Sepatah Dua Kata

Rabu, Disember 26, 2012

Cerpen: Teratak Bonda




“MAK MUNAH buat apa tu?” tegur Farisah ketika dia melangkah masuk ke dalam bilik TV.
Wanita yang memakai anak tudung rona coklat itu kelihatan tekun menonton siaran televisyen sehingga tidak sedar akan pertanyaan gadis berblaus lengan panjang rona biru itu. Farisah yang melihat sekadar menggeleng. Sudah faham benar  akan sikap wanita yang seorang itu. Kalau sudah menonton drama, bom meletup pun tak akan dengar. Khusyuk sangat.
Perlahan-lahan Farisah menghampiri wanita tersebut. Matanya meliar mencari alat kawalan jauh dan akhirnya tertancap pada atas sofa yang diduduki Mak Munah. Alat kawalan jauh itu betul-betul berada di sebelah kanan wanita yang sudah mula kelihatan garis-garis usia di wajahnya. Lantas, tangan Farisah mencapai alat tersebut lalu menekan butang merah. Serta-merta skrin televisyen menjadi gelap.
“Eh, tak ada elektrik ke?” tanya Mak Munah pada dirinya sendiri.
Farisah yang mendengar ketawa kecil. Tawanya menarik perhatian wanita berbaju kurung Kedah dengan kain batik itu.
“Risa! Bertuah betul budak ni! Suka benar mengacau Mak Munah,” omel Mak Munah sambil menarik muka masam.
“Alala... Merajuk pula Mak Munah ni. Bukan main khusyuk lagi Mak Munah tengok TV ya. Mentang-mentang Rosyam Nor berlakon,” giat Farisah yang sedang berdiri di belakang sofa.
“Mestilah, pelakon kesukaan Mak Munah tu. Dah, tekan balik TV tu. Cepat!”
Farisah segera menekan butang merah tadi semula. Skrin televisyen kembali memaparkan gambar yang bergerak. Pantas Mak Munah merampas alat kawalan jauh dari tangan gadis bertudung putih tersebut. Membulat mata Farisah dengan tindakan wanita yang sudah menjangkau separuh abad usianya itu.
“Apa yang kecoh-kecoh ni?” sapa seorang wanita yang bertudung labuh warna biru laut.
“Si Risa ni duk mengacau aku tengok TV. Makin hari makin nakal budak ni,” Mak Munah merungut sambil matanya tidak lekang dari skrin televisyen menyebabkan Farisah menarik muncung panjang mendengar kata-katanya tadi.
“Hah, suka benar memuncung bibir tu. Gunting baru tau,” tokok Mak Munah.
Farisah sedikit tersentak kerana walaupun mata Mak Munah tekun menatap televisyen, wanita itu masih tahu yang dia sedang menarik muncung. Hebat betul!
“Sudah, kamu berdua ni, tak boleh berjumpa langsung. Asyik nak bertekak aja,” wanita bertudung labuh tadi bersuara, meredakan keadaan.
“Mak Kiah dari mana ni?” tanya Farisah.
“Dari kebun belakang tadi, petik cili api sikit. Ingat tengah hari nanti juadahnya ayam masak lemak cili api. Kesukaan kamu, kan?” jawab Mak Kiah sambil tangannya membelek plastik kecil berisi cili api yang berwarna merah menyala itu.
“Wah, ini yang Risa sayang Mak Kiah lebih ni,” ucap Farisah lalu memaut bahu wanita tersebut.
“Ala, nak bodeklah tu,” Mak Munah menyampuk.
“Eleh, Mak Munah cemburu,” balas Farisah.
“Ish, tak kuasa aku. Baik aku cemburu dengan pelakon perempuan yang berlakon dengan Rosyam Nor ni,”
Tawa Farisah dan Mak Kiah meletus. Semua yang berada di rumah itu sudah sedia maklum akan tegarnya minat Mak Munah pada pelakon tersebut. Tanyalah apa sahaja pasal Rosyam Nor, pasti wanita itu dapat menjawab dengan lancar sekali.
“Kak Risa, Puan Zuliana nak jumpa,” seorang gadis berambut panjang muncul tiba-tiba.
“Terima kasih Farah, kejap lagi akak pergi,” jawab Farisah lalu memerhati pemergian gadis tadi dengan ekor mata.
“Tadi Mak Kiah nampak ada kereta besar datang. Agaknya, kita bakal dapat keluarga baru,” beritahu Mak Kiah dengan suara sedikit berbaur, hiba dan sayu.
“Em, Risa minta diri dululah Mak Kiah. Nanti Risa tolong Mak Kiah masak ya,” ujar Farisah lantas berpaling keluar dari bilik TV itu.
“Sunyi kalau Risa tu tak ada, kan Munah?”
Mak Munah mengangguk laju. Jauh di sudut hati, dia mengakui kata-kata sahabatnya itu.

