Sepatah Dua Kata

Sabtu, Mac 02, 2013

Sudah Terbit!

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
            Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana sudah lama membiarkan blog ini bersawang. Kekangan masa menyebabkan saya jarang dapat singgah ke sini. Sejujurnya saya juga sudah lama tidak menulis. Bukan kerana tiada idea tetapi saya tidak mampu untuk mencuri masa kerana perlu memberi perhatian pada kerja-kera di pejabat ditambah dengan waktu kerja yang berubah-ubah. Hasrat saya untuk menjadi penulis sepenuh masa tetapi saya perlu realistik. Justeru, saya mohon rakan pembaca semua memahami keadaan saya.
            Namun, Alhamdulillah, dalam kesibukan Tuhan masih memberi saya kelapangan untuk menulis. Menulis adalah jiwa saya tetapi saya perlu membahagikan jiwa saya kepada dua. Minat dan keperluan hidup. Syukur, buah tangan terbaharu saya kini sudah menemui pembaca semua. Novel bertajuk “Ada Untukmu” ini diterbitkan oleh KarnaDya, penerbit Semanis Coklat.


            Istimewanya novel ini adalah ia tidak diterbitkan secara bercetak sebaliknya diterbitkan dalam bentuk e-book yakni secara digital. Memandangkan ia diterbitkan secara digital maka harganya jauh lebih murah dari novel bercetak. Tambahan pula ia boleh dibaca di mana-mana sahaja asalkan anda mempunyai tablet atau telefon pintar. Novel ini boleh didapati di e-book Sentral dengan harga hanya RM 9.90 sahaja. Murah, bukan? Untuk maklumat lanjut, sila klik http://www.e-sentral.com/search/byid/10389

Sinopsis:

HUBUNGAN yang terjalin sejak kecil menjadikan dia keliru. Antara persahabatan dan percintaan, yang mana hadir dalam hatinya untuk lelaki itu? Dia buntu memikirkan hala tuju hubungan mereka. Dalam hati ada rindu yang berputik. Dalam jiwa, ada kasih yang bertunas. Namun mengapa tidak ada rasa cinta yang menyapa? Atau, sengaja dibutakan hatinya kerana takut akan kecewa?

Cinta itu membuatkan aku penasaran. Walau ia hadir di dalam hati, tidak aku hiraukan. Kerana aku bimbang, rasa cinta ini tidak akan bersambut. - Nadzlia

JANJI yang terpatri tidak akan sesekali dia mungkiri. Gadis yang selama ini sentiasa di hati akan sentiada dilindungi. Namun, gadis itu selalu sahaja bersikap acuh tidak acuh. Kadang-kadang mendekat, kadang-kadang menjauh. Sungguh ada cinta di hati tetapi mengapa sukar benar mahu meyakinkan gadis tersebut?

Janji tetap janji. Dan aku adalah lelaki yang berpegang teguh padanya. Cinta dalam hati, tidak mungkin sesekali diingkari. - Khairul

SETELAH cinta terpatri, takdir sekali lagi datang menguji. Dalam cuba membina semula kekuatan diri, dia kembali terhempas ke pantai dugaan. Cinta mereka tidak akan sesekali dikhianati tetapi mengapa rasa ingin dikasihi menjerut tangkai hati?

Hanya dia yang aku cintai. Tidak mungkin sama sekali aku biarkan ruang dalam hati diisi lagi. Datanglah beribu cinta sekalipun, tetap tidak dapat menandingi cintaku padanya. Dia sentiasa ada untukku. Tidak kira dalam jaga mahupun lena. - Nadzlia

ADA UNTUKMU, sebuah novel yang memaparkan kisah cinta yang berselirat dengan emosi, kepercayaan dan menuntut pengorbanan yang membawa kepada satu kesimpulan: Cinta pertama itu, tidak semestinya cinta yang terakhir.


Berbanyak terima kasih saya ucapkan atas sokongan dan dorongan semua. Moga berjumpa lagi di lain masa.
Salam mesra,
Rizai Reeani 

2 ulasan :

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah, Wan. Semoga terus menulis.

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Insha-Allah...

Berbanyak terima kasih Helmi. Moga Helmi juga turut lestari... (^_^)