Sepatah Dua Kata

Isnin, September 23, 2013

Cerpen: Cinta Jangan Sembunyi




“MAAF, saya tak dapat terima hasrat hati awak.”
            Selari dengan ucapan itu, deruan angin menyapa wajah lelaki berkaca mata yang memakai t-shirt rona hitam dengan jean roan serupa itu. Ucapan dari gadis bertudung putih di hadapannya ini benar-benar merobek rakus hatinya. Sakit. Pedih. Sungguh bukan ucapan itu yang mahu didengar dan bukan itu harapannya dalam pertemuan ini. Namun, perasaan itu sesuatu yang sukar dijangka.
            “Kenapa? Saya tak layak untuk bersama awak?” soal Zaffar.
            Gadis yang menyarung blaus biru laut itu menarik nafas panjang. Dia membuang pandang pada tasik yang beralun tenang di hadapannya. Suasana petang terasa nyaman dengan sinaran mentari yang tidak terik. Sesekali telingannya menangkap kicau burung yang terbang pulang ke sarang.
            “Ini bukan soal layak atau tidak. Ini soal perasaan hati saya. Mohon maaf, pintu hati saya tidak terbuka untuk awak,” jawab Airina.
            “Jadi, apa yang saya perlu buat untuk buka pintu hati awak supaya terima saya?”
            “Tak ada apa yang perlu awak buat Zaffar. Tak bolehkah hubungan kita diteruskan macam biasa? Bukan ke selama kita berkawan, semuanya baik-baik saja?” giliran Airina pula bertanya pada pemuda yang rambutnya dibelah tengah itu.
            “Sebab kita dah lama berkawanlah, saya mahu hubungan ini dibawa ke tahap yang baru. Saya yakin dengan rasa hati saya. Awak yang tercipta untuk saya,” tegas Zaffar.
            Sekali lagi Airina menarik nafas. Kali ini pandangannya dihalakan pada wajah pemuda yang berkulit hitam manis itu. Muhammad Zaffar Daniel bin Idrus. Pemuda yang berumur 24 tahun ini boleh dikategorikan sebagai lelaki yang ada rupa. Sikapnya yang peramah dan mudah mesra itu sememangnya menyenangkan hati semua yang mengenalinya. Ditambah dengan suaranya yang serak-serak basah, pasti ada jiwa yang terusik.
            Perkenalannya dengan pemuda bertubuh tegap ini bermula sewaktu kali pertama dia menjejakkan kaki ke universiti yang terletak di selatan tanah air ini. Zaffar yang banyak membantu ketika urusan pendaftarannya dibuat. Pemuda itu merupakan pelajar tahun dua jurusan Sains Komputer dan kebetulan merupakan seniornya. Dia yang setahun lebih muda dari pemuda itu, merasa amat bertuah dapat mengenali Zaffar. Sejak itu, hubungan mereka jadi akrab. Zaffar banyak membantu dalam pelajarannya. Jika ada yang dia tidak faham dengan tugasan kuliah, Zaffar dengan rela hati menolong.
            Namun sesuatu yang dia tidak jangka, lelaki itu menaruh hati padanya. Sedangkan dia, masih belum bersedia untuk menjalani hubungan yang serius. Pada Airina, pelajaran perlu diutamakan. Dia mahu menggengam segulung ijazah dengan keputusan yang cemerlang. Dan padanya, jia dia punya komitmen dalam hubungan sekarang ini, dia gusar dirinya tidak mampu untuk fokus dan memberi sepenuh perhatian pada pengajian.
            “Saya amat hargai perasaan awak pada saya tapi saya benar-benar minta maaf. Saya tak boleh terima awak. Saya tak bersedia,” balas Airina.
            “Awak takut pelajaran awak terganggu, macam tu?” Zaffar menyoal.
            Airina mengangguk. Jauh di sudut hati, dia tertanya-tanya. Apakah ada perasaan istimewa yang berputik di jiwa untuk lelaki yang duduk di sebelahnya ini?
            “Saya tak rasa macam tu. Hubungan kita tetap diteruskan macam biasa. Cuma kalau ada masa terluang, kita boleh keluar bersama ke bandar. Jalan-jalan atau tengok wayang. Macam pasangan lain. Itu saja,” ujar Zaffar.
            “Tapi saya memang tak mahu ada apa-apa komitmen buat masa ni. Saya harap awak faham.”
            Zaffar melepaskan keluhan. Apakah memang tidak ada walau sekelumit pun rasa sayang dalam hati Airina untuknya? Tidak terusikkah hati gadis itu dengan layanan mesra dan sikap ambil beratnya selama ini? Apakah Airina tidak mampu melihat sinar cinta di matanya?
            “Macam nilah. Saya beri awak sampai Ahad ni untuk fikirkan hasrat hati saya. Saya amat berharap jawapannya nanti menggembirakan saya. Tapi kalau sebaliknya, saya nak awak tahu, hubungan kita tetap macam biasa. Jika menjadi kawan adalah takdir yang ditentukan, saya terima,” ujar Zaffar.
            Airina mengukir senyum nipis. Dia diberi tiga hari untuk berfikir sebaiknya. Namun, jika ikutkan hati, dia sudah pun ada jawapannya kala ini. Cuma dia tidak mahu Zaffar katakan yang dia terburu-buru. Jawapan hatinya tetap sama. Dia tidak mungkin akan menerima mana-mana lelaki buat masa ini. Walau bagaimanapun, ada risau yang singgah di hati. Jika dia menolak hasrat hati Zaffar, dia yakin, hubungan mereka tidak akan jadi seperti dulu lagi. Ah, mengapa dia boleh terlibat dalam soal hati dan perasaan yang berselirat ini?




