Sepatah Dua Kata

Ahad, Disember 30, 2012

Dia Jantung Hatiku - Bab 17 & 18


BAB TUJUH BELAS


MAJLIS Pertemuan Tiga Penjuru. Dengarnya seperti mahu menandatangani perjanjian penting. Ya, memang penting. Majlis pertemuan ini pastinya diadakan di setiap sekolah. Satu hari yang dikhususkan untuk para ibu bapa bertemu dengan guru kelas anak-anak mereka. Selalunya hari beginilah yang membuatkan murid-murid kecut-perut mengenangkan laporan prestasi mereka akan dibentangkan pada ibu bapa masing-masing.
Tahun ini nasib Dhaniyah agak baik kerana menjadi guru kelas bagi murid-murid darjah dua. Dua Cempaka baginya merupakan sebuah kelas yang seimbang prestasi akademik murid-muridnya. Tidaklah terlalu ketara perbezaan markah antara murid yang mendapat tempat pertama, dengan murid yang mendapat tempat terbawah.
Dua Cempaka dikategorikan sebagai kelas di tempat kedua. Sekolah ini mempunyai enam buah kelas yang diberi nama sempena dengan bunga-bunga yang terdapat di Malaysia. Tahukah murid-murid ini bahawa kelas yang ditempatkan adalah mengikut prestasi akademik masing-masing? Murid-murid yang pintar dimasukkan ke dalam kelas Anggerik. Selepas itu kelas Cempaka. Diikuti oleh kelas Dahlia. Kemudian kelas Kenanga. Kelas kelima ialah Mawar dan yang terakhir kelas Seroja.
Selalunya kelas-kelas seperti Anggerik, Cempaka dan Dahlia yang mendapat perhatian para guru. Kelas-kelas bawahan pula kadang-kala terbiar begitu sahaja. Satu sikap yang harus dielakkan. Murid-murid seharusnya dilayan sama rata. Oleh sebab itu masalah-masalah disiplin selalunya wujud di kelas-kelas bawahan kerana mereka kurang perhatian.
Sewajarnya mereka ini diberi latihan intensif dan tunjuk ajar yang lebih berbanding kelas-kelas pandai. Barulah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Tidaklah mereka rasa terpinggir dan dipinggirkan.
Sejak waktu persekolahan dimulakan Dhaniyah sudah menjejakkan kaki ke kelas Dua Cempaka. Hari ini memang murid-murid tidak perlu belajar seperti biasa namun tetap diberikan latihan tambahan. Apa yang menyeronokkan pada hari ini mungkin kerana selepas ibu bapa mereka datang, mereka boleh mengikut ibu bapa masing-masing balik ke rumah.
Namun dia tahu, ibu bapa mereka ini biasanya akan datang sekitar jam 10 pagi sehinggalah tamat waktu persekolahan. Seperti tahun lepas, sampai ke pukul dua dia melayan ibu bapa yang hadir kerana ada di kalangan mereka yang bekerja dan tidak dapat cuti melainkan menggunakan waktu rehat yang diberikan oleh majikan. Dapat dirasakan tahun ini juga dia akan mengalami perkara yang serupa.
Melangkah masuk ke dalam kelas, murid-murid Dua Cempaka sedang asyik berbual-bual. Ada juga yang tekun membaca atau menulis sesuatu di dalam buku catatan. Mungkin berpura-pura mahu tunjuk baik di depan ibu bapa nanti.
“Bangun semua!” ucap Ranjit, ketua darjah Dua Cempaka.
“Selamat pagi cikgu!” ucapnya seraya diikuti oleh murid-murid yang lain juga.
“Selamat pagi semua. Sila duduk,” balas Dhaniyah.
Murid-murid kelas Dua Cempaka kembali melabuhkan punggung di tempat masing-masing. Dia meletakkan buku rekod mengajar di atas meja guru bersama-sama dengan buku laporan prestasi murid-muid.
