedahnya dengan menempah keseluruhan restoran hanya untuk menikmati makan tengah hari berdua. Eii... tak faham sungguh dengan fikiran orang kaya ni!

*  *  *  *  *

IZHAR melihat jam di dinding. Pasti Rosman sudah menjemput Dhaniyah di sekolah dan sedang menuju ke Restoran Selera Makmur. Pantas dia mengemas meja dan bergegas bangun. Baru sahaja dia hendak membuka pintu, seseorang telah terlebih dahulu menolaknya. Terpampang jelas wajah Amelia di hadapannya sekarang.
What are you doing here?” soal Izhar.
I ingat nak ajak you lunch. Boleh?” Amelia mempelawa.
Sorry, I’ve an appoiment. Maybe next time,” tolak Izhar, sopan.
“Hmm...kalau macam tu, okeylah,” jawab Amelia sedikit hampa.
Tiba-tiba Amelia memegang kepalanya lalu rebah namun sempat disambut oleh Izhar. Dia mengaduh sakit.
“Amelia, kenapa ni?” tanya Izhar gusar.
I rasa pening sikit. Maybe migrain I datang. Tolong, bawa I ke klinik, please,” rayu Amelia.
Izhar serba-salah. Teringat janjinya dengan Dhaniyah. Ah, itu boleh difikirkan kemudian. Orang sakit harus dipentingkan dulu, fikirnya. Lantas dia memapah Amelia ke kereta dan berlalu meninggalkan bangunan Megah Jaya Holdings.

*  *  *  *  *

SUDAH tiga puluh minit berlalu. Kelibat bakal tunangnya masih tidak kelihatan bahkan bayangnya juga tidak nampak. Dhaniyah cuba menelefon Izhar tetapi tiada jawapan. Jarum jam menunjukkan pukul 2.10 minit petang. Banyak masanya telah dibazirkan. Hati menjadi hangat tiba-tiba. Izhar tidak menepati janji. Sudah dua kali lelaki itu melakukannya begini. Apa tujuan Izhar yang sebenar? Sengaja nak menguji dirinya? Tapi, untuk apa?
Dhaniyah memanggil pelayan lalu menyampaikan pesan. Katanya, jika Izhar tiba, katakan dia sudah pulang ke rumah. Pantas Dhaniyah keluar dari restoran tersebut dan menahan teksi untuk pulang. Siaplah Izhar! Ada ubi ada batas, ada hari, nanti dia balas!

*  *  *  *  *

BAGAIMANA dengan dia doktor?” tanya Izhar.
She’s okay. Dia cuma tertekan sikit. I dah baginya ubat penenang untuk dimakan dan pastikan dia banyak berehat,” jawab doktor tersebut.
Thanks doktor,” ucap Izhar sambil memandang Amelia di sebelahnya.
Mereka kemudian meminta diri lalu melangkah keluar dari klinik tersebut. Amelia berpapasan dengan Izhar menuju ke arah kereta lelaki itu.
“Maaf, you terpaksa cancel appoiment you. I tak sangka jadi macam ni,” ujar Amelia sayu.
It’s okay. Tak penting pun. Just lunch biasa dengan kawan saja. Yang penting you tak apa-apa,” balas Izhar.
Thanks a lot! You memang baik,” Amelia berkata sambil tersenyum.
Bunyi irama lagu Lonely No More dendangan Rob Thomas bergema di telinga Amelia. Segera dia membuka tas tangannya dan melihat nombor yang tertera di skrin. Dia menjarakkan diri sedikit dari Izhar.
“Hello,” ucapnya.
“Macam mana?” pemanggil di talian terus bertanya.
“Ditanggung beres. Kali ni rancangan kita berjaya lagi,” jawab Amelia, separuh berbisik.
“Bagus, bagus. Pasti budak tu akan tinggalkan Fizi kali ni,” ujar pemanggil tersebut.
Talian dimatikan. Amelia teringat perbualannya dengan Datin Farida sebelum ini. Datin Farida memberitahunya bahawa Izhar akan makan tengah hari bersama dengan bakal tunangnya. Dia diminta menghalang pertemuan itu. Sekejap sahaja mindanya mendapat satu idea. Dia hanya berpura-pura sakit tadi untuk menangguhkan perjumpaan tersebut.
Bibir Amelia mengorak senyum sinis. Dia kemudian kembali semula mendapatkan Izhar yang sudah berjalan agak jauh di hadapan. Selepas meletak gagang, Datin Farida tersenyum puas. Dia akan melakukan apa sahaja untuk membatalkan pertunangan itu. Izhar tidak boleh bertunang dengan  Dhaniyah. Itu tekadnya!

1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

jahatnye amelia ngan mak izhar
~meluat~