AIRINA menutup loker yang menyimpan beberapa buah buku di dalamnya. Loker yang terletak di sebelah perpustakaan itu memang disediakan oleh pihak universiti bagi memudahkan para pelajar untuk menyimpan barang seperti buku, beg dan sebagainya. Cuma ia perlu disewa dengan kadar RM 10 untuk satu semester. Kemudian, dia melangkah menuju ke perpustakaan. Ada tiga hari lagi masa yang diberikan oleh pensyarah untuk dia menyiapkan tugasan kuliahnya.
            Kebetulan petang itu dia tiada kuliah. Maka dia sudah berjanji dengan dua orang rakan sekelasnya, Liyana dan Mardihah untuk bersama-sama mencari bahan rujukan. Jam di pergelangan tangan kirinya dikerling. Ada sepuluh minit lagi sebelum temujanji mereka. Airina meliarkan pandangan matanya ke segenap ruang perpustakaan tersebut. Suasananya agak lengang. Kebiasaan, apabila tiba musim peperiksaan akhir, barulah para pelajar berkampung di dalam perpustakaan ini.
            Airina menggerakkan kakinya ke arah sebuah meja kosong berhampiran dengan rak buku. Dia meletakkan bekas pensil dan beberapa buah buku yang dibawa ke atas meja. Kelibat Liyana dan Mardihah masih tidak kelihatan. Tanpa melabuhkan punggung, Airina berjalan masuk ke arah deretan rak-rak buku yang pelbagai. Dia mencari rak buku tentang perdagangan. Apabila ketemu, dia meneliti satu per satu tajuk buku yang tersusun kemas di situ.
            “Cari bahan rujukan ke?”
            Airina tersentak sedikit apabila ditegur secara tiba-tiba begitu. Dia memalingkan wajah ke kanan. Anak matanya menangkap sesusuk tubuh yang amat dikenali. Serta-merta degupan jantungnya mula tidak senada. Laju berdenyut seakan baru tamat lumba-lari 100 meter.
            “Maaf, saya tak berniat nak buat apa terkejut,” ujar pemuda berkemeja putih dengan slack hitam itu.
            “Ah, tak apa. Encik Ramzan cari buku ke?” soal Airina cuba menutup gugup.
            “Taklah, saya cari sayur nak masak malam nanti. Awak ni Airina, kita kan di perpustakaan sekarang, tentulah saya sedang cari buku,” ujar pemuda yang bernama Ramzan itu dalam senyuman.
            Airina rasakan wajahnya sekarang bagai udang dibakar. Merah membahang. Entah bagaimana soalan tidak bijak itu boleh meniti di bibirnya. Ya Tuhan, mengapa dia boleh berjumpa dengan lelaki ini dalam keadaan begini? Berseorangan membuatkan dia mudah gemuruh.
            Ramzan yang menyedari perubahan pada raut wajah pelajarnya itu menguntum senyum nipis. Seingatnya, Airina merupakan gadis yang banyak cakap di dalam kelas. Selalu berusaha untuk menjawab setiap soalan yang ditanya. Tidak kurang juga dalam memberi pendapat ketika berada dalam sesi kuliah. Namun, Airina yang berada di hadapannya ini kelihatan berbeza. Pemalu dan gugup.
            “Cari rujukan untuk subjek apa?” soal Ramzan cuba mengusir rasa janggal yang menyelimuti mereka.
            “Subjek perdagangan untuk assignment Dr. Norma,” jawab Airina dalam sekali nafas lalu wajahnya dialihkan pada deretan buku-buku di hadapan. Sengaja mengelak dari bertentang mata dengan pensyarahnya itu.
            Ramzan mengangguk. “Oh... Assignment individu atau kumpulan?”
            “Individu. Hah, jumpa pun buku yang saya cari!” tiba-tiba Airina bersuara sedikit kuat.
            “Err... Saya minta diri dululah encik. Tu, kawan saya dah sampai. Bye!” sambung Airina sejurus matanya menangkap kelibat Liyana dan Mardihah yang melangkah masuk di pintu hadapan perpustakaan. Fuh, tepat pada masanya!
            Ramzan hanya memerhati gerak-geri Airina yang tampak kalut itu. Dia menggeleng lalu melangkah ke kaunter untuk membuat proses peminjaman. Sempat dikerling Airina yang sedang membetulkan tudung di hadapan kawannya. Entah mengapa, dalam kalut begitu, Airina nampak comel pula.



