Sepatah Dua Kata

Sabtu, Disember 22, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 16



BANGLO SEMARAK sunyi sepi. Masing-masing gelisah menanti berita di sebalik pintu bilik yang menempatkan Nek Mariam dirawati. Seorang doktor wanita telah dipanggil untuk merawatnya. Sudah hampir sepuluh minit doktor tersebut dan Nek Mariam berada di dalam. Dato’ Iskandar nampak tenang namun siapa tahu perasaan yang bergelodak di dalam jiwanya? Izhar pula mundar-mandir di hadapan pintu bilik. Falihin hanya diam berdiri. Datin Farida pula berada di ruang tamu. Jelas sikap tidak ambil berat terhadap kesihatan mertuanya itu. Malah, dialah punca ibu mertuanya pengsan. Masih terngiang-ngiang di telinganya pertengkaran hebat antara dia dan mertuanya sebentar tadi.
“Kamu tak ada hak nak masuk campur dalam urusan aku!” tengking Nek Mariam.
“Mak dah lupa yang Hafizi tu anak saya? Jadi, saya berhak ke atasnya. Mak tu dah tua, tak payahlah susah-susah fikir tentang hidup orang lain. Pandailah saya tentukan kehidupan anak-anak saya. Saya tahu siapa boleh bahagiakan mereka dan siapa yang boleh menjahanamkan hidup mereka!” balas Datin Farida.
“Kurang ajar!” lima jemari Nek Mariam naik ke pipi Datin Farida namun sempat dihalang oleh tangan Datin Farida.
Datin Farida tersenyum sinis. Nek Mariam merentap tangannya dari genggaman Datin Farida.
“Jangan melampau mak. Selama ni saya masih hormatkan mak, jangan sampai kesabaran saya hilang,” ugut Datin Farida.
“Kamu memang menantu yang tak sedar dek untung. Aku menyesal kahwinkan kamu dengan anak aku!” cemuh Nek Mariam.
Datin Farida ketawa besar. Lucu melihat wajah emak mertuanya yang merah menahan marah.
“Terpulanglah mak. Perkara dah terjadi, tak boleh diputar balik. Silap mak juga, cepat sangat jatuh sayang pada menantu mak ni,” sindir Datin Farida.
Nek Mariam memegang dada sambil mengusap-usapnya perlahan. Terasa bagai ada jarum taja, mencucuk-cucuk dalam hatinya. Perit.
“Aku tak akan biarkan kamu halang pertunangan ni!” ujar Nek Mariam.
“Tengoklah nanti siapa yang akan menang. Ini Datin Farida. Aku tak pernah tak dapat apa yang aku nak malah aku tak pernah kalah jika bertaruh. Jangan harap kau nak menang perempuan tua!” bentak Datin Farida.
Terbeliak mata Nek Mariam mendengar kata-kata yang keluar dari mulut menantunya itu. Menantu yang pernah suatu masa disayangi sepenuh hati. Rupanya segala sikap dan perangai sopan yang ditunjukkan oleh Datin Farida selama ini adalah untuk mengaburi matanya supaya dapat masuk ke dalam keluarga ini. Dia telah ditipu dengan kepura-puraan Datin Farida. Nafasnya dirasakan sempit tiba-tiba. Lantas dia rebah ke tanah di dalam Taman Damai itu.
“Mak!!!” jerit Datin Farida.
Jeritan Datin Farida mengejutkan Mak Timah dan pembantu rumah yang lain. Mereka bergegas ke Taman Damai. Sampai di sana mereka melihat Datin Farida sedang teresak-esak di sebelah Nek Mariam yang terbujur kaku.
“Kenapa Datin?” soal Mak Timah.
“Entahlah Mak Timah. Saya tengah berbual dengan mak lepas tu dia tiba-tiba pengsan,” bohong Datin Farida.
“Cepat, telefon ambulans!” arah Mak Timah.
“Tak apa Mak Timah. Nanti saya telefon doktor ke sini,” ujar Datin Farida lalu melangkah pergi dari Taman Damai menuju ke ruang tamu.
Dalam perjalanan, tidak habis-habis dia tergelak di dalam hati. Sudah tiba masanya dia menyedarkan orang tua yang tak sedar diri itu.

