Sepatah Dua Kata

Ahad, Disember 09, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 14 & 15




BAB EMPAT BELAS


TIGA hari berlalu sejak peristiwa makan tengah hari di Restoran Selera Makmur. Sudah berpuluh-puluh SMS diterima dan berkali-kali telefon bimbitnya berdering. Semuanya dari Izhar. Satu pun tidak dilayan. Tidak pernah dia dipermainkan begini. Terasa bengang. Macam tunggul kayu saja lagaknya duduk seorang diri dalam restoran tersebut. Lelaki itu ingat dia ni apa? Mentang-mentang kaya, ada harta bertimbun-timbun, sesuka hati nak mainkan perasaan orang. Sengaja dia hendak biarkan rasa bersalah itu menghantui diri Izhar. Hai, kenapalah dia dapat bakal tunang yang macam ni?
Dhaniyah menerima sejambak lagi bunga mawar merah. Hari ni sudah tiga kali dia menerimanya. Mejanya sudah penuh dengan jambangan bunga yang pelbagai jenis sehingga dia dengan murah hati mendermakannya untuk mencantikkan bilik guru itu. Cakap-cakap orang di belakang tidak diendah. Yang penting, hidup dia, biar dia yang uruskan. Bukannya mereka boleh tolong dia selesaikan masalah ni pun.
“Romantiknya pakwe kau. Tiap-tiap hari bagi bunga. Kalau akulah, takkan kubiarkan dia jatuh ke tangan orang lain,” ujar Fadzillah.
‘Banyaklah kau punya romantik. Kau tak tahu aku dah melancarkan perang dingin terhadap lelaki itu. Benci betul dengan perangainya. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku tampar mukanya, tumbuk perutnya dan sepak punggungnya. Wah, kejam!’ getus Dhaniyah dalam hati.
“Hmm... kalau kau nak satu bawa balik rumah, ambillah. Kalau tak, aku buang dalam tong sampah saja.”
“Eh, eh... bunga macam ni punya cantik kau nak buang? Tentu mahal harganya. Hah, jangan-jangan....” Fadzillah tidak meneruskan kata.
“Jangan-jangan apa?” soal  Dhaniyah tidak mengerti.
“Kau merajuk eh?” tekanya.
Dhaniyah menjeling geram. Ternyata tekaan Fadzillah itu benar. Namun, dia hanya buat muka selamba. Jatuhlah air muka kalau dia mengaku.
“Betullah tu. Selalunya, kalau aku salah cakap, kau mesti lawan balik. Oh, dah pandai merajuk rupanya,” perli Fadzilah lagi.
“Amboi, amboi... bukan main lagi kau menyindir aku ya? Tak mainlah merajuk-merajuk ni. Buang masa. Sudah, daripada layan kau ni, lebih baik aku masuk kelas. Senang hati,” kata Dhaniyah lalu melangkah meninggalkan bilik guru menuju ke Blok D untuk mengajar. Murid-murid di dalam kelas perlu lebih diutamakan dari perihal bakal tunangnya yang menyakitkan hati itu.