MALAM tiba menyebabkan siang terpaksa mengundur diri sementara. Di dalam bilik, Airina tidak dapat memberi perhatian pada buku nota di hadapannya. Peristiwa siang tadi masih berlegar-legar dalam ingatannya sehingga saat ini. Wajah Encik Ramzan seakan tidak mahu sirna dari ruang mata. Bangun Airina! Bangun!
            “Uii, kau dah kenapa bercakap sorang-sorang ni?” tegur Zainab, rakan sebiliknya.
            Airina tersengih. Segan tertangkap oleh Zainab. Dia kembali fokus pada baris-baris ayat dalam buku notanya namun tidak sampai sesaat, wajah itu datang lagi. Ish, tak boleh jadi ni!
            “Nab, aku turun bawah sekejap,” ujar Airina.
            “Buat apa?” tanya Zainab yang sedang asyik dengan novel di tangan.
            “Hirup udara malam. Stress pula buat assignment ni,” jawab Airina lalu mencapai tudung yang tersangkut di tepi katil lalu melangkah keluar.
            Dia berjalan di koridor sambil menyapa rakan-rakan yang lalu-lalang. Anak tangga dituruni dengan hati-hati. Kakinya dibawa sehingga ke kawasan sederhana lapang di sebelah kolej kediamannya. Bangku kayu di bawah pohon semarak api itu dituju. Kelihatan ada beberapa orang siswi juga sedang duduk berbual di kawasan tersebut.
            Nafas ditarik panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Tanganya dilekapkan ke dada. cuba mengawal resah yang mula menghuni hati. Sejujurnya, dia tidak yakin apa yang dirasakan dalam hati saat ini tetapi dia tahu dia tidak boleh menipu diri sendiri. Dalam dia, ada rasa sayang yang bertunas dalam jiwa. Ya, dia jatuh hati pada Encik Ramzan, pensyarahnya.
            Airina tahu dia tidak sepatutnya menyimpan perasaan itu tetapi apalah dayanya jika rasa sayang itu hadir menyapa. Dia tidak mampu untuk menolak. Sementelah Encik Ramzan masih bujang dan dia tidak nampak apa-apa kesalahan jika dia menyimpan hati pada pemuda itu. Encik Ramzan berumur 27 tahun, empat tahun lebih tua dari umurnya. Sejak kali pertama bertentang mata, panah cinta sudah menusuk ke jantungnya.
            Walau pada mula dia cuba menidakkan perasaan yang wujud itu, tapi lama-kelamaan ia semakin mekar. Rasa cintanya membuatkan dia sentiasa bersemangat untuk menghadiri kuliah kelolaan Encik Ramzan. Jika boleh, dia mahu menjadi pelajar yang terbaik di dalam kelas tersebut. Oleh sebab itu, setiap kali sebelum kelas Encik Ramzan bermula, dia akan membuat ulang-kaji sebaik mungkin. Dia ingin menarik perhatian Encik Ramzan dengan kepandaian dan usahanya.
            Tiba-tiba, wajah Zaffar muncul. Sebuah keluhan dilepaskan. Dia tidak jujur pada kawan lelakinya itu. Mahu fokus pada pelajaran adalah satu alasan yang sengaja dicipta untuk mengelak dari membawa hubungan mereka berdua ke tahap yang lebih serius. Tidak mahu terlibat dengan komitmen konon. Walhal jika hasrat hatinya diterima Encik Ramzan, dia tidak peduli soal komitmen. Asalkan lelaki itu ada di sisi, dia tidak akan bimbang untuk meniti hari.
            Dia bukan tidak menghargai perasaan Zaffar namun hatinya telah awal-awal dicuri oleh lelaki berkaca mata dengan potongan rambut pendek bernama Ramzan itu. Justeru, bagaimana mahu diserah hatinya pada Zaffar? Airina tidak nafikan, Zaffar adalah seorang pemuda yang baik. Bertanggungjawab dan prihatin. Dia rasa selamat apabila bersama-sama Zaffar. Namun rasa selamat itu bukan cinta. Rasa cinta itu sudah menjadi milik Ramzan. Cuma tinggal untuk lelaki itu menyambutnya sahaja.

“Macam nilah. Saya beri awak sampai Ahad ni untuk fikirkan hasrat hati saya. Saya amat berharap jawapannya nanti menggembirakan saya. Tapi kalau sebaliknya, saya nak awak tahu, hubungan kita tetap macam biasa. Jika menjadi kawan adalah takdir yang ditentukan, saya terima.”

