Sepatah Dua Kata

Selasa, Januari 01, 2013

Bingkisan 2012


TAHUN 2012 sudah pun melabuhkan tirainya. Sepanjang tahun 2012, boleh dikatakan dunia penulisan saya telah semakin berkembang. Jika tahun 2010 ia masih dalam peringkat benih, tahun 2011 menjadi anak pokok dan tahun 2012 sudah mula menguntum. Alhamdulillah, banyak kenangan manis yang saya kumpul sepanjang tahun 2012 ini.

Dunia Novel

Tahun ini, dua buah novel saya telah menemui rakan pembaca semua. Merah Cinta Epal diterbitkan sekitar bulan Februari. Novel ini telah menemukan saya dengan ramai rakan-rakan baru. Tidak kira rakan pembaca mahu pun rakan penulis. Begitu juga dengan novel Sama Tak Serupa yang diterbitkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Kedua-dua novel ini banyak membantu dalam memperkenalkan tulisan saya pada rakan pembaca di luar sana. Novel-novel ini juga mengeratkan lagi hubungan saya dan rakan pembaca melalui sesi ramah-mesra yang saya hadiri.





Dunia Cerpen

Boleh dibilang dengan jari, berapa naskah cerpen yang saya tulis untuk tahun ini. Tidak tahu di mana silapnya, tahun ini saya agak jarang menulis cerpen. Hanya dua buah cerpen saya yang tersiar di media cetak iaitu Masih Ada Kasih dan Sesal yang Berbalas. Keduanya disiarkan di majalah Mingguan Wanita.


            Namun, sesuatu yang menggembirakan apabila cerpen saya yang bertajuk Sisa-sisa Kenangan telah dibukukan di dalam antologi Saya Hidup Positif terbitan Alaf 21 dengan kerjasama Prostar Malaysia. Cerpen ini telah memenangi tempat kedua di dalam peraduan menulis cerpen anjuran Kelab Prostar.



Dunia Manuskrip

Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya menyiapkan tiga buah manuskrip. Sebuah manuskrip dewasa dan dua buah lagi manuskrip kanak-kanak. Dua darinya sudah dihantar untuk penilaian dan mudah-mudahan ia diterima untuk diterbitkan.


Dunia Blog

Syukur, semakin hari ramai yang mengikuti tulisan saya di blog ini. Blog yang dulunya suram, kini kembali berseri dengan kehadiran rakan-rakan pembaca semua. Saya juga mengenali beberapa rakan penulis baru seperti Tetamu Istimewa, seorang penulis yang sangat produktif dan kreatif.
            Sungguh, setiap komen yang dititipkan dalam setiap karya menjadi pemangkin untuk saya lebih bersemangat dalam menulis. Bila mood saya jatuh merundum, saya akan baca semula ulasan-ulasan yang diberikan oleh rakan pembaca semua. Entah magis apa, ulasan-ulasan itu mengusir pergi rawan dan mengalirkan semangat dalam diri. Saya amat hargai ulasan dan pandangan yang diberi.


Dunia Penerbitan

Alhamdulillah, sekitar September saya telah menubuhkan syarikat kecil dengan nama RZ Novella. Syarikat yang membantu dalam menguruskan karier penulisan saya. Syarikat ini akan beroperasi sepenuhnya sekitar April nanti dengan melancarkan beberapa produk seperti e-book dan cenderahati.



Harapan 2013

Saya tidak pasti sama ada untuk tahun ini, ada karya saya yang akan menemui rakan pembaca atau tidak. Hal ini kerana, proses percetakan bergantung sepenuhnya pada pihak penerbit. Jika ada rezeki, sebuah novel dewasa, dua buah novel kanak-kanak dan sebuah antologi cerpen akan berada di pasaran. Moga dipermudahkan-NYA, Insha-Allah...
            Saya juga mahu lebih aktif menulis cerpen. Justeru, penulisan manuskrip novel perlu diperlahankan. Saya mahu rasai keterujaan dan rasa puasnya menulis cerpen semula. Sudah lama rasa itu menghilang dalam jiwa dan saya harus mencarinya semula.
            Harapan saya juga moga blog ini akan diisi dengan beberapa nopen dan cerpen supaya ia tidak bersawang. Saya juga amat hargai sekiranya rakan pembaca semua sudi berkongsi rasa dan pandangan untuk saya memperbaiki kelemahan yang ada.
            Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbillion terima kasih pada anda yang tidak jemu memberi sokongan dan dorongan. Tanpa anda, saya tidak mungkin akan terus berdiri sehingga hari ini. Terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi.

Selamat Tahun Baru 2013! Moga tahun baru ini membawa lebih banyak kegembiraan dan keredhaan dari-NYA. Insha-Allah...

Salam sayang,
Ridha Reewani / Rizai Reeani



5 ulasan :

Jijie Ohsem berkata...

moga terus istiqamah untuk menulis...

nadiatul najwa berkata...

teruskanlah penulisan anda
i like your penulisan
:)

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Jijie Ohsem: Insha-Allah, mudah-mudahan begitulah. Terima kasih atas doanya. :)

Nadiatul Najwa: Berbanyak terima kasih diucapkan. Gembira ada yang menyukai tulisan saya. :D

Johari Rahmad berkata...

alhamdulillah, tahniah!

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Alhamdulillah, terima kasih banyak Jo! Rindu sangat dengan Kapasitor... (^_^)