“Macam mana hari ni? Dah beritahu ayah dan emak supaya datang sekolah ambil report card?” soal  Dhaniyah.
“Sudah cikgu!” serentak mereka menjawab.
Murid-murid berumur lapan tahun ini tidak susah dikawal. Masih mendengar kata. Tidak seperti murid-murid darjah rendah atas yakni darjah empat hingga enam. Budak-budak zaman sekarang ni lain sikit fi’ilnya. Sudah semakin up-to-date dan semakin cepat matang berbanding usia.
“Cikgu!” laung Nizam, murid yang kecil molek tubuhnya dengan rambut disikat belah tengah.
“Nanti ayah saya datang, cikgu pujilah saya lebih-lebih ya,” ujarnya.
Meletus tawa di dalam kelas tersebut. Dhaniyah tersenyum kecil. Ada-ada sahaja mereka ni.
“Kenapa cikgu nak puji lebih-lebih pula?”
“Nanti saya dapat hadiah,” jawabnya.
“Oh, kalau macam Nizam kena bagi cikgu sikitlah hadiah tu sebab cikgu tolong puji Nizam depan ayah,” giat Dhaniyah.
“Ala, tak boleh kongsilah cikgu. Cikgu mesti tak suka main game playstation,” balas Nizam membuatkan kelas itu sekali lagi digegar dengan tawa.
Mata Dhaniyah terbeliak. Game apa? Playtion? Plantation? Ah, berbelit lidah dia nak menyebutnya. Tapi dia tahu yang dikatakan Nizam tadi adalah sebuah permainan video yang terkini. Sejajar dengan zaman yang semakin canggih, permainan video sudah menjadi satu kebanggaan bagi kanak-kanak sekarang.
Kesannya, boleh dikatakan tiada lagi permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak generasi ini. Kalau nak jumpa kanak-kanak yang masih bermain permainan tradisional seperti congkak, gasing, batu seremban, di kampung sajalah tempatnya. Di bandar, tidak akan jumpa lagi kanak-kanak yang bermain permainan sebegitu. Tiba-tiba sesuatu muncul di mindanya.
“Baiklah, kalau sapa dapat jawab soalan cikgu ni, cikgu akan puji dia lebih-lebih depan ayah dan emak dia,” ujar Dhaniyah.
Masing-masing diam sebentar, menanti bicara cikgu mereka yang seterusnya.
“Soalan apa cikgu?” tanya Ranjit.
“Siapa tahu apa tu konda-kondi?” Dhaniyah bertanya.
Kelas mulai riuh. Suara murid-murid berbisik mula kedengaran. Masing-masing berbincang sesama sendiri untuk mencari jawapan. Hah, kan dia dah kata. Budak-budak bandar, tak tahu punya permainan tradisional ni.
“Saya nak jawab!” laung Kamil yang duduk di meja paling belakang sekali.
“Hah, apa jawapannya Kamil?”
“Konda-kondi tu, makanan cikgu.”
Dhaniyah terkedu seketika. Macam manalah Kamil boleh terfikir sampai ke situ?
“Kenapa awak kata makanan?”
“Bunyinya lebih kurang macam gula-gula dalam Bahasa Inggeris. Candy,” jawab Kamil dengan yakin.
‘Oh, munasabah juga. Kreatif otak budak ni,’ getus  Dhaniyah dalam hati.
“Jawapan muktamad?” sengaja dia membuatkan Kamil lebih teruja.
“Ya cikgu!”
“Jawapan Kamil.....” dia berjeda seketika. “Salah!”
Terpancar riak kecewa dari wajahnya. Murid-murid lain kembali berbincang mencari jawapannya. Seorang gadis berambut tocang ekor kuda pula mengangkat tangan kali ini.
“Ya Lee Ann?”
“Konda-kondi itu alat cikgu,” jawabnya.
Sekali lagi Dhaniyah terkedu. Apa pula alasan gadis berbangsa Cina itu.
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Kami gunakan untuk basuh tangan masa makan,” jawab Lee Ann.