Airian menarik nafas panjang semula. Ya, dia sudah ada keputusannya. Malah, keputusan itu tidak pernah berubah. Dia akan menolak hasrat hati Zaffar dan berusaha untuk memenangi hati Encik Ramzan. Itu tekadnya!




“BERTUNANG?”
Airina menekup mulut dengan tangan. Ikutkan dia terasa mahu rebah tetapi sedaya-upaya cuba dikuatkan hati. Jika dia pengsan di dalam perpustakaan ini, mahunya kecoh. Berita yang diterima dari Liyana benar-benar meragut semangatnya pergi. Jika benar, nampaknya dia perlu berusaha mengubat luka di hati.
            “Mana kau tahu?” soal Mardihah.
            “Kau kenal Jah, roomate aku? Dia tu dua pupu Encik Ramzan. Dialah yang beritahu aku. Hai, lepas ni, putih matalah sapa yang simpan hati dekat pensyarah kita tu,” jawab Liyana sambil menarik wajah masam. Konon ‘frust’ sangat.
            Airina meneguk liur. Sungguh dia berharap berita yang dibawa oleh Liyana itu hanya gosip semata. Namun apabila mengetahui sumber berita itu tersangatlah boleh dipercayai, maka dia tahu hatinya sudah hancur-luluh.
            “Dengan sapa Encik Ramzan bertunang? Bertuahnya perempuan tu, kan? Dahlah kacak iras-iras Farid Kamil. Ada kerja tetap lagi. Terjamin masa depan,” sambung Mardihah.
            “Kan... Kalau akulah yang dilamarnya, tak payah tunggu sehari dua, masa tu juga aku bagi jawapan setuju. Hai, kenapalah Encik Ramzan tu tak pandang aku?” rungut Liyana sekaligus membuatkan Mardihah mencebik.
            Perbualan dua orang rakannya itu tidak sedikit pun menarik minat Airina. Dia melayan rasa seorang diri. Segala angan dan impiannya berkecai bagai cermin yang dihempas ke batu. Ah, seharusnya sejak awal lagi dia tidak perlu menyimpan angan dan impian begitu. Dia perlu sedar diri. Masakan lelaki itu akan jatuh hati padanya yang masih muda dan tidak ada rupa itu. Dia sekadar budak hingusan pada pandangan mata Encik Ramzan.
            “Rina! Rina!” jerit Liyana sambil menepuk bahu kawannya yang sedang mengelamun itu.
            Airina tersentak. Pandangannya dialihkan pada gadis bertudung biru dengan blaus putih di sebelahnya.
            “Kau ni berangan ke mana?” Liyana bertanya dengan dahi yang dikerutkan.
            “Hah? Eh, tak adalah. Aku tengah hafal nota ni. Kenapa?” Airina menyoal kembali.
            “Aku dengan Diha nak pergi fotostat buku kejap,” terang Liyana.
            Airina mengangguk dalam senyum nipis. Dia hanya memandang langkah kaki kedua orang rakannya itu tanpa sebarang rasa. Hatinya tawar. Jiwanya kosong. Mana pergi rasa cinta yang bertunas dalam sanubari kala ini? Hebat sungguh berita yang didengar sehingga mampu meragut rasa cinta itu lari sembunyi.
            “Jauh termenung?”
            Airina mengangkat wajah. Senyuman Zaffar menghiasi pandangannya.
            “Sorang saja ke?” soal Zaffar lalu mengambil tempat di hadapan gadis berblaus hijau dengan tudung rona krim itu.
            Airina hanya mampu menggeleng. Dia tiada mood untuk berbual mesra dengan sesiapa saat ini. Hatinya rawan. Agaknya, inilah yang dirasakan oleh mereka yang putus cinta. Namun, dia tidak pernah bercinta dengan lelaki itu. Ah, menyimpan rasa cinta sama saja sakitnya.
            “Kenapa ni? Tak sihat?” jelas nada kerisauan dalam pertanyaan Zaffar.
            “Biasa aje. Cuma tak ada mood,” jawab Airina sekadar menjaga hati lelaki berkemeja kotak-kotak di hadapannya.
            “Tension study?”
            Airina memandang tajam ke arah Zaffar. Sudah dikata dia tiada mood, masih lagi mahu diajak berbual. Sengaja mahu menyakitkan hati. Serta-merta, ingatannya singgah pada pertemuan empat mata antara dia dan Zaffar petang semalam.