*  *  *  *  *

HATINYA diterpa gusar. Dia tahu dia bersalah. Sudah pelbagai cara digunakan untuk memujuk bakal tunangnya itu. Telefon tidak diangkat, SMS tidak dibalas. Semuanya sia-sia. Apalagi yang perlu dilakukan? Dia benar-benar buntu. Tidak pernah dia rasa sebegini. Kesannya, satu kerja pun dia tidak dapat lakukan dengan baik. Hilang tumpuannya. Gara-gara tidak hadir waktu makan tengah hari itu, dia ditimpa masalah. Dia faham bahawa telah dua kali dia memungkiri janji. Ada sahaja halangan untuk bertemu bakal tunangnya itu.
“Apa yang dimenungkan tu? Sampai Falihin masuk pun tak sedar,” tegur  Falihin.
Izhar tersentak. Terbang melayang lamunannya tadi. Dia memandang wajah adik bongsunya itu. Mungkin dia boleh minta pendapat adiknya. Lagipun, adiknya lima tahun lebih muda. Pasti fikirannya  lebih bernas dalam bab bercinta ni. Orang muda, biasalah...
“Falihin, macam mana kau nak pujuk orang perempuan yang merajuk?” soal Izhar.
“Kenapa? Abang Fizi gaduh dengan Amelia ke?” tanya Falihin.
“Apa kena-mengena dengan Amelia pula? Tak ada masa dia nak merajuk dengan abang,” jawab Izhar.
“Habis tu, Abang Fizi gaduh dengan sapa? Kak Niya?”
“Kak Niya?” ulang Izhar.
“Kak Dhaniyah. Bakal tunang abang,” terang Falihin.
Izhar terus mengangguk. Hatinya tertanya-tanya apakah adiknya ada berhubung dengan bakal tunangnya itu? Panggilan ‘Kak Niya’ yang digunakan oleh Falihin menunjukkan yang dia bagai sudah kenal rapat dengan gadis tersebut.
“Cuba Abang Fizi terangkan apa yang berlaku,” pinta Falihin.
Izhar kemudian menceritakan dari mula tentang makan tengah hari, Amelia, restoran, sehinggalah kepada hari ini. Falihin mendengar dengan penuh khusyuk dan teliti. Memang tidak dapat dinafikan abangnya bersalah tapi, tak patut juga Kak Niya mendera abangnya begitu.
“Beginilah, tak payah nak serabutkan kepala. Abang jumpa saja Kak Niya kat sekolah. Jemput dia balik dan pergi lunch. Habis cerita,” cadang Falihin.
“Bagus! Otak kau memang bergeliga! Tapi, abang tak kenal muka dia,” ujar Izhar.
“Itulah, gatal sangat nak bertunang. Rupa tunang sendiri pun tak tahu. Biasanya Kak Niya akan tunggu bas lepas balik sekolah. Abang tunggulah kat bus stop. Dekat saja dengan sekolah Kak Niya,” beritahu Falihin.
Izhar mengangguk sekali lagi. Nampaknya Falihin memang sudah kenal rapat dengan Dhaniyah walau mereka baru berjumpa sekali. Ah, dia tahu adiknya yang seorang itu memang peramah.
Izhar tahu nama sekolah Dhaniyah mengajar. Masalah yang melanda dirinya harus diselesaikan hari ini juga.

*  *  *  *  *

RESTORAN Masakan Kampung agak lengang tengah hari itu. Tidak ramai pengunjung yang datang menjamu selera. Biasanya, pada waktu-waktu begini, restoran itu penuh sesak dengan orang ramai yang ingin menikmati makan tengah hari lebih-lebih lagi merasa keenakan kari kepala ikan di restoran tersebut. Begitu juga dengan Datin Farida dan Amelia yang sejak tadi sabar menanti pesanan mereka tiba.
“Macam mana jika mereka bertunang juga auntie?” soal Amelia.
Don’t worry. Auntie tak akan benarkan. Lagipun, lepas peristiwa hari tu, auntie jamin mereka tak akan berbaik. Auntie akan pastikan kamu yang menjadi menantu auntie, bukannya budak kampung tu,” ujar Datin Farida.
Amelia tersenyum. Dia gembira kerana ada yang memihak padanya. Sudah lama dia mencintai Izhar. Mereka sudah bersama sejak kecil lagi. Dia tidak menganggap Izhar sebagai abang walaupun lelaki itu memintanya berbuat demikian. Izhar empat tahun lebih tua darinya. Dia pasti kasih dan sayang dalam hati ini bukannya dari seorang adik tetapi dari seorang wanita yang dahagakan cinta dan belaian dari lelaki bernama Izhar Hafizi.
Mujur Datin Farida memihak padanya. Datin Farida adalah kawan baik mamanya. Mereka sudah seperti adik-beradik. Oleh sebab itu wanita tersebut inginkan dia menjadi menantu agar persahabatan itu menjadi lebih erat dan satu pertalian baru akan dibina.
“Cantik ke Dhaniyah tu auntie?” sengaja Amelia bertanya.
“Biasa aja. Tak adalah cantik mana pun. Bagi auntie, kamu lagi cantik. Bertuah siapa yang dapat memperisterikan kamu,” puji Datin Farida.
Auntie ni, buat Lia malu pula. Nasib baik ada auntie. Kalau tak, tak tahulah apa Lia nak buat. Lia sayang auntie,” ucap Amelia sambil memegang tangan Datin Farida.
Datin Farida tergelak kecil. Dia juga gembira yang Amelia menyayanginya. Setakat budak kampung yang entah dari mana datangnya itu, dia pun tidak ingin. Tak sedar diri, masakan pipit boleh terbang bersama-sama enggang!