Sejurus mendengar jawapan Lee Ann, Dhaniyah ketawa besar. Kelas senyap-sunyi. Hanya tawanya yang kedengaran.
“Lee Ann sayang, yang tu namanya kendi. Tak ada kena-mengena langsung dengan konda-kondi...” jelas Dhaniyah dalam tawa yang masih bersisa.
“Oh, saya ingat lebih kurang sama cikgu,” ujar Lee Ann, tersipu malu.
Dhaniyah menggeleng. Budak-budak ni, memang nampak sangatlah tak tahu apa tu konda-kondi. Mungkin perlu dimasukkan dalam sukatan pelajaran Sejarah tentang permainan tradisional ni. Ke dah ada tapi dia yang tak tahu? Ah, sekarang yang penting adalah menerangkan pada murid-murid tentang konda-kondi.
“Okey, ada sesiapa nak cuba jawab lagi?”
Kelas terus senyap. Mungkin mereka sudah mati akal.
“Oleh sebab tak ada sapa yang tahu, jadi tak adalah cikgu puji lebih-lebih ya. Hah, awak tak tahu ke Nizam?” sengaja dia mengusik anak muridnya itu.
Pantas Nizam menggeleng. Dhaniyah ketawa kecil sebelum meneruskan kata.
“Konda-kondi tu adalah sejenis permainan tradisional. Macam congkak, batu seremban, gasing...”
“Owh...” murid-murid kelas Dua Cempaka bersuara serentak.
“Macam mana nak main konda-kondi tu cikgu?” tanya Nizam.
“Permainan ni perlukan dua batang kayu. Satu saiznya sederhana pendek dan satu lagi saiznya sederhana juga tapi panjang sedikit. Buat satu lubang, kemudian letakkan kayu pendek di atas lubang secara melintang dan di tengah-tengah. Macam ni...” jelas  Dhaniyah lalu melukis susun letak kayu kecil di atas lubang pada permukaan papan hitam.
“Selepas tu, ambil kayu yang panjang dan tolak kayu yang pendek tadi ke atas. Pihak lawan kena sambut kayu yang terpelanting tu untuk tamatkan giliran pemain,” ujar  Dhaniyah lagi.
Murid-murid kelas Dua Cempaka mula berbisik sesama sendiri. Mungkin ada yang tidak faham dengan penjelasan cikgu mereka tadi.
“Kalau tak dapat sambut?” tanya Kamil.
“Markah akan dikira dari jarak kayu sederhana tu jatuh sampailah ke lubang. Nak kira markahnya adalah dengan gerakkan kayu tu ke atas kemudian ke bawah, macam roda yang berputar. Semakin jauh kayu tu terpelanting, semakin banyak markah yang dapat dan pemain tu akan terus bermain sehinggalah gilirannya tamat apabila kayu dapat disambut oleh pihak lawan,” panjang lebar bicaranya.
Dhaniyah melihat mereka mengangguk-angguk. Entah faham entah tidak dengan penjelasannya tadi.
“Tak apa, nanti, masa kamu Pendidikan Jasmani, kamu minta cikgu yang mengajar kamu tu tunjukkan caranya. Seronok tau main konda-kondi ni. Dapat keluarkan peluh juga.”
Murid-murid mula berbual sesama sendiri. Mungkin teruja dengan permainan yang baru mereka pelajari itu. Habislah cikgu Pendidikan Jasmani nak menerangkan nanti. Dhaniyah rasa kalau ditunjuk secara amali, lebih senang faham.
Ah, mereka ini perlu didedahkan dengan permainan tradisional begitu supaya warisan ini dapat terus dipelihara dan dikekalkan sehingga ke anak cucu. Sayang jika ia tidak dijaga dan dilupakan.
“Okey, sekarang cikgu nak bagi latihan tatabahasa ya. Kalau dah siap, buat kerja masing-masing, tapi jangan terlalu bising. Ayah dan emak kamu semua nak datang tengok kamu. Jadi kenalah tunjuk baik ya. Nanti dapat hadiah macam Nizam,” Dhaniyah memandang Nizam yang sudah merah muka, malu diusik olehnya.