KAWASAN padang rekreasi bersebelahan dewan utama itu agak ramai dengan para pelajar yang keluar beriadah. Ada yang berjogging, ada yang bermain bola sepak, dan tidak kurang juga yang menjadi penonton sama seperti Airina dan Zaffar. Sengaja Airina memilih untuk berjumpa di situ. Dia bukan takut untuk berdua dengan Zaffar cuma dia tidak mahu suasana suram menyelubungi mereka apabila jawapan bagi lamaran lelaki itu diberinya nanti. Sekurang-kurangnya suasana di sini sedikit riuh dan mendamaikan.
            “Awak dah bersedia nak dengar jawapan saya?” soal Airina sambil matanya dihalakan pada pelajar-pelajar lelaki yang sedang asyik menyepak bola di tengah padang.
            Kedengaran Zaffar menarik nafas panjang. “Terus-terang, saya rasa cemas, takut dan macam-macam lagi. Tempoh tiga hari yang saya beri tu bertujuan untuk saya menyediakan diri juga. Jadi, saya kira, walau apa pun jawapan yang akan diterima, saya dah cukup buat persediaan.”
            Airina mengukir senyum. Dia melarikan anak matanya pada seraut wajah tampan di sebelahnya. Ya, Zaffar memang ada rupa. Wajahnya persis Fizo Omar. Cuma bentuk wajahnya bujur sirih, berbeza dengan pelakon yang bermuka bulat itu. Terlintas di fikiran, jika dia tidak menyimpan rasa hati pada Encik Ramzan, apakah ada rasa cinta buat lelaki ini?
            “Jawapan saya...”
            “Sekejap! Bagi saya tarik nafas dulu,” sampuk Zaffar.
            Airina tersengih lucu. Selain mempunyai sikap prihatin dan penyayang, Zaffar juga kelakar orangnya. Pendek kata, lelaki itu punya pakej lelaki idaman wanita. Tapi sayang, perasaan yang hadir dalam jiwa untuk lelaki itu tidak lebih dari sayang seorang sahabat. Dia sayangkan Zaffar sebagai seorang sahabat yang paling baik. Rasa sayang itu bukan cinta.
            “Dah sedia?” duga Airina.
            Zaffar mengangguk. Dia tidak berani memandang wajah gadis berlesung pipit di pipi kanan dan kiri itu.
            “Maafkan saya,” ujar Airina.
            Sejurus kata-kata itu menyapa cuping telinganya, Zaffar menghela nafas berat. Seakan dia baru saja melepaskan batu berat yang dijunjung ke tanah.
            “Terima kasih. Saya terima jawapan awak dengan hati yang lapang. Sekarang, saya boleh mengemaskan perasaan saya pada awak. Ternyata, awak bukan jodoh saya,” ujar Zaffar dalam suara yang bergetar.
            “Walau apa pun, kita masih kawan, kan?” ujar Airina dalam senyuman.
            Zaffar mengangguk. Ya, kawan...




“AIRINA!”
            Teguran Zaffar mengembalikan Airina dalam dunia nyata. Dia terlupa kehadiran lelaki itu di hadapannya.
            “Awak okey ke tak ni?”
            “Saya okey. Tak perlu risau. Cuma tension sikit saja. Awak tak ada kelas ke?” tanya Airina, berbasa-basi.
            “Baru habis kelas. Saja singgah sini kejap sebab sejuk. Kat luar tu panas sangat. Eh, awak ada dengar cerita tak tentang pensyarah kita Encik Ramzan tu. Dengarnya dia nak bertunang tak lama lagi. Menangis tak berlagulah budak-budak perempuan fakulti kita nanti,” ujar Zaffar.
            Kata-kata Zaffar membuatkan Airina tersentap. Dialah salah seorang budak perempuan yang menangis tak berlagu itu. Aduhai, peritnya rasa hati ini. Bagai dicarik-carik dengan belati tajam.
            “Jodoh dia dah sampai, harus terima dengan redha...”
            Entah bagaimana ucapan itu boleh keluar dari mulut Airina. Tiba-tiba dirasakan ada seseorang sedang merenung tajam ke arahnya. Airina tersedar lantas menekup mulut.
            “Airina... Awak...”
            “Ah, maaf, saya terlupa ada temujanji dengan Dr. Norma. Pergi dulu ya!” ujar Airina lalu bingkas bangun, tergesa-gesa.
            Zaffar menghantar pemergian Airina dengan seribu tanda-tanya yang bermukim di hati. Tuhan, jika benar sangkaannya, berilah kekuatan pada Airina untuk menghadapi dugaan dalam percintaannya.