*  *  *  *  *

BUNYI pintu dikuak menyentak lamunan Dato’ Iskandar dan Falihin. Segera mereka mendapatkan doktor keluarga mereka itu.
“Bagaimana dengan nenek saya doktor?” tanya Izhar.
“Alhamdulillah, dia tak apa-apa. Cuma tekanan darahnya agak tinggi. Saya fikir, mungkin dia boleh dibawa bercuti dan biarkan dia berehat secukupnya,” jelas doktor perempuan itu.
“Terima kasih doktor. Falihin, hantarkan doktor ke bawah,” pinta Dato’ Iskandar.
Izhar yang sudah masuk ke dalam bilik, merenung wajah neneknya itu. Bahunya ditepuk lembut. Dia melihat papanya mengukir senyum. Dia membalas senyuman papanya dengan anggukkan.
“Apa kata doktor bang?” soal Datin Farida.
Entah bila Datin Farida muncul di situ, Izhar dan Dato’ Iskandar tidak sedari.
“Mak tak apa-apa. Dia mengalami tekanan darah tinggi. Macam mana boleh jadi begini?” tanya Dato’ Iskandar pada isterinya.
“Entahlah bang... Waktu Ida berjalan ke taman, tengok mak tiba-tiba jatuh. Terkejut juga Ida. Ida pun suruh Mak Timah telefon doktor ke sini,” Datin Farida berhelah pada suaminya.
Datin Farida meraih tangan emak mertuanya lalu berpura-pura menunjukkan wajah sedih dan mengusap kepala Nek Mariam.
“Sudahlah, mari kita turun. Biarkan mak berehat,” ajak Dato’ Iskandar sambil memegang bahu isterinya.
Izhar membetulkan kedudukan bantal agar neneknya lebih selesa dan menyelimutkan tubuh neneknya. Dato’ Iskandar beriringan keluar dengan Datin Farida dari bilik itu.
‘Panjang lagi umur kau ya,’ getus Datin Farida di dalam hati.

*  *  *  *  *

SEKEJAP dia mengiring ke kanan. Sekejap dia mengiring ke kiri. Tilam yang diduduki terasa tidak selesa. Fikirannya kacau. Ligat mencari jalan penyelesaian bagi masalah Izzat. Bila ada masalah, mulalah mata ni liat untuk dipejam. Apa yang perlu dia lakukan sekarang?
Deringan telefon bimbit mengganggu khayalan Dhaniyah. Tertera nombor Falihin di skrin. Apa yang budak ni nak malam-malam begini? Pantas Dhaniyah mengangkatnya.
“Hello, assalammualaikum.”
“Waalaikummussalam,” suara pemanggil itu mengejutkan Dhaniyah.
I’m Hafizi. Actually...”
Belum sempat Izhar meneruskan kata, Dhaniyah sudah mematikan talian. Meluat dia mendengar suara lelaki itu. Dia terlupa mereka adik-beradik. Ini lagi satu masalah. Tinggal seminggu sahaja lagi untuk dia mengikat tali pertunangan dengan lelaki bernama Izhar Hafizi. Setakat ini dia tidak pernah mengenali mahupun menatap wajah lelaki itu. Tidak pernah Izhar menyenangkan hatinya bahkan menyakitkan hati adalah. Kadangkala terdetik juga di hati untuk mengetahui wajah lelaki itu. Kacak, kah? Tampan, kah? Hodoh, kah? Baik, kah? Dan bermacam ‘kah’ lagi.
Ah, dia memang dah tak betul. Lebih baik dia tidur. Lima minit berguling-guling di atas katil, akhirnya Dhaniyah bangkit. Wah, kenapa tak boleh tidur ni?

*  *  *  *  *

IZHAR terpempan dengan tindakan Dhaniyah. Tidak menyangka gadis itu begitu marahkannya sehingga tidak mahu mendengar suaranya pun. Besar sangat ke silapnya? Hai, Dhaniyah, kau memang buat hidup aku kucar-kacir.
“Apa yang dimenungkan tu?” tegur Falihin.
Izhar mengeluh. Falihin memandang sekilas wajah abangnya. Ada kekeruhan terpancar di situ. Mesti hal dengan bakal tunangnya itulah.
“Dah jumpa dengan Kak Niya?” soalnya.
Izhar menggeleng. Falihin hairan dengan gelengan kepala abangnya itu. Takkan tak jumpa lagi?
“Dia tak ada petang tadi,” jelas Izhar.
Pelik, dia sendiri mendengar bakal kakak iparnya itu berkata bahawa dia akan tamat kelas pada pukul empat petang. Mustahil bakal kakak iparnya itu hendak menipu. Pasti ada penjelasan di sebalik semua ni.
“Dah tak ada rezeki abang jumpa dia. Nampaknya kenalah tunggu sampai minggu depan,” keluh Izhar.
Tomorrow never die,” ucap Falihin kemudian berlalu meninggalkan abangnya keseorangan.
“Ya tak ya juga. Betul kata kau. Esok masih ada. Otak kau ni memang.... eh, bila masa pula budak ni hilang?” ujar Izhar sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.


2 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

wah bila diorang nak jumpa nie
dah x sabar nak tunggu
camne lah reaksi diorang tu????

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Hah, nanti mereka akan berjumpa dalam satu adegan yang agak lucu. Sama-sama kita nantikan... ;)