BAB LAPAN BELAS


“MODEL antarabangsa terkenal, Tiesha akan pulang ke tanah air untuk bercuti panjang. Katanya pada pemberita, dia sangat rindukan tanah air dan kampung halaman setelah hampir tiga tahun menetap di UK. Tiesha yang menuntut di sana dalam bidang seni fesyen mula melibatkan diri dalam bidang peragaan secara tidak langsung dalam pertunjukan fesyen musim luruh syarikat Armana, sebuah syarikat yang tidak asing lagi dalam industri fesyen antarabangsa.
            Apabila ditanya oleh pemberita tentang kehidupan peribadinya, Tiesha dengan nada bergurau mengatakan bahawa antara tujuan kepulangannya adalah untuk menemui kekasih hati. Jawapan Tiesha pastinya menimbulkan pelbagai pertanyaan tentang status dirinya yang dikatakan masih lagi single...”
            Butang alat kawalan jauh ditekan. Rancangan hiburan yang ditayangkan tadi menyebabkan hatinya gusar. SMS yang diterima beberapa minit tadi dibaca semula. Penghantar SMS tersebut yang meminta agar dia membuka siaran hiburan tadi.
            “Tiesha...”
            Sudah lama nama itu tidak meniti di bibirnya. Nama yang semakin dia lupakan tetapi jauh di dasar hati, nama tersebut masih tetap tersimpan di situ. Nyata kepulangan gadis bernama Tiesha itu tidak kena pada waktunya. Dia yakin pulangnya gadis itu adalah untuk kembali menambat hatinya. Tetapi, lupakah Tiesha antara mereka sudah tinggal sejarah?
            Serta-merta, kenangan lalu mula berlayar di minda. Satu persatu bertubi-tubi menerjah fikiran.

*  *  *  *  *

“PAPA nak I sambung belajar di UK,” ujar Tiesha.
            Izhar yang sedang menyedut jus epal di dalam gelas tersedak. Kata-kata gadis berblaus merah hati di hadapannya nyata mengejutkan. Fikirnya, gadis itu mahu menyambung pengajian di Malaysia sahaja memandangkan kesihatan papanya yang kurang elok.
            “Serius? Papa you kan tak sihat?” soal Izhar setelah batuknya reda.
            “Doktor dah sahkan yang kesihatan papa beransur pulih. Lagipun papa nak I ambil-alih perusahaan butik arwah mama nanti. I pun memang berminat dalam bidang fesyen. You tahu kan, cita-cita I selama ni?” jelas Tiesha.
            Izhar mengangguk. Sejak mula mengenali Tiesha, gadis itu sering menyatakan minatnya dalam bidang fesyen dan peragaan. Malah gadis itu berhasrat untuk mewujudkan jenama sendiri dan seterusnya dikenali dan disegani masyarakat.
            “Kalau macam tu, baik kita bertunang dulu,” cadang Izhar sambil kembali menyedut jus epalnya.
            Mendengar saranan Izhar, Tiesha melepaskan keluhan. Matanya meliar melihat sekeliling restoran mewah yang terletak berhampiran dengan Megah Jaya Holdings itu. Malam itu tidak ramai yang berkunjung. Mungkin kerana sudah hampir ke pukul sepuluh.
            Izhar yang perasan perubahan pada raut wajah teman wanitanya itu mula berasa tidak sedap hati. Dia juga tidak menyangka akan mencadangkan perkara sebegitu. Mungkin kerana dia bimbang akan keadaan Tiesha di luar negara nanti. Bukanlah dia mahu menyekat kebebasan gadis itu tetapi sekurang-kurangnya, mereka sudah ada ikatan dan dia akan merasa terjamin.
            “I’m so sorry Fizi. I rasa itu bukan cadangan yang bagus.”
            “Kenapa? Salah kalau kita bertunang?”
            Tiesha menggeleng. “Bukan I tak mahu tapi you harus faham, buat masa ni I belum bersedia untuk bawa hubungan kita ke satu tahap kehadapan. I tak nak terikat. Lagipun, kita akan berpisah jauh lepas ni. You dengan haluan you, I dengan haluan I.”
            “I tak faham Tiesha. Apa maksud you dengan haluan masing-masing? Even though you jauh, we can still keep in touch with each other. Kata-kata you tu macam nak kita break-out aja,” balas Izhar.
            “No, you just don’t get it! I’m not ready yet in long-distance relationship. Mungkin... kita patut berpisah seketika sehingga kita sama-sama dah bersedia untuk bawa hubungan ni ke tahap yang lebih jauh.”
            Membulat mata Izhar mendengar percakapan yang keluar dari bibir gadis yang dicintainya itu.
            “Are you insane? Tak! You tak boleh buat macam ni!” bentak Izhar.
            Sekali lagi Tiesha melepaskan keluhan. Mengapa sukar benar untuk Izhar Hafizi faham keinginannya? Dia mahu mencapai cita-cita yang diimpikan selama ini. Bukankah sebagai seorang kekasih, Izhar sepatutnya memberi sokongan penuh? Bukan dia mahu berpisah untuk selamanya. Hanya seketika. Tidak mampukah Izhar untuk bersabar?
            “You tak boleh tunggu I?”
            “Tunggu? Berapa tahun? Setahun, dua tahun? Sepuluh tahun? I tak faham Tiesha. Kenapa you nak rumitkan keadaan? I tak halang you nak sambung belajar atau kejar cita-cita you. I cuma nak jaminan untuk hubungan kita. Itu saja,” jelas Izhar.
            “Tapi I masih belum bersedia Fizi!”
            “Sampai bila? Sampai bila you nak bersedia? Kita bertunang saja. Bukan berkahwin pun. Ia tetap tak bawa perubahan apa-apa,” bidas Izhar.
            Tiesha memegang dahinya lalu meyelak rambutnya yang separas bahu ke belakang. Nampaknya Izhar Hafizi tetap dengan keinginannya dan dia tidak dapat menerima hasrat lelaki itu.
            “I nak you fikirkan cadangan I tu. Tiga hari lagi, kita jumpa di sini semula,” ujar Izhar lalu bangun dan melangkah pergi, meninggalkan Tiesha keseorangan melayan perasaan sendiri.