DIA tidak tahu ke arah mana langkah kakinya. Hanya kata hati diturutkan. Airina dapat rasakan bahawa Zaffar sudah berjaya menebak rahsia yang selama ini disemat kukuh jauh di lubuk hati. Bukan kepalang rasa malunya. Pasti saat ini Zaffar sedang mentertawakannya. Niat hati konon mahu menggapai bintang. Tanpa sedar tangan tak sampai. Ya, Encik Ramzanlah bintang itu. Bintang yang hanya mampu dilihat dari kejauhan. Sedang asyik berlari, tanpa sedar, dia merempuh bahu seseorang. Buku-buku yang dipegang bertaburan di lantai.
            “Maaf, maafkan saya...” ucap Airina lalu tunduk mengutip buku-bukunya.
            “Airina?”
            Dia mendongak. Pandangannya kabur dek air mata. Wajah di hadapannya tidak jelas namun suara itu sudah cukup menyakinkan bahawa lelaki di hadapannya ini adalah cinta hatinya yang tidak akan berbalas.
            “Airina, awak okey?” cemas nada suara pensyarah muda itu.
            Airina bergegas mengutip buku-bukunya lalu tanpa menjawab pertanyaan Encik Ramzan. Dia segera menyambung larian. Sungguh dia tidak kuat untuk berhadapan dengan lelaki itu saat ini.
            Encik Ramzan memandang dengan pelbagai persoalan. Baru sahaja dia hendak melangkah, kakinya terlanggar sesuatu. Sebuah buku. Pasti Airina tercicir. Lantas, dia menunduk lalu mencapai buku tersebut. Buku buatan sendiri itu menarik minatnya. Kulit muka yang diperbuat dari kertas keras itu ditatap. Jelas tajuk “Momen-momen Cinta” dilukis dengan kreatif berserta corak berbentuk hati dan bunga. Saat dia membelek helaian yang pertama, anak matanya membesar. Jantungnya berdegup laju. Peluh merenik di dahi.

10.30 pagi
Hari ini kelas Encik Ramzan yang kusayang. Tak sabar mahu menatap wajah lelaki yang amat kurindui itu setelah hampir sebulan cuti semester.

Tuhan, apakah makna semua ini?




AIRINA gelisah! Habis bersepah mejanya dengan buku dan fail yang berselerakan. Sepertinya dia seekor gajah yang sedang naik minyak. Dari tadi Zainab tidak berani menegur. Malah Zainab perasan kawan sebiliknya itu sejak pulang dari kuliah, wajahnya sudah seperti ayam berak kapur. Pucat-lesi. Dan selepas Maghrib ini tidak semena-mena Airina bertindak ganas. Tak adalah ganas cuma kelam-kabut sikit. Gadis itu seakan mencari sesuatu.
            “Nab, kau ada nampak buku aku tak?” soal Airina setelah melepaskan penat di atas kerusi belajarnya.
            “Buku apa?”
            “Ah, tak apalah!” ujar Airina lalu mengatur nafas.
            Dia yakin Zainab tidak mengetahui kewujudan buku tersebut. Buku yang merakam setiap detik dan kenangan bersama-sama dengan cinta sembunyinya, Encik Ramzan. Dia yakin buku itu telah tercicir sewaktu di tergesa-gesa keluar dari perpustakaan tadi. Semoga tiadalah orang yang menjumpainya. Jika jumpa pun, dia berharap orang tersebut adalah orang yang tidak dia kenali. Mujurlah pada buku itu tidak ditulis nama atau apa-apa pengenalan diri. Jika tidak, mana mahu disorokkan muka.
            Telefon bimbit yang berdering tidak dihiraukan. Nada panggilan itu sudah diketahui. Memang telah dipilih nada panggilan itu untuk Zaffar seorang. Buat masa ini dia tidak mahu berbicara apa-apa dengan lelaki itu.
            Telefonnya berhenti berbunyi. Tidak lama selepas itu, telefonnya menjerit lagi. Kali ini, dia bingkas mendapatkan telefon yang terdampar di atas katil. Seperti yang dijangka, panggilan dari rumah.
            “Assalammualaikum mak,” ucap Airina.
            “Waalaikummussalam. Rina...”
            Usai berbual dengan ibunya, telefon yang dipegang terlepas dari genggaman. Khabar yang disampaikan ibunya sebentar tadi benar-benar mengejutkan. Tidak pernah langsung terlintas di fikiran. Tuhan, mengapa begitu berat dugaanMU kali ini?