*  *  *  *  *

FARISAH mengetuk pintu bilik yang tertera nama Puan Zuliana. Setelah mendapat kebenaran masuk, dia menolak daun pintu dengan senyuman yang terukir di bibir. Puan Zuliana yang sedang menyelak sebuah fail mempersilakan Farisah duduk di kerusi di hadapan mejanya.
“Saya dengar Farisah datang, itu yang saya minta Farah panggilkan,” ujar Puan Zuliana, membuka bicara.
“Tadi saya singgah ke bilik ni, puan tak ada. Itu yang saya terus ke tingkat bawah,” jawab Farisah.
“Saya amat berbesar hati Farisah sudi datang membantu di sini,”
“Perkara kecil saja puan. Lagipun, Sabtu dan Ahad memang saya tak ada aktiviti nak buat. Saya yang patut berterima kasih pada puan sebab sudi terima kedatangan saya ke sini. Teratak Bonda, sebuah tempat yang kaya dengan kasih sayang,” balas Farisah.
Puan Zuliana mengangguk. Dia faham perasaan gadis bertubuh kecil di hadapannya ini. Sewaktu kali pertama bertentang mata, dia dapat rasakan keikhlasan gadis itu untuk membantu mencurahkan bakti sebagai sukarelawan di rumah orang-orang tua ini. Kata Farisah, sejak kecil lagi dia sudah tinggal di rumah anak-anak yatim. Justeru, di Teratak Bonda inilah tempat dia berkongsi kasih sayang dengan penghuni yang ada.
Gadis yang bekerja sebagai Akauntan di sebuah syarikat hartanah ini seorang yang periang dan peramah. Kehadirannya sudah cukup mengubat rawan di hati. Bila Farisah datang setiap Sabtu dan Ahad, Teratak Bonda akan menjadi meriah dengan gelak-tawa penghuninya. Puan Zuliana bersyukur, masih ada lagi insan yang sudi melimpahkan kasih dan memahami erti menghargai.
Teratak Bonda baharu sahaja diwujudkan tiga tahun yang lalu. Sehingga kini, sudah ada lapan warga emas yang semuanya terdiri dari kaum Hawa. Mereka ini kebanyakkannya tidaklah terlalu tua dan uzur tetapi dihantar oleh anak-anak yang begitu sibuk mengejar dunia.
Puan Zuliana sendiri membuka Teratak Bonda ini setelah simpati melihat seorang warga emas yang berkeliaran di sebuah stesen bas di pusat bandar. Maka, dengan sokongan suami, mereka melaburkan sedikit wang dengan membeli beberapa ekar tanah di pinggir bandar untuk membina penempatan ini. Walaupun sibuk dengan tugas mengajar di sekolah, jika ada kelapangan, dia akan menziarah ke sini, beramah-mesra dengan penghuni yang ada. Tambahan pula, di sini sudah ada dua orang pembantu yang akan mengurus hal kebajikan penghuninya.
“Tadi, ada seorang pemuda datang dengan ibunya,” maklum  Puan Zuliana.
Farisah sekadar mengangguk. Hatinya dicengkam pilu. Namun, pastinya dia akan menerima keluarga baru itu dengan tangan terbuka. Setelah berbual beberapa ketika, Farisah meminta diri. Dia sudah berjanji dengan Mak Kiah untuk membantu di dapur tadi.
Usai melangkah keluar dari bilik Puan Zuliana yang terletak di tingkat dua, Farisah menjengah sebentar ke bilik bacaan. Sekadar untuk menyapa beberapa orang penghuni di situ. Rumah dua tingkat ini adalah inisatif Puan Zuliana yang mahu membantu warga emas yang dipinggirkan keluarga. Dan dia yang dahagakan kasih, akan menemani penghuninya kala hujung minggu tiba.