*  *  *  *  *

JARUM jam sudah menunjuk pukul satu petang. Waktu persekolahan sudah tamat. Dhaniyah mengemaskan peralatan tulis dan memasukkan beberapa buah buku ke dalam beg bimbit. Dia melangkah keluar dari bilik guru dan menuju ke surau. Pukul dua nanti akan diadakan kelas tambahan untuk murid-murid darjah lima yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun hadapan. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Mujur tidak banyak kelas hari ini.
Sementara menunggu waktu Zohor masuk, Dhaniyah mengambil surah Yassin lalu mula membacanya. Hati terasa tenang. Hilang segala gundah. Selepas tamat membaca, dia pun bersiap untuk menunaikan kewajipan yang satu itu. Usai solat Zohor, dia melipat telekung dan meletakkannya semula pada tempat yang telah disediakan.
Seterusnya, Dhaniyah berjalan ke kantin. Meninjau hidangan yang disediakan. Seleranya untuk makan nasi tiada waktu ini. Lantas dia memesan kuew tiow goreng basah dan segelas sirap limau. Masih ada setengah jam sebelum kelas bermula. Banyak lagi masa untuk dia menikmati makan tengah hari ini.
Sementara itu, di perhentian bas berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Saujana, Izhar sudah bosan menunggu di dalam kereta Kia Sephia miliknya. Hampir tiga puluh minit dia menanti namun kelibat seorang perempuan dewasa pun tidak kelihatan. Yang ada hanyalah beberapa orang pelajar yang sedang duduk menunggu bas.
“Dhaniyah tak datang sekolah ke? Dah pukul berapa ni, tak nampak bayang pun. Biar betul Falihin ni. Entah-entah aku silap tempat agaknya. Tak mungkin, aku pasti inilah tempatnya. Tapi, mengapa dia tak muncul lagi? Kalau telefon, pasti tidak berangkat. Baik minta tolong dengan Falihin,” getus Izhar lalu mendail nombor telefon adiknya.
Lima minit selepas bercakap dengan Falihin, telefon bimbitnya berbunyi. Pantas Izhar menekan butang hijau pada telefon bimbitnya itu.
“Hello,” ucap Izhar.
“Kak Niya ada kelas tambahan hari ni. Abang baliklah office dulu. Kemudian datang semula pukul empat nanti. Hari ni dia pakai baju kurung warna biru. Tudung macam tudung Wardina. Puas hati?” jelas Falihin.
Thanks bro! You are brilliant! Nanti abang belanja kau makan,” ujar Izhar.
“Dah, tak payah nak lebih-lebih. Falihin cuma nak lihat abang gembira. Dari  apa yang Falihin nampak, Kak Niyalah orang yang dapat memberi kebahagian pada abang. Jangan lepaskan peluang yang ada bang,” Falihin berkata pada abangnya.
Izhar mengangguk walaupun dia tahu adiknya tidak dapat melihat anggukkannya ketika itu. Selepas mengucapkan terima kasih, dia memutuskan talian. Dia meminta tolong adiknya untuk menelefon Dhaniyah bertanya tentang gadis itu. Dan hasilnya, dia tahu perkara sebenar. Susah juga nak jumpa bakal tunang sendiri. Ada sahaja halangan. Izhar bergerak meninggalkan perhentian bas tersebut. Tunggulah, dia datang kejap lagi!

BAB LIMA BELAS



SEPULUH minit lagi kelas tambahan akan tamat. Hari ini Dhaniyah mengajar anakanak muridnya cara-cara menulis karangan berbentuk laporan. Walaupun dia tahu mereka telah belajar menulisnya tetapi masih ada yang tidak tahu format menulisnya dengan betul. Murid-murid kelas Lima Mawar itu tekun membuat kerja yang diberi. Dhaniyah sebenarnya tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana sudah sehari suntuk dia berada di sekolah. Keletihan begitu terasa. Namun, dia harus gagahkan diri juga. Dia tahu tugas dan tangggungjawabnya sebagai seorang guru. Ingin sekali dilihat semua anak didiknya berjaya dalam hidup mereka. Dia tumpang gembira melihat mereka mencapai impian dan cita-cita.
Deringan loceng mengejutkan Dhaniyah. Dia meminta anak-anak muridnya menyiapkan karangan itu dan menghantarnya esok. Selepas mereka mengucapkan terima kasih, Dhaniyah melepaskan mereka pergi.  Papan hitam yang dicoret beberapa patah kata itu dipandang sekilas sebelum memadamkannya.
“Cikgu, boleh saya bercakap dengan cikgu sekejap?” pinta seorang pelajar.
Dhaniyah menoleh dan melihat Izzat sedang memandangnya. Dia menghentikan kerja lalu duduk di kerusi.
“Ada apa yang boleh cikgu bantu?” soal Dhaniyah.
“Saya ada masalah cikgu,” jawabnya.
            Hmm... apa yang harus dia lakukan? Tiba-tiba sahaja muridnya ini datang nak mencurahkan masalah padanya. Ingat dia ni kaunselor? Tapi, ini bermakna Izzat mempercayainya. Lagipun, dia sebagai guru kelas mempunyai tanggungjawab untuk membantu hal ehwal kebajikan anak-anak murid seperti seorang ibu melindungi anak-anaknya. Dhaniyah menarik nafas panjang lalu meminta Izzat mengambil kerusi dan duduk di hadapannya.
“Ceritalah pada cikgu,” ujar Dhaniyah lembut.
“Sebenarnya saya ada masalah keluarga. Abah saya...”