SEMALAMAN Airina tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya kusut. Jiwanya serabut. Ikutkan hati, kuliah pagi ini mahu sahaja dia ponteng. Namun, mengenangkan tiada alasan kukuh untuk diberi, dia cuba kuatkan hati. Lebih-lebih lagi kuliah pagi ini dia akan bertemu pandang dengan lelaki yang telah membuatnya kenal erti sakitnya cinta. Walau bagaimanapun Airina tahu, dia tidak boleh salahkan lelaki itu. Encik Ramzan tidak tahu apa-apa. Sebaliknya yang harus dipersalahkan adalah dirinya. Terlalu ikutkan rasa hati sehingga menyakiti diri sendiri.
            Wajahnya dibelek pada cermin. Jelas matanya sembab dek semalaman ditemani air mata. Dia cuba menutupnya dengan bedak muka. Sekurang-kurangnya tidaklah terlalu kelihatan wajahnya yang tidak bermaya. Walau apa pun, dia masih perlu menjaga imej diri bila berhadapan dengan kawan-kawan.
            Usai menyiapkan diri, Airina melangkah dengan berat menuju ke bangunan kuliah. Dalam perjalanan dia terserempak dengan Zaffar. Dari kejauhan lelaki itu melambai dan dia membalas dengan senyum nipis. Ketika dia bangun tidur tadi, sebuah kiriman sms diterima dari lelaki itu. Zaffar memintanya agar kuat semangat dan berjanji akan merahsiakan apa yang diketahuinya. Sudah diagak, pemuda itu pasti dapat meneka.
            Sampai sahaja di muka pintu, sudah kelihatan beberapa orang rakan sekuliahnya sedang duduk bersembang di dalam kelas. Seperti biasa, dia mengambil tempat duduk di hadapan. Nafas cuba diatur. Walau masih belum bersedia, dia perlu bijak membezakan soal hati dan soal pelajaran. Mujurlah akalnya masih waras dan fikirannya dapat berfungsi dengan baik.
            Beberapa minit kemudian, Encik Ramzan muncul dan memulakan kuliah. Sepanjang sesi kuliah, Airina berlagak selamba. Bagai tidak ada apa-apa yang berlaku semalam. Dalam hati dia berdoa semoga masa cepat berlalu. Nafas yang dikawal terasa sesak. Mengingatkan bahawa lelaki di hadapannya ini bakal dimiliki, buatkan hati yang dipagar sabar jadi roboh semula. Sungguh tabahnya masih belum cukup.
            Tamat sahaja sesi kuliah, Airina segera berkemas. Namun, baru sahaja dia hendak bangun, terdengar namanya dipanggil.
            “Airina, saya nak jumpa awak sekejap,” ujar Encik Ramzan.
            Dapat dirasa seisi kelas memandangnya waktu itu. Entah apa yang mahu dibincangkan Encik Ramzan dengannya seorang. Dia kembali duduk di kerusi, menanti rakan-rakan sekelasnya melangkah keluar. Sempat dikerling Liyana dan Mardihah yang mengangkat kening sebelum keluar, tanda mahu tahu apa yang bakal dibincangkan dengan Encik Ramzan kelak.
            Setelah semua pelajar pergi, Encik Ramzan berjalan perlahan ke arah gadis bertudung biru dengan baju kurung rona serupa itu. Wajahnya serius, membuatkan Airina gugup. Perlahan-lahan diletakkan sesuatu di atas meja di hadapan gadis tersebut. Bagai hendak terkeluar biji mata Airina melihat objek di depannya.
            “Ah, encik... Saya boleh terangkan!” ujar Airina, cemas.
            “Ya, saya memang perlukan penerangan dari awak,” balas Encik Ramzan masih dengan wajah yang serius.
            “Err... Itu bukan buku saya. Itu kawan sebilik saya yang punya. Dia minta saya tolong lukis cover buku tu aja,” dalih Airina.
            Ya, itu saja alasan yang paling munasabah yang terfikir dek akalnya kala ini. Dia tidak menyangka buku tersebut boleh berada dalam tangan Encik Ramzan. Ah, pasti tercicir sewaktu dia berlanggar dengan lelaki itu semalam. Macam mana dia boleh terlupa pula?
            “Oh, kawan sebilik awak tu pelajar fakulti kita ke?” soal Encik Ramzan dengan riak wajah yang masih tidak berubah.
            “Bukan, dia Fakulti Sains Komputer,” jawab Airina, yakin. Dalam hati dia berdoa agar Encik Ramzan dapat menerima alasannya itu. Maaflah Zainab, pinjam nama kau sekejap.
            “Macam mana dia boleh kenal saya?”
            “Err... Encik kan popular. Tentu ramai kenal.”
            “Tak sangka pula saya popular. Mengalahkan artis pula sampai fakulti lain pun tahu. Teringin saya nak jumpa kawan awak tu, boleh?” duga Encik Ramzan.
            “Hah? Err... Kawan saya balik kampung seminggu. Ada hal keluarga,” bohong Airina. Gila mahu bawa Zainab jumpa dengan Encik Ramzan? Mahu Zainab kerat badannya 14 belas.
            Sebuah keluhan dilepaskan Encik Ramzan. “Cukuplah Airina. Tak perlu berdalih lagi.”
            “Maksud Encik?”
            “Tulisan dalam buku ni, tulisan tangan awak. Saya sendiri dah buat semakan dengan kertas ujian awak dulu,” terang Encik Ramzan.
            Kata-kata Encik Ramzan membuatkan Airina mati akal. Habislah! Apa yang perlu dilakukan saat ini? Lari? Atau pura-pura pengsan?
            “Kenapa tak beritahu saya?” soal Encik Ramzan membuatkan Airina terpinga-pinga.
            Biar betul! Dia kan perempuan, takkan perigi mahu mencari timba pula? Lagipun, hubungan mereka tidak akan ke mana. Encik Ramzan itu pensyarahnya. Mustahil antara pensyarah dan pelajar boleh ada hubungan istimewa.
            “Ada dapat panggilan dari rumah?” Encik Ramzan menyoal lagi.
            ‘Eh? Mana Encik Ramzan tahu?’ detik hati Airina.
            “Ada tak?” nada suara Encik Ramzan tinggi sedikit apabila tiada balasan dari gadis di hadapannya.
            Pantas Airina mengangguk. Masih jelas setiap patah kata emaknya sewaktu dalam talian semalam. Khabar yang dibawa emaknya itu jugalah antara menjadi penyebab mengapa dia tidak boleh tidur semalaman. Kata emak, Ahad lepas ada rombongan merisik datang ke rumah. Tambah emak lagi, ayah terus bersetuju tanpa bertanya padanya dulu. Kata abah, gadis dalam lingkungan umurnya sudah boleh berumah-tangga.
            Mendengar khabar tersebut, mahu dia tidak meraung. 23 tahun itu baginya satu umur yang masih hijau. Dia belum pun tamat belajar. Apatah lagi dia punya cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah. Selepas tamat ijazah sarjana muda ini, dia mahu sambung pengajian ke peirngkat ijazah sarjana pula.
            “Jadi awak terima?”
            “Apa maksud encik?” Airina bertanya tidak faham.
            “Rombongan merisik tu, awak terima?” tanya Encik Ramzan.
            Airina bingung. Dari mana pula Encik Ramzan tahu tentang perihal tersebut? Seingatnya, tidak ada pula dia beritahu kawan-kawannya. Tunggu sekejap! Jangan-jangan... Ya Tuhan! Airina segera menekup mulut.
            Kelakuan Airina itu membuatkan Encik Ramzan tersengih. Akhirnya dia menghambur tawa. Tidak mampu lagi berpura-pura serius.
            “Encik! Jangan kata rombongan merisisk tu...” Airina tidak jadi menerus kata.
            “Kenapa? Tak boleh ke?”
            “Encik biar betul? Kenapa saya?”
            “Anggap saja saya jatuh cinta pandang pertama,” jawab Encik Ramzan dalam senyuman.
“Tapi, bukan encik nak bertunang ke?” tanya Airina, meminta kepastian.
            “Memanglah saya nak bertunang. Dengan awak. Itupun kalau awak terima risikan saya tu,” jawab Encik Ramzan dalam tawa yang berbaki.
            Airina rasakan dunia sekelilingnya berputar. Tiba-tiba pandangannya gelap.