Teratak Bonda sama sahaja seperti rumah yang lain jika dilihat dari luar. Cuma saiznya agak besar seperti banglo. Tingkat dua mengandungi sepuluh bilik yang dapat memuatkan dua buah katil dan almari pakaian setiap satunya. Tingkat satu pula ada bilik bacaan, bilik TV, dapur dan juga ruang tamu yang agak luas.
Kawasan rumah ini pula dikelilingi dengan pokok-pokok yang tumbuh merendang, membuatkan suasana begitu redup dan nyaman. Landskapnya pula direka sendiri oleh suami Puan Zuliana yang bertugas sebagai seorang jurutera landskap. Pada Farisah, sesiapa yang mengunjungi Teratak Bonda buat kali pertama, pasti akan berasa seperti berada di kawasan kampung.
Farisah menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Dalam perjalanan ke dapur, dia tertarik pada sesusuk tubuh yang sedang duduk membaca akhbar di sofa yang disediakan di ruang tamu itu. Mungkin, inilah lelaki yang Puan Zuliana beritahu tadi, fikir Farisah.
Perlahan-lahan nafasnya ditarik lalu dihembuskan juga perlahan-lahan. Lelaki yang memakai T-shirt jenama POLO warna putih dengan seluar slack hitam itu tidak menyedari kedatangan Farisah yang menghampirinya.
“Assalammualaikum,” sapa Farisah.
“Waalaikummussalam,”
“Saya Farisah,” ujar Farisah memperkenalkan diri lantas melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu.
“Pekerja di sini?” lelaki berkaca mata tanpa bingkai itu bertanya.
“Ya. Ada apa-apa yang encik nak saya bantu?”
“Tolong tengok-tengokkan ibu saya tu ya,”
“Ibu encik?  Oh, yang baru tiba tu. Maaf ya encik kalau pertanyaan saya ni menggangu, boleh saya tahu kenapa encik hantar ibu encik ke sini?” Farisah menyoal membuatkan riak wajah lelaki itu sedikit berubah.
“Saya sibuk dengan kerja,”
“Encik anak tunggal?” Farisah bertanya lagi.
“Tak, anak bongsu dari lima beradik,”
“Oh, adik-adik yang lain pun bekerja?”
Lelaki itu hanya mengangguk sebagai jawapan. Sepertinya dia malas mahu berbual panjang dengan Farisah.
Farisah terus bertanya perihal lelaki itu. Tentang kerjanya, adik-beradik yang lain, kesihatan ibunya dan pelbagai lagi. Lelaki itu pula menjawab acuh tak acuh. Mungkin rimas dengan pertanyaan Farisah yang lagaknya seperti seorang wartawan.
“Seronok kerja di sini?” giliran lelaki itu pula bertanya pada Farisha.
“Seronok sangat encik. Di sini, saya ada ramai ibu. Mereka semua sangat baik,”
“Ibu awak?”
“Saya anak yatim sejak kecil. Jadi, di sinilah saya menumpang kasih sayang. Dulu, masa kecil, saya sangat cemburu pada kawan-kawan yang ada ibu. Pergi sekolah, ada ibu yang sediakan bekal. Di rumah, ada ibu yang membaca buku cerita sebelum tidur. Saya selalu menangis bila lihat kawan-kawan memeluk ibu mereka sewaktu acara penyampaian hadiah. Pernah saya berdoa pada Tuhan, supaya hidupkan ibu saya semula. Kerana saya tidak pernah menatap wajah ibu. Saya mahu rasakan kehangatan berada dalam dakapan seorang ibu. Saya mahu dibelai manja dengan tangan ibu. Saya mahu menangis dan ketawa dengan ibu. Malah, saya mahu mendengar suara ibu memarahi saya bila saya buat silap.