*  *  *  *  *

BERDEBAR-DEBAR Izhar menanti di luar pintu agar. Ligat matanya mencari kelibat seorang wanita yang memakai baju kurung warna biru tetapi masih belum muncul. Lima minit berlalu, tiada. Sepuluh minit, masih tiada perempuan yang dicari. Ah, apahal pula kali ini? Kata kelas tambahan habis pukul empat. Sekarang dah 4.10 minit, batang hidung pun tak nampak. Jangan-jangan gadis itu menipunya. Mana tahu dia nak balas dendam. Tapi, Dhaniyah tak tahu akan kedatangannya di situ petang ini.
Izhar tersentak apabila mendengar bunyi deringan telefon bimbitnya. Panggilan dari rumah. Segera dia menjawab panggilan tersebut.
“Fizi, Mak Timah ni. Balik cepat! Nenek kamu pengsan!” cemas nada suara pembantu rumahnya itu.
“Hah? Err... baiklah. Saya balik sekarang,” ujar Izhar.
“Hai, bilalah aku nak jumpa kau Dhaniyah? Macam nak jumpa puteri raja. Susah betul!” rungut Izhar lalu bergegas meninggalkan perkarangan Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Saujana.

*  *  *  *  *

“KAMU tak boleh biarkan hal ni,” ujar Dhaniyah.
“Saya tak tahu nak buat apa cikgu. Kami orang miskin. Mak ambil upah menjahit dan jual kuih. Adalah duit untuk makan pakai kami. Tapi abah...” Izzat berhenti seketika.
“Abah memang tak guna! Dia selalu ambil duit mak. Kalau mak tak bagi, mak dipukulnya. Abah kaki judi. Selalu main nombor ekor. Kasihan mak,” hiba suaranya sekaligus ada air jernih menitis di pipi.
Dhaniyah diam. Memberi peluang untuk Izzat berkata-kata, meluahkan apa yang terpendam. Tersentuh hati mendengar cerita anak muridnya itu.
“Saya anak sulung. Adik-beradik ada tiga orang. Seorang sekolah tadika dan yang kecil tiga tahun. Saya tak dapat nak tumpukan perhatian pada pelajaran sebab tolong mak cari duit. Petang-petang saya jual kuih. Malam saya tolong mak buat kuih. Kadang-kadang saya ambil upah menebas rumput. Saya dah tak tahu nak buat apa cikgu. Saya marah bila tengok abah pukul mak. Saya sedih bila tengok mak menangis. Tapi saya tak mampu buat apa-apa! Saya lemah! Saya memang anak tak guna cikgu!” rintihnya.
Kali ini barulah air matanya lebat mengalir. Dhaniyah menggenggam erat bahu Izzat, menyalurkan sedikit kekuatan. Berat sekali penanggungan budak sekecil ini. Izzat masih belum mengerti sepak-terajang dunia. Dia harus buat sesuatu untuk menolongnya. Izzat perlu dibantu. Anak muridnya itu tidak tegar untuk menempuh onak dan badai ini seorang diri.
“Izzat, menangislah. Luahkan segala kesedihan kamu. Cikgu berjanji, cikgu tak akan tinggalkan kamu sendirian. Cikgu akan cuba tolong kamu. Tapi, kamu kena berjanji untuk tolong diri kamu juga. Cikgu nak kamu dapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan UPSR nanti. Cikgu tahu kamu mampu lakukan,” pujuk Dhaniyah.
Izzat terus menangis teresak-esak. Dhaniyah mengusap kepalanya. Budak lelaki yang selalu membuat seisi kelas ketawa dengan lawak jenaka, rupanya begitu lemah apabila berhadapan dengan perasaan. Hmm... hidup ini memang susah untuk diteka. Kadang-kadang kita bahagia, kadang-kadang kita menderita. Namun, setiap kejadian yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya...

2 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

sedihnye
huhuhuhuhu

Tanpa Nama berkata...

bile nak jupe nim..