BENARLAH kata orang, cinta itu sesuatu yang sukar diramal. Datangnya tanpa diduga, dengan cara yang tidak disangka. Tanpa disangka, cinta yang disembunyikan selama ini terbongkar jua. Sudah jodohnya, cinta itu rupanya berbalas. Tidak terhingga rasa syukurnya pada Tuhan kerana cerita cintanya menemui penamat yang membahagiakan.
            Airina jadi malu apabila terkenangkan kejadian di dalam bilik kuliah seminggu yang lalu. Entah mengapa dia boleh pengsan sejurus mendengar pengakuan dari Encik Ramzan. Sedar sahaja dia sudah berada di klinik yang dibina di kawasan kampus. Waktu itu  hanya ada Zainab yang menemani. Dia pasti Encik Ramzan yang membawanya ke sini dan meminta Zainab datang.
Malamnya dia mendapat panggilan dari lelaki itu. Yakin emaknya yang memberikan nombor telefon pada Encik Ramzan. Rupanya Encik Ramzan sengaja berpakat dengan emak dan ayah untuk mengenakannya. Konon mahu buat kejutan. Sudahnya, lain yang dirancang, lain pula yang jadi. Walau apa pun, kesudahannya tetap sama. Dia dengan rela hati menerima lamaran dari Encik Ramzan. Namun dia meletakkan syarat supaya mereka bertunang sehingga dia berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana mudanya. Selepas itu baru dia fikirkan untuk ke fasa seterusnya.
Berita pertunangan Encik Ramzan memang telah tersebar di fakulti tetapi siapa tunangannya masih kekal rahsia sehingga kini. Dia tidak mahu keadaan menjadi kecoh jika para pelajar tahu dialah tunangan lelaki idaman warga kampus itu. Dari tak ada musuh, terus beratus-ratus pelajar perempuan memusuhinya nanti. Ish, membayangkan saja dah ngeri.
Kini perjalanan hidupnya sudah kembali seperti biasa. Hubungannya dengan Zaffar masih lagi baik. Lelaki itu telah dapat menerima semuanya dengan redha. Sementelah hubungannya dengan Encik Ramzan masih perlu dirahsiakan. Dia tidak kisah kerana perasaan cinta dan sayangnya pada lelaki itu, tidak lagi perlu disembunyikan.
::TAMAT::

Tiada ulasan :