*  *  *  *  *

NADA isyarat SMS yang diterima membawa Izhar ke dunia nyata. Dipandang telefon bimbitnya itu dengan rasa kosong. Masih diingat, selepas tiga hari seperti yang dijanjikan, Tiesha tidak muncul. Rupanya gadis itu telah pun berangkat ke luar negara  sehari sebelum itu. Ini bermakna gadis itu telah menolak cadangannya dan lebih mementingkan cita-cita dan keinginan sendiri. Dan sejak itu, perlahan-lahan dia cuba lupakan gadis tersebut. Cuba lenyapkan rasa cinta yang ada.
Kini, selepas tiga tahun, gadis itu muncul semula. Ya, nampaknya Tiesha sudah berjaya mencapai apa yang diinginkan. Dia pulang dengan segulung ijazah serta membawa bersama gelaran sebagai model antarabangsa terkenal. Pastinya selepas ini dia akan membuka butik dengan jenama sendiri seperti mana yang pernah gadis itu harapkan dulu.
Namun, sepanjang tiga tahun ini, tidak sekalipun Tiesha menghubunginya. Bukan gadis itu tidak tahu alamat e-mel mahupun nombor telefonnya. Bermaksud Tiesha benar-benar kotakan kata-katanya untuk berpisah sementara. Dan tanpa sedar, tindakan Tiesha telah menyebabkan mereka berpisah selama-lamanya sebagai kekasih hati.