Tapi saya redha takdir Tuhan. Saya yakin, suatu hari nanti, saya tetap akan dapat berjumpa dengan ibu. Jika Tuhan izinkan, saya mahu sujud di kaki ibu kerana susah-payah melahirkan saya. Cuma saya terkilan, saya tidak dapat menjaga ibu. Saya tak mampu membalas jasanya menjaga saya dengan penuh kasih selama sembilan bulan berada dalam kandungan.
Encik tahu, bila saya menatap wajah setiap ibu yang ada di sini, saya dapat lihat begitu banyak kerinduan yang ada dalam mata setiap dari mereka. Tentulah rindu itu untuk anak-anak. Sungguh, saya sangat mahukan rasa rindu itu. Kalau boleh dibeli, semua harta saya sanggup berikan. Alangkah bertuahnya anak-anak mereka. Walau jauh di mata, tidak sekali pun mereka melupakan anak-anak. Itulah kasih seorang ibu. Kasih yang tiada galang gantinya,” luah Farisah.
Lelaki itu diam. Wajahnya ditundukkan. Tidak lama kemudian, lelaki itu bangun.
“Maaf encik kalau kata-kata saya tadi bosan untuk didengar,” ujar Farisah, bimbang lelaki itu akan marah.
“Terima kasih,” ucap lelaki itu, pendek lalu melangkah ke tingkat dua.
“Encik nak ke mana?”
“Bertemu ibu saya. Saya mahu membawanya pulang. Saya akan menjaganya hingga akhir hayat,” jawab lelaki itu lalu kembali menyambung langkah.
Bibir Farisah menguntum senyum. Diseka air jernih yang berladung di pelupuk mata dengan jemarinya. Itulah yang sewajarnya dilakukan oleh seorang anak. Menjaga dan memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang untuk ibu.
“Risa! Mari tolong Mak Kiah ni!” laung Mak Kiah dari arah dapur.
“Baik Mak Kiah!” jawab Farisah lalu bangun meninggalkan ruang tamu Teratak Bonda dengan hati yang puas.
Dalam hati Farisah berdoa, moga Teratak Bonda tidak lagi dikunjungi oleh anak-anak yang berniat mahu menghantar ibu mereka ke sini. Kerana kebahagiaan seorang anak, adalah di sisi ibunya.
::TAMAT::


6 ulasan :

Seri Ayu berkata...

Salam, cerpen ni sangat pendek tapi sangat meruntun hati dan perasaan.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Waalaikummussalam Seri Ayu.

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. Saya gembira perasaan itu sampai pada pembaca. :)

einaz lynna berkata...

suka sgt... meruntun jiwa... walaupun pendek.... harus panjangkan lagi cerpen nie... heheheh

nadiatul najwa berkata...

*kalau cerpen ni buat novel mesti best*
*^_^*

eija berkata...

Sedih kn....

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

einaz lynna: Kalau lagi panjang takut saya pula yang menangis nak tulis. Hehe... ;)

nadiatul najwa: Mudahan-mudahan ada kesempatan... :)

eija: Ya, sayangilah ibu bapa kita sementara mereka masih ada...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. :D