*  *  *  *  *

DHANIYAH melihat Fadzillah begitu asyik membelek majalah Media Artis di mejanya. Sampaikan kehadiran dia pun tidak disedari. Waktu rehat begini, ramai guru berada di bilik guru. Ada yang duduk berbual, ada yang sibuk mengemas meja dan tidak kurang juga menanda buku latihan murid-murid. Dhaniyah berdehem, cuba memancing reaksi rakannya itu tetapi Fadzillah sedikit pun tidak berkutik. Seperti berada dalam dunianya sendiri.
            Dhaniyah menggeleng. Entah apalah gosip yang begitu menarik perhatian gadis itu. Fadzillah, kalau pasal artis, tanya sajalah pada dia. Artis siapa yang berkahwin dua, yang bercerai-berai, yang kena tangkap khalwat, semua tahu. Mengalahkan rancangan Melodi pula. Hendak ditegur, dah memang begitu minatnya.
            Pemadam di dalam bekas pensil dicapai lalu dilontar pada majalah yang sedang dibaca Fadzillah. Tersentak rakannya itu lalu menoleh pada Dhaniyah yang sedang tersenyum-simpul.
            “Cuba kalau kau baca Al-Quran khusyuk macam tu, kan bagus,” perli Dhaniyah.
            Fadzillah mencebik. Menusuk ke jantung betul sindiran rakannya itu. Namun sedikit pun Fadzillah tidak ambil hati. Sudah faham benar mulut laser Dhaniyah itu.
            “Tak nak share ke gosip apa yang menarik perhatian sangat tu?” soal Dhaniyah sambil membuka penutup botol air di tangan lalu diteguk air di dalamnya perlahan-lahan.
            “Sejak bila pula kau minat gosip artis ni? Bukan ke kau anti artis? Yalah, kau kan, minat tengok rancangan Al-Kuliyyah, forum perdana,” Fadzillah memulangkan paku buah keras.
            Dhaniyah tersengih. Tak pasal-pasal dia pula yang kena sindir. “Sesekali, aku kena juga tahu perkembangan semasa dunia seni dekat Malaysia ni.”
            Serta-merta Fadzillah meletakkan majalah yang dipegangnya di atas meja lalu diunjukkan pada Dhaniyah. Jari telunjuknya menunjukkan tepat pada gambar seorang wanita yang cantik seperti model. Anak mata Dhaniyah menangkap tajuk besar artikel tersebut.

‘Kepulangan model antarabangsa Tiesha demi cinta’
            Keningnya diangkat sebelah. Tiesha? Tak pernah dengar pun nama model ni? Popular sangatkah? Ish, nama pun model antarabangsa, mestilah terkenal. Sedikit-sebanyak kata-kata Fadzillah yang dirinya anti artis itu ada benarnya juga. Nama-nama pelakon dan penyanyi yang dia kenal boleh dibilang dengan jari. Itu pun sebab Mak Ngah Leha yang rajin menonton drama dan siaran realiti hiburan waktu malam. Sesekali dia ikut menonton juga.
            “Aku dah boleh agak reaksi angkat kening kau tu. For your information Cik Dhaniyah, Tiesha ni tersangatlah popular dalam dunia peragaan tau. Kalau kau tengok TV, banyak iklan yang dia berlakon. Sekarang topik hangat dunia hiburan tentang dialah.
Yang aku salute dengan dia, dah lah cantik, educated, bakal businesswoman pula tu. Tak ada kontroversi dengan VIP, VVIP semua. Cuma yang terbaru ni, katanya dia pulang ke Malaysia sebab nak jumpa kekasih dia semula,” terang Fadzillah panjang lebar.
“Siapa kekasih dia?”
“Itulah yang aku dan wartawan dekat Malaysia ni nak tahu. Semua orang sibuk menyelesaikan persoalan kekasih misteri dia tu,” jawab Fadzillah dengan riak wajah yang teruja.
“Hmm... Dahlah, dari kau sibuk melayan persoalan yang tak ada kaitan dengan kau tu, lebih baik kau ikut aku pergi kantin. Perut aku dah berbunyi lagu rock ni,” ujar Dhaniyah dalam tawa kecil.
Fadzillah menarik muncung. Orang tengah excited bercerita, dia boleh potong line pula.
“Tak payahlah kau nak buat muncung itik kau tu. Masa makan nanti sambung balik siaran tertunda tadi,” Dhaniyah berkata lalu bangun dari duduk dan mencapai beg tangannya.
“Eh, tunggulah kejap!” laung Fadzillah apabila melihat Dhaniyah sudah jauh berjalan ke hadapan.

p/s: Ini adalah teaser akhir bagi manuskrip Dia Jantung Hatiku. Manuskrip ini sudah dihantar untuk penilaian dan mohon doa rakan pembaca semua moga ia berjaya diterbitkan. Berbanyak terima kasih saya ucapkan pada yang sudi singgah membaca dan memberi sokongan. Insha-Allah, minggu hadapan saya akan siarkan cerita baru. (^_^)


1 ulasan :

nadiatul najwa berkata...

kacau line betullah tiesha tu
kenapa nak muncul bila izhar dah